ALOR SETAR 31 Ogos - Sebanyak 101 kontinjen melibatkan 4,000 orang daripada pelbagai agensi swasta, pasukan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 peringkat negeri yang diadakan di Dataran Tunku di sini hari ini. 
 
Perarakan dan sambutan tersebut yang diraikan secara sederhana bermula kira-kira pukul 8.30 pagi dan berakhir pukul 10 pagi bermula sebaik sahaja Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Dataran Tunku hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta lain-lain jemputan.

Perarakan tersebut turut disaksikan lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat umur untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 itu.

Sumber : UTUSAN


28Skim
ALOR SETAR 28 Ogos - Skim Khairat Kematian yang diperkenalkan pada 2013 sudah mula dilaksanakan pada awal Januari 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, mereka yang layak akan menerima wang bantuan sebanyak RM250.

“Skim ini diwujudkan bagi membantu meringankan beban rakyat di negeri ini untuk menguruskan jenazah ahli keluarga mereka. Kita meluluskan peruntukan itu pada pembentangan bajet 2013 dan memberikan sebanyak RM20,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bagi melaksanakannya,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ingin mendapatkan bantuan skim berkenaan boleh berhubung dengan pejabat ADUN, ADUN Angkat atau UMNO bahagian masing-masing. Orang ramai tidak perlu bimbang kerana prosesnya mudah dan cepat. Mereka perlu membawa salinan sijil kematian, kad pengenalan waris dan baucer pengeluaran wang.

“Sekiranya maklumat yang diberikan itu lengkap, mereka layak untuk menerima wang bantuan sebanyak RM250 seperti yang dijanjikan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Sumber : UMTK

28syarat
ALOR SETAR 28 Ogos – Negeri Kedah mempunyai cukup syarat untuk muncul sebagai sebuah negeri yang maju dalam bidang pelancongan meliputi pelbagai aspek menjelang Tahun Melawat Kedah 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, khazanah yang ada dari segi sejarah, alam sekitar, kebudayaan dan kesultanan mampu melengkapkan syarat berkenaan untuk meningkatkan bilangan pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, tumpuan utama kini lebih memfokuskan kepada usaha untuk menanam semangat sayangkan negeri ini dalam kalangan rakyat melalui bidang pelancongan.

“Pelaksanaan ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuk saya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) Pelancongan, guru sejarah, pegawai kerajaan dan pegawai tadbir Kerajaan Negeri untuk menceritakan kelebihan negeri ini kepada orang luar.

“Kita tidak boleh mengharapkan Kementerian Pelancongan untuk berbuat demikian kerana mereka mempunyai banyak lagi tugas lain dalam mempromosikan tempat pelancongan di negeri lain. Kita sendiri perlu memainkan peranan itu kerana lebih dekat dengan tempat ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, tarikan pelancong lebih kepada ingin mengetahui kisah di sesuatu tempat bukan hanya sekadar melawat lokasi berkenaan semata-mata.

Sumber : UMTK

28AIR
ALOR SETAR 28 Ogos – Kerajaan Negeri memerlukan lebih RM50 juta bagi menjalankan projek pembesaran loji air Padang Sanai, Padang Terap serta pembinaan loji air baru di Pokok Sena untuk mengatasi masalah bekalan air di dua daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, permohonan untuk mendapatkan dana tersebut telah dipanjangkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Kita amat berharap permohonan ini diluluskan oleh Kerajaan Pusat kerana pembinaan loji baru Pokok Sena dan pembesaran loji air di Padang Sanai dijangka dapat mengatasi masalah bekalan air yang sering dihadapi oleh penduduk di daerah ini.

“Saya juga berbincang mengenai perkara ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Abdul Wahid Omar sewaktu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, lebih 1,000 penduduk di dua daerah itu terlibat dengan gangguan air kerana masalah tekanan air yang rendah. Antara kawasan yang dikesan sering mengalami gangguan bekalan air ialah Felda Lubuk Merbau, Kampung Bukit, Keda Poh Selatan dan banyak lagi.

“Kawasan itu sering mengalami gangguan bekalan air kerana terletak di kawasan tinggi dan tekanan air menjadi rendah sehingga mereka tidak memperoleh bekalan air pada waktu-waktu tertentu,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) agar lebih kerap menghantar bekalan air kepada penduduk di kawasan terlibat.

Sumber : UMTK

27uum
Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama-sama para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi kakitangan Universiti Utara Malaysia sempena Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2014 di Dewan Mu'adzam Shah UUM, Sintok, semalam.

KUBANG PASU 27 Ogos - Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan agar terus memperkasa usaha untuk meningkatkan kecemerlangan dan kualiti pendidikan dengan memainkan peranan sebagai arkitek inovasi serta kreativiti dalam pelbagai bidang.

Pro-Canselor UUM, Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, satu ekosistem inovasi di tempat kerja perlu dibentuk agar penjanaan ilmuan yang berkualiti dapat dilakukan dengan efisien.

"Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun begitu dengan iltizam dan komitmen kita semua sebagai jentera sektor pendidikan, sudah pasti akan dapat membuahkan hasil yang dinikmati bersama-sama oleh rakyat.

''Kita harus sedar bahawa pembudayaan amalan kerja yang terbaik dan berinovasi harus dijadikan sesuatu yang sebati dalam diri kerana apabila dilakukan sebagai amalan akan menjadi sesuatu yang mudah," katanya ketika berucap dalam Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2014 di Dewan Muadzam Shah, UUM di Sintok hari ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berkata, warga UUM perlu sentiasa proaktif dan berfikiran kreatif serta inovatif untuk mencari ruang penambahbaikan dalam usaha memperkasa budaya menimba ilmu.

Kata beliau, UUM sebagai sebuah universiti yang menjulang nama dalam arena pendidikan yang berteraskan bidang pengurusan itu perlu terus mempertingkat usaha untuk melahirkan ilmuan negara yang berinovasi serta kreatif.

"Sebagai sebuah universiti pengurusan dan berfokus kepada sains sosial kita juga tidak terkecuali daripada membudayakan inovasi ini," jelasnya.

Tambah beliau, penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) hari ini harus menjadikan anugerah yang diterima sebagai pembakar tekad dan semangat untuk terus meningkatkan usaha serta menyokong UUM menjadi gedung ilmu yang berinovasi.

"Kejayaan penerima kali ini perlu dicontohi oleh semua warga UUM dan menjadi penanda aras dalam usaha membudayakan inovasi serta kreativiti di peringkat jabatan masing-masing,''katanya.

Sumber : UTUSAN

27naza
GURUN 27 Ogos - Kumpulan Syarikat Naza menyumbang sejumlah RM400,000 kepada sekolah, pusat komuniti, rumah anak yatim, masjid dan golongan kurang berkemampuan.

Penyerahan sumbangan dilakukan pada majlis yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bertempat di Naza Automotive Manufacturing, di sini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, sumbangan itu bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan di kawasan utara terutamanya masyarakat Negeri Kedah dalam bidang pendidikan, agama, kesihatan, bantuan bencana dan kemiskinan.

