Pasar Produk Industri Hiliran

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

IndustriHiliran

SURAYA Yaacob (kiri) menyampaikan Anugerah Projek NKEA Terbaik 2012 kepada Mohd. Shabudin Shafie di Pertubuhan Peladang Kawasan MADA E-4 Bukit Besar, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 24 Jun - Kerajaan Kedah akan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri lain dalam usaha memasarkan produk hiliran golongan petani dan peladang di negeri ini bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, melalui kerjasama itu produk industri berasaskan tani dari Kedah mendapat pasaran hebat di negeri luar.

Beliau berkata, masalah yang sering dihadapi pengusaha ini adalah pemasaran jadi kerajaan negeri akan mencari jaringan untuk pasarkan produk mereka.

"Misalnya pada bulan depan saya akan ke Melaka setelah mendapat undangan daripada kerajaan negeri itu untuk memasarkan produk hiliran petani Kedah di situ.

"Kita akan lihat perkembangan usaha ini dan jika mendapat sambutan kita mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menjalinkan perjanjian persefahaman dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pengurusan Perosak Tanaman Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) E-4 Bukit Besar di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu kata Suraya, pihaknya berharap pengusaha terbabit akan memanfaatkan pelbagai peluang dan insentif yang disediakan kerajaan untuk memastikan produk yang dihasilkan berkualiti.

"Kita juga menggalakkan pengusaha industri asas tani ini supaya meningkatkan kreativiti mereka dan mencari pengusaha yang boleh memasarkan produk mereka.

"Saya percaya industri ini akan diperkukuhkan dengan kawalan kualiti dan jaringan pasaran yang baik," katanya.

Sumber: Utusan