Pasukan Futsal Kedah layak ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM

Khamis, 14 Mac 2013 09:44 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

      ALOR SETAR -Pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013. Pegawai Tadbir Futsal Negeri Kedah, Amran Hamid berkata, pada perlawanan peringkat pusingan kelayakan yang diadakan di Puchong, Selangor pada awal bulan Februari 2013, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah berjaya mengalahkan pasukan Triways FC, Selangor 2-0. “Pada perlawanan kedua, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah seri 1-1 dengan pasukan KSR Seri Cempaka, Kuala Lumpur,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perjumpaan Jawatankuasa Futsal Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersama Pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

      Menurutnya, pada perlawanan ketiga, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah berjaya mengalahkan pasukan Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Lumpur 12-0. “Pada perlawanan penentuan untuk melayakkan pasukan ke peringkat akhir pada kejohanan itu, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah berjaya mengalahkan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam 10-3,” katanya. Beliau memberitahu, secara automatik pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah merupakan salah satu daripada empat pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013 yang akan diadakan tidak lama lagi. Amran menjelaskan, pasukan Futsal Wanita Negeri Kedah layak secara automatik ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013 kerana tiga pasukan sahaja yang mendaftar untuk pertandingan itu iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. “Kita telah membuat persiapan awal bagi menghadapi kejohanan berkenaan dan matlamat kita adalah untuk berada di kedudukan keempat teratas liga. Kalau boleh, kita ingin menjadi juara pada kejohanan berkenaan,” katanya. Pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah yang ditubuhkan pada tahun 2007 kini di bawah bimbingan Pengurus Pasukan Lelaki, Encik Nesar Ahmad Khan Rafi Ahmad Khan manakala Pengurus Pasukan Wanita, Tuan Syed Yusof Syed Othman.

      Naib Presiden KFA, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim berkata, lebih RM600,000 diperuntukkan kepada pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah. “Kita berharap dengan peruntukan yang disalurkan itu dapat memberi semangat kepada pasuykan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam menghadapi Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib dalam ucapannya berkata, sukan futsal pada masa ini merupakan salah satu permainan rekreasi yang dilihat mampu mengetengahkan pemain-pemain yang berkebolehan sepertimana pemain-pemain bola sepak. “Kita berharap dengan adanya sukan futsal, ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada peminat-peminat sukan futsal untuk melibatkan diri dalam sukan berkenaan,” katanya. Pada majlis itu, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib turut menyampaikan peralatan sukan kepada pemain-pemain pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah.