23kempen
ALOR SETAR 23 Mac – Semua peniaga digalakkan menjayakan kempen penurunan harga yang dilancarkan di semua pasaraya besar seluruh negara bermula Mac 2015. 
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, walaupun kempen itu tidak melibatkan peruncit, namun pihaknya menggalakkan pemilik pasaraya bersaiz kecil dan sederhana menyertai kempen berkenaan.
“Peniaga pasar hari, pasar nelayan dan pasar malam juga boleh jayakan kempen ini dengan turunkan harga barangan. Mereka tidak perlu turunkan harga seperti pasar raya besar, memadai keperluan harian agar pengguna mendapat manfaat daripada program ini,” jelasnya selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga Peringkat Negeri Kedah di Aeon Big.
Menurutnya, peratusan penurunan harga oleh pasaraya selain pasaraya besar bergantung kepada kemampuan masing-masing, termasuk permintaan dan penawaran barangan bagi mengelak mereka mengalami kerugian.
“Kita tidak mahu jika peniaga kecil-kecilan ikut kempen ini, mereka rugi pula selepas turunkan harga. Kita cuma galakkan mereka ikut serta kempen, namun ikut kemampuan masing-masing. Pengguna juga perlu bijak memilih pasaraya atau kedai yang menawarkan harga murah agar dapat membantu mengurangkan beban kewangan selain berbelanja mengikut bajet,” ujarnya.
Sumber : UMTK


25talian
KUBANG PASU 23 Mac - Kerajaan negeri akan mewujudkan talian khas untuk membolehkan orang awam melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian puting beliung yang melanda negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berbanding banjir yang kerap berlaku serta boleh dijangka, puting beliung merupakan satu fenomena baharu yang sukar untuk diramalkan bila dan dimana bencana itu akan berlaku.
“Kita mungkin boleh sediakan di peringkat daerah nombor telefon di mana orang awam boleh hubungi sekiranya nampak puting beliung untuk mudahkan laporan dibuat dan tindakan bantu mangsa boleh diambil segera.
“Kita mesti berjaga-jaga diperingkat negeri sebagai persediaan untuk menghadapi puting beliung ini kerana kejadian ini sukar diramal,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pakar Geografi dan Kajian Iklim Bandar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Shaharuddin Ahmad mengenai Kedah dan Perlis yang berpotensi mengalami bencana alam puting beliung berikutan negeri itu berada hampir di kawasan iklim tropika selatan Thailand.

Shaharuddin berkata, dalam keadaan cuaca panas yang berpanjangan banyak haba akan dihasilkan dan mengikut proses edaran umum atmosfera haba akan bergerak ke utara atau selatan Khatulistiwa dan melihat pada kedudukan geografi kawasan yang kemungkinan besar dilanda puting beliung ialah Kedah dan Perlis.
Pada tahun lalu, sebanyak empat kejadian puting beliung dilaporkan melanda Kedah iaitu di Kampung Alor Besar, Pendang, Kampung Sungai Baharu, Taman Wira Mergong dan Kampung Sungai Nonang di sini.
Menurut Mukhriz, sekiranya laporan mengenai kejadian puting beliung di sesuatu kawasan di negeri ini dibuat segera ia boleh membantu penduduk di kawasan tersebut berpindah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kecederaan dan kemalangan jiwa.
“Selalunya selepas puting beliung ini berlaku baru bantuan kepada mangsa dan tahap kemusnahan boleh dinilai.
“Lebih bagus sekiranya kita tahu kejadian tersebut dengan lebih awal jadi kita ada persediaan untuk lindungi kawasan yang terlibat,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, Kedah e-Tutor (KET) yang menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan dilancarkan pada bulan depan.
“Sistem ini diharapkan dapat menyumbang sedikit sebanyak kefahaman kepada pelajar terhadap apa yg diajar di sekolah cuma kita kena pastikan perkhidmatan jalur lebar yang laju di beberapa sekolah yang ada di Sik, Pendang dan Baling,” katanya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan


23warga
SIK 23 Mac - Warga emas yang lumpuh akibat ditimpa balak gembira apabila menerima kerusi roda baharu bagi mengantikan kerusi rodanya yang telah rosak. Azizan Husin, 63, dari Pekan Sik, berkata, dia tidak mampu untuk membeli kerusi roda yang baharu kerana telah hilang pekerjaan selepas terbabit dengan kejadian ngeri ditimpa balak pada September 2012.
"Saya tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan lagi, hanya boleh baring dan duduk sahaja kerana badan telah lumpuh. Saya hanya mengharapkan bantuan anak-anak yang tidak seberapa kerana mereka juga ada tanggungannya sendiri," katanya.
Mengimbau kejadian itu, Azizan berkata, ketika itu dia bekerja sebagai pemandu lori balak yang mengangkut kayu-kayu balak dari Pedu untuk dihantar ke Menglembu, Ipoh. Ketika tiba di kawasan penghantaran kayu balak, dia cuba membuka rantai yang mengingat kayu-kayu balak untuk proses membawa turun kayu-kayu tersebut.
"Tiba-tiba, kayu-kayu balak itu menggelungsur jatuh dari lori lalu menghempap belakang badan dan kaki menyebabkan saya tersepit serta tidak sedarkan diri. Selama 19 hari saya mendapatkan rawatan di Hospital Besar Ipoh, kaki kanan saya terpaksa dipotong," ujarnya.
Sejak itu, Azizan hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda kerana separuh badan bermula dari pinggang hingga ke kakinya lumpuh. Menurutnya lagi, sumber pendapatannya hanya daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan dia juga terpaksa menyara anak sulungnya, Daliyana Azizan, 34, yang kelainan upaya (OKU).
Isterinya, Azizon Pilus, 60, berkata, dia tidak mampu untuk keluar bekerja kerana suami dan anak sulungnya itu perlukan penjagaan rapi. Beliau tidak boleh meninggalkan mereka dan perlu menjaga kedua-duanya sepenuh masa termasuk makan minum, keperluan ke tandas dan sebagainya.
"Suami saya juga perlu berulang alik untuk mendapatkan rawatan di hospital dan juga mengurut selain menguruskan anak OKU," katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, kebajikan rakyat yang miskin dan sakit sentiasa diberi perhatian olehnya.
"Saya akan membantu mereka yang uzur bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung supaya kebajikan mereka juga terjaga. Diharapkan agar mereka tabah menghadapi dugaan hidup dan sentiasa bersabar menempuh ujian daripada Allah," katanya ketika menyerahkan kerusi roda baharu dan sumbangan wang serta makanan kepada Azizan.
Sumber : UMTK


23majunaka
PADANG TERAP 23 Mac – MAJUNAKA Eco Energy Sdn Bhd melabur kira-kira RM106 juta bagi melaksanakan projek stesen janaelektrik yang pertama di Malaysia bagi menghasilkan Tenaga Boleh Baru (TBB) melalui sekam padi yang akan menjana 9.95 Megawatt kuasa elektrik.
Pengerusinya, Dato’ Syed Sobri Syed Hashim berkata, projek berkenaan yang akan memproses kira-kira 300 tan sekam padi sehari dari Kedah dan Perlis membabitkan keluasan 2.8 hektar di Padang Kerasak dan ia dijangka mula beroperasi pertengahan tahun 2015.
“Syarikat telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestasi serta Suruhanjaya Tenaga untuk membangunkan projek stesen janakuasa tenaga yang pertama di negara ini,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Stesen Janaelektrik Sekam Padi 9.95 Megawatt di Naka.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid.
Menurutnya, stesen janaelektrik itu direka untuk menjana tenaga elektrik secara berterusan dengan menggunakan sekam padi sebagai bahan bakar utama. Stesen ini juga direka untuk menepati keperluan teknikal bagi mengeksport tenaga elektrik ke Sistem Grid Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau berkata, lebih daripada tujuh Megawatt tenaga elektrik yang dijananya akan dijual kepada TNB manakala selebihnya akan digunakan oleh stesen sendiri.
“MAJUNAKA diberi konsesi sehingga 2032 untuk menjual tenaga elektrik yang menjana itu kepada TNB pada kadar jualan yang kompetitif. Mengikut perjanjian, syarikat akan mula menjual tenaga elektrik yang dihasilkannya kepada TNB bermula 1 Januari 2015,” jelasnya.
Tambahnya, reka bentuk keseluruhan stesen itu serta sistemnya akan direka oleh pasukan 15 jurutera Bumiputera tempatan. Manakala, sistem turbin stesen janakuasa ini bakal menggunakan teknologi dari Jepun.
Sumber : UMTK


23penstrukturan
ALOR SETAR 23 Mac – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd (SPPM) menyasarkan perolehan sebanyak RM70 juta menjelang akhir tahun 2015 menerusi penstrukturan semula saham membabitkan syarikat itu dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.
Pengerusi MADA merangkap Pengerusi Eksekutif SPPM, YB. Dato’ Othman Aziz berkata, daripada jumlah perolehan itu, SPPM yakin mampu mencapai keuntungan bersih kira-kira RM10 juta yang turut disumbangkan melalui perniagaan terasnya iaitu industri padi.
Menurutnya, melalui penstrukturan semula saham dalam SPPM, syarikat itu kini memegang sebanyak 51 peratus saham berbanding 14 peratus sebelum ini manakala PPK pula bersetuju mengurangkan pegangan saham mereka kepada 49 peratus daripada 86 peratus.
“Kita yakin mampu mencapai jumlah RM70 juta sepanjang tahun ini berbanding RM35 juta perolehan yang dicapai SPPM pada tahun 2014 dengan penstrukturan saham melalui Pelan Transformasi SPPM dan beberapa peluang perniagaan bersandarkan padi,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Pengubahalihan Saham PPK MADA dalam SPPM.
Beliau memberitahu, pihaknya sudah mencapai persetujuan untuk meningkatkan pegangan saham syarikat daripada 27 PPK selepas melihat prestasi SPPM kurang memberangsangkan sebelum ini. Setiap PPK MADA akan memperoleh saham keutamaan dengan nilai RM100,000, selain kekal memegang 2.7 juta unit saham dalam SPPM tanpa perlu pelaburan tunai.
Pada majlis itu, sebanyak 27 PPK MADA di Kedah dan Perlis masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM50,000 bagi tujuan kerja penyelenggaraan infrastruktur kecil di peringkat ladang.
Sumber : UMTK


