25jepun
ALOR SETAR 26 Mei - Ambang Dorongan Sdn. Bhd. (ADSB) yang merupakan syarikat pengeluar kuih muih tradisional sejuk beku di negeri ini menjalinkan usaha sama dengan Tokachi Seika Co., Ltd. dari Hokaido, Jepun untuk menghasilkan ‘daifuku’ sejenis kuih tradisi Jepun.
Pengarah Operasi ADSB, Nur Hazwani Aznan berkata, usaha sama dengan Tokachi Seika yang menghasilkan kuih beras pulut tradisi Jepun itu merupakan kerjasama dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) pertama dijalinkan ADSB.
“Kuih beras pulut tradisi dari Jepun ini mempunyai persamaan dengan kuih mochi yang terdapat di negara ini namun di Jepun inti di dalamnya menggunakan kacang merah.
“Pelaburan awal yang dilaburkan oleh ADSB ialah kira-kira RM200,000 dan untuk peringkat awal kita sasarkan pengeluaran 20,000 keping sebulan untuk tiga bulan pertama dan kita akan lihat perkembangan produk ini sebelum meningkatkan pengeluarannya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum perjanjian ( MoA) antara ADSB dengan Tokachi Seika di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Pada majlis itu, ADSB diwakili Nur Hazwani manakala Tokachi Seika diwakili oleh Presidennya, Hiroyuki Komano.
Yang hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob.
Menurut Nur Hazwani, pasaran untuk produk tersebut akan dijalankan oleh Tokachi Seika yang memfokuskan di negara-negara Asia seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan negara ini.
"Terdapat empat jenis inti yang akan dihasilkan oleh pihak kami iaitu kacang merah, teh hijau, kacang hijau dan kaya.
“Sekarang ini hanya dua peratus bahan mentah untuk menghasilkan kuih ini diambil dari Kedah dan dalam tempoh terdekat kita sasarkan untuk menggunakan 100 peratus bahan mentah dari negeri ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hiroyuki Komano berkata, selain ‘daifuku’ syarikatnya juga mengeluarkan produk manisan tradisi Jepun yang lain dan pihaknya akan menggunakan teknologi dari negara itu untuk menghasilkan produk-produk yang sesuai bagi pasaran negara ini dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Mukhriz memberitahu, usaha sama yang terjalin membuktikan bahawa syarikat tempatan juga mampu mengeluarkan produk bermutu tinggi yang diterima oleh syarikat dari Jepun.
“Saya yakin usaha sama ini akan membuka ruang dan peluang kepada perniagaan lain dan mungkin menjadi dorongan kepada syarikat tempatan lain untuk meneroka pasaran luar negara yang lebih luas,” jelasnya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan


25petani
POKOK SENA 25 Mei - Seramai 25 petani dari Pendang dan Hutan Kampung menerima kembali sawah mereka dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selepas diambil oleh pihak berkenaan bagi program pemulihan selama dua musim.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, MADA memulakan Program Pemulihan Tanah Jerlus dari 2013 hingga 2015 kerana kebanyakan tanah itu berisiko bagi aktiviti penanaman padi.
“Walaupun MADA mengambil masa selama dua musim tetapi setiap petani turut dibayar sebanyak RM2,645.50 sehektar setiap musim. Kita berharap dengan pemulihan tanah ini, hasil padi akan meningkat kembali dan jentera padi dapat masuk membajak serta mengambil padi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Semula Kawasan Pembatalan Dua Musim Penanaman Padi Bagi Program Pemulihan Tanah Jerlus di Kampung Tanjung Musang.
Menurutnya, MADA sudah melaksanakan kerja pemulihan kawasan tanah jerlus dengan peruntukan sebanyak RM28.79 juta. Program pemulihan tanah jerlus itu dilaksanakan meliputi tiga komponen iaitu pembatalan penanaman padi dan pemberian bantuan wang ihsan, melaksanakan kerja pemulihan tanah dan penyediaan tanah selepas kerja pemulihan.
“Bilangan mereka yang bersetuju menyertai usaha pemulihan dan membatalkan tanaman bagi keseluruhan kawasan MADA seramai 715 pesawah membabitkan lebih 1,029 hektar,” jelasnya.
Sumber : UMTK


