26tahfiz

ALOR SETAR 26 Jun – Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menambah baik Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, penambahbaikan akan dilakukan dengan membina blok asrama serta keperluan pembelajaran yang lain termasuk makmal sains di sekolah terbabit.

“Kita sudah pun melakukan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat untuk kerja-kerja menambahbaik maahad itu dan berharap kita dapat memulakan proses penambahbaikan selewatnya tahun ini juga.

“Jika bangunan asrama dan keperluan lain tidak mencukupi, ia akan memberi masalah kepada pelajar yang baru mendaftar masuk ke situ pula,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri masih dalam proses rundingan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi meluluskan peruntukan itu.

Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang dirancang akan dibina di Pulau Tuba, Langkawi ditangguhkan bagi memberi laluan terhadap proses menambah bangunan asrama kampus sementaranya di Jalan Pegawai, Kulim.

Difahamkan, Maahad Tahfiz Sains Darul Aman dicadangkan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri terdahulu dan apabila berlaku pertukaran tampuk pemerintahan, bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menasihatkan Menteri Besar baru, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir supaya memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil dan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Pulau Tuba, Langkawi.

Dalam pada itu, apabila diminta mengulas mengenai ada dakwaan menyatakan Kerajaan Negeri meminggirkan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman kerana dirancang oleh Kerajaan Negeri terdahulu, beliau menafikan perkara itu.

“Kita kena jaga maruah Negeri Kedah. Tidak mungkin dalam hal sebegini kita nak biarkan dan kita nak ketepikan.

Kalau yang bercakap itu hanya ‘orang jauh’, baik mereka hentikan kerana kita akan sentiasa memastikan perkara yang berkaitan dengan pendidikan yang berlandaskan Islam diteruskan,” katanya.

Sumber:UMTK
26bintang

ALOR SETAR 26 Jun – Sebanyak 11 agensi Kerajaan Negeri menerima penarafan empat bintang dari Jabatan Audit Negara.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana belum ada mana-mana negeri mencapai penarafan empat bintang melibatkan banyak agensi Kerajaan dalam satu-satu masa.

“Antara agensi yang menerima penarafan empat bintang ialah Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Pejabat Perbendaharaan Negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Tanah Daerah Kulim dan Pejabat Tanah Daerah Yan.

“Turut menerima penarafan empat bintang ialah Majlis Perbandaran Kulim, Jabatan Hutan dan Pejabat Daerah Kota Setar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini.

Sumber: UMTK
26ketum
ALOR SETAR 26 Jun – Tanah sawah yang disalahgunakan oleh individu atau pemilik dengan menjadikannya sebagai ladang ketum akan dirampas kerana menyalahgunakan permit mengusahakan sawah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri tidak bertolak ansur sebaliknya akan mengambil tindakan untuk membanteras penyalahgunaan daun ketum.

Beliau berkata, itu adalah antara cadangan yang akan diambil sementara menunggu keputusan Kerajaan Pusat mengambil tindakan berhubung kesalahan ketum dengan memindahkannya kepada akta dadah berbahaya berbanding akta racun sekarang ini.

“Ada seksyen tertentu yang membenarkan kita merampas tanah kerana melanggar syarat, khususnya dengan penanaman ketum. Kita akan kuatkuasakan segera sebagai tanda amaran kepada mereka yang menanam ketum, contohnya menggunakan tanah permit bendang dan Kerajaan tidak akan teragak-agak merampas tanah berkenaan.

“Kita sasarkan kawasan wujud aktiviti perladangan dan pemprosesan ketum, namun yang tanam satu atau dua pokok juga tetap dikira melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau menjelaskan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga sudah mengenal pasti sesiapa yang melanggar syarat-syarat ini.

“Kita juga turut mendapat maklumat daripada Pejabat Tanah dan Galian kerana mereka yang mengeluarkan lesen untuk tanah-tanah ini termasuk tanah bertujuan khas untuk penanaman.

Justeru, jika kita dapati atas tanah selain padi ada juga pokok ketum itu adalah satu kesalahan.

“Kawasan yang banyak melakukan kesalahan adalah di kawasan saya iaitu Jerlun dan Kubang Pasu,” ujarnya.

Menurutnya, undang-undang sedia ada walaupun boleh dikenakan tangkapan terhadap pesalah ketum tetapi sekadar denda dan pesalah tetap lakukan kesalahan sama berulang kali serta tiada tambahan dari segi hukuman.

