23peruntukan
ALOR SETAR 23 Jul – Sejumlah RM44,543,652 diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk pembayaran elaun kepada empat kumpulan penggerak aktiviti keagamaan di negeri ini sepanjang tahun ini.
Ia membabitkan elaun 2,772 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bernilai RM29.4 juta serta bakinya untuk pembayaran elaun bulanan 400 guru dan pembantu takmir di bawah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) selain elaun 1,636 Imam serta 12 Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD).
Peruntukan itu diagihkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang mewakili MAIK.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Istana Anak Bukit itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya, YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid.
YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid ketika ditemui berkata, peruntukan itu membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa menyokong usaha membangunkan syiar Islam di Negeri Kedah, terutama dalam mengimarahkan program agama di negeri ini.
Sumber : UMTK
gambar5copy

ALOR SETAR 23 Jul – Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2015 mampu menjadi platform kepada penggiat industri pertanian di negeri ini untuk memulakan inisiatif ke arah penanaman secara organik pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaakob berkata, ini berikutan perkongsian idea dan ilmu di dalam seminar berkenaan dapat dijadikan persediaan kepada penggiat industri pertanian untuk tujuan itu.

“Saya pasti ramai yang hadir di seminar ini merupakan penggiat pertanian sama ada di peringkat perancangan, pelaksanaan, mahupun pemasaran secara langsung atau tidak langsung akan memperoleh manfaat daripada pelbagai topik yang akan dibincangkan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2015 di Hotel Tabung Haji.

Beliau berharap pegawai Kerajaan Negeri dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang hadir supaya mengambil peluang untuk mempelajari serta berbincang penggiat tanaman secara Intensifikasi Sumber Lestari bagi memudahkan pelaksanaan ‘Kedah Organics’ kelak.

Tambahnya, seminar yang diadakan itu sangat bertepatan kerana selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam merangka dan menyediakan pelan tindakan ‘Kedah Organics’. ‘Kedah Organics’ merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penanaman makanan secara organik bagi mempertingkatkan kelestarian alam sekitar.

“Mengikut hala tuju Pembangunan Pertanian Organik 2015-2020, adalah disasarkan sebanyak dua peratus bersamaan 2,548 hektar kawasan penanaman makanan di negeri ini akan diperuntukkan bagi inisiatif ‘Kedah Organics’. Ini merupakan pada kadar 425 hektar setahun bagi enam tahun akan datang,” jelasnya.

Sumber : UMTK
IMG 3797copy

SINTOK 23 Jul – Ekspo Penyelidikan Inovatif, Reka Cipta dan Pembangunan Aplikasi 2015 anjuran Pusat Pengajian Pengkomputeran, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi medan terbaik bagi pihak universiti dan Kerajaan Negeri Kedah mencungkil bakat inovasi dalam kalangan pelajar.

Ekspo itu menjadi wadah untuk institusi pendidikan di Malaysia dan Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT) mampamerkan produk inovatif merangkumi kategori kejuruteraan komputer, sains komputer dan pengaturcaraan, multimedia, pengurusan data serta storan.

Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Profesor Madya Dr Huda Ibrahim berkata, sebanyak 65 produk inovasi yang dihasilkan peserta iaitu pelajar universiti, politeknik dan sekolah menengah termasuk dari Prince Songkhla University, Thailand dipamerkan sepanjang dua hari ekspo berlangsung.

Menurutnya, kemajuan dalam kehidupan memerlukan inovasi dan ekspo yang diadakan itu dilihat menjadi medan terbaik mencungkil bakat inovasi dalam kalangan pelajar dan ahli akademik.

Majlis perasmian ekspo berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi, Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, YB. Dato’ Norsabrina Mohd Nor.

Sumber : UMTK
DSC 0074copy
KUALA  LUMPUR 23 Jul -  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memberi tumpuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam perancangannya bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menterinya, YB. Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, golongan terbabit mewakili 62 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah luar bandar yang memerlukan aktiviti pembangunan bagi memberi kesan secara langsung dalam meningkatkan taraf hidup.

“Program atau projek pembangunan luar bandar akan memberi tumpuan kepada negeri yang mempunyai jumlah golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tinggi seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Perak, Kelantan dan Pahang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalannya, YB. Dato; Alexander Nanta Linggi pada majlis perasmian Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah 2015.
 
Menurutnya, berpaksikan strategi yang digariskan, pihaknya mengemukakan permohonan berjumlah RM49.5 bilion kepada Unit Perancang Ekonomi bagi pelaksanaan projek dalam RMK-11. Ia membabitkan 816 projek, iaitu 716 projek baru dan 55 projek sambungan bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2016.