25pesawah
JITRA 25 Mei - Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dinasihatkan agar menggunakan benih padi yang sah untuk menjamin hasil tuaian yang lebih berkualiti dan bebas daripada serangan penyakit.
Pengerusi MADA, YB. Dato’ Othman Aziz berkata, berdasarkan pemerhatian yang dijalankan hasil tuaian untuk musim 2/2014 mengalami penurunan hampir 20 peratus berbanding hasil pada musim 2/2013 dipercayai kerana menggunakan benih padi yang tidak sah.
“Musim 2/2013 purata kita dapat hasilkan 6.5 tan satu hektar, musim 2/2014 hanya mendapat 5.1 tan sahaja satu hektar kerana diserang pelbagai penyakit seperti karah tangkai, hawar daun dan lain-lain. Hasil siasatan mendapati antara puncanya ialah benih padi yang digunakan pesawah tidak ada daya tahan penyakit, mungkin benih padi yang digunakan tidak sah,” jelasnya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pengembangan Penggunaan Benih Padi Sah yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar MADA, Md. Zuki Ismail di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E-II Kubang Sepat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, pihaknya tidak dapat mengenalpasti berapa ramai pesawah telah menggunakan benih tidak sah pada musim yang lalu namun beliau berharap pada musim ini pesawah akan menggunakan benih padi yang sah.
“Pihak MADA telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kempen pengembangan penggunaan benih padi sah dan kita berharap pesawah akan mengambil berat mengenai hal ini. Benih yang sah ialah benih yang dikeluarkan dari ladang benih, dipilih, kemudiannya diproses lalu disahkan serta diberi nombor sijil oleh Jabatan Pertanian. Hanya benih ini disaran untuk digunakan pada musim ini,” ujarnya.
Sumber : UMTK


24penduduk
JITRA 24 Mei - Lebih 300 penduduk di Kampung Kelubi Dalam dan Kampung Manggol Malau menjayakan Program Galakan Membaca Peringkat Perpustakaan Desa Zon Tiga Kubang Pasu.
Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPANK), YB. Aminuddin Omar berkata, program yang diadakan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh PPANK dalam usaha menggalakkan orang ramai membudayakan amalan membaca.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan memberitahu, peranan perpustakaan sebagai tempat menyimpan khazanah ilmu perlu dikunjungi oleh orang ramai untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu.
“Kita berharap program ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dan keluarga ke perpustakaan sebagai antara lokasi harian. Bagi ibu bapa, sikap suka membawa anak-anak ke perpustakaan akan memberi kesan positif dengan melahirkan generasi anak-anak yang suka membaca,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.
Sempena program itu, pelbagai aktiviti diadakan melalui kerjasama antara PPANK dan penduduk setempat antaranya kenduri kampung, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna, melukis poster dan anyaman.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah PPANK, Encik Hashimi Hassan dan Penyelia Perpustakaan Desa Zon Tiga Kubang Pasu, Encik Norhilmi Abd. Ghani.
Sumber : UMTK


24elak
BALING 24 Mei - Ibu bapa di daerah ini dinasihatkan agar tidak meracuni fikiran anak-anak mereka dengan fahaman politik melampau sehingga merosakkan tingkah laku mereka.
Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pada usia yang muda kanak-kanak perlu digilap dengan ilmu yang berguna bukan memesongkan pemikiran mereka dengan ilmu yang salah.
“Biarlah masa depan mereka lebih terjamin dan dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang baik. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu pendidikan dan jangan biarkan pemikiran mereka diracun dengan fahaman politik sehingga mereka terbabit dengan keganasan,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat perkampungan Islam di Kampung Kembal Dalam, Tembak A.
Menurutnya, perkampungan berkenaan mempunyai 80 keluarga yang hidup secara berkelompok sebagai sebuah keluarga. Beliau turut terharu kerana usaha mereka yang berterusan mencari dana sehingga terbangunnya sebuah masjid As-Solihin yang menelan belanja melebihi RM700,000.
Bagi melengkap lagi kemudahan di masjid itu, beliau turut menyumbangkan dana sebanyak RM50,000 untuk membina tempat mengambil wuduk dan bilik air yang lebih selesa.
Sumber : UMTK


24mada
JITRA 24 Mei - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan jumlah usahawan di bawah bimbingannya seramai 2,600 orang sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, YB. Dato’ Othman Aziz berkata, sasaran itu akan membabitkan pencapaian nilai jualan keseluruhan tahunan sebanyak RM120 melalui Industri Asas Tani (IAT) dan Asas Tani (AT). Sehingga tahun 2014, pihaknya berjaya membimbing usahawan seramai 2,524 orang berbanding sasarannya seramai 2,500 orang.
“Jumlah itu melibatkan seramai 1,236 usahawan IAT dan seramai 1,288 bagi usahawan AT melalui Program Pembangunan Usahawan MADA yang diwujudkan sejak 2006. Bagi 2014, kita mencapai sasaran nilai jualan sebanyak RM90 juta dengan pencapaian nilai jualan sebanyak RM112.8 juta,” ujarnya ketika berucap pada Program Coffee Talk bersama Agropreneur Muda yang diadakan di Darulaman Golf Club.
Mengulas mengenai Program Pembangunan Agropreneur Muda, beliau memberitahu, MADA berjaya melahirkan seramai 100 usahawan muda meliputi sektor IAT dan AT. Program itu membabitkan perusahaan produk pemprosesan makanan, tanaman, ternakan dan perikanan.
“Bagi tahun 2015, kita juga menyasarkan seramai 100 usahawan muda dilahirkan melalui program ini dan kita menetapkan beberapa teras panduan bagi mencapai sasaran ini,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Bahagian Industri Asas Tani MADA, Encik Ruslan Abd. Ghani Ahmad.
Sumber : UMTK



    24program
    ALOR SETAR 24 Mei – Kerajaan Negeri sedang melaksanakan program advokasi dengan meminta penduduk yang menanam pokok ketum termasuk yang mengusahakannya dalam skala ladang supaya bertukar kepada tanaman lain.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah jika tanaman itu dimasukkan dalam senarai Akta Dadah Berbahaya 1952 berbanding Akta Racun 1952 pada masa ini.
    Tambahnya, sebelum rang undang-undang baru yang memindahkan penanaman ketum daripada Akta Racun 1952 kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 diluluskan di Parlimen, pihaknya mahu pengusaha pokok ketum supaya menukar tanaman mereka.
    “Ia kerana apabila rang undang-undang ini diluluskan kelak, penanam pokok ketum boleh dikenakan hukuman berat,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman.
    Sumber : UMTK


    24himpunan
    ALOR SETAR 24 Mei – Penghasilan dokumentari 13 Tokoh Islam Kedah sejak zaman sebelum merdeka merupakan inisiatif yang tepat berikutan negeri ini mempunyai ramai ulama tersohor selain negeri terawal menerima syiar Islam.
    Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, penerbitan ini juga bertepatan dengan masanya, di mana kebelakangan ini Islam sering dijadikan bahan sendaan pihak tertentu.
    “Tiba masanya kita tonjolkan keindahan dan keagungan Islam sejak zaman-berzaman. Kita perlu tonjolkan sejarah Islam negeri ini di mana Kedah menerima kedatangan Islam lebih awal berbanding Melaka dan Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pra-pelancaran dokumentari 13 Tokoh Islam Kedah yang melibatkan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan NBK Production bagi menghasilkan 13 episod.
    Menurutnya, dokumentari itu akan memanfaatkan generasi muda untuk mengenali sejarah dan ketokohan Islam di Kedah. Ia juga boleh dijadikan sebagai rujukan dan diwarisi generasi akan datang. Kedatangan Islam memberi kesan besar kepada Negeri Kedah termasuk lahirnya golongan ulama dan pendakwah terkemuka namun, kisah mereka tidak diketahui atau hanya ada sedikit maklumat.
    Sumber : UMTK


    24kebajikan
    ALOR SETAR 24 Mei - Kerajaan sentiasa prihatin dan sedaya upaya dalam membantu golongan wanita untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa, mesra dan praktikal.
    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, kita perlu bersyukur kerana kebajikan dan taraf hidup wanita di negara ini jauh lebih baik berbanding dengan beberapa negara lain di dunia.
    “Ini adalah hasil daripada komitmen Kerajaan untuk membangunkan masyarakat tanpa mengira usia dan keturunan. Segala usaha berkenaan adalah tanda sokongan dan keprihatinan Kerajaan serta masyarakat terhadap wanita,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah 2015 di Perkarangan Taman Budaya Negeri, Pumpong.
    Menurutnya, majlis yang diadakan itu adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada golongan wanita yang merupakan penyumbang besar kepada negara khususnya dalam pembinaan modal insan. Selain itu, sambutan yang diadakan itu juga diharap dapat memberi ruang dan peluang sebagai platform kepada wanita untuk dihargai dan menghargai diri sendiri setelah setiap masa berkorban demi keluarga, masyarakat dan bangsa.
    “Kerajaan turut bersetuju untuk memberi laluan khas atau kaunter khas kepada golongan wanita. Kerajaan telah memberi saranan ini kepada semua agensi Kerajaan dan swasta untuk sama-sama menghargai wanita,” jelasnya.
    Sumber : UMTK


    11jerlun
    ALOR SETAR 24 Mei – Kerajaan Negeri akan menyemak semula kadar bayaran permit yang dikenakan terhadap pengusaha pasir sungai dan kuari.
    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, kadar bayaran yang dikenakan terhadap pengusaha pasir terlalu rendah dan telah diguna pakai sejak dahulu lagi.
    “Kita semak dan kaji untuk menaikkan bayaran terhadap pengusaha pasir ini termasuk bayaran kepada Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang masing-masing hanya dikenakan bayaran RM10,000, RM14,000 dan RM40,000,” jelasnya.
    Menurutnya, pengusaha pasir dan kuari juga akan diberikan kursus supaya mereka dapat mematuhi arahan dan syarat yang ditetapkan di samping memelihara ekosistem sejagat. Kita akan bagi kursus selama sehari supaya mereka mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan dalam menjalankan aktiviti berkenaan sekaligus tidak merosakkan ekosistem sungai dan alam semulajadi,” ujarnya.
    Sumber : UMTK


    24talian
    JERLUN 24 Mei – Kerajaan Negeri akan mewujudkan talian khas untuk membolehkan orang awam melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian puting beliung yang melanda negeri ini.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, berbanding banjir yang kerap berlaku serta boleh dijangka, puting beliung merupakan satu fenomena baharu yang sukar untuk diramalkan bila dan di mana bencana itu akan berlaku.
    “Kita mungkin boleh sediakan di peringkat daerah nombor telefon di mana orang awam boleh hubungi sekiranya nampak puting beliung untuk mudahkan laporan dibuat dan tindakan bantu mangsa boleh diambil segera,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun.
    Menurutnya, langkah berjaga-jaga di peringkat negeri perlu dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi puting beliung ini kerana kejadian itu sukar diramal. Sekiranya laporan mengenai kejadian puting beliung di sesuatu kawasan di negeri ini dibuat segera, ia boleh membantu penduduk di kawasan berkenaan berpindah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kecederaan dan kemalangan.
    “Selalunya selepas puting beliung ini berlaku baru bantuan kepada mangsa dan tahap kemusnahan boleh dinilai. Lebih bagus sekiranya kita tahu kejadian berkenaan dengan lebih awal, jadi kita ada persediaan untuk lindungi kawasan yang terlibat,” ujarnya.
    Sumber : UMTK


    17festival
    ALOR SETAR 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini meluangkan masa selama hampir satu jam melawat Festival Hari Guru 2015 anjuran Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.
    Kehadiran beliau bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada pukul 2 petang disambut Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.
    Timbalan Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa berjumpa dan beramah mesra dengan pempamer-pempamer, guru serta pelajar sekolah yang menghadiri festival tersebut.
    Muhyiddin turut dibawa melawat gerai pameran Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan yang menawarkan pelbagai produk dan program menarik kepada para pengunjung.
    Beliau turut diperkenalkan de­ngan pemain dram cilik, Nur Amira Syahira Zainul Abidin, 12, yang mula dikenali melalui laman sosial YouTube.
    Yang turut hadir, Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.
    Sepanjang tiga hari berlangsung, festival pendidikan terbesar negara yang bermula Khamis lalu berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung.
    Festival berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya pameran, pertandingan nasyid, bola sepak dan memasak untuk guru serta pelajar sekolah.
    Penaja utama festival itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan antara agensi dan syarikat yang turut mengambil bahagian ialah Adabi, Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, universiti-universiti tempatan, Lembaga Tabung Haji, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
    Buat julung kalinya, festival itu turut disertai Kedutaan Besar Indonesia, Vietnam, Thailand dan Brunei sempena pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
    Sumber : Utusan



      11sepuluh
      ALOR SETAR 11 Mei – Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk Menteri Besar dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit Bukit di sini, hari ini.
      Daripada 10 Exco termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengangkat sumpah itu, enam daripada mereka bertukar portfolio, sementara empat Exco lain kekal dengan jawatan sebelum ini.
      Keenam-enam Exco itu ialah Datuk Tajul Urus Mat Zain yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan manakala Datuk Badrol Hisham Hashim pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan Bukan Kerajaan.
      Turut bertukar portfolio ialah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid yang jawatan baharunya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya dan Datuk Norsabrina Mohd Noor pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia.
      Barisan Exco baharu turut menyaksikan Aminuddin Omar memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan sementara Datuk Dr. Leong Yong Kong di portfolio Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan dan Perpaduan.
      Mukhriz pula mengekalkan portfolio Perancang Ekonomi, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan Negeri.
      Sementara itu, Exco-exco lain ialah Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Suraya Yaacob (Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat), Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah (Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan).
      Menurut Mukhriz, beliau yakin setiap Exco yang dilantik semula dapat menjalankan tugas dengan baik dan perubahan yang dilakukan itu mengambil kira keperluan setiap portfolio.
      “Kita dapat lihat anggota Exco masih sama cuma ada pertukaran portfolio dan apa yang dilakukan ini berdasarkan apa yang saya nilai sebagai kekuatan setiap seorang Exco.
      “Selain itu ia juga memberi peluang kepada mereka untuk terdedah kepada tanggungjawab yang berbeza dan peluang untuk dapat pengalaman yang meluas untuk tanggungjawab yang mungkin lebih berat selepas ini,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini selepas menghadiri upacara angkat sumpah jawatan Exco di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
      Mukhriz berkata, beliau juga berpuas hati dengan keseluruhan prestasi kesemua anggota Exco dalam mengendalikan portfolio masing-masing dan mereka juga dapat mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.
      Sumber : Utusan

      Syeikh Faisol Hj Omar
      ALOR SETAR 11 Mei - Mulai 1 Jun ini, denda sebanyak RM1,000 atau penjara melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bakal menanti kaum lelaki di negeri ini yang melakukan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut.
      Hukuman juga akan dikenakan kepada mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kariah sendiri atau tidak uzur syarie dan tidak ada alasan munasabah.
      Semua hukuman itu akan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) berdasarkan aturan Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 berkaitan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.
      Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIK, Sheikh Ahmad Fisol Omar, pihaknya bagaimanapun, pihaknya tidak akan mengeluarkan saman secara membuta, sebaliknya akan bertindak mengikut aduan yang dibuat oleh orang awam.
      “Sekiranya pesalah gagal untuk memberi kerjasama kita akan mohon waran tangkap daripada Hakim Mahkamah Syariah,” katanya kepada pemberita di pejabat JAIK di sini hari ini.
      Menurut Syeikh Ahmad Fisol, perkara itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 yang telah diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri tahun lalu.
      Beliau berkata, tarikh penguatkuasaan hukuman itu bermula pada 1 Feb­ruari lalu, namun Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK akan mula menguatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Jun ini.
      “Kita telah mengadakan pe­nerangan ke 12 daerah untuk me­nerangkan cara terperinci berkaitan undang-undang ini kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang. Kita juga telah mengedarkan poster dan mengeluarkan pekeli­ling kepada 568 masjid di seluruh Kedah,”ujarnya.
      Tambahnya, orang awam boleh mendapatkan borang aduan untuk melaporkan mengenai mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat di pejabat-pejabat agama di setiap daerah .
      “Maklumat pelapor akan dirahsiakan dan mereka akan dijadikan sebagai saksi bagi membolehkan tindakan diambil ke atas pesalah.
      “Sebelum ini kami banyak me­nerima aduan mengenai kehadiran golongan lelaki di tempat awam semasa solat Jumaat berlangsung jadi dengan undang-undang baharu ini diharapkan dapat mengurangkan jumlah pesalah yang meninggalkan solat Jumaat,” jelas beliau.
      Oleh : Safina Ramli
      Sumber : Utusan