20operasi
ALOR SETAR 19 Mac - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan menswastakan perkhidmatan kutipan caj tempat letak kereta terbuka kepada sebuah syarikat, Kayangan Parking Sdn. Bhd. berkuat kuasa 1 April depan.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, penwastaan operasi dan pengurusan tempat letak kereta itu dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan pengurusan kutipan caj tempat letak kereta terbuka di bandar raya ini.
“Sebanyak 5,189 petak letak kereta yang berada di bawah pentadbiran MBAS terlibat dalam penswastaan itu.
“Antara kawasan terlibat ialah di sekitar pusat bandar, Jalan Istana Kuning, Jalan Stadium, pusat perniagaan Kompleks Sultanah Sambungan, Simpang Kuala, Persiaran Sultan Abdul Halim dan Jalan Putra,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat MBAS, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kayangan Parking Sdn. Bhd., Ahmad Hazery Che Din.
Mat Noh berkata, MBAS hanya akan bertanggungjawab melakukan operasi penguatkuasaan seperti mengeluarkan saman dan kompaun kepada pengguna kenderaan yang engkar.
Katanya, selaras dengan penswastaan itu, semua operasi tempat letak kereta terbuka ini akan menggunakan sistem letak kereta berkupon berbanding sistem letak kereta bermeter yang diperkenalkan sebelum ini.
“Pengguna boleh mendapatkan kupon-kupon tersebut daripada 200 ejen yang dilantik oleh pihak Kayangan Parking Sdn. Bhd. di sekitar bandar raya ini.
“Setiap kupon dijual pada harga RM4 dan mempunyai 10 keping kupon untuk tempoh satu jam atau setengah jam.
“Selain sistem berkupon, pengguna juga boleh mendapatkan pas bulanan letak kereta yang dijual pada harga RM70 dan sah untuk tempoh sebulan,” katanya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan


19sabrina
Bandar Baharu 17 Mac - Para penduduk yang tinggal di tanah kerajaan dan terlibat dengan projek pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa tiga di tebing Sungai Kerian, diminta agar tidak mempersoalkan bayaran ex gratia sebanyak RM42,000 yang bakal diterima mereka memandangkan jumlah itu sememangnya setara di seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor­sabrina Mohd. Noor berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu malah mereka juga seharusnya bersyukur kerana kerajaan tetap bersedia membayar ex gratia tersebut biarpun tanah yang diduduki sejak bertahun lamanya berstatus tanah kerajaan.
“Mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri tidak akan membiarkan para penduduk itu begitu saja. Selain membayar ex gratia, beberapa usul akan dibawa ke me­syuarat exco kerajaan negeri akan datang bagi membela nasib mereka.
“Antara cadangan itu adalah memohon kerajaan negeri membeli tanah seluas 11.4 ekar di Teluk Geruguh, Mukim Bagan Samak yang terletak kira-kira hanya satu kilometer dari pekan Bandar Baharu untuk menempatkan kira-kira 202 keluarga yang dijangka terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 100 pelajar dalam daerah ini yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Pejabatnya, baru-baru ini.
Setelah siap dalam tempoh yang dijangkakan dua tahun, projek tersebut diyakini mampu menyelesaikan masalah banjir yang me­landa kawasan Bandar Baharu sejak sekian lama.
Bagaimanapun beberapa pihak terutamanya penduduk terlibat enggan membenarkan projek tersebut berjalan kerana tidak berpuas hati dengan tawaran diberi selain bimbang dengan nasib mereka yang akan kehilangan rumah masing-masing.
Mengulas lanjut, Sabrina berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir sudah menjalankan perbincangan bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang setakat ini bersetuju untuk membina rumah teres bersubsidi untuk dimiliki penduduk terlibat.
“Jika semuanya berjalan lancar, penduduk terlibat boleh membeli rumah subsidi berkenaan dengan menggunakan wang ex gratia tersebut. Kerajaan negeri tidak boleh beri rumah secara percuma kerana tanah yang diduduki mereka selama ini sememangnya tanah milik kerajaan negeri.
“Kecuali jika tanah terlibat itu sememangnya milik persendirian. Maka kerajaan negeri akan memberi pampasan sewajarnya sesuai de­ngan nilai tanah terlibat kepada pemiliknya,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan di media-media sosial yang mengatakan projek tersebut hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan bagi sesetengah pihak semata-mata.
“Siapa mereka maksudkan, saya tak tahu. Projek ini mendapat per­untukan khas dari Kerajaan Pusat dan kontraktor terlibat dipilih sebelum saya menjadi wakil rakyat di sini lagi iaitu pada 2012.
“Ada juga cakap-cakap mengatakan saya takut bertemu penduduk. Insya-Allah, saya akan bertemu mereka selepas cadangan ini dikemukakan dalam mesyuarat Exco akan datang. Sebelum ini, saya tidak mahu berjumpa mereka tanpa ada berita untuk dikhabarkan,” katanya.

Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan



    11najib
    ALOR SETAR 14 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan pihaknya tidak akan melindungi apa jua kesalahan yang berlaku dalam kepemimpinannya sebagai Perdana Menteri mahupun Presiden UMNO demi kedaulatan undang-undang.
    Perdana Menteri berkata, sebagai penerajui kepemimpinan negara dan parti, beliau sentiasa berusaha melakukan terbaik termasuk menangani semua permasalahan yang timbul.
    "Saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti akan berusaha terbaik untuk parti dan negara. Kalau ada permasalahan kita tangani bersama-sama, kalau ada isu kita tangani. Kalau perlu kita buat secara telus, kita buat telus. Kalau ada apa-apa kesalahan, kita tidak akan lindungi, kita betulkan, kita ambil tindakan ikut undang-undang. Kedaulatan undang-undang kita mesti dipertahankan," kata beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Kedah di TH Hotel di sini hari ini.
    Dalam majlis sama, beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO Kedah supaya tidak leka dengan kemenangan parti pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini sebaliknya berusaha lebih keras untuk mengekalkan kemenangan tersebut dalam PRU akan datang.
    Kata beliau, itu termasuk mengambil iktibar daripada kekalahan pakatan pembangkang di negeri ini dalam PRU-13.
    "Tanya pada diri kenapa dalam PRU lepas, kerajaan negeri terdahulu ditolak. Mungkin kerajaan negeri dahulu iaitu pakatan pembangkang gagal tadbir negeri dengan baik. Mungkin kerana mereka gagal menyelesaikan rungutan rakyat. Mungkin masalah rakyat diabaikan.
    "Apa jua faktor penolakan kerajaan negeri dulu harus kita jadikan sebagai iktibar kepada diri sendiri sekarang.
    "Harus lihat-melihat punca kekuatan kita," katanya.
    Tegasnya, UMNO Kedah perlu bekerja keras untuk mengekalkan kerusi dan kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang.
    Oleh : Jamliah Abdullah Dan Safina Ramli
    Sumber : Utusan


    11tekad
    KUALA KETIL 11 Mac – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu semua graduan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berganding bahu menjadikan Kedah sebuah gedung ilmu bagi melahirkan modal insan berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

    “Beta gembira melihat kemajuan dan perkembangan KUIN sekarang. Perpindahan ke kampus baharu di Kuala Ketil akan membuatkan KUIN lebih berdaya saing dan mampu meningkatkan bilangan pelajar ke tahap yang optimum di masa akan datang,” titah Baginda ketika merasmikan Istiadat Konvensyen KUIN Ke-16 di Kampus Kuala Ketil.

    Baginda bertitah, semua warga KUIN perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat yang dirancang. Baginda berharap kampus KUIN memberi nafas baharu kepada penerokaan ke arah kebijaksanaan ilmu duniawi dan ukhrawi.

    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Canselor KUIN yang diiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Hajah Haminah Binti Haji Hamidun turut mencemar duli menyaksikan Istiadat Pemasyhuran Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Pro Canselor 1 KUIN.

    Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir kerana kesungguhan membantu dan memartabatkan KUIN agar menjadi sebuah institusi pengajian tinggi perdana di rantau ini.

    Baginda yakin, KUIN yang kini di bawah kepemimpinan Rektornya, Profesor Dato’ Mohd Yusof Kasim mampu terus bersaing pada tahap yang lebih tinggi, sekaligus mencapai taraf universiti penuh dalam tempoh terdekat.

    Sempena konvokesyen itu, seramai 85 graduan menerima ijazah masing-masing yang membabitkan Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana pada sidang pertama itu. Seramai 1,253 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada sidang kedua konvokesyen berkenaan.
    Sumber : UMTK


    11jerlun
    ALOR SETAR 11 Mac - Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Jerlun sebagai sebuah daerah baharu di Kedah bagi merancakkan pembangunan di kawasan tersebut.
    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, sudah sampai masanya Jerlun yang kini berada di dalam daerah Kubang Pasu, dijadikan satu daerah baharu.
    “Kubang Pasu adalah sebuah daerah yang besar, jadi untuk memberi fokus kepada pembangunan Jerlun kerajaan negeri bersetuju untuk menjadikan Jerlun sebagai sebuah daerah baharu.
    “Proses dan prosedur yang diperlukan untuk menjadikan Jerlun sebagai daerah baharu telah dijalankan dan kini kita sedang menunggu maklum balas daripada kabinet dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Integriti Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini semalam.
    Pada masa ini, Kedah mempunyai 12 daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Langkawi, Pokok Sena, Pendang, Bandar Baharu, Yan, Padang Terap, Baling dan Sik.
    Menurut Badrul Hisham, perkara itu dijangka mengambil sedikit masa memandangkan banyak perkara perlu diselesaikan sebelum Jerlun boleh diumumkan sebagai daerah baharu di Kedah.
    Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar ahli-ahli majlis PBT Kedah yang dilantik bagi penggal 2015-2016 menjadi barisan kepemimpinan yang disegani dalam pelbagai segi.
    “Mereka perlu melengkapkan diri dari segi ilmu pengetahuan, pengalaman, kematangan berfikir, bertanggungjawab terhadap tugas, serta keluhuran peribadi dan akhlak.
    “Sungguhpun gelanggang ahli majlis terhad dalam sempadan perkhidmatan PBT masing-masing, namun biarlah sejarah membuktikan, bahawa jasa dan bakti yang dicurahkan, bukanlah suatu yang sia-sia.
    “Sebaliknya, khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi, akan terpahat sebagai lambang perjuangan yang abadi,” jelasnya.
    Oleh : Safina Ramli
    Sumber : Utusan