Seramai 32 penerima yang terdiri dari sekolah, rumah anak yatim, pusat komuniti, ibu tunggal, mangsa bencana alam dan golongan miskin, menerima bantuan wang tunai dan kemudahan prasarana, pengubahsuaian rumah, van serta penajaan pendidikan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Ketua Eksekutif NCIA, Dato’ Redza Rafiq; Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama Syarikat-Syarikat Naza, SM Faliq SM Nasimuddin dan Ketua Pegawai Operasi Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd, Roslan Abdul Ghani.

Sumber : UMTK

27semarakkan
SIK 27 Ogos – Biarpun negara masih diselubungi suasana sedih ekoran tragedi pesawat MH17 dan MH370, namun komitmen untuk menyemarakkan jiwa patriotisme dalam diri setiap rakyat tidak pernah luntur.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, inilah kehebatan rakyat Malaysia yang sentiasa bersatu hati mengharungi apa jua cabaran dan rintangan sama ada ketika pilu atau kegembiraan dengan jiwa yang kental bagi mendepani cabaran mendatang.

“Majlis yang diadakan pada hari ini membawa erti dan sangat signifikan kerana selain sebagai tanda memulakan perayaan Bulan Kemerdekaan yang cukup bermakna, kita juga perlu tunjukkan sebagai rakyat kita berbangga mengibar Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan 2014 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Felda Teloi Timur, di sini.

Tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini ialah ‘Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.
Menurutnya, memasang dan mengibar Jalur Gemilang lebih bermakna lagi kerana rasa dan jiwa patriotisme tidak boleh tersimpan dalam jiwa tetapi perlu dizahirkan secara terbuka bagi menunjukkan semangat rakyat Malaysia.

“Jalur Gemilang merupakan identiti nasional yang menyatupadukan semua rakyat Malaysia, selain ia mewakili nilai dan maruah pertiwi yang berdaulat dan merdeka. Jalur Gemilang juga adalah sebuah penghormatan dan kebanggaan serta lambang kemenangan apabila berkibar megah dan gagah,” ujarnya.

Tambahnya, ia juga sebagai tanda solidariti dan kebersatuan rakyat Malaysia yang berdiri teguh dan sentiasa bersemangat untuk mengibar bendera kebanggaan negara. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain bercorak tetapi ia tersimpan sebuah pengertian dan seribu makna yang sangat mendalam.

Pada majlis itu, YB. Tajudin turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang bergerak ke 12 lokasi terpilih dalam Daerah Sik bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, YB. Mahadzir Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Sik, Mohd Zohdi Haji Saad.

Sumber : UMTK

27felcra
ALOR SETAR 27 Ogos – Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) menyasarkan kira-kira 50,000 hektar kawasan terbiar seluruh negara akan diusahakan bagi melaksanakan projek tanam semula getah dan kelapa sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Dato’ Ramlee Abu Bakar berkata, di Kedah sahaja dianggarkan kira-kira 6,000 hektar tanah akan dikenal pasti untuk tujuan itu bagi memulihkan semula tanah terbiar.

Menurutnya, rancangan itu memerlukan kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti dan meluluskan kawasan bersesuaian bagi projek berkenaan.

“Sehingga kini, kita sudah bangunkan kira-kira 270,000 hektar tanah dengan tanaman sawit, getah dan padi. Program tanam semula ini sentiasa berterusan untuk menampung keperluan tanaman seperti getah yang sudah tua serta tidak mampu mengeluarkan hasil.

“Kita sentiasa memohon mana-mana kawasan berpotensi, namun tidak dibangunkan dan diserahkan kepada FELCRA untuk dimajukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Nazam Lebaran Peringkat FELCRA Berhad Wilayah Utara, di sini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
 
Sumber : UMTK

27bola
ALOR SETAR 27 Ogos – Pasukan bola sepak Kedah perlu mengekalkan komitmen semangat berpasukan yang ditunjukkan semasa menentang Sarawak dan menang 2-1 dalam perlawanan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, semua pemain menunjukkan semangat kerjasama dan kesukanan yang tinggi ketika perlawanan berkenaan.

“Saya ucap tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah yang menundukkan Sarawak 2-1 di Stadium Negeri Sarawak. Ini satu petanda yang kita bukanlah pasukan belasahan walaupun kita bukan berada di Liga Super.
“Apa yang saya lihat pada perlawanan itu, penyerang sehingga penjaga gol melakukan kebangkitan kombinasi dan menunjukkan kesungguhan sehingga mendapat hasil paling baik walaupun orang kata sukar untuk menang di Sarawak tetapi Kedah boleh,” ujarnya.

Beliau berharap agar momentum itu dapat dikekalkan. Pasukan Kedah masih lagi mempunyai peluang untuk layak ke pusingan suku akhir sekiranya momentum yang dilihat pada perlawanan menentang Sarawak dapat diteruskan.

Sebelum ini, dalam perlawanan kumpulan B, Sarawak menentang Kedah di Stadium Negeri Sarawak menyaksikan Kedah berjaya mengalahkan Sarawak dengan jaringan gol 2-1 sekaligus membuka ruang untuk terus mara ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, YB. Aminuddin juga mengharapkan pasukan bola sepak Kedah akan terus bangkit dan menjadi sinonim dalam jiwa rakyat di negeri ini.

“Kita mampu melangkah lebih jauh lagi dalam siri Piala Malaysia pada kali ini. Kita nak lihat bola sepak di Negeri Kedah sinonim dengan rakyat. Apa yang penting, kita juga nak lihat kebangkitan semula pasukan bola sepak Kedah,” ujarnya.

Sumber : UMTK

27tradewinds
LANGKAWI 27 Ogos – Tradewinds International Sdn Bhd melancarkan projek pembangunan hartanah bercampur mewah dikenali Nelayan Pier, di sini dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM60 juta. Projek itu menawarkan gaya hidup moden dan berprestij untuk manfaat masyarakat nelayan itu dibangunkan di tapak seluas 2.8 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2016.

Ketua Pegawai Operasi Perdana Quay Development, Muhd Najib Mohd Rawi berkata, projek yang bermula akhir bulan Ogos akan memberi tumpuan terhadap pembangunan perkampungan tradisional nelayan Melayu dalam suasana moden dan kontemporari.

“Nelayan Pier adalah satu komponen utama daripada pembangunan bercampur Perdana Quay bernilai RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun di kawasan seluas 97.12 hektar di Barat Laut Langkawi. Daripada kos keseluruhan itu, sejumlah RM60 juta diperuntukkan untuk projek Nelayan Pier,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di Telaga Habour Park, di sini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid.

Muhd Najib berkata, projek yang mengambil contoh Fremantle’s Markets di Australia itu merangkumi pembinaan laguna dan jeti pendaratan ikan yang memuatkan kira-kira 60 sampan pada satu masa. Selain itu, projek berkenaan turut memberi fokus kepada pembinaan pasar basah moden bagi membolehkan nelayan memasarkan hasil tangkapan yang segar, restoran dan perkampungan budaya serta kraf.

