DUN Kedah bubar 5 April 2013

Jumaat, 05 April 2013 11:40 | Ditulis oleh SARINA ISMAIL & SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

      ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan pada 5 April 2013. Beliau memaklumkan perkara demikian selepas memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada 4 April 2013 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Pada pagi 5 April 2013 kira-kira jam 10.15 pagi beliau menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

      “Kelmarin (4 April) saya pergi jumpa Tuanku Sultan di Kuala Lumpur, pagi ini (5 April) saya jumpa Jemaah Pemangku Sultan untuk mendapat perkenan pumbubaran DUN. “Kedah dan Pulau Pinang antara negeri Pakatan Rakyat yang lewat mengumumkan pembubaran DUN. “Lepas ini saya akan maklum kepada Speaker untuk dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Lepas semua negeri bubar baru SPR akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya,” jelas beliau kepada wartawan selepas menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang diadakan di Istana Anak Bukit, di sini.