    11perpustakaan
    PENDANG 11 Mac – Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir menjayakan sesi bercerita bersama 100 kanak-kanak di sekitar kawasan Pendang pada majlis perasmian Perpustakaan Desa Paya Mat Inson bersempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang.
    Pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti pertandingan mewarna, silangkata jawi dan puzzle jawi khas untuk kanak-kanak yang bertujuan untuk menyemai usaha dalam memupuk minat membaca serta meningkatkan daya pemikiran yang kreatif dan inovatif.
    Perpustakaan Desa Paya Mat Inson merupakan perpustakaan desa persekutuan ke-57 yang dibina di Negeri Kedah dan yang ke-507 di seluruh Malaysia. Perpustakaan desa ini siap dibina pada tahun 2014 dan menawarkan perkhidmatan seperti peminjaman dan sirlukasi, rujukan, pendaftaran keahlian serta perkhidmatan penggunaan komputer/teknologi maklumat dan internet.
    Melalui program ini, kewujudan Perpustakaan Desa Bukit Mak Inson dapat diwar-warkan kepada masyarakat setempat dan diharapkan masyarakat setempat dapat menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan secara optimum bagi membantu mengubah sosio budaya kepada yang lebih proaktif seperti dapat melahirkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif.
    Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Md. Rozai Shafian serta Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Hajjah Nafisah Ahmad.
    Sumber : UMTK


    11malam
    PENDANG 11 Mac – Masyarakat di daerah ini membanjiri Kampung Kepala Bukit, Mukim Tobiar sempena sambutan Malam Cinta Rasul. Kehadiran mereka adalah bertujuan untuk bersama-sama berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Malam Cinta Rasul diadakan bertujuan untuk mencari keredhaan Allah SWT.
    “Kita sebenarnya sedang mencari keredhaan Allah SWT dan bertepatan dengan situasi masa kini yang kian mencabar, keredhaan Allah SWT amat kita utamakan. Penyatuan hati umat Islam amat penting demi mencari keredhaan-Nya dan semua umat Islam harus bersatu hati supaya agama Islam tetap teguh di hati kita,” ujarnya.
    Menurutnya, Malam Cinta Rasul turut diserikan lagi dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW serta ceramah agama.
    “Sebagai rakyat di negara ini, kita patut bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Keamanan dan kedamaian yang dikecapi ini perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya,” jelasnya.
    Beliau menjelaskan, Malam Cinta Rasul yang diadakan bersempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang itu diharap mampu membina sebuah masyarakat yang mempunyai nilai budi serta akhlak yang tinggi.
    Sumber : UMTK


    11mahu
    ALOR SETAR 11 Mac – “Saya menanam impian menabur bakti di negeri ini sekiranya cita-cita bergelar ahli farmasi menjadi kenyataan, sekaligus menyahut seruan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir yang mahu anak tempatan berkhidmat di Kedah”.
    Begitu kata Wan Nuraqilah Izaati Wan Mohd Rushidi, 18 tahun dari Anak Bukit yang memperolehi keputusan 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014, sekaligus mahu mengikut jejak bapa yang berkhidmat sebagai doktor.
    Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah itu berkata, pada masa sama dia mahu membuktikan pelajar aliran agama mampu bergelar seorang profesional dalam bidang perubatan.
    “Saya berhajat mahu menyambung pelajaran dalam bidang farmasi di United Kingdom kerana mempunyai impian mahu membantu masyarakat terutama penduduk luar bandar. Malah, saya juga bersetuju dan mahu menyahut seruan Menteri Besar untuk pulang berbakti di negeri ini seperti bapa saya yang bertugas di Hospital Alor Setar,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Menteri Besar Kedah bagi meraikan sembilan pelajar terbaik negeri dalam SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Wisma Darul Aman.
    Beliau berharap impian itu dapat ditunaikan sekiranya pihak tertentu seperti Kerajaan Negeri memberi sumbangan biasiswa dan tidak mustahil Kedah dipenuhi dengan anak tempatan profesional memberi khidmat bakti di negeri sendiri.
    Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa, Ooi Ze Yan, 18 tahun yang memperolehi keputusan 12A+ dalam SPM berkata, dia terkejut apabila menerima jemputan, sekaligus menganggapnya sebagai penghormatan besar buat dirinya dan keluarga.
    “Saya dan keluarga amat berterima kasih kerana Kerajaan Negeri menawarkan peluang kepada kami untuk berbakti di negeri sendiri,” jelasnya.
    Sumber : UMTK


    11program
    PENDANG – Kerajaan Negeri tetap melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada penyatuan antara Kerajaan Negeri Kedah dengan rakyat terutamanya Program Mesra Rakyat yang dijalankan di setiap daerah di negeri ini.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Program Mesra Rakyat atau ringkasnya PMR diadakan bertujuan untuk merealisasikan misi dan visi Kerajaan Negeri iaitu ‘Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi’.
    Menurutnya, konsep program itu adalah untuk mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat. Program Mesra Rakyat siri pertama telah diadakan di Kuala Muda pada 15 dan 16 Februari 2014 manakala siri kedua telah diadakan di Daerah Padang Terap pada 17 dan 18 Mei 2014. Program Mesra Rakyat siri ketiga di Daerah Baling diadakan pada 21 dan 22 Jun 2014 dan Daerah Kulim pada 11 dan 12 Oktober 2014.
    “Program Mesra Rakyat ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang dasar dan program kerajaan termasuklah tanggungjawab memelihara, mengukuh dan mengekalkan perpaduan nasional,” ujarnya ketika menghadiri Kenduri Kampung di Kampung Padang Nyior bersempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang.
    Beliau menjelaskan, program itu juga diharap mampu memberi peluang untuk mendapat informasi terkini mengenai perancangan dan program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kedah.
    “Program Mesra Rakyat ini juga memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk mendengar permasalahan rakyat di samping secara tidak langsung dapat menyelami kehidupan penduduk setempat dan juga mengeratkan hubungan di antara Kerajaan Negeri dengan rakyat,” jelasnya.
    Sumber : UMTK


    11perlawan
    PENDANG 11 Mac – Pasukan Pilihan Daerah Pendang berjaya mengalahkan Pasukan Pilihan Menteri Besar 1-0 dalam perlawanan Bola Sepak Persahabatan yang diadakan di Mini Stadium Pendang. Perlawanan yang diadakan itu berlangsung dalam keadaan meriah yang dihadiri oleh penduduk sekitar Daerah Pendang yang turut bersama-sama memberi sokongan padu dalam menjayakan perlawanan itu.
    Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan berjaya menunjukkan persembahan yang baik. Serangan bertali arus turut ditunjukkan kedua-dua pasukan dalam usaha memburu gol awal. Ketangkasan penjaga gol kedua-dua pasukan juga telah berjaya menyelamatkan gawang daripada dibolosi pada awal-awal minit perlawanan. Namun tiada gol berjaya dijaringkan pada separuh masa pertama.
    Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, serangan bertali arus yang ditunjukkan oleh Pasukan Pilihan Daerah Pendang sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pasukan lawan. Dengan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh Pasukan Pilihan Daerah Pendang dalam memburu gol akhirnya tertunai apabila pemainnya berjaya menggegarkan gol lawan pada minit ke-60.
    Perlawanan Bola Sepak Persahabatan itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) yang diadakan bersempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang.
    Sumber : UMTK


    11bersama
    ALOR SETAR 11 Mac – Kemasukan ajaran atau fahaman menyeleweng ke negara ini, bukan sahaja berisiko memudaratkan akidah ummah, tetapi berpotensi mencetuskan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, walaupun membabitkan proses yang panjang, wajar dilakukan dengan menunjukkan tahap kematangan berasaskan nilai hormat-menghormati antara satu sama lain untuk menangkis ancaman sedemikian.
    Menurutnya, kejayaan Rasulullah SAW membangunkan Madinah menjadi sebuah kota yang kuat dan disegani adalah hasil daripada perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat. Baginda berjaya menyatukan segenap lapisan rakyat yang merangkumi kaum Muhajirin dan Ansar serta kaum-kaum lain yang tinggal di Madinah.
    “Saya percaya, kita juga mampu memupuk perpaduan dalam kalangan segenap lapisan rakyat dan banyak perkara tidak diingini dapat kita elakkan. Dalam konteks negeri dan negara kita, Kerajaan sentiasa mengambil langkah tegas memelihara kesucian agama Islam di negara ini kerana perpecahan, kemasukan ajaran atau fahaman yang menyeleweng bukan sahaja memudaratkan akidah ummah, tetapi juga akan mengakibatkan berlakunya perpecahan,” ujarnya.
    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menghafal Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-36 yang berlangsung di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kampus Mergong.
    Sumber : UMTK


    11pameran
    PENDANG 11 Mac – Kemuncak Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang yang diadakan di Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Paya Mat Inson mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang turut sama menjayakan program itu dengan mengadakan pameran di samping menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat, khususnya di Daerah Pendang.
    Orang ramai terutama penduduk di Daerah Pendang turut mengambil peluang menghadiri program itu di samping melawat gerai-gerai pameran yang disediakan yang secara tidak langsung mampu memberikan manfaat kepada mereka.
    Seperti juga Program Mesra Rakyat sebelum ini, Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang itu diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara rakyat dengan Kerajaan Negeri Kedah.
    Sumber : UMTK


    10kedah
    ALOR SETAR 10 Mac – Kedah merupakan sebuah negeri yang pesat membangun dan dikenali sebagai negeri pertanian yang membekalkan beras kepada negara dengan nama jolokan ‘Negeri Jelapang Padi’.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri begitu komited dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar bekalan makanan utama negara terutama pengeluaran berasnya agar mencapai sasaran 35 peratus berbanding 31 hingga 32 peratus ketika ini.
    “Jaminan bekalan makanan adalah penting kerana Kedah sejak sekian lama memainkan peranan. Saya lihat kita tidak ada pilihan lain daripada menggunakan teknologi baru untuk tingkatkan hasil. Namun, dari segi kualiti padi dan beras kita masih terkenal dengan mutu tinggi dan kita akan kekalkan itu selain pada masa yang sama, kita terus berusaha tingkatkan kuantiti beras kita juga,” jelasnya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan di Perkarangan Wisma Darul Aman.
    “Dari segi pelaburan, kita mengalu-alukan mana-mana pelabur asing untuk melakukan pelaburan di negeri ini. Dengan kemasukan pelabur asing, ia secara tidak langsung mampu menjana pendapatan negeri di samping berupaya menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang membangun,” ujarnya.
    Beliau memberitahu, kerjasama yang erat antara rakyat dengan Kerajaan Negeri diharap mampu memberikan kesan yang terbaik dalam usaha bersama-sama membangunkan Negeri Kedah untuk menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.
    Sumber : UMTK


    10mesra
    PENDANG 10 Mac - Program turun padang adalah langkah berkesan dalam usaha merapatkan hubungan yang baik antara Kerajaan Negeri dengan rakyat.
    Inilah yang cuba dibuktikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir yang sanggup meluangkan masa bertemu dengan rakyat ketika bersarapan pagi di Pekan Pendang bersempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang.
    Beliau juga turut meluangkan masa meninjau keadaan Pasar Sehari Pekan Pendang yang kebanyakan peniaganya terdiri daripada masyarakat Melayu yang begitu bersemangat dalam menjalankan perniagaan di situ.
    Sumber : UMTK


    10rm
    PENDANG 10 Mac – Kerajaan Negeri akan melaksanakan empat projek bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM348.2 juta.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan loji air di Pokok Sena bernilai RM60 juta, loji rawatan air di Kulim dan Taman Teknologi Tinggi Kulim bernilai RM61.7 juta.
    Menurutnya, dua lagi projek ialah pembinaan loji Pelubang bernilai RM200 juta dan projek bekalan air Padang Terap bernilai RM26.5 juta di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
    “Projek berkenaan boleh dilihat sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk mengatasi masalah ini kerana kita tahu Kedah merupakan sebuah negeri yang mempunyai kadar turun hujan yang agak tinggi. Tetapi ada beberapa bulan tertentu kita menghadapi kemarau, sepatutnya masalah bekalan air tidak perlu timbul,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Pendang yang diadakan di Pejabat Daerah Pendang.
    Beliau memberitahu, pihaknya akan terus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah bekalan air di negeri ini. Perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan juga akan diadakan sebagai salah satu inisiatif dalam menyelesaikan masalah itu.
    Ketika ditanya mengenai paras air empangan di negeri ini, jelasnya, sehingga kini paras air masih terkawal dan belum lagi sampai ke tahap kritikal. Walaubagaimanapun, pengguna dinasihatkan agar berjimat cermat dalam penggunaan air walaupun masih banyak.
    Sumber : UMTK


    9pemerkasan
    ALOR SETAR 9 Mac - Institusi penghulu di negeri ini amat besar peranannya dalam mendekatkan rakyat dengan Kerajaan melalui penyampaian pelbagai maklumat dan ia juga merupakan penghubung urusan wakil rakyat dengan masyarakat setempat.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, penghulu menjadi penyambung antara jajahan dengan wakil rakyat pada peringkat bawahan yang menghubungkan urusan pemimpin masyarakat yang lain sama ada peringkat parti atau dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
    “Oleh itu, sekiranya penghulu terus diperkasakan, banyak faedah yang diperoleh di samping faedah kepada kedudukan institusi penghulu itu sendiri,” ujarnya pada majlis perjumpaan bersama penghulu-penghulu di Bilik Jamuan, Blok E, Wisma Darul Aman.
    Menurutnya, sekiranya lebih banyak faedah dan kebaikan yang diperoleh penghulu di negeri ini, mungkin lebih banyak lagi maklumat yang diperlukan diperoleh dari mereka.
    “Penghulu itu sendiri mampu memikirkan langkah-langkah terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapinya. Dengan adanya pelbagai kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan, kita berharap khidmat mereka lebih baik dan boleh merancang banyak perkara untuk kebaikan negeri ini, insya Allah,” katanya.
    Sumber : UMTK



    9jkkk
    JITRA 9 Mac - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan mengupayakan masyarakat luar bandar agar seiring dengan semua perubahan dan rancangan Kerajaan.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, peranan JKKK amat penting sebagai perantara paling efektif antara masyarakat luar bandar dengan Kerajaan.
    "Mereka ini seperti 'menteri' juga. Perlu tahu setiap apa yang berlaku dan apa yang dirancang Kerajaan supaya rakyat terutama masyarakat luar bandar tahu dan faham apa yang berlaku,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Elaun JKKK Jerlun di Dewan Tunku Anum, Pejabat Daerah Kubang Pasu.
    Sehubungan itu, jelasnya, setiap JKKK juga harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama mengenai dasar-dasar yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan.
    Menurutnya, setiap JKKK perlu meningkatkan kualiti kepimpinan dari semasa ke semasa.
    "Maka amat penting golongan ini tahu strategi dan aspek kepimpinan yang berkesan supaya masyarakat tahu di mana mereka boleh merujuk apabila timbul masalah," katanya.
    Tambahnya, tuntutan itu merupakan salah satu aspek yang diambil kira dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Desa yang menjadi pendekatan pengupayaan masyarakat luar bandar.
    Sumber : UMTK


