Pelajar Obes Jalan 10,000 Langkah

pelajarobes
Oleh SAFINA RAMLI

Huzaidy Husain (tengah) bersama urusetia program melancarkan program berjalan kaki dan mengayuh basikal bagi pelajar yang mengalami obesiti di Kampus UUM Sintok, Alor Setar, baru-baru ini.

ALOR SETAR 25 September - Seramai 92 pelajar yang mengalami obesiti dari daerah Kubang Pasu menyertai program mengayuh basikal dan berjalan sejauh 8.5 kilometer atau 10,000 langkah di dalam kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, baru-baru ini.

Pegawai Kesihatan Daerah 2, Pejabat Kesihatan Kubang Pasu, Dr. Azlina Azlan berkata, program yang dianjurkan itu adalah khusus untuk golongan pelajar berkenaan.

Katanya, langkah penganjuran program yang bertemakan Jom Hidup Sihat, Aktifkan Diri itu adalah bagi mengawal pelajar obesiti yang dianggap sebagai satu penyakit apabila tisu-tisu lemak berlebihan.

"Lebih teruk lagi apabila mereka dalam golongan ini akan mengalami gangguan dan kecederaan organ-organ badan dan seterusnya menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

"Oleh itu, Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu, Pejabat Kesihatan, Ketua-Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Pusat Budaya dan Seni UUM mengambil langkah untuk menganjurkan program bagi pelajar obesiti ini," katanya di UUM di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM, Huzaidy Husain berkata, program itu dilihat sebagai satu usaha bersama untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan pelajar di sekitar kampus.

"Hubungan UUM amnya dan PBS khususnya dengan PPD Kubang Pasu dan Pejabat Kesihatan daerah ini sentiasa dijalankan dan perjalanan 10,000 langkah di kampus ini merupakan aktiviti yang amat baik bukan sahaja untuk menjaga kesihatan, malah menjalinkan hubungan antara jabatan kerajaan di daerah ini," ujarnya.

Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah ceramah kesihatan, Senam Sintok 1Malaysia, Explorace dan mengayuh basikal dalam kampus.

Kesemua 92 pelajar itu akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka akan berganti-ganti mengayuh basikal yang disediakan oleh Pusat Sukan UUM dan berjalan kaki untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan.

Selain daripada aktiviti itu, pasukan yang berjaya menamatkan aktiviti dalam masa yang ditetapkan akan menerima hadiah yang disediakan oleh pihak urus setia.

Sumber: Utusan