“Sebab itu kita lihat penting untuk mempercepatkan proses akta baru jadikan satu kesalahan bawah akta dadah merbahaya di peringkat Dewan Rakyat.

“Setakat ini, penanaman ketum di peringkat negeri sudah dianggap kesalahan walaupun belum dikuatkuasakan akta dan kita akan buat kajian kes dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang wajar,” katanya.

Sumber: UMTK
26zon

SUNGAI PETANI 26 Jun – Orang ramai diminta mematuhi arahan larangan Zon Santuari Udang Galah Sungai Muda dekat Kampung Permatang Pasir, Tikam Batu selain pemantauan dilakukan sepanjang masa di kawasan itu.

Ketua Pusat Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak, Dr Azhar Hamzah berkata, arahan itu perlu dipatuhi, selain kerja-kerja pemantauan memerlukan sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di samping beberapa pendekatan lain.

“Kita melakukan mesyuarat bulanan bagi mengetahui perkembangan, tangkapan dan juga berbincang bagaimana untuk memelihara kawasan ini.

“Bagaimanapun, kita bimbang sekiranya ada pengunjung waktu malam tanpa disedari yang datang ke kawasan larangan untuk melakukan aktiviti menangkap udang,” katanya.

Beliau menegaskan, penduduk mahupun nelayan luar perlu mematuhi peraturan yang telah diperjelaskan supaya beredar dari kawasan zon itu agar tidak memusnahkan benih udang yang baru sahaja dilepaskan atau belum matang.

“Kita mengharapkan agar udang galah yang dilepaskan di Sungai Muda akan terus membiak sehingga mencapai tempoh matang lima bulan,” ujarnya.

Menurutnya, benih yang dilepaskan seberat kira-kira 0.01 gram akan terus membesar sehingga mencapai 20 hingga 30 gram atau udang jantan boleh membesar sehingga 50 hingga 60 gram.

Wakil Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan di Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang, Ismail Ishak berkata, udang galah merupakan spesis penting bernilai tinggi dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi memelihara sumber tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya berkata, pelepasan 100,000 benih udang galah sempena projek perintis pertama di Malaysia adalah sesuatu yang bermanfaat untuk penduduk dan nelayan.

Tambahnya, usaha yang dilakukan Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja mampu memelihara semula habitat udang galah yang hilang akibat projek tebatan banjir, malah memberi manfaat kepada nelayan dalam tempoh lima bulan akan datang.
“Kita harap semua nelayan patuhi arahan larangan sehingga udang menjadi matang,” katanya.

Sumber: UMTK
24masjidMukhriz Mahathir menyampaikan sumbangan kepada imam masjid selepas pelancaran Ihya Ramadan 1435H bagi peringkat negeri di Alor Setar, Kedah, semalam. - Utusan/ismail kamadin

ALOR SETAR 24 Jun - Bersempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi, sebanyak 563 masjid di negeri ini masing-masing menerima sumbangan RM1,000 sebagai galakan untuk ahli jawatankuasanya menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sumbangan itu juga sebagai simbolik kepada keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan negeri terhadap institusi yang dianggap sebagai ‘jantung’ masyarakat tersebut.

"Ingin saya jelaskan betapa kerajaan negeri sentiasa mengambil tanggungjawab dalam semua perkara dengan bersungguh-sungguh termasuklah memastikan pengurusan masjid di negeri ini berjalan baik dan sempurna.

"Jantung masyarakat ini perlu dijaga dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Imarahkanlah dengan majlis-majlis ilmu, selain solat lima waktu dan janganlah mengotorkannya dengan penyelewengan dan menyalahgunakan mimbar untuk kepentingan politik sempit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada para imam dan ahli jawatankuasa masjid dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bersama-sama Toh Puan Temenggong, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan bagi merasmikan Program Ihya Ramadan anjuran anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Mengulas tentang program tersebut, Mukhriz berkata, pihak urus setia telah pun mengatur beberapa aktiviti di peringkat negeri dan daerah bagi membolehkan rakyat terlibat dengan banyak aktiviti berfaedah dan membawa kebaikan di sepanjang Ramadan.

"Antara aktiviti itu adalah majlis diskusi Ramadan, program peniaga bertakwa, solat sunat tarawih satu juzuk pada setiap malam, tadarus al-Quran dan qiamullail pada 10 malam terakhir yang akan dilangsungkan di Masjid Zahir di sini.

"Selain itu, akan diadakan juga kuliah Ramadan secara atas talian dengan kerjasama KedahFM pada setiap hari bekerja bermula 30 Jun depan hingga 24 Julai sebelum program ditutup majlis khatam al-Quran pada 24 Julai nanti," ujarnya.

