Projek Perintis Kongsi Kepakaran UUM - LMNK

17projek

ALOR SETAR 17 Febuari – Laman web interaktif Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) bakal berwajah baharu bertujuan untuk menarik orang ramai untuk mendalami sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, jalinan kerjasama antara muzium dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang industri kreatif, multimedia dan komunikasi itu adalah projek perintis di negeri ini.

Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja mampu mempromosikan muzium tetapi dapat berkongsi kepakaran dan maklumat. Usaha berkenaan dapat mendorong dan menggalakkan perkongsian pintar dalam pengkomersilan produk penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi dan pertukaran bahan ilmiah melalui aktiviti akademik termasuk bukan akademik.

“Ia bakal menyediakan ruang bagi kedua pihak untuk menggarap bahan warisan budaya dan khazanah sejarah untuk digunakan dalam bentuk kajian ilmiah,” ujarnya selepas menandatangani memorandum persefahaman antara UUM dan Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) yang diadakan di Muzium Padi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri; Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim mewakili UUM serta Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Dr Rosli Mohammed.

Sumber : UMTK