Keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat

Ahad, 31 Mac 2013 16:31 | Ditulis oleh MUSLIM ABDUL RAZAK

      BALING – Kerajaan negeri Kedah sangat ‘sayang’ dan prihatin terhadap rakyat apabila menyalurkan pelbagai sumbangan kepada insan yang memerlukan tidak mengira fahaman politik dan agama. Baru-baru ini wakil kerajaan negeri meyumbangkan RM5 ribu kepada Halijah Daud, 56, yang kehilangan (dipotong) kaki akibat penyakit kencing manis. Beliau yang tinggal bersama suaminya agak terkejut dan gembira dengan kehadiran wakil kerajaan negeri ke rumahnya. “Saya sakit kencing manis sejak tahun 2000 lagi dan kaki saya dipotong pada bulan satu tahun lepas. Saya agak sayu dan sedih kerana kini pergerakan saya agak terbatas serta banyak kerja yang sebelum ini dapat saya lakukan kini tidak dapat dilakukan lagi, untuk ke mana-mana saya perlu menggunakan tongkat,” katanya dalam tersenyum gembira. Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan bantuan sebanyak RM5 ribu bagi membantu beliau untuk membeli kaki pasu yang berharga kira-kira RM11 ribu. Beliau berharap agar kerajaan negeri kini dapat terus mentadbir Kedah. Sebelum ini beliau mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

      Selain itu, seorang lagi, Razman Abdullah turut terharu dengan kunjungan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepadanya. Razman pernah mengalami kemalangan yang menyebabkan kehilangan mata sebelah kirinya serta penglihatan mata sebelah kanan agak kabur. Beliau turut menghidap penyakit Hepatitis C sejak enam tahun lalu. Beliau memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan dan ubat-ubatan. Razman kini bekerja sebagai penjaga kolam ikan keli milik tuannya dengan gaji sebanyak RM150 sebulan dan dia sekeluarga tinggal dirumah yang disediakan oleh majikannya. Isterinya bekerja di kedai perabut berhampiran dengan rumah mereka dengan gaji kira-kira sebanyak RM700. Mereka mempunyai dua orang anak, yang pertama berumur 18 tahun dan yang kedua dua tahun enam bulan. “Saya sangat terharu kerana dalam keadaan saya yang seperti ini masih ada pihak yang ingin membantu. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin kepada saya dan keluarga saya,” ujarnya. Beliau yang menerima RM1000 daripada kerajaan negeri turut mengharap bantuan daripada mana-mana pihak yang ingin membantunya dengan menyalurkan kepada RHB BANK, Razman Abdullah 15202800183860 atau menghubungi 013-5298898.