Selain itu katanya, terdapat juga program sambutan Istiqbal Ramadan dijalankan di masjid-masjid terpilih yang akan ditentukan oleh pegawai agama daerah masing-masing dan sebarang maklumat tentangnya akan diumumkan kemudian.

Sumber:Utusan
24tangki
KUALA NERANG 24 Jun – Lebih 65 peratus premis Kerajaan  di seluruh Negeri Kedah sudah melaksanakan program pengosongan tangki septik sejak ia diperkenalkan di negeri ini dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Dato’ Ir Abdul Kadir Mohd Din berkata, sehingga 18 Jun 2014, sebanyak 10 program pengosongan tangki septik sudah dilaksanakan di premis seluruh negeri dalam tempoh dua tahun.

Katanya, IWK tidak menghadapi sebarang masalah  menjalankan program itu di premis Kerajaan, namun dalam masa sama IWK mendapati perlu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Bagi pihak Kerajaan tidak timbul masalah untuk melaksanakan kempen ini, namun kita dapati kesedaran orang ramai masih rendah dan ia memerlukan usaha yang lebih bagi membolehkan mereka turut serta dalam program ini.

“Tahap kesedaran masyarakat terutamanya pemilik rumah persendirian yang menggunakan tandas curah tanpa sistem yang betul di kawasan luar bandar masih rendah. Mereka masih tidak jelas mengapa program pengosongan tangki septik ini penting untuk membantu memelihara sumber ini,” katanya pada Kempen Pengosongan Tangki Septik Individu di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad, di sini.

Menurutnya, program pengosongan tangki septik ini sangat penting kerana ia menjadi antara langkah utama yang perlu dilakukan semua pihak untuk membantu memelihara sumber air.

Tambahnya, dalam kebanyakan kes yang menyebabkan berlakunya kekurangan air adalah berpunca daripada sumber air sedia ada yang tercemar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB. Kama Noriah Ibrahim berkata, beliau berharap penduduk terutamanya di kawasan luar bandar supaya cuba mengikuti program ini untuk sama-sama membantu mengurangkan pencemaran.

“Memang agak sukar untuk program ini dilaksanakan di kawasan terbabit, namun saya percaya jika usaha berterusan dilakukan mereka boleh menerimanya secara berperingkat,” ujarnya.

Sumber:UMTK
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
23tahfiz
Mukhriz Tun Mahathir merakam sendiri gambarnya bersama graduan Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Islam Negeri Kedah sambil diperhatikan Mohd. Rawi Abd. Hamid (kanan) selepas menyampaikan Diploma Tahfiz al-Quran di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam.- UTUSAN/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 23 Jun - Maahad Tahfiz Al-Quran (MTAQ) Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) yang cukup terkenal dalam melahirkan penghafaz al-Quran dan ilmuan agama di negeri ini bakal ditukar namanya sebagai Institut Quran Darul Aman (IQDA) dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, pembaharuan yang dijalankan kerajaan negeri ke atas pusat pengajian itu bukan sekadar pada nama malah turut merangkumi pengisian pembelajaran yang akan diterapkan kepada para mahasiswa di situ.

"Sebagai institut, fungsi pusat pengajian ini nanti tidak akan terbatas hanya kepada hafazan Al-Quran, sebaliknya pengetahuan penuntut akan diperkasakan lagi dengan penambahan subjek sains dalam Islam.

"Kita semua tahu banyak persoalan sains terjawab dalam Islam dan ramai ilmuan Islam yang cukup dikenali dalam dunia sains. Jadi tidak mustahil, akan lahir dari sini golongan profesional yang terdiri daripada penghafaz al-Quran pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Diploma Tahfiz al-Quran kepada 35 graduan pusat pengajian itu di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan YINK, Mohamad Che Nai.

Mukhriz yang juga Pengerusi YINK menambah, bagi melaksanakan perubahan tersebut, pihaknya akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar wujud kolaborasi antara IQDA dengan pusat-pusat pengajian awam di seluruh negara bagi membolehkan siswazah lepasannya menyambung pengajian di universiti-universiti lain dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, perakaunan.

Menurutnya langkah itu boleh dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa subjek teras seperti fizik, matematik tambahan, perakaunan dan bahasa Inggeris yang kemudiannya boleh dipindah kredit apabila lepasan IQDA menyambung pengajian di universiti lain.