“Kami juga akan membina rumah sesuai untuk nelayan mengadakan demonstrasi membaiki bot dan pukat kepada pelancong sebagai aktiviti alternatif pada musim tengkujuh. Projek Nelayan Pier yang serba mewah itu pasti akan membawa manfaat besar dari segi ekonomi kepada kira-kira 60 masyarakat nelayan di kawasan Pantai Kok,” ujarnya.

Sementara itu, YB. Dato’ Mohd Rawi berkata, Kerajaan Negeri yakin projek itu akan memberi kesan kepada jumlah kemasukan pelancong asing khususnya dari China, Singapura dan Asia Barat.

Tambahnya, matlamat Kerajaan ialah memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam menikmati kemakmuran baru yang wujud di Langkawi dan dalam hal ini, kita gembira dengan komitmen Tradewinds.

Sumber : UMTK

25sejarah

ALOR SETAR 25 Ogos - Sejarah negara ini perlu dikaji dengan mendalam dan kandungannya harus menjadi inspirasi bagi pembangunan dalam semua bidang, misalnya seni bina, kesenian, pendidikan, sukan, sains dan kejuruteraan.

Timbalan Perdana Menteri, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berkata pemodenan harus dimanfaatkan sebagai faktor pendorong bagi memastikan 'sejarah' menjadi satu disiplin yang kekal relevan, sekalipun tidak menunjukkan peningkatan dalam nilai dan permintaan.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan dan Naib Presiden Persatuan Sejarah Malaysia berkata, terdapat keperluan menyemak semula dan mengorientasi kaedah pedagogi subjek itu supaya menjadi suatu 'subjek hidup' melalui pendekatan yang memberi penekanan terhadap kenyataan hebat bahawa 'masa depan terletak pada masa lampau'.

"Walaupun sejarah kini menjadi mata pelajaran wajib pelajar sains sosial namun ahli sejarah seringkali mengajar subjek sejarah sebagai subjek 'masa lampau', tentang 'masa lampau' dan bagi 'masa lampau'.

"Natijahnya, sejarah tidak dianggap sebagai mempunyai nilai dalam masyarakat masa kini yang pantas bergerak, dinamik dan bertenaga. Oleh itu, para pelajar misalnya, tidak nampak 'masa depan' subjek itu," katanya ketika merasmikan Persidangan Ke-23 Persatuan Ahli Sejarah Asia Antarabangsa (IAHA 2014) di Hotel Tabung Haji, di sini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, universiti mungkin perlu mengkaji langkah menerapkan program yang akan membolehkan pelajar dan masyarakat umum memahami serta menghargai sejarah.

Ini, katanya, sama ada dengan pengukuhan dan peningkatan program sains sosial serta seni liberal yang sedia ada atau memperkenalkan program baharu yang mempunyai kaitan, misalnya falsafah.

Persidangan lima hari yang bermula dari 23 hingga 27 Ogos 2014 itu dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Persatuan Sejarah Malaysia. Antara peserta yang menyertai persidangan itu terdiri daripada ahli sejarah dari Brazil, Brunei, Bangladesh, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Jepun.

Sumber : UMTK

25sejarah
ALOR SETAR 25 Ogos - Semua warga Kementerian Pendidikan diminta memberi komitmen berterusan bagi menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang merupakan proses penting ke arah peningkatan kualiti pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata, sesuatu proses perubahan ke arah kebaikan sememangnya akan mengambil masa yang lama dan ia merupakan cabaran yang harus dilalui.

"Ada yang tanya kenapa ambil masa hingga 13 tahun untuk sampai ke kedudukan 1/3 teratas, sekarang 1/3 di bawah dan saya sebutkan ini memang cabaran, kalau tanya saya, hasrat saya kalau boleh esok perlu berubah.

"Tapi saya sedar tak mungkin boleh berlaku perubahan kerana proses itu melibatkan banyak perkara, komponen dan aspek.

"Untuk meningkatkan martabat pendidikan, tak boleh berlaku dalam tempoh segera. Mahu atau tidak kena lalui proses ini," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama warga Jabatan Pendidikan Negeri Kedah di sini.

Beliau berkata, sokongan dan penglibatan semua pihak diperlukan bukan sahaja di peringkat kementerian, malahan di negeri, daerah dan paling utama di peringkat sekolah yang juga perlu menunjukkan komitmen tinggi untuk melaksanakan program serta perancangan.

Menurutnya, komitmen yang dipikul itu merupakan amanah yang termaktub dalam pelan yang harus diterjemahkan dalam bentuk hasil yang akan memberikan perubahan besar daripada segi kualiti kepada pendidikan negara.

"Saya sentiasa mengingatkan pada diri dan rakan-rakan di kementerian, pentingnya pelan itu (agar) dapat difahami dan dihayati atas dasar tangungjawab bersama yang bermula tahun lepas.

"Walaupun dalam tempoh singkat iaitu setahun, kita sudah berjaya sempurnakan beberapa inisiatif dan atas komitmen yang ditunjukkan, kita telah menyediakan laporan tahunan bertulis lengkap, laporan pertama dibentangkan di khalayak iaitu laporan tahun pertama 2013," katanya.

Beliau menjelaskan, setiap warga pendidikan juga perlu bersifat ikhlas dan jujur terhadap diri sendiri kerana di hadapan mereka adalah satu tanggungjawab, demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Tidak ada bangsa akan maju tanpa ilmu dan pendidikan. Komitmen adalah amanah dan tanggungjawab dan kita akan terus bekerjasama dengan ikhlas, jika ada isu atau permasalahan, cari jalan untuk selesaikan," ujarnya.

Sumber : UMTK

Oleh Norlia Ramli
25ambulan

Bot ambulans laut yang berkelajuan 25 knot memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 15 kes setiap bulan di Langkawi, Kedah.

LANGKAWI 25 Ogos - Pesakit di daerah ini boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi berasak-asak untuk menaiki bot laju dengan penumpang lain bagi mendapatkan rawatan hospital di tanah besar.

Perkhidmatan bot ambulans laut yang beroperasi sejak Februari lalu membolehkan kerja-kerja pemindahan pesakit yang berada di Hospital Langkawi menjadi lebih mudah, lancar dan cepat.

Sejak beroperasi, ambulans laut yang berkelajuan 25 knot itu telah memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 15 kes setiap bulan.

Bukan itu sahaja, ambulans laut ini dilengkapi dengan kemudahan dua tempat untuk membawa pesakit dewasa dan satu untuk kanak-kanak, selain dua bilik untuk kakitangan hospital dan dua lagi untuk pengendali ambulans laut tersebut.

Pengarah Urusan JMV Tradetech, Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata, dengan adanya kemudahan ambulans laut ini, pesakit tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri penumpang jika perlu mendapatkan rawatan segera di hospital lain di tanah besar.

"Perkhidmatan ini memberi keselesaan kepada pesakit dan mereka tidak perlu berasak-asak di dalam feri penumpang.

"Pesakit juga akan dibawa segera berbanding sebelum ini yang terpaksa menunggu lama dan perlu mengikut jadual feri penumpang," katanya di sini baru-baru ini.

