PAC Pantau Projek Pembangunan Kedah

9pac
ALOR SETAR 9 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Kedah akan memantau setiap projek yang dirancang di negeri ini supaya berjalan lancar.

Pengerusinya, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, perkara itu penting kerana rakyat inginsetiap projek pembangunan yang dirancang menjadi kenyataan.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 46 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan. Masing-masing 29 projek Kerajaan Persekutuan dan 17 projek Kerajaan Negeri.

“Kita berpuas hati dengan projek-projek yang sedang dilaksanakan di Kedah sebab tidak ada satu pun projek sakit atau runtuh.

“Ini yang kita nak tahu kerana setiap projek pembangunan itu melibatkan duit rakyat. Jadi, kita perlu maklumkan segala yang sedang berlaku kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini.

Menurutnya, PAC akan terus bergerak dan membuat pemantauan secara berkala supaya setiap projek dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Antara projek yang sedang berjalan ialah pembinaan Maktab Mahmud di Pokok Sena. Projek bernilai RM3.6 juta itu dijangka siap pada November tahun ini.

“Selain itu, projek pembinaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Langkawi juga kini sudah 75 peratus siap. Projek bernilai RM4.4 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, projek pembinaan Jambatan Kuala Pegang, Baling terpaksa ditangguhkan atas sebab teknikal.

“Pada awalnya, kita bercadang untuk membina jambatan itu dengan saiz yang tidak begitu besar. Tetapi disebabkan jambatan itu selalu mengundang bahaya, maka kita akan memperbesarkan saiznya.

“Oleh itu, kita memerlukan peruntukan tambahan dan berjanji rakyat di situ akan menerima kemudahan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Sumber:UMTK