      7pekan
      ALOR SETAR 7 Mei – Deretan kedai tradisional di Pekan Cina dan Tanjung Chali yang dianggarkan berusia 300 tahun bakal berubah wajah hasil usaha yang diambil Kerajaan Negeri.
      Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, satu gotong-royong turut dijalankan Biro Belia Cina untuk menceriakan kawasan antaranya mengecat bangunan bersempena Tahun Baru Cina dan Lagenda Kedah.
      “Kita mengambil contoh, Semeling untuk mentransformasikan Pekan Cina kerana memiliki potensi sebagai tempat pelancongan meskipun lama dan usang. Malah, variasi aktiviti akan diadakan di sekitar kawasan berkenaan bagi menonjolkan kebudayaan dimiliki masyarakat seperti Melayu dan Cina,” ujarnya.
      Beliau memberitahu, pihaknya akan memasang tanglung di jalan utama antara Persimpangan Pekan Cina dan Persimpangan Pekan Melayu sebagai permulaan merealisasikan perkara itu. Kami turut menjemput bakat-bakat tempatan untuk membuat lukisan mural pada dinding tertentu bangunan demi menarik kehadiran pelancong.
      Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, pihaknya merancang pelbagai aktiviti demi mempromosikan Pekan Cina dan Tanjung Chali kepada pengunjung.
      “Kita merancang membangunkan semula tempat berniaga untuk orang lama yang pernah berniaga di persisiran Tanjung Chali satu masa dahulu. Kami juga akan mewujudkan perkhidmatan river cruise dan mengadakan kembali Pesta Sungai demi menghidupkan kawasan tersebut,” jelasnya.
      Sumber : UMTK


      7kerajaan
      ALOR SETAR 7 Mei - Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca penyebaran penyakit kencing tikus atau leptospirosis di negeri ini terutama yang banyak dilaporkan berlaku di kawasan rekreasi.
      Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, pihaknya sudah menghantar kertas kerja mengenai kajian berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tindakan susulan termasuk dalam mencari penyelesaian terhadap penyebaran penyakit itu.
      Beliau memberitahu, kajian secara menyeluruh itu dijalankan dalam usaha membendung penyakit kencing tikus daripada terus merebak di kalangan rakyat di negeri ini berikutan terdapatnya peningkatan kes ini di Kedah.
      “Justeru, saya dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Norhizan Ismail, mengusulkan cadangan ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan mereka memberi maklum balas positif terhadap cadangan dan kajian kita,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, YB. Dr. R Krishnamoorty pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman.
      Menurutnya, kajian terperinci itu nanti bukan sahaja akan menjurus kepada kawasan yang telah dilaporkan penularan virus kencing tikus, malah kawasan rekreasi yang turut dikaitkan dengan penyebaran wabak berkenaan kerana lokasinya yang mempunyai air bertakung serta bertanah lembap
      Bertepatan dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk melihat kawasan rekreasi di negeri ini berada dalam keadaan bersih, Majlis Daerah Yan turut mengambil pendekatan terbaik dengan mengadakan Kempen Gotong-Royong dan Kempen Kawalan Tikus di Pusat Rekreasi Batu Hampar.
      Yang Dipertuanya, Abd Rashid Othman berkata, pusat rekreasi itu dibersihkan secara berperingkat di Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi, Sungai Teroi, Titi Hayun, Kaki Gunung Jerai dan Pulau Song Song.
      “Sebagai permulaan, kami membersihkan kawasan peranginan Batu Hampar selain turut memasang perangkap tikus di sekitar kawasan berkenaan sebagai langkah menangkap haiwan itu. Kebiasaannya penyakit kencing tikus bukan sahaja disebabkan oleh tikus, tetapi kencing binatang lain yang berada dalam hutan ini yang membawa kuman dan mudah dijangkiti kepada manusia.
      Menurutnya, tujuan gotong-royong diadakan adalah untuk menarik semula pengunjung datang ke beberapa pusat peranginan di Daerah Yan yang kurang dikunjungi orang ramai disebabkan bimbangkan keselamatan mereka.
      Seramai 300 orang termasuk kakitangan Majlis Daerah Yan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Hutan, Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Polis DiRaja Malaysia dan Kolej Komuniti turut serta.
      Sumber : UMTK