Syarikat tersebut mendapat kepercayaan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan untuk menjalankan perkhidmatan tersebut dengan menyediakan sebuah ambulans laut khas untuk membawa pesakit.

Kata Ku Azhar, perkhidmatan tersebut diharapkan dapat memberi keselesaan kepada penduduk di saat-saat berlaku kecemasan.

"Dengan perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapat rawatan dan merasa lebih selesa. Paling penting, mereka tidak lagi malu dilihat penumpang lain.

"Sebagai anak Langkawi, saya merasa bangga apabila dipilih untuk menjalankan perkhidmatan ambulans laut ini bagi membawa pesakit yang bermastautin di sini. Perkhidmatan ini juga memberi kemudahan kepada pelancong yang ditimpa musibah," katanya.

Sumber : UTUSAN

25Guna
ALOR SETAR 25 Ogos – Pakar sejarawan negara diminta memanfaatkan peluang membentangkan kertas kerja sebaik mungkin di Persidangan Antarabangsa Sejarawan Asia Kali Ke-23 di Hotel Tabung Haji, di sini untuk meyakinkan pembuat dasar di kementerian dan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, usaha itu bagi memastikan mereka dapat melihat sejarah Tamadun Sungai Batu dalam Tamadun Lembah Bujang iaitu Kedah Tua sebagai sejarah bersama dan perlu dicungkil secara besar-besaran.

Menurutnya, pembentangan kertas kerja mengenai tamadun itu akan dilaksanakan oleh penyelidik yang juga Pengarah Pusat Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Mokhtar Saidin.

“Pembentangan mengenai tamadun berusia kira-kira 250,000 tahun itu mungkin julung kali dibuat terutamanya mengenai bagaimana penemuan terbaru yang ada di Sungai Batu sebagai penemuan terulung serta bukan sahaja mewakili negeri ini tetapi juga sebenarnya mewakili negara.

“Tamadun Sungai Batu adalah tamadun yang cukup lama dan dibuktikan melalui beberapa kajian uji kaji terhadap batu serta besi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, khazanah yang ada pada tamadun itu masih belum terungkap kerana pakar sejarah masih lagi tercari-cari kerajaan mana yang menerajui zaman itu.

“Beberapa penemuan penting turut ditemui dalam tasik di Sungai Batu termasuklah tongkang. Jika Kerajaan Pusat dapat melihat penemuan itu sebagai penemuan bersejarah negara, kita yakin ia boleh menjadi simbolik seperti penemuan pyramid di Mesir, Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sekiranya itu dapat direalisasikan, kemungkinan lebih banyak sumbangan Kerajaan Pusat dapat disalurkan untuk membina sebuah muzium mengenai kewujudan tamandun itu yang boleh menjadi kebanggaan terutamanya kepada rakyat di negeri ini.

Sumber : UMTK

25kibar
JITRA 25 Ogos – Sempena memperingati detik bersejarah kemerdekaan negara, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Damai, di sini menyemarakkan sambutan ulang tahun bulan kemerdekaan dengan mengibarkan bendera di kawasan perumahan mereka.

Usaha yang menelan belanja lebih RM10,000 itu turut diserikan dengan membina satu pintu gerbang bagi memperindah kawasan taman perumahan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Desa Damai, Khamis Md Taib berkata, program kali kedua diadakan itu merupakan aktiviti tahunan bersama penduduk yang dilaksanakan secara bergotong-royong.

Menurutnya, di samping meraikan bulan kemerdekaan, usaha itu juga diharap dapat menyemai sifat patriotik dalam kalangan penduduk.

“Kita menggunakan lebih 2,000 bendera pelbagai saiz untuk digantung di sekitar taman termasuk di kediaman penduduk.

“Manakala kerja-kerja menghias kawasan taman ini dilakukan oleh Jawatankuasa JKKK dengan bantuan penduduk,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga mengambil inisiatif dengan menghias pondok kawalan keselamatan dengan tema kemerdekaan.

“Kita juga pergi ke setiap rumah penduduk dan memasang dua bendera untuk setiap kediaman serta melekatkan bendera pada kereta yang masuk ke taman ini,” katanya.

Seorang penduduk, Ahmad Mahady Ahmad Fauzi, 28 tahun berkata, idea dan usaha pihak JKKK taman itu harus dipuji dan dicontohi masyarakat sekitar.

Katanya, di samping memperingati hari kemerdekaan dan menceriakan taman perumahan, program seperti itu juga dapat mengeratkan silaturahim sesama penduduk.

“Ini satu bentuk aktiviti yang dapat memberi kesan kepada orang ramai sebagai rakyat Malaysia, khususnya dalam usaha menerapkan nilai-nilai patriotisme,” katanya.

Sumber : UMTK

24moto
ABD.Rahim Abdullah (kiri) menunjukkan komponen motosikal yang dileraikan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, semalam.

KUBANG PASU 24 Ogos - Kegiatan menjual komponen motosikal curi yang dijalankan Geng Bedul sejak dua tahun lalu tumpas dengan penahanan suspek utama kumpulan tersebut di pekan Jitra dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintendan Abd. Rahim Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang awam, suspek bersama-sama seorang lagi rakannya berjaya ditahan kira-kira pukul 5 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap penganggur yang berumur 20 tahun itu, polis berjaya menemui tiga 'allen-key' yang telah diubah suai bagi kegiatan mencuri motosikal.

"Apabila tertangkapnya suspek utama kumpulan ini, polis berjaya menangkap tiga lagi ahli kumpulan ini berumur di antara 17 hingga 22 tahun dan kesemua mereka ini positif dadah.

"Hasil soal siasat terhadap suspek utama, dia mengaku bahawa terlibat dalam 11 kes curi motosikal di Jitra, satu di kawasan masjid Kepala Batas dan empat di Alor Setar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Abd. Rahim berkata, kumpulan ini akan membuang motosikal yang dicuri ke dalam Sungai Alor Ganu, Alor Setar setelah mengambil komponen untuk dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

Katanya, hasil daripada tangkapan tersebut, polis berjaya merampas em­pat rangka motosikal, empat enjin dan pelbagai komponen lain.

"Kesemua mereka yang ditahan direman mulai Khamis lalu hingga Sabtu, namun disambung reman semula hari ini (semalam) untuk tujuan soal siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," jelasnya.

Pada sidang akhbar sama, Abd. Rahim memberitahu, 11 orang termasuk seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis di hadapan sebuah pondok di dalam kawasan belukar di Kampung Darat, Changlun, di sini antara pukul 10 pagi hingga 2 petang semalam.

Ujar beliau, lelaki berumur 33 tahun itu menggunakan modus ope­randi dengan membawa dadah ke pondok yang telah beroperasi hampir sebulan lalu untuk diedarkan kepada penagih, selain mengedar di sekitar kawasan Changlun.

"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki tersebu,t kita turut menemui satu beg­ plastik yang didalamnya mengandungi dua paket disyaki dadah jenis heroin seberat 45 gram dan tiub straw.