"Sekiranya itu dapat dilaksanakan, Insya Allah impian untuk melihat lebih ramai daripada golongan profesional terdiri daripada kalangan huffaz mampu dicapai.
"Dan bayangkanlah, betapa bertuahnya negeri dan negara ini apabila golongan itu meningkat dengan mendadak. Insya Allah segala perancangan dan tugas yang dijalankan dalam memajukan negara sentiasa mendapat bimbingan Allah," katanya.

Sumber:Utusan
23komited

BALING 23 Jun – Kerajaan sedang berusaha untuk menyediakan sebuah hospital pakar di daerah ini bagi kemudahan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Kerajaan peka dengan permasalahan rakyat di luar bandar yang dahagakan pembangunan dan ekonomi yang boleh menjamin kesejahteraan hidup serta masa depan mereka.

“Pesakit terpaksa mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani walaupun terkena patukan ular berbisa kerana tidak mempunyai kepakaran di hospital sedia ada.

“Jadi, Kerajaan akan berusaha menyediakan hospital pakar kerana pembangunan seperti ini yang diperlukan oleh rakyat, malah mereka tidak lagi tergesa-gesa ke hospital di Sungai Petani,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja selama dua hari pada Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Baling, di sini.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM450,000 untuk membina sebuah jambatan konkrit bagi kemudahan penduduk Kampung Sungai Limau dan Kampung Pekan Lama Pulai.

Katanya, jambatan gantung sepanjang 30 meter yang dibina sejak 50 tahun lalu amat membahayakan penduduk terutama kanak-kanak sekolah dan petani kerana ia terlalu uzur.

Dengan peruntukan sebanyak itu dapat membina sebuah jambatan konkrit dan memberi kemudahan kepada penduduk setempat kerana laluan itu adalah laluan mereka untuk ke Pekan Baling.

Menyentuh tentang pertemuannya bersama penduduk kampung yang kebanyakannya penoreh dan pekebun getah, beliau berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka ekoran kejatuhan harga komoditi tersebut sejak kebelakangan ini.

“Saya telah menerima memorandum daripada Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (PERGETAH) mengenai harga getah yang merudum dan tidak seimbang sehingga mempengaruhi kehidupan golongan ini.

“Saya juga telah memanjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan mempertimbangkan supaya bantuan khas oleh Kerajaan itu dapat dimanfaatkan kepada mereka,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, YB. Dato’ Azmi Che Husain dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO).

Sumber:UMTK
23baling 
BALING 23 Jun – “Kira-kira 800 hektar tanah terbiar di daerah ini akan dibangunkan dengan pelbagai projek ekonomi supaya ia dapat dimanfaatkan rakyat pada masa hadapan,” kata Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Menurutnya, pelbagai cadangan sudah dikemukakan termasuk pelbagai bidang pertanian, perusahaan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pembangunan infrastruktur yang mampu merancakkan pembangunan di Daerah Baling.

“Antara beberapa cadangan dikemukakan termasuk perusahaan penanaman ubi kayu untuk penghasilan makanan haiwan dan kosmetik bagi tujuan eksport, penternakan lebah bagi menghasilkan madu kelulut, selain pembangunan infrastruktur seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), hospital pakar dan sebuah Masjid Daerah yang boleh merancakkan ekonomi setempat.

“Melalui perbincangan dengan pihak Pejabat Daerah, pelbagai cadangan sudah dibangkitkan bagi memajukan daerah ini.  Kami mendapati keperluan untuk meningkatkan tarif ekonomi di Baling ini sangat tinggi kerana kebanyakan penduduk di kawasan ini bergantung kepada tanaman getah untuk sara hidup,” katanya pada majlis pelancaran Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Baling yang diadakan di Dataran Baling, di sini.

Beliau menjelaskan, apabila harga komoditi itu menurun ia memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat terutama yang tinggal di luar bandar yang bergantung hidup dengan punca menoreh.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri akan cuba memudahkan apa saja urusan bagi membantu menjayakan pembangunan Baling termasuk soal infrastruktur dan tanah bagi membangunkan pembangunan berkenaan.

Ujarnya, hasrat Kerajaan Negeri untuk membina sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa di kawasan Sidam yang bersempadan antara Padang Serai dan Sungai Petani bertujuan meningkatkan pertumbuhan pesat kawasan Zon Utara.

“Kita tidak perlu bersaing dengan Pulau Pinang, tetapi kita bercadang membinanya untuk menampung perkhidmatan pesawat dan barangan sekaligus menjana ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, YB. Dato’ Azmi Che Husain.

Sumber:UMTK
21luarMukhriz Tun Mahathir (kanan) mencuba masakan ala kampung keli bakar dan ulam ketika menghadiri rumah kenduri di Kampung Sungai Limau sempena lawatan kerja Program Mesra Rakyat Peringkat Parlimen Baling, Kedah, semalam. - mingguan/Norlia Ramli

BALING 21 Jun - Kerajaan sedang berusaha untuk menyediakan sebuah hospital pakar di daerah ini bagi kemudahan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan peka dengan permasalahan rakyat di luar bandar yang dahagakan pembangunan dan ekonomi yang boleh menjamin kesejahteraan hidup serta masa depan mereka.

"Pesakit terpaksa mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani walaupun terkena patukan ular berbisa kerana tidak mempunyai kepakaran di hospital sedia ada.

"Jadi kerajaan akan berusaha menyediakan hospital pakar kerana pembangunan seperti ini yang diperlukan oleh rakyat malah mereka tidak lagi tergesa-gesa ke hospital di Sungai Petani," katanya ketika mengadakan lawatan kerja Program Mesra Rakyat Peringkat Parlimen Baling selama dua hari bermula hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husain; ADUN Kupang, Harun Aziz dan barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM450,000 untuk membina sebuah jambatan konkrit bagi kemudahan penduduk Kampung Sungai Limau dan Kampung Pekan Lama Pulai dekat sini.

Katanya, jambatan gantung sepanjang 30 meter yang dibina sejak 50 tahun lalu amat membahayakan penduduk terutama kanak-kanak sekolah dan petani kerana ia terlalu uzur.

‘’Dengan peruntukan sebanyak itu dapat membina sebuah jambatan konkrit dan memberi kemudahan kepada penduduk setempat kerana laluan itu adalah laluan mereka untuk ke pekan Baling,’’ katanya.

Menyentuh tentang pertemuannya bersama penduduk kampung yang kebanyakkannya penoreh dan pekebun getah, kata Mukhriz, beliau berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka ekoran kejatuhan harga komoditi tersebut sejak kebelakangan ini.

"Saya telah menerima memorandum daripada Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah) mengenai harga getah yang merudum dan tidak seimbang sehingga mempengaruhi kehidupan golongan ini.

"Saya juga telah memanjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan mempertimbangkan supaya bantuan khas oleh kerajaan itu dapat dimanfaatkan kepada mereka," katanya.

Sumber:Utusan
20pksMukhriz Tun Dr. Mahathir memasak kuih tradisional Melayu, 'kuih karas' di gerai peserta Amanah Ikhtiar, Endan Hashim (kiri) di Jerlun, Kedah, semalam.

JERLUN 20 Jun - Kerajaan negeri akan membangunkan pusat pengumpulan dan pengedaran barangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sungai Petani dalam masa terdekat bagi membantu meningkatkan perdagangan produk tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, permintaan untuk produk PKS Kedah di negeri lain amat menggalakkan dan kerajaan negeri akan membantu usahawan PKS dari segi logistik bagi memasarkan barangan mereka dengan adanya pusat tersebut.

"Dalam soal produk ini kita tidak ada masalah dari segi pembungkusan kerana ia semakin baik namun usahawan PKS kita adalah masalah untuk memasarkan produk ke negeri lain sebab proses ini memakan belanja yang tinggi.

"Sebab itu saya cadangkan agar diwujudkan satu pusat pengumpulan dan pengedaran barangan PKS di negeri ini bagi membantu ushawasan PKS dari segi logistik dan saya yakin cara ini mampu meluaskan jaringan pemasaran produk negeri Kedah ke negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kelab Usahawan Ikhtiar (Blok Ayer Hitam) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Wisma UMNO Jerlun di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, sebagai permulaan kos untuk tujuan penghantaran barangan PKS itu akan ditanggung oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban para usahawan PKS.

"Kos awal kerajaan negeri akan tanggung dari segi logistik, kemudian kita akan lihat mungkin kita boleh kongsi kosnya bersama usahawan dan saya yakin kosnya tidak terlalu tinggi.

"Kita akan mulakan dengan satu kontena dahulu dan makanan kering dipilih untuk tujuan tersebut kerana kita tidak perlukan kontena yang berhawa dingin jika kita hantar makanan kering ke negeri lain.

"Jika makanan kering ini dipromosi dengan baik, sudah pasti permintaan untuk produk tersebut akan meningkat dan akhirnya usahawan PKS negeri ini akan mampu menguruskan kontena penghantaran mereka sendiri," ujarnya.