    8PEMBANGUNAN
    ALOR SETAR 8 Mac – Sebuah projek kediaman dan komersial bernilai RM160 juta akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 7,284 meter persegi milik Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Jalan Kolam Air.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek tersebut yang terletak di lokasi strategic dan bernilai tinggi itu akan melibatkan kerjasama strategik antara YINK dan Permodalan Kedah Berhad (PKB).
    “Projek pembangunan bercampur ini terdiri daripada dua blok kondominium dengan 455 unit kediaman, sebuah bangunan lima tingkat dengan pusat dakwah, dewan persidangan, bilik kuliah, tempat letak kereta dan pejabat,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan di Jalan Kolam Air.
    Selain itu, tambahnya, projek berkenaan turut membangunkan sejumlah 41 unit lot perniagaan dan 900 petak tempat letak kereta. Langkah proaktif YINK membangunkan tanah di kawasan perniagaan dan pentadbiran serta bersebelahan dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) itu merupakan langkah tepat untuk menjayakan Pelan Transformasi Kedah 2013-2018.
    “Lebih menarik, pembangunan tanah ini melibatkan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dua syarikat milik Kerajaan (GLC) Kedah. Sehubungan itu, saya suka mengajak semua GLC agar dapat menjalinkan kerjasama strategic ini bagi membangunkan Kedah. Di sinilah peranan sebenar GLC supaya setiap inisiatif yang telah dimuktamadkan di dalam Pelan Transformasi Kedah 2013-2018 dapat direalisasikan,” jelasnya.
    Menteri Besar memberitahu, tempoh masa selama dua tahun disasarkan untuk menyiapkan projek berkenaan. Beliau berharap agar projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual kerana kelewatannya akan memberi kesan yang tidak baik kepada setiap pengguna di sekitarnya.
    “Perlu juga diingatkan bahawa kejayaan sesuatu projek pembangunan bukan sahaja diukur dari aspek kecekapan pembinaan tetapi juga terhadap aspek lestari yang menitikberatkan kesejahteraan persekitaran,” katanya.
    Sumber : UMTK



    8projek
    KUALA NERANG 8 Mac – Pejabat Parlimen Bahagian Padang Terap dengan kerjasama Pejabat Daerah Padang Terap akan memasang pendawaian percuma kepada penduduk pada Program Touch Point.
    Ahli Parlimen Padang Terap, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid berkata, setiap lima rumah dari 142 kampung akan dipilih bagi mendapat kemudahan itu.
    “Rumah yang terpilih terdiri daripada kediaman yang tiada pendawaian, pendawaian rosak atau yang perlu diganti. Pejabat Parlimen Padang Terap memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membiayai program kali kedua ini selepas 2013,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Pejabat Daerah Padang Terap.
    Menurutnya, setiap rumah yang layak akan dipasang dengan empat lampu dan dua soket dengan kos RM1,000. Program itu antara janji Kerajaan bagi memberi keselesaan kepada penduduk.
    “Melalui bantuan ini, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan diberi tanggungjawab bagi memilih penduduk yang layak. Program ini akan bermula pada April ini selepas semua maklumat diperolehi,” jelasnya.
    Sumber : UMTK


    8gen
    SUNGAI PETANI 8 Mac – Generasi muda perlu sentiasa bersatu melampaui batasan politik bagi memastikan kebal daripada perpecahan dan pengaruh luar hingga terjerumus dalam kegiatan ekstrem yang boleh merosakkan masa depan mereka dan negara.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, kebelakangan ini banyak isu berbangkit yang perlu diberi perhatian dan ditangani segera, termasuk cubaan meregangkan hubungan antara kaum dan agama menerusi pelbagai insiden, penyertaan dan tindakan.
    “Sekiranya kita tidak bersatu dan faham apa yang sedang dilakukan oleh pihak terbabit dan tiada strategi untuk mengatasinya, saya bimbang masa depan anak cucu kita tidak terjamin ,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis penutup Bengkel Gerak Kerja Warisan Generasi Y KEMAS Zon Utara.
    Program tiga hari itu disertai seramai 122 peserta dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang  bertujuan untuk menyuntik semangat golongan muda dalam membela nasib negara.
    Sumber : UMTK


    8kemajuan
    PUTRAJAYA 8 Mac – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah mengenal pasti beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan di Negeri Kedah.
    Menterinya, YB. Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, di Negeri Kedah, pihaknya bukan sahaja akan memberikan tumpuan kepada pembangunan prasarana semata-mata, tetapi akan membangunkan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.
    “Ini bagi memastikan Kedah tidak ketinggalan daripada kemajuan dalam sektor ekonomi. Sebanyak RM4.5 bilion diperuntukkan kepada kementerian ini untuk pelaksanaan projek pembangunan  luar bandar pada tahun ini,” jelasnya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Perjumpaan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Kedah bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
    Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM137.7 juta diperuntukkan untuk pembangunan kawasan luar bandar di Kedah merangkumi pelbagai program dan projek.
    “Sehubungan itu, saya amat berharap kerjasama daripada Kerajaan Negeri Kedah khususnya Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Kedah untuk membantu kementerian dalam melaksanakan program dan projek yang dirancang di Kedah,” ujarnya.
    Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah.
    Sumber : UMTK