“Peruntukan berkenaan dijangka dapat mempercepatkan pencapaian matlamat Program Transformasi Luar Bandar dan bakal mengubah landskap sosioekonomi hingga mampu menarik pelabur swasta. Ia juga mampu menyediakan peluang pekerjaan, kegiatan ekonomi dan menggalakkan generasi muda berkhidmat di desa,” jelasnya.

Bagi menyokong pertumbuhan industri negara, katanya, modal insan luar bandar terus diperkasakan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan pasaran.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Sumber : UMTK
IMG 2592copy

ALOR SETAR 22 Jul – Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah) menghadiri Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2015 yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat  Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO).

Majlis yang diadakan itu turut diserikan dengan persembahan kesenian dan hiburan daripada Badan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kedah serta artis tempatan.

Sumber : UMTK
DSC 0128copy

PENDANG 22 Jul – Sebanyak 1,500 beg kitab diserahkan kepada 11 pondok di negeri ini sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam usaha mengimarahkan institusi pondok terutama pada bulan Ramadan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, sumbangan yang disampaikan itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri begitu mengambil berat terhadap perkembangan institusi pondok di negeri ini.

“Institusi pondok di negeri ini memainkan peranan penting dalam melahirkan ramai tokoh ilmuan agama yang disegani ramai dan ini menunjukkan bahawa institusi pondok tetap menyumbang kepada pembangunan pendidikan agama di negara ini,” ujarya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pondok di Maahad Al-Fathoni, Pondok Bukit Kobah.

Beliau memberitahu, sistem pendidikan di setiap pondok perlu diselaraskan melibatkan ilmu duniawi dan ukhrawi dalam usaha melahirkan pelajar yang berilmu dan berwawasan di samping mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sempurna.

Menurutnya, Kedah begitu sinonim dengan institusi pondok yang terus berkembang pesat dengan menerapkan ilmu agama yang secukupnya kepada penghuninya dalam usaha menjadikan institusi pondok sebagai tempat untuk menuntut ilmu.

Sumber : UMTK
IMG 7979copy

KULIM 22 Jul – Satu lagi projek Kerajaan, Rimbunan Kasih bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah sedang giat dijalankan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin  Abdullah berkata, projek itu akan memberikan kesan positif kerana pesertanya terdiri daripada penduduk miskin.

“Mereka akan dihimpunkan di penempatan baru dan di situ mereka akan bekerjasama memulakan hidup baru. Penempatan baru ini juga akan disediakan aktiviti ekonomi dan setiap pesertanya sendiri akan mengendalikannya bagi menjana pendapatan mereka,” ujarnya ketika meninjau Projek Rimbunan Kasih Bandar Baharu di Mukim Bagan Samak.

Menurutnya, seramai 100 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan yang dikategorikan sebagai miskin akan dipilih untuk menduduki penempatan baru itu. Terlebih dahulu, calon peserta akan dipanggil menghadiri temuduga dan penilaian akan dibuat secara teliti supaya sasaran menepati projek yang dirancangkan.

Beliau memberitahu, sebanyak 100 unit rumah akan dibina dan pelbagai prasarana seperti surau, dewan, tabika dan taman permainan kanak-kanak turut disediakan bagi kemudahan peserta. Aktiviti perladangan dan pertanian turut diadakan di persekitaran penempatan itu bagi memberikan pendapatan kepada peserta dalam menjana ekonomi rumah tangga mereka.

“Aktiviti perladangan seperti Rumah Hijau, penanaman buah-buahan, penternakan ikan dan sebagainya turut diadakan. Ini memberikan mereka peluang untuk bekerja bagi menjana pendapatan dan dapat meringankan sedikit bebanan yang terpaksa ditanggung selama ini,” jelasnya.

Sumber : UMTK
22kedah
JITRA 22 Jul – Sebanyak 28,081 unit kediaman termasuk rumah kos rendah dan mampu milik dibina Kerajaan Negeri sejak dua tahun mentadbir negeri ini dan pencapaian yang memberangsangkan itu diyakini mampu melepasi sasaran 40,000 unit kediaman yang dijanjikan Kerajaan Negeri sehingga tahun 2018.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, permintaan terhadap rumah adalah tinggi terutama rumah kos rendah dan mampu milik kerana kebanyakan penduduk Kedah berpendapatan rendah.

“Jadi, kita meletakkan sasaran 40,000 rumah pelbagai peringkat sepanjang lima tahun sejak tahun 2013 dan kini sudah mencapai sasaran tahunan dengan lebih 20,000 unit berjaya diduduki dan dalam proses pembinaan,” jelasnya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS) iaitu projek milik Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikat, BDB Land Sdn Bhd.

