GUAR
CHEMPEDAK 20 Oktober - Sekitar kawasan di Bukit Acau dekat sini yang
dilaporkan mengalami hakisan sebenarnya berada dalam daerah Kuala Muda.
Setiausaha
Majlis Daerah Yan, Faizal Rizal Mohammad berkata, pihaknya melakukan
pemeriksaan selepas laporan dalam Sinar Harian pada 12 September yang
lalu berkaitan rungutan penduduk yang risau hakisan tanah di kawasan
berkenaan mampu meragut nyawa.
“Pihak
kami ada menerima aduan daripada penduduk setempat yang tinggal di
Lorong Rasha Belakang Taman Desa Indah 2, Guar Chempedak, mengenai
kejadian tanah runtuh, namun siasatan mendapati ia di bawah daerah lain.
“Lantas,
pihak kami mengemukakan aduan melalui telefon kepada Pejabat Daerah
Kuala Muda manakala menerusi surat dilakukan pada 22 September untuk
tindakan selanjutnya daripada pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar
Harian.
Sebelum
ini, Sinar Harian melaporkan hujan lebat secara berterusan
mengakibatkan Bukit Acau runtuh dua kali sehingga menimbulkan
kebimbangan terhadap penduduk tempatan di Lorong Rasha Belakang Taman
Desa Indah 2, dekat sini.
Difahamkan,
kira-kira enam keluarga dikejutkan bunyi kuat dipercayai akibat
runtuhan bukit terbabit secara berperingkat dalam kejadian pertama
berlaku pada 10 September, manakala runtuhan kedua berlaku tiga hari
kemudiannya.
Keadaan
ini mengakibatkan masyarakat setempat termasuk dari Kampung Tok Kau,
Titi Bom dan Setia Jaya terputus hubungan berikutan laluan berkenaan
adalah satu-satunya jalan untuk ke Bukit Jenun dan Gurun.
Sumber: Sinar Harian