Tambah beliau, negeri Johor merupakan negeri pertama yang akan menjalinkan usahasama perdagangan produk PKS itu dengan negeri Kedah.

"Semalam saya sekali lagi berbincang dengan Menteri Besar Johor dan beliau bersetuju untuk mengenalpasti pusat pengumpulan dan pengedaran barangan PKS di negeri tersebut.

"Kalau kita ada gabungan antara dua negeri ini iaitu Kedah dan Johor, setiap minggu ada kontena yang membawa barangan PKS dari dua negeri ini akan bergerak serta mewujudkan hubungan perdagangan antara negeri-negeri," jelasnya.

Sumber: Utusan
18kargo

ALOR SETAR – 18 Jun Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kedah, bertujuan menampung keperluan perkhidmatan kargo dan penumpang yang semakin meningkat di negeri-negeri utara tanah air.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan itu dikemukakan selepas melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang kini lebih menjadi tumpuan pelancong dan tidak menjurus kepada perkhidmatan kargo.

“Kemudahan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang juga semakin terhad untuk menampung keperluan pertambahan kargo dan penumpang pada masa depan.

“Kita berpendapat zon utara yang merangkumi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan mungkin bahagian utara Perak memerlukan satu lapangan terbang antarabangsa selain Pulau Pinang yang lebih kepada perkhidmatan kargo industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kedah 2014 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pesta anjuran Persatuan Wanita Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pesta itu diadakan bertujuan mempromosi keunikan budaya dan tradisi negeri itu serta kawasan pelancongan, selain bagi mengumpul dana untuk penubuhan Rumah Kedah di ibu negara.

Cadangan pembinaan lapangan terbang di Kulim dengan keluasan tapak 6,000 hektar itu dikritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkannya satu pembaziran.

Bagaimanapun, Menteri Besar menafikan kritikan Guan Eng sebaliknya menyatakan cadangan pembinaan lapangan terbang itu adalah demi pembangunan dan untuk manfaat seluruh rakyat khususnya di utara tanah air.

“Kalau dulu mereka iaitu pembangkang turut mengatakan pembinaan jambatan Pulau Pinang juga pembaziran, tapi kita lihat sekarang sudah dua jambatan di negeri itu dibina.

“Bagi saya cadangan  DAP untuk membina terowong dasar laut di Pulau Pinang lebih membazir daripada membina sebuah lapangan terbang yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Sumber:UMTK
18bazir
ALOR SETAR 18 Jun – Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim bukan suatu pembaziran, sebaliknya keperluan untuk memberi perkhidmatan logistik kepada Wilayah Utara.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, perkara itu juga bukan dibuat secara terburu-buru malah kajian dan perincian projek sudah dibincangkan dalam Makmal Transformasi Kedah (MTK) pada September 2013.

“Cadangan membina lapangan terbang ini adalah hasil daripada MTK dan sudah dibuat kajian, justifikasi dan rasional sebuah lapangan terbang baru wajar dibina di Selatan Kedah. Antara tujuannya untuk melengkapkan pembangunan secara menyeluruh di Kulim Hi-Teck Park (KHTP) selaras dengan Pelan Transformasi KHTP,” katanya.

Menurutnya, antara aspek yang perlu dibuat penambahbaikan untuk menjayakan pelan itu adalah keperluan membina lapangan terbang antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu turut menempelak kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan cadangan itu sebagai pembaziran dan tidak berkepentingan rakyat.
“Ini bukan projek yang membazir. Ini keperluan masa depan untuk Wilayah Utara dalam menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelabur dan pemain industri. Malah saya percaya ia juga penting untuk pembangunan Koridor Utara dalam merancakkan lagi pembangunan industri,” ujarnya.

Tambahnya, kemungkinan Guan Eng dibayangi rasa resah sekiranya lapangan terbang baru itu menjadi kenyataan, kelak aliran trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas terjejas atau pelabur luar beralih ke Kedah, berikutan kemudahan yang disediakan lebih baik.

Katanya, fungsi lapangan terbang itu juga kelak lebih menyeluruh dan mempunyai landskap berbeza dengan lapangan terbang berdekatan, antaranya mempunyai dua landasan bagi kegunaan kargo dan penumpang.

“Ia juga bakal dilengkapi perkhidmatan khusus untuk bidang industri yang mana Kedah kawasan industri bertumpu di Sungai Petani dan Kulim. Faktor jarak dari lapangan terbang sedia ada menyebabkan perkhidmatan tidak dapat ditawarkan dengan baik,” katanya.