Menurutnya, melalui TTIS, BDB akan mengetengahkan konsep pembangunan perbandaran hijau yang mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM532 juta. TTIS menawarkan sebanyak 1,615 unit kediaman pelbagai peringkat membabitkan rumah kos rendah, mampu milik dan mewah yang akan dibangunkan di kawasan seluas 80 hektar dan dijangka siap menjelang tahun 2018.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, daripada jumlah 28,081 unit kediaman itu, sebanyak 10,634 unit diluluskan tahun ini untuk dilaksanakan. Sepanjang tahun 2014, sebanyak 2,322 unit siap dibina dan 10,324 masih dalam pembinaan, manakala pada tahun 2013 sebanyak 4,801 unit kediaman dibina selepas Kerajaan Negeri yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan Negeri Kedah Darul Aman.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim dan Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Dato’ Izham Yusoff.

Sumber : UMTK
16usah

SUNGAI PETANI 16 Jul -  Golongan nelayan diminta tidak terpedaya dengan penjualan borang permohonan bagi mendapatkan rumah nelayan Tanjung Dawai yang belum mendapat keizinan mana-mana pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya dimaklumkan berlakunya proses jual beli borang permohonan projek rumah nelayan itu yang ternyata menjadi tumpuan orang ramai.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mahupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) belum mempelawa mana-mana pemohon untuk projek berkenaan. Pihaknya belum membuka sebarang permohonan dan borang pun belum diedarkan.

“Kalau ada orang kata boleh beli borang dan isi, sebenarnya itu tidak betul. Saya akan berbincang dengan LKIM berhubung perkara itu dan meneliti syarat permohonan yang akan ditetapkan terlebih dahulu sebelum dibuka. Saya akan mengadakan perbincangan dengan LKIM dalam masa terdekat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk syarat-syarat penerima,” jelasnya ketika berucap pada majlis penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan.

Beliau memberitahu, antara syarat-syaratnya ialah pemohon mesti generasi kedua nelayan yang bebas dadah, berumur 45 tahun ke bawah dan masih belum memiliki rumah. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang sudah berkeluarga tetapi menumpang dengan ibu bapa.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya berpuas hati dengan projek pembinaan rumah nelayan itu yang dijangka siap pada Mac 2016. Pihaknya menyasarkan tawaran rumah berkenaan akan dibuka kepada peserta sekitar Mac hingga Mei 2016. Difahamkan, sebanyak 300 unit rumah banglo dengan konsep perumahan nelayan moden akan disediakan secara percuma, termasuk kemudahan dan kelengkapan lain sebagai memberi keselesaan kepada golongan itu.

Sumber : UMTK


16peruntukan

PANTAI MERDEKA 16 Jul - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM137.7 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan luar bandar di negeri ini pada tahun ini berbanding RM123.3 juta pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, melalui peruntukan itu banyak kemudahan asas seperti bekalan elektrik serta pembinaan jalan kampung dapat disalurkan ke kampung-kampung di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tetap memberikan penumpuan terhadap pembangunan di kawasan luar bandar dalam usaha memberikan kemudahan yang terbaik kepada rakyat. Banyak permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan luar bandar yang perlu diselesaikan dan kita akan menanganinya secara berperingkat-peringkat tidak lama lagi,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah (KPPSMCK) di Bilik Mesyuarat Pantai Merdeka Resort.

Beliau turut meminta Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai Daerah, Penghulu Mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berganding bahu dalam mencari jalan terbaik untuk bersama-sama memajukan kampung-kampung di negeri ini agar ia mampu membangun dengan sendiri.

Tambahnya, pelbagai usaha perlu dilakukan dalam menaikkan imej penghulu di negeri ini kerana mereka juga berupaya membawa perubahan yang besar kepada penduduk di kawasan masing-masing. Apa yang penting, setiap penghulu perlulah melaksanakan tugas yang diamanahkan itu dengan penuh tanggungjawab serta berdedikasi agar kemajuan kampung berada dalam keadaan baik serta sempurna.

Seramai 70 penghulu dari 126 mukim di negeri ini menghadiri program itu. Turut hadir ialah Pengerusi KPPSMCK, Encik Ahmad Fuad Zainal Abidin.

Sumber : UMTK

8kedah
KUALA NERANG 13 Jul - Pemilik kenderaan yang rosak akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut kelmarin boleh membuat tuntutan insurans daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, ini kerana MBAS mempunyai insurans khas bagi membiayai kos baik pulih kenderaan yang rosak selepas dihempap pokok di bawah seliaan mereka.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad iaitu pemilik kenderaan yang rosak akan diberi insurans tersebut mengikut jenis kerosakan kenderaan mereka.

“Mereka boleh ke pejabat MBAS bagi mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu melakukan tindakan segera dengan memangkas dahan pokok yang berada di tepi jalan.

Badrol Hisham berkata, ini kerana pokok besar berusia puluhan tahun yang mempunyai dahan yang banyak mudah tumbang selepas ditiup angin kencang.

“Sekarang ini cuaca tak menentu dan pokok besar yang ditanam oleh PBT di tepi jalan dengan tujuan landskap boleh menyebabkan berlaku kerosakan kenderaan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Saya akan lakukan mesyuarat khas bagi membincangkan isu ini bersama semua PBT dan berharap perkara ini tidak akan berulang sekiranya pencegahan awal dilakukan,” katanya.

Katanya, setiap PBT juga perlu menubuhkan skuad khas yang akan digerakkan ke tempat kejadian untuk memotong pokok tumbang di atas jalan raya bagi mengelak berlakunya gangguan trafik yang terlalu lama.

Beliau berkata, ia juga bagi membantu pasukan penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menjalankan tugas tersebut.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi kelmarin, tujuh kenderaan dilaporkan dihempap pokok di Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Badlishah di sini ketika hujan lebat dan angin kencang berlaku.
Sumber : Sinar

12najibal.transformed
ALOR SETAR 12 Jul - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Bukhary di sini.
 
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta kira-kira 5,000 orang itu, Najib juga menyampaikan sumbangan kepada 200 bekas anggota tentera dan polis.
 
Turut menghadiri majlis berbuka puasa itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
 
Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah, sebelum ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat sunat tarawih dan majlis khatam al-Quran.
 
Turut menghadiri majlis itu ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Diraja Kedah, Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.
 
Sebelum itu pada sebelah petang sejurus tiba di Alor Setar, Najib bersama Mukhriz serta diiringi Ahmad Bashah, meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau dan beramah mesra dengan pengunjung Bazar Ramadan Stadium Darulaman di bandar raya ini.
 
Beliau turut membeli beberapa juadah berbuka puasa seperti murtabak, air tebu dan kuih-muih di bazar Ramadan itu.
 
Pengunjung bazar Ramadan begitu teruja melihat kehadiran Perdana Menteri dan kepimpinan negeri di kawasan tumpuan orang ramai sempena bulan Ramadan ini.

Sumber : Berita Harian

kurahman
ALOR SETAR 9 Jul - Kajian kebolehlaksanaan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dijangka siap sepenuhnya November ini, kata Exco Industri dan Pelaburan negeri, Dato' Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Katanya, kajian itu dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menilai pelbagai aspek sebelum laporan diserahkan kepada kerajaan negeri nanti.

Laporan penilaian kajian cadangan pembinaan KXP itu juga akan diserahkan kepada kerajaan persekutuan untuk penilaian selanjutnya sebelum keputusan akhir diumumkan, katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri optimis untuk merealisasikan pembinaan lapangan terbang itu kerana ia akan memberi manfaat kepada negeri-negeri di utara tanah air dan selatan Thailand.

"Kita akur dengan prosedur yang ditetapkan kerajaan pusat termasuk pelaksanaan kajian yang sedang dilakukan pada masa kini.

"Kerajaan negeri juga turut melantik perunding sendiri untuk melakukan kajian dan penyelidikan berhubung projek mega ini," kata Dato' kepada pemberita selepas majlis perasmian Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri hari ini.

Ku Abdul Rahman berkata, sekiranya kerajaan persekutuan tidak mampu membiayai projek itu, kerajaan negeri terpaksa mencari pelabur dari China dan Jepun bagi menjayakannya.

"Ini projek jangka panjang untuk membantu kerajaan negeri dan sekiranya cadangan pembinaan lapangan terbang itu tidak dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebelum ini, ia mungkin akan dimasukkan ke dalam pelan pusingan selepas tempoh dua tahun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengguna boleh melaporkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) sekiranya ada peniaga yang meletakkan harga yang tinggi pada barangan harga kawalan.

Menurutnya, hasil pemantauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati peniaga mematuhi harga skim kawalan yang ditetapkan, malah ada yang menjual barangan kawalan pada harga jauh lebih rendah.

"Kita perlu puji sikap peniaga daging yang menjual daging tempatan pada RM26 sekilogram berbanding RM29.50 sekilogram seperti yang ditetapkan kementerian," kata Dato' Dr Ku Abdul Rahman.
Sumber : Sinar