"Kesemua mereka ditahan reman selama seminggu mulai hari ini (semalam) dan kes ini disiasat di bawah Seksyen Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Sumber : UTUSAN

21DOSH
Mohamad Jais Suratman (kanan sekali) meninjau tahap keselamatan tapak binaan kompleks komersial dua tingkat berserta tempat letak kereta di atas bumbung di Mukim Pumpong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR 21 Ogos - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri menyarankan majikan agar melakukan beberapa penambahbaikan di tapak pembinaan bagi memastikan kemalangan di kawasan berkenaan dapat dikurangkan.

Pengarahnya, Mohamad Jais Suratman berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya di beberapa kawasan tapak pembinaan di negeri ini mendapati masih terdapat pemaju yang tidak meletakkan papan tanda keselamatan.

"Pekerja di tapak bina perlu diingatkan supaya sentiasa mementingkan keselamatan di tempat kerja kerana pelbagai kemalangan boleh berlaku di situ.

"Sepatutnya majikan meletakkan papan tanda peringatan tentang keselamatan di kawasan tapak bina agar pekerja lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mengelak terjadinya kemalangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan sebuah kompleks komersial dua tingkat berserta tempat letak kereta di atas bumbung di Seksyen 53, Mukim Pumpong di sini kelmarin.

Menurut Mohamad Jais, dari Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 129 tapak pembinaan di seluruh negeri telah didaftarkan iaitu 92 peratus adalah projek swasta manakala selebihnya melibatkan projek kerajaan.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 251 tapak bina termasuk yang didaftarkan pada 2012 dan 2013 telah diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan itu mendapati 44 peratus tapak bina adalah dalam kategori gred A.
"Sebanyak 25 peratus lagi dalam gred B, 13 peratus (gred C) dan 18 peratus (gred D)," jelasnya.

Tambahnya, dalam tempoh itu, sebanyak 80 kes kemalangan tidak hilang upaya kekal dan dua kes untuk hilang upaya kekal dua kes kematian dilaporkan.

"Kes untuk tidak hilang upaya kekal berkurang sebanyak 14 peratus, hilang upaya kekal pula menurun kepada 50 peratus manakala kes kematian kekal bagi tempoh sama untuk tahun 2013," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Jais memberitahu, 20 peratus tapak pembinaan di sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu telah dikenal pasti berisiko sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Tindakan telah dibuat dengan mengeluarkan 32 surat arahan dan satu notis atas pelbagai kesalahan kepada majikan dan operasi pelan tindakan denggi juga telah dijalankan di kawasan terbabit," katanya.

Sumber : UTUSAN


21hutan
ALOR SETAR 21 Ogos – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Kedah (PAC) mahu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memberi keutamaan kepada proses mewartakan kesemua 27 hutan lipur di negeri ini berikutan belum ada yang diwartakan sejak 1976.

Pengerusinya, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, buat masa ini, lapan hutan lipur sedang dalam proses mendapatkan surat pewartaan yang dijangka diperoleh selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Lapan kawasan terbabit ialah Hutan Lipur Bukit Wang, Hutan Lipur Puncak Janing, Hutan Lipur Sungai Rambai, Hutan Lipur Sungai Teroi, Hutan Lipur Tupah, Hutan Lipur Lata Mengkuang, Hutan Lipur Lata Bayu dan Hutan Lipur Ulu Paip,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, proses pewartaan bagi baki 19 hutan lipur akan dilakukan secara berperingkat sejurus selesai fasa pertama ini.

“Keutamaan perlu diberikan kepada perkara ini sebelum dibuat laporan audit seterusnya. Kesemua 27 kawasan hutan lipur perlu diwartakan untuk memudahkan penggunaan termasuk penyediaan bajet dan perjanjian,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebanyak lapan hutan lipur dikenal pasti ditutup di negeri ini atas faktor keselamatan pengunjung, jalan perhubungan kurang memuaskan, bilangan pengunjung berkurangan, malapnya cirri-ciri tarikan utama serta peruntukan tahunan yang semakin berkurangan.

“Lapan hutan lipur ini ialah Hutan Lipur Pedu yang berada pada tahap keselamatan yang rendah, Hutan Lipur Lata Hujan Lebat yang merupakan kawasan curam dan aspek keselamatan, Hutan Lipur Lata Lembu dan Hutan Lipur Durian Perangin yang kemudahannya tidak lengkap, Hutan Lipur Sungai Kunyit dan Hutan Lipur Sungai Badak yang merupakan jalan perhubungan, Hutan Lipur Gurun Kuari yang merupakan lubuk yang dalam serta Hutan Lipur Lubuk Semilang yang kemudahannya tidak lengkap,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, Jabatan Perhutanan perlu melakukan tindakan segera supaya hutan lipur berkenaan tidak menjadi projek gajah putih.

“Laporan Ketua Audit ada menyebut kemudahan di hutan lipur terbiar dan tidak diguna pakai seperti dirancang. Sementara menunggu penilaian audit seterusnya, Unit Integriti akan buat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PAC turut menasihatkan Kerajaan Negeri menguatkuasakan surat perjanjian melibatkan anak-anak syarikat (GLC) dengan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Banyak berlaku perjanjian kontrak dengan pihak tertentu yang tidak berpihak kepada Kerajaan Negeri menyebabkan kerugian jangka panjang. Saya harap Kerajaan Negeri arahkan anak syarikat rujuk Penasihat Undang-Undang Negeri dalam apa jua surat perjanjian pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, terdapat di mana Kerajaan Negeri mengalami kerugian apabila perjanjian kontrak tidak dikuatkuasakan antaranya melibatkan pengurusan hutan lipur di negeri ini.

“PAC juga ingin menasihatkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah supaya mengambil kira kepentingan rakyat mengenai kawasan pembalakan yang dikenal pasti dan jika ada bantahan daripada penduduk setempat, ia wajar dipertimbangkan,” katanya.

Sumber : UMTK

21tangkul
SUNGAI PETANI 21 Ogos – Sebanyak 90 nelayan sungai dari beberapa kampung di Daerah Kuala Muda menerima bantuan tangkul ketam sempena Program Nelayan Mengubah Nasib 2014 anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Merbok.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Merbok, YB. Dr. Ismail Daut yang diadakan di Bandar Laguna Merbok, di sini.

Urusetia program, Noor Helmi Mohd Noor Lajis berkata, setiap nelayan terbabit menerima lebih 20 tangkul ketam dan melalui kelengkapan itu boleh menambah pendapatan hasil kerja menangkap ketam di kawasan hutan nipah.

“Ramai dalam kalangan nelayan sungai di kawasan ini mencari ketam nipah sebagai pendapatan bulanan. Bagi meringankan kos sara hidup mereka ketika ini, kita ambil inisiatif dengan menghulurkan bantuan berupa tangkul ketam,” ujarnya.

Seorang penerima bantuan, Ismail Hamid, 60 tahun dari Kampung Pengkalan Langgar berkata, dia melakukan kerja menangkap ketam nipah sejak 20 tahun lalu.

“Seronok bila dapat ketam banyak untuk dijual kepada peraih tempatan, bagaimanapun kerjaya ini juga mencabar,” katanya.