Merujuk kepada anggaran keluasan mencecah 6,000 hektar, beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah butiran terperinci dibincangkan bersama agensi berkaitan termasuk Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Sememangnya kita ada wakil MAB dan DCA dalam Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerja Raya bawah MTK yang membincangkan terperinci projek ini. Kita juga dapatkan input berkaitan daripada mereka sebelum perkara itu diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.

Ujarnya, perbincangan berkaitan projek itu dibuat dari semasa ke semasa, malah jawatankuasa akan kemukakan kertas kerja dan kajian terperinci baru selepas perkara itu diteliti Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Buat masa ini, perancangan awal dalam penelitian Perdana Menteri, butiran terperinci akan dikemukakan lagi apabila kita melalui fasa-fasa perbincangan kerana ia masih di peringkat awal cadangan,” katanya.

Sumber:UMTK
17tindakan
ALOR SETAR 17 Jun - Kerajaan Negeri Kedah akan ambil tindakan undang-undang membabitkan kesalahan menyebarkan ajaran Syiah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, tindakan itu akan dilaksanakan melalui peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Jenayah Syiah Kedah 2013 yang telah pun diwartakan.

“Enakmen itu akan dikuatkuasakan serta-merta dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat aduan dan laporan mengenai penyebaran ajaran yang menyimpang dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Selain enakmen itu, fatwa juga sudah ada. Penguatkuasaan sepenuhnya akan dilakukan demi menjaga kesucian agama Islam,” ujarnya.

Menurutnya, melalui pecahan Seksyen 9 dan 11 dalam enakmen itu, sekiranya mana-mana individu yang mengajar atau berdakwah ajaran yang menyalahi fatwa boleh diambil tindakan.

“Dalam enakmen ini bukan sahaja ditujukan terhadap ajaran fahaman Syiah, bahkan mana-mana ajaran saja yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam boleh diambil tindakan. Jadi ia bersifat terbuka untuk Kerajaan Negeri mengeluarkan fatwa secara berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian persefahaman pembiayaan kos projek pemilikan hartanah dan pengubahsuaian francais Tune Hotel Alor Setar antara Kubang Pasu Hotel Services Sdn Bhd dan Bank Rakyat yang diadakan di Hotel Sentosa Regency, di sini.

Mengulas mengenai kegiatan kumpulan fahaman Syiah di Pendang yang mengadakan perhimpunan sempena memperingati hari kelahiran Saidina Hussein baru-baru ini, katanya, majlis anjuran kumpulan itu tidak mendapat sambutan.

“Kita cuba ambil tindakan menghalang perhimpunan itu dengan membuat laporan polis. Berdasarkan laporan dan maklumat, memang ada sambutan tetapi dalam kalangan mereka saja.

“Hanya perjumpaan biasa yang diadakan di rumah ketua mereka. Manakala rombongan dari negeri lain untuk ke acara itu membatalkan hasrat mereka untuk hadir,” ujarnya.

Sumber:UMTK
17tinju
SIK 17 Jun - Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan daerah ini sebagai lokasi tumpuan bagi sukan Muay Thai dan tinju berikutan sambutan memberangsangkan daripada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah berkata, sukan yang menjadi pilihan anak muda itu mempunyai potensi untuk dibangunkan.

“Memandangkan golongan belia amat meminati sukan ini, maka kita mencadangkan supaya menjadikan Sik sebagai daerah sukan untuk Muay Thai dan tinju.

“Selain itu, cadangan juga turut dikemukakan kepada Kerajaan supaya diadakan pusat akademi dan latihan untuk Muay Thai dan tinju,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Muay Thai Terbuka Negeri Kedah di Dewan Sekolah Kebangsaan Beris Jaya, di sini.

Beliau yakin jika terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk sukan tersebut, daerah ini boleh menganjurkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Hasri Mohd Hadzir berharap daerah ini dijadikan sebagai acara tahunan untuk Muay Thai dan tinju.

“Latihan lebih lanjut perlu diadakan untuk peserta-peserta Muay Thai dan tinju kerana ramai golongan muda meminati sukan ini dan ramai juga berbakat.
“Kita boleh mengetengahkan mereka ini supaya boleh menjadi pemain yang profesional sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Dalam pertandingan itu, seramai 16 pasangan bertanding bagi merebut kejuaraan Muay Thai Terbuka Negeri Kedah Peringkat Daerah Sik.

Sumber:UMTK
16kuota

GURUN 16 Jun – Kerajaan akan terus memohon tambahan kuota haji dari Arab Saudi untuk membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menunaikan ibadah itu tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, antara usahanya ialah mengadakan pertemuan dan menghantar surat permohonan rasmi.