      6meningkatkan
      ALOR SETAR 6 Mei – Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan dalam usaha meningkatkan sistem telekomunikasi terutama kepada sekolah-sekolah di negeri ini ke arah melahirkan masyarakat yang celik IT.
      Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Dato’ Norsabrina Mohd Nor berkata, pihaknya turut memasang sistem berkenaan kepada 662 sekolah di negeri ini dalam usaha mendidik pelajar-pelajar agar mencintai teknologi maklumat (IT).
      “Kita ingin menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan mengenai teknologi maklumat ketika belajar di sekolah,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB. Kama Noriah Ibrahim pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Kali Ke-13 di Wisma Darul Aman.
      Menurutnya, pihaknya akan membuat penambahbaikan Internet 1Malaysia di setiap daerah di negeri ini dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
      “Kita turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan sistem telekomunikasi di negeri ini,” jelasnya.
      Sumber : UMTK


      6negeri
      BUKIT KAYU HITAM 6 Mei - Negeri Kedah telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM5,285,215,268 merangkumi pelaburan asing berjumlah RM4,516,895,351 dan pelaburan domestik sebanyak RM768,319,917 sepanjang tahun 2014.
      Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, Kedah berada pada kedudukan kelima keseluruhan daripada 14 negeri selepas Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan.
      “Kerajaan Negeri berharap untuk mengekalkan momentum ini pada masa akan datang dalam menjadikan Negeri Kedah sebagai destinasi pilihan oleh pelabur dari dalam dan luar negara,” jelasnya pada Program Gotong-Royong di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.
      Menurutnya, Kerajaan Negeri telah merancang sebanyak enam projek katalitik dan berimpak besar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Bandaraya Aero Kedah di Kulim, Lebuhraya Sungai Petani – Kedah Inner Expressway, Bandaraya Getah Kedah di
      Daerah Padang Terap, Bandaraya Sains Perubatan Kedah di Daerah Bandar Baharu serta Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam.
      “Projek Taman Sains dan Teknologi Kedah akan dibina di atas tanah seluas 1,933 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.
      Beliau memberitahu, tumpuan juga tetap diberikan bagi menarik dan memperkasakan pelaburan di Kulim Hi-Tech Park dan pembangunan beberapa projek lain yang berpotensi seperti Kedah Integrated Fishery Terminal, Automotive Hub di Gurun dan High Precision Machining Centre di Kulim Hi-Tech Park.
      Sementara itu, katanya, objektif utama program itu diadakan adalah bagi memastikan persekitaran kawasan industri lebih menarik dan kondusif bagi menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelabur-pelabur yang sedia ada.
      Sumber : UMTK


      6bantu
      KODIANG 6 Mei - Sebanyak 45 peserta program latihan kemahiran dan kerjaya yang dijalankan oleh Felcra Trading dan Consultancy Sdn Bhd (FTC) berpeluang meningkatkan pendapatan dan menjadi usahawan jika mereka rajin berusaha.
      Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad berkata, 32 peserta dari Kedah dan 13 pula dari Perlis itu mengikuti kursus jahitan selama enam bulan secara percuma oleh FTC dan dibekalkan mesin jahit di bawah pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
      “Peserta kursus jahitan ini dibahagikan kepada dua kelompok seramai 20 orang yang akan beroperasi di Pusat Kecemerlangan Setempat di Kodiang manakala yang selebihnya akan bekerja di rumah,” ujarnya selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan jahitan PPP dan penyampaian sijil program latihan kemahiran dan kerjaya di Pusat Kecemerlangan Setempat.
      Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
      Menurutnya, FTC dengan bantuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 setahun untuk melaksanakan program latihan kemahiran dan kerjaya berkenaan yang merupakan program pertama di Kedah.
      “Peserta dipilih melalui sistem e-Kasih iaitu mereka yang terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar dan berpendapatan rendah. Program ini diharapkan dapat mengubah pemikiran mereka untuk terus maju dan menjana pendapatan tambahan serta melahirkan usahawan khususnya usahawan luar bandar,” jelasnya.
      Sumber : UMTK


      5naik
      ALOR SETAR 5 Mei - Kerajaan negeri mengarahkan kontraktor yang terbabit dengan kerja-kerja menaik taraf Terminal Feri Kuah di Langkawi mempercepatkan kerja-kerja tersebut bagi memastikannya siap mengikut jadual.
      Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kerja-kerja menaik taraf terminal itu dijalankan bagi mengatasi masalah kesesakan pelancong terutama ketika musim cuti.
      “Kontraktor agak lambat menjalankan tugas dan saya telah berjumpa mereka dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini untuk berbincang agar kerja naik taraf disiapkan segera," katanya di sini hari ini.
      Tambah beliau, selain kerja-kerja menaik taraf yang sedang dijalankan, keadaan air pasang surut turut menyebabkan banyak feri tidak dapat bergerak mengikut jadual.
      "Saya akui keadaan di Terminal Feri Kuah sangat mendukacitakan.
      "Saya mohon maaf kepada semua pelancong dan saya harap kerja-kerja naik taraf terminal feri yang sedang dijalankan dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada hujung tahun ini akan dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku," katanya.
      Difahamkan berlaku kesesakan teruk di Terminal Feri Kuah semalam dan menyebabkan ramai penumpang terkandas sehingga lewat malam.
      Kejadian itu juga menyebabkan beberapa pengunjung pengsan ekoran kesesakan dipercayai akibat kelewatan feri.
      Dalam masa sama, Tajul Urus berharap Kementerian Pengangkutan dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan kemudahan di Terminal Feri Kuah dalam usaha menjadikan Pulau Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan popular negara.
      Oleh : Safina Ramli
      Sumber : Utusan


      5taman
      ALOR SETAR 5 Mei – Kerajaan Negeri Kedah merancang untuk membuka lebih banyak taman teknologi di negeri ini selepas Taman Teknologi Tinggi Kulim berjaya merangsang ekonomi negeri.
      Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembukaan lebih banyak taman teknologi seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
      “Apabila taman-taman teknologi itu berjaya, ia akan menyumbang semula kepada ekonomi negara dalam bentuk pertumbuhan ekonomi dan cukai yang dikutip,” jelasnya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.
      Beliau memberitahu, diharap Kerajaan Pusat dapat membantu Kerajaan Negeri membuka Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam dan Taman Teknologi Sains Perubatan di Kulim.
      “Pembukaan taman teknologi berkenaan akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu secara keseluruhan selain menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Negeri Kedah,” ujarnya.
      Tambahnya, sejak dibuka pada 1996, Taman Teknologi Tinggi Kulim berjaya menarik RM36 bilion nilai pelaburan dari dalam dan luar negeri serta menyediakan kira-kira 20,000 pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.
      Katanya, mereka yang bekerja di Taman Teknologi Tinggi Kulim menerima purata gaji sebanyak RM6,400 sebulan, dengan 70 peratus daripadanya merupakan anak-anak tempatan. Walaupun Kerajaan Pusat membelanjakan RM600 juta untuk membuka Taman Teknologi Tinggi Kulim, jumlah pelaburan yang diterima memberikan pulangan berlipat kali ganda kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.
      Sumber : UMTK