Mohd Zahir Abdul Ghani, 41 tahun dari Kampung Teluk Che Lela berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi membantu nelayan sungai dengan menghulur bantuan tersebut adalah baik sekali.

Menurutnya, ketam nipah dijual mengikut saiz antara RM20 hingga RM30 sekilogram.

Harizan Ismail, 45 tahun dari Kampung Sungai Gelam berkata, nelayan turun menahan tangkul ketam sebelum air pasang.

“Pendapatan daripada kerjaya ini tidak menentu. Walaubagaimanapun, boleh mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan,” katanya.

Sumber : UMTK

21merdeka
ALOR SETAR 21 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 Peringkat Negeri Kedah pada tahun ini dilangsungkan secara sederhana bagi menghormati tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan MH17.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, Kerajaan Negeri membatalkan acara tertentu seperti ambang kemerdekaan, hiburan dan pertunjukan bunga api seperti diarahkan Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, acara perbarisan dan perarakan berjalan seperti biasa, namun beberapa aspek terpaksa dikurangkan.

“Kita juga turut berbangga dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat negeri ini bersama-sama berkempen mengibar Jalur Gemilang,” katanya pada majlis perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang di Perkarangan Hotel Holiday Villa, di sini.

Menurutnya, pihaknya berharap semua agensi Kerajaan dan swasta mengambil peluang sempena bulan kemerdekaan untuk mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda menunjukkan semangat cinta kepada negara.

Sumber : UMTK

20 Belia
ALOR SETAR 20 Ogos – Kerajaan Negeri akan membantu dalam mencari serta mempergiatkan dalam kalangan belia di negeri ini untuk terlibat secara aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, PSMCK bukan asing lagi kepada masyarakat kerana pelbagai aktiviti turut dijalankan serta mendapat sokongan yang begitu baik di kalangan ahli-ahlinya.

“Difahamkan sehingga kini, terdapat lebih dari 1,300 orang telah berdaftar sebagai ahli PSMCK. Ini merupakan satu kejayaan yang besar, khususnya kepada PSMCK yang bergerak aktif di negeri ini.

“Pada bulan Mei 2014, Mesyuarat PSMCK telah dijalankan. Ini bermakna PSMCK sudah berusia 58 tahun. Dalam tempoh yang panjang ini, pelbagai peristiwa dan cabaran yang dilalui oleh persatuan ini,” katanya pada majlis perasmian Forum Alor Setar Dulu-Dulu anjuran PSMCK di Dewan Besar Arkib Cawangan Kedah/Perlis, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam menjayakan apa jua aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Apa yang kita ketahui, Alor Setar terletak dipertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit. Di tempat inilah Sultan Mohd Jiwa membuka satu penempatan baru pada tahun 1735 bagi pusat pentadbiran Negeri Kedah selepas Bukit Pinang.

“Pusat pentadbiran ini merupakan pusat pentadbiran Negeri Kedah kelapan. Mengikut firasat Sultan Mohd Jiwa, tempat inilah yang paling sesuai untuk membangunkan Negeri Kedah. Memang tepat pandangan atau firasat Sultan Mohd Jiwa itu kerana sejak itulah Alor Setar berkembang daripada sebuah pekan kecil menjadi bandar dan kini ia berstatus bandaraya,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, di zaman Sultan Abdul Hamid, pembangunan Alor Setar menjadi bertambah rancak dengan terbinanya beberapa buah sekolah Melayu dan Inggeris, hospital, Masjid Zahir dan bangunan-bangunan Kerajaan.

“Ini adalah ekoran dengan terbinanya Terusan Wan Mohamad Saman yang merupakan kesan pengganda pembangunan ekonomi bagi Alor Setar. Pembangunan ekonomi bertambah rancak dengan kemasukan saudagar Cina dari Pulau Pinang untuk membuka kilang-kilang padi. Salah satunya adalah kilang padi Ban Heng Bee di Jalan Seberang Perak, Alor Setar,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi PSMCK, Dato’ Dr Haji Wan Samsuddin Mohd Yusof dan Pengarah Arkib Negara Cawangan Kedah/Perlis, Encik Shafie Awang.

Sumber : UMTK

20 Kelas Bimbingan
YAN 20 Ogos - Seramai 200 peserta Program Kelas Bimbingan Akademik anjuran Maybank Islamic meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh keputusan 6A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Muzaffar Hisham berkata, kelas itu adalah program pendidikan Maybank Islamic yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Pembiayaan RM1 juta diperuntukkan bagi program ini dan 1,940 pelajar yang kurang bernasib baik yang terpilih mengikuti kelas bimbingan di 23 MRSM di seluruh negara pada 2013. Peserta program diberikan pendedahan pembelajaran di MRSM melalui guru serta pelajar cemerlang MRSM sebagai mentor.

“Berdasarkan pencapaian pelajar yang memberangsangkan itu, kami menambah bilangan peserta kepada 2,700 dan 27 MRSM dikenal pasti termasuk dua di Kedah pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Maybank Islamic di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Bukit Besar, di sini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Pada majlis itu, tiga program tanggungjawab sosial korporat Maybank Islamic dilancarkan iaitu Program Bimbingan Maybank Islamic dengan kerjasama YPM dan MRSM, Bantuan Dana Pendidikan kepada 10 Institusi Pengajian Tinggi (IPT0 awam dan swasta.

Maybank Islamic turut menyumbang sebanyak RM130,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi pembiayaan pembangunan 11 sekolah pondok.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Ibrahim Ahmad dan Pengerusi YPM, Dato’ Yussoff Dohab.

Sumber : UMTK

20 khairat
SUNGAI PETANI 20 Ogos - Seramai 60 waris dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka menerima sumbangan Skim Khairat Kematian di Pusat Khidmat DUN Pantai Merdeka, di sini.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya.

Sumbangan yang disampaikan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga waris berkenaan.

Sumber : UMTK

19projek
JERLUN 19 Ogos - Kerajaan Negeri dilihat bersedia bagi meneruskan hasrat pembinaan sebuah lapangan terbang baru selepas mendapati kesepakatan daripada semua pihak termasuk kalangan pembangkang.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, melalui Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini, pihak pembangkang mengungkapkan sokongan atas hasrat tersebut.

Menurutnya, pandangan daripada mereka iaitu pembangkang supaya projek berkenaan tidak menjadi projek ‘gajah putih’ adalah sangat berharga.

“Ini adalah untuk memastikan hasrat ini tidak menjadi projek gajah putih sepertimana yang mungkin berlaku di negeri lain dan kita akan pastikan ia tidak gagal.

“Saya rasa sokongan semua pihak termasuk pembangkang, maka Negeri Kedah bersatu hati. Tidak ada di negeri kita sendiri mana-mana pihak yang membantah cadangan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Usahawan Parlimen Jerlun 2014 dan sambutan hari raya peringkat Parlimen Jerlun, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, melalui persepakatan daripada semua pihak menjadi satu prasyarat bagi Kerajaan Negeri meyakinkan Kerajaan Persekutuan.