“Kuota haji ini tak ada tarikh yang ditetapkan. Sebelum ini Kerajaan Arab Saudi pernah beri kuota tambahan tetapi seminggu sebelum wukuf.

“Kita tahu jumlah jemaah yang masuk untuk tunai haji selalunya tidak tepat. Kalau ada kosong pasti Arab Saudi akan beri kepada kita,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 24 keluarga mangsa banjir di Sungai Ibor, di sini.

Menurutnya, terdapat senarai menunggu dan ini membolehkan jemaah terbabit dipilih mengerjakan haji jika kuota tambahan diluluskan walaupun pada saat akhir.
“Jemaah berumur 75 tahun ke atas akan diberi keutamaan. Sehingga bulan Mei 2014, kira-kira 1.5 juta orang mendaftar untuk mengerjakan haji dan sebahagian besarnya terdiri dari golongan muda dan kanak-kanak.

“Senarai jemaah menunggu bertambah dengan kuota yang terbatas menyebabkan jemaah terpaksa mengambil masa hampir 50 tahun sebelum tiba giliran,” ujarnya.

Beliau berkata, kerja pembangunan di Masjidil Haram yang masih berlangsung menyebabkan kuota yang ditetapkan sebelum dikurangkan 20 peratus tahun 2013.
“Sejak tahun 2009, Arab Saudi memperuntukkan sebanyak 27,900 tempat setahun kepada jemaah haji Malaysia. Pengurangan 20 peratus itu menjadikan jumlah terkini jemaah ialah seramai 22,320 orang,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut memberi jaminan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara itu supaya kuota haji bagi Malaysia dapat ditambah pada masa akan datang.

Sumber:UMTK
BALING 15 Jun - Penoreh dan pekebun kecil daerah ini melahirkan perasaan lega dan terharu dengan pengumuman kerajaan mengenai bantuan Skim Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.

Pekebun kecil, Abu Bakar Abdullah, 62, berkata, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan mereka berasa tertekan.

"Harga barang semuanya naik sekarang, perbelanjaan anak-anak sekolah, harian, pembayaran bil-bil dan sebagainya membuatkan hidup kami tertekan.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan masalah dan kesusahan penoreh dan pekebun kecil seperti kami, dapatlah kami berbelanja pada bulan Ramadan nanti," kata Abu Bakar ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penoreh Getah Daerah Baling (PERGETAH), Mohd. Taufik Yaacob berkata, skim bantuan itu akan diberikan secara berperingkat dan akan berakhir sebelum perayaan Aidilfitri pada penghujung Julai ini.

"Semoga mereka dapat membelanjakan bantuan itu secara berhemah dan berjimat-cermat pada Ramadan dan ketika menyambut Aidilfitri," kata Mohd. Taufik.

Insentif sebanyak RM500 akan diberi kepada golongan tersebut yang tidak mempunyai kebun sendiri dan pekebun getah yang memiliki kebun di bawah keluasan 2.5 hektar.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abdul Aziz ketika meninjau kegiatan penoreh getah di kawasan itu berkata, pengumuman kerajaan itu akan disalurkan kepada golongan tersebut di seluruh negara.

"Langkah segera itu melibatkan peruntukan skim sebanyak RM130 juta bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah susulan kejatuhan harga getah di pasaran.

"Peruntukan itu juga telah membantu ramai penoreh dan pekebun kecil getah menjelang musim perayaan ini," katanya.

Sumber: Utusan
15kdh

ALOR SETAR 15 Jun – Negeri Kedah kini sedang mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih terancang dengan menumpukan kepada beberapa bidang utama yang boleh melonjakkan ekonomi negeri sepertimana negeri-negeri lain.

Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, di dalam melaksanakan dasar-dasar baru bagi Kerajaan Negeri melalui Pelan Transformasi Negeri Kedah, dasar-dasar sedia ada dari Kerajaan pemerintahan terdahulu masih lagi diteruskan, di samping memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Setelah setahun kepimpinan sekarang dalam mentadbir Negeri Kedah Darul Aman, pembangunan dan pentadbiran negeri telah dilaksanakan dengan sokongan dan dokongan setiap penjawat awam negeri.

“Dengan slogan ‘Kedah Aman Makmur, Bersama Memacu Transformasi’, slogan ini cuba diterjemahkan melalui Program Transformasi yang sedang dan telah dilaksanakan. Program ini melibatkan jabatan dan agensi negeri serta dipantau rapