Nelayan Diminta Guna Alat Moden

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
nelayan
KUALA KEDAH 2 Disember - Golongan nelayan diseru menggunakan pelbagai teknologi serta peralatan moden dalam kaedah penangkapan ikan dan pengurusan organisasi termasuk cara pemikiran baharu bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pencapaian kehidupan nelayan tidak harus lagi dilihat pada tahap menggunakan peralatan tradisional seperti serkap, bubu tempang, ran candik dan sempila.

"Pelbagai teknologi boleh diperoleh dengan bantuan khidmat nasihat dan latihan daripada Jabatan Perikanan dan juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Jabatan itu dan LKIM juga melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi memastikan warga nelayan meneruskan usaha-usaha penangkapan ikan dengan lebih giat," katanya dalam Program Tukun Tiruan Negeri Kedah 2013 dan Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Negeri Kedah di Kompleks Perikanan Daerah Kedah Utara, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Kedah sangat beruntung kerana diberi peruntukan paling besar bagi tujuan pembinaan tukun tiruan yang diharapkan akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat terutama dalam usaha mempertingkatkan hasil pendaratan ikan.

"Berdasarkan rekod, mulai 2000 hingga 2012, Jabatan Perikanan membina dan melabuhkan tukun tiruan di 11 lokasi di perairan Kedah manakala LKIM pula di 33 lokasi dengan kos keseluruhan RM7.37 juta.

"Setahu saya, nelayan di Kuala Kedah juga diberi perhatian khusus oleh kerajaan terutama dalam meningkatkan sumber ikan melalui pembinaan tukun tiruan bernilai RM2.5 juta tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) boleh memainkan peranan penting dalam memupuk, membimbing para nelayan di samping menjadi penghubung dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Saya juga berharap pihak swasta dapat menumpukan usaha khidmat sosial korporat mereka untuk membantu kerajaan negeri dalam menggalakkan tahap kesedaran dan pendidikan masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar terutama pemulihan kawasan habitat pembiakan ikan di kawasan pantai.

"Keupayaan syarikat ini boleh digembleng, termasuklah mengadakan program penanaman pokok akau di perairan pantai dan membina tukun tiruan sebagai sumbangan mereka kepada masyarakat nelayan di negeri ini," katanya.

Mukhriz juga mahu supaya warga nelayan di negeri ini mencontohi sikap nelayan negara maju dalam memulihara sumber perikanan pantai di samping sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Aspirasi kerajaan negeri adalah untuk membangunkan industri eko- pelancongan yang menguntungkan rakyat. Inisiatif tukun tiruan ini juga mampu menggalakkan perkembangan sektor tersebut.

"Apabila sumber perikanan terpelihara dan diuruskan dengan baik, para nelayan berpeluang menambah sumber pendapatan melalui pakej memancing, perkhidmatan sewa bot dan aktiviti riadah lain termasuk kegiatan selam skuba yang menambah nilai ekonomi dan pendapatan," katanya.

Sumber: Utusan