Isnin, 08 April 2013 12:42 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah mengambil tindakan memperkenalkan semula kesenian tradisional bagi mengangkat sukan dan budaya semakin dilupa serta ditinggalkan generasi muda pada masa kini melalui Program Merakyatkan Seni dan Budaya-Sentuhan Rakyat di Taman Rakyat Mergong, di sini baru-baru ini. Pengarahnya, Mohd Rizal Ismail berkata, pihaknya mensasarkan generasi muda, yang mana pada masa kini sudah kurang mempraktikkan mahupun mempunyai minat terhadap kesenian dan kebudayaan warisan negara ini.Menurutnya, berikutan kejayaan perlaksanaan aktivitinya di Kulim, Kuala Kedah dan Pokok Tai, Pendang baru-baru ini, maka penganjurannya pada kali keempat program ini diadakan di Bandaraya Alor Setar dan seterusnya akan dijalankan di Kulim. "Masa kini, semakin ramai golongan masa kini tidak mengetahui jenis dan keadah permainan tradisional seperti dam haji, congkak, tarik upih, jongkang-jongkit, batu selambut, gasing dan wau, juga tradisi seperti marhaban, wayang pacak, berendoi dan bertahnik ataupun upacara membelah mulut bagi bayi baru lahir yang dianggap unik oleh generasi lama,” ujarnya.
Justeru, pihaknya juga memodenkan sukan seperti futsal dengan memasukkan elemen tradisional, yang mana pemain perlu memakai kain pelikat sewaktu bermain dalam permainan tersebut bagi menarik minat generasi muda terhadap kesenian tradisional ini. “Kini, generasi muda leka dengan persekitaran baru dengan permainan moden hingga seakan-akan lupa jati diri maka dengan adanya penganjuran program sedemikian maka ia membantu mengembalikan nostalgia dan minat terhadap kesenian warisan nenek moyang ini,” katanya. Mohd Rizal menjelaskan, sebahagian kesenian tradisional berkenaan hanya diketahui oleh orang-orang lama, iaitu ibu bapa mahupun datuk nenek yang pernah menikmati keseronokan permainan tradisional yang juga dikenali sebagai permainan rakyat berkenaan, manakala kebanyakan generasi muda sudah tidak memainkannya lagi.
Tambahnya, tindakan membangkitkan kesenian itu diambil bagi memastikan permainan tersebut terus 'hidup' dengan mencari generasi pelapisnya dengan harapan warisan nenek moyang kita tidak lupus ditelan zaman dan arus kemodenan. "Dikhuatiri, jika sampai masa 20 tahun pada masa depan, segala seni dan budaya ini telah hilang, malah kita hanya mengenalinya melalui dokumentari mahupun buku sahaja,” katanya. Menurutnya, jika masyarakat tempatan sendiri tidak memainkan peranan mengangkat kebudayaan tersebut, maka siapa lagi yang harus dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan keindahan kesenian tradisional yang dimaksudkan itu ke persada dunia.
Terakhir Dikemaskini (Selasa, 09 April 2013 11:24)