“Biarlah kita mempunyai kesepakatan 100 peratus dari kalangan rakyat Negeri Kedah yang diwakili ADUN mereka dalam usaha menjayakan hasrat ini,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, YB. Dato’ Othman Aziz dan Ketua Wanita UMNO Kedah, Dato’ Maznah Hamid.

Sumber : UMTK

19basmi
ALOR SETAR 19 Ogos – Program Bantuan Tanam Semula Getah seluas 4,900 hektar telah diluluskan untuk Negeri Kedah pada tahun ini bagi tujuan membasmi kemiskinan di kalangan penoreh getah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah juga turut diberikan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada pemilik kebun getah dan penoreh.

“Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM26,037,500 untuk Negeri Kedah pada tahun ini yang melibatkan seramai 52,075 pekebun kecil.

“Di samping itu, Kerajaan melalui beberapa agensi Kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang dan akan terus merancang serta melaksanakan program ke arah membasmi kemiskinan di kalangan nelayan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, YB. Dato’ Ustazah Hajjah Siti Ashah Ghazali pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini berhubung perancangan Kerajaan Negeri Kedah untuk membasmi kemiskinan terutamanya dari kalangan penoreh getah, petani dan nelayan.

Menurutnya, program yang sedang dijalankan melalui LKIM pada masa ini dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 ialah pemberian subsidi bahan api, pemberian elaun sara hidup nelayan dan pemberian insentif tangkapan ikan.

“Secara khususnya, Jabatan Pertanian dan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah sekian lama terlibat dalam program Azam Tani. Program ini akan memberi tumpuan kepada petani yang berdaftar dalam senarai rakyat miskin untuk membangunkan projek baru atau yang sedang dijalankan dengan tujuan meningkatkan pendapatan mereka sebagai usaha untuk membasmikan kemiskinan di kalangan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Sumber : UMTK

19gaza
ALOR SETAR 19 Ogos - Tiga wakil misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza selamat memasuki wilayah Palestin yang menjadi sasaran serangan Israel melalui pintu sempadan Rafah.

Mereka berbuat demikian pada kira-kira 10 pagi waktu tempatan iaitu tiga petang waktu Malaysia pada 18 Ogos 2014.

Maklumat itu disahkan oleh Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Dato’ Mohd Farid Hassan.

Beliau berkata, pergerakan mereka dari Qantara menuju ke Rafah pada 17 Ogos 2014 menggunakan kereta perisai jenis Humvee turut diiringi dua kereta perisai berantai tentera Mesir.

Kumpulan itu merangkumi Presiden Kelab Putera 1Malaysia dan ketua misi berkenaan, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Baling bersama Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari serta Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha bertolak dari Qantara pada jam 2.30 petang pada 17 Ogos 2014.

78 sukarelawan lain tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Rafah atas faktor keselamatan dan diarahkan pulang ke Kaherah, Mesir.

Arahan itu diberikan komander pos kawalan tentera di Qantara yang terletak berhampiran Terusan Suez, selepas kira-kira lima jam konvoi berkenaan terkandas dan perbincangan diadakan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam bergerak dari Qantara, ketiga-tiga wakil misi berkenaan terpaksa berhenti dan bermalam di Al-Arish pada hari sama kerana dilaporkan berlaku kejadian tembak-menembak sebelumk dapat meneruskan perjalanan.

Misi yang turut disertai angota Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu merancang mengagihkan kira-kira 5,000 kotak bekalan makanan kepada 25,000 warga Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Dilaporkan hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan rejim Zionis di Gaza sejak 8 Julai 2014.

Sumber : UMTK

19jalur
ALOR SETAR 19 Ogos - Seluruh rakyat negeri ini disarankan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kenderaan masing-masing bermula daripada sekarang bagi menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, aktiviti mengibarkan bendera kebangsaan dengan cara yang kreatif akan dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.

“Sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang dinikmati sekarang dan disebabkan itu kita perlu mengibarkan Jalur Gemilang untuk memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan ini.

“Kita juga harus memastikan Jalur Gemilang yang dipasang berada dalam keadaan yang baik sebagai tanda kecintaan dan penghormatan kepada tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Perkarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, Jalan Kuala Kedah, di sini.

Menurutnya, orang ramai juga diharap tidak hanya menanti mereka akan diberikan Jalur Gemilang secara percuma, sebaliknya mengambil inisiatif membelinya sendiri atas dasar semangat cintakan negara.

Sumber : UMTK

SUNGAI PETANI 19 Ogos - Sebanyak 90 nelayan sungai dari beberapa kampung di daerah Kuala Muda dekat sini menerima bantuan tangkul ketam sempena Program Nelayan Mengubah Nasib 2014 anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Merbok baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Merbok, Dr. Ismail Daut dalam majlis di Bandar Laguna Merbok di sini baru-baru ini.

Urus setia program, Noor Helmi Mohd Noor Lajis berkata, setiap nelayan terbabit menerima lebih 20 tangkul ketam dan melalui kelengkapan itu boleh menambah pendapatan hasil kerja menangkap ketam di kawasan hutan nipah.

"Ramai dalam kalangan nelayan sungai di kawasan ini mencari ketam nipah sebagai pendapatan bulanan.

"Bagi meringankan kos sara hidup mereka ketika ini, kita ambil inisiatif dengan menghulurkan bantuan berupa tangkul ketam,'' katanya.

Seorang penerima bantuan, Ismail Hamid, 60, dari Kampung Pengkalan Langgar berkata, dia melakukan kerja menangkap ketam nipah sejak 20 tahun lalu.

"Seronok bila dapat ketam banyak untuk dijual kepada peraih tempatan, bagaimanapun kerjaya ini juga mencabar," katanya.

Mohd. Zahir Abdul Ghani, 41, dari Kampung Teluk Che Lela berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi membantu nelayan sungai dengan menghulur bantuan tersebut adalah baik sekali.

Menurutnya, ketam nipah dijual mengikut saiz antara RM20 hingga RM30 sekilogram.

Harizan Ismail, 45, dari Kampung Sungai Gelam berkata, nelayan turun menahan tangkul ketam sebelum air pasang.

"Pendapatan daripada kerjaya ini tidak menentu, walaupun bagaimanapun, boleh mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan," katanya.

Sumber : UTUSAN

18wabak
ALOR SETAR 18 Ogos – Kesedaran masyarakat amat penting dalam membendung wabak virus kencing tikus dan demam denggi dari terus menular secara berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Kedah, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, antara usaha yang boleh dilaksanakan termasuk meningkatkan kempen kesedaran tentang kesan bahaya wabak berkenaan hingga boleh membawa kepada kematian.

“Kita juga turut meminta jasa baik Jabatan Penerangan Kedah untuk kerap kali menghebahkan mengenai pelbagai maklumat berkaitan wabak supaya masyarakat lebih peka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama wakil Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Menurutnya, sehingga Jun 2014 kira-kira 134 pesakit yang disahkan mengidap virus kencing tikus dan tiga daripadanya dari Langkawi, Sik serta Padang Terap dilaporkan meninggal dunia sementara tahun 2013 mencatatkan 11 kes.

