Bantuan Persekolahan Rm100 Akan Diteruskan - Adun Bukit Kayu Hitam

9bantuan
JITRA 9 April - Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan baucer buku RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, YB. Dato’ Ahmad Zaini Japar berkata, sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan tersebut bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada permulaan sesi persekolahan awal tahun.

“Ia adalah tahun ketiga Kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut yang akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

“Ada di antara ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerajaan amat menghargai dan menyanjung tinggi nilai murni itu,” katanya pada majlis penyampaian bantuan pakaian persekolahan dan alat tulis di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, di sini.

Menurutnya, Kerajaan akan meneruskan program Baucer Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar pra universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.

“Langkah ini dijangka dapat memanfaat  seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta. Baucer Buku 1Malaysia diperkenalkan pada Bajet 2012,” katanya.

Sumber:UMTK