“Sikap serta tabiat baik anggota masyarakat mampu mengawal penularan wabak ini apabila sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah merata-rata ketika berkunjung ke kawasan hutan lipur. Apabila persekitaran kotor, tikus mudah membiak seterusnya turut menyebarkan virus.

“Mereka tidak perlu takut ke kawasan hutan lipur disebabkan kes seperti ini, sebaliknya kena lebih berhati-hati. Kerajaan sudah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk menaiktaraf kawasan riadah dan tanggungjawab menjaga kebersihan terletak di bahu semua pihak,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perlu ada satu jabatan khusus boleh mengawasi kerja-kerja membasmi tempat pembiakan tikus supaya dapat dibuat secara lebih sistematik. Berbanding sekarang beberapa jabatan seperti kesihatan, perhutanan dan pihak berkuasa tempatan terlibat dalam memantau hutan lipur yang didapati berlaku penyebaran virus kencing tikus.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kuala Muda mencatatkan peningkatan 300 peratus kes demam denggi sehingga bulan Jun 2014 apabila lapan daripada 14 kes dilaporkan berlaku di daerah itu.

Sumber : UMTK

18rumah
KUALA NERANG 18 Ogos - Kerajaan Negeri menyasarkan akan membina sebanyak 40,000 unit rumah mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di Kuala Nerang sebanyak 350 unit untuk penduduk yang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

“Harga rumah tersebut bernilai RM160,000 tetapi penduduk hanya perlu membayar sebanyak RM35,000 sahaja dan kos selebihnya adalah subsidi dari Kerajaan.

“Mungkin rumah tersebut akan dilengkapi dengan sistem solar serta projek yang pertama sekali dibangunkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Rancangan Perumahan Awam Taman Mesra dan Taman Kenangan yang diadakan di Perkarangan Surau Rancangan Perumahan Awam Taman Mesra, di sini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan), Tuan Syed Khairol Annuar Syed Abidin.

Sumber : UMTK
18majukan
ALOR SETAR 18 Ogos – Semua pihak di negeri ini perlu melaksanakan peranan sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan agar kemajuan dan kemakmuran dapat dibina secara inklusif.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah, pembangunan bagi sesebuah negeri mesti bersifat lestari dan mapan di mana Kerajaan Negeri Kedah perlu membuat perancangan jangka panjang untuk negeri ini.

"Jangan terlalu terikat dengan keberhasilan bersifat jangka pendek semata-mata kerana jangka panjang adalah lebih penting bagi masa depan anak cucu kita.

"Beta minta Ahli-ahli Dewan agar melihat perkara ini dengan lebih serius. Beta mahu Kerajaan Negeri tidak terlalu memikirkan sangat kritikan tentang keberhasilan jangka pendek yang diinginkan oleh sesetengah pihak tetapi terus berpegang kepada pesanan beta ini," titah baginda.

Titah baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Tunku Temenggong Kedah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Wisma Darul Aman, di sini.

Baginda bertitah,  tugas sesebuah Kerajaan bukan hanya untuk meraih populariti dalam tempoh lima tahun semata-mata.

"Beta yakin Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar akan mampu menggalas tanggungjawab ini dengan penuh ikhlas dan berkesan.

"Beta juga mencadangkan agar pentadbiran negeri melaksanakan secara bijaksana segala rancangannya berpandukan prinsip kemakmuran dan keselesaan rakyat terutama dalam kalangan mereka yang kurang upaya, tidak berkemampuan dan tercicir daripada arus pembangunan," titah baginda.

Berangkat sama ialah Toh Puan Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Seri Tengku Maliha binti Tengku Ariff; Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah, Yang Teramat  Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Toh Puan Laksamana Kedah, Yang Amat Berbahagia Datin Seri DiRaja Dato’ Nora binti Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir; isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sumber:UMTK
18auto
ALOR SETAR 18 Ogos – Sistem pintu automatik bagasi bakal diperkenalkan selepas kerja naik taraf Jeti Kuah siap selewat-lewatnya pada September 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, sistem itu akan memudahkan urusan pengendalian bagasi pengunjung ke Pulau Langkawi dengan lebih sistematik.

Menurutnya, kini penumpang terpaksa membawa sendiri bagasi mereka ke dalam feri tanpa sebarang had muatan.

“Melalui sistem ini, penumpang yang mempunyai tiket sahaja dibenarkan membawa masuk bagasi melepasi pintu automatik itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB. Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau berkata, bagasi akan diuruskan oleh operator yang membawa masuk ke dalam feri dan diletakkan di tempat khas.

“Selain itu, Jabatan Laut sudah berbincang dengan operator feri untuk menyelaraskan pembayaran troli membawa bagasi kepada sekali berbanding sekarang di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuah,” katanya.

Bagi mengatasi masalah kesesakan di Jeti Kuah yang sering kali berlaku pada musim cuti, perbincangan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan pihak berkuasa tempatan turut diadakan.

“Kita akui masalah kerana kemasukan kenderaan persendirian bertambah pada waktu itu dan bagi memastikannya berjalan lancar, pihak terbabit akan diminta menyediakan parkir yang mencukupi.

“Masalah di Jeti Kuala Kedah dapat diselesaikan apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Laut membina parkir bertingkat dilaksanakan kelak. Sekarang ini sudah peringkat akhir menentukan reka bentuk,” ujarnya.

Sumber:UMTK
18jaik
ALOR SETAR 18 Ogos – Jabatan Agama Islam Negeri Kedah menangkap enam penganjur ajaran sesat yang dikesan bergerak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan ajaran sesat.

“Sehingga 30 Jun 2014, kita menyiasat enam kes melibatkan ajaran sesat, termasuk Syiah sebelum membuat tangkapan.

“Kita mewujudkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang melanggar fatwa,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul (PAS-Tokai) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, sejak tahun 2001, empat kes ajaran sesat diambil tindakan mahkamah, tiga dalam siasatan, satu bebas dan selebihnya sedang dipantau.

Sumber:UMTK
18media
ALOR SETAR 18 Ogos – Kes salah guna media sosial semakin meningkat dan pesalah boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah jika dilaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, setakat ini SKMM menerima 26 laporan terhadap pemilik akaun Facebook Chandra Lawan Tetap Lawan yang didakwa menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, walaupun akta SKMM  terlalu terhad untuk mengambil tindakan mahkamah tetapi penyalahgunaan laman media sosial boleh dibanteras dengan kerjasama semua pihak apabila laporan polis dibuat.

“Kita menerima banyak laporan mengenai isu penghinaan pelbagai pihak dalam media sosial. Dalam hal ini, kita perlu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil rakyat tanpa mengira parti untuk bersama menjayakan penguatkuasaan akta itu.

“Harap pihak berkuasa ambil tindakan setimpal terhadap pemilik akaun yang salah guna kebebasan dalam media sosial,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini.

Sehubungan itu, katanya, semua pemilik perlu bertanggungjawab menjaga akaun atau laman masing-masing agat tidak digunakan pihak lain untuk memuatnaik bahan yang terlarang.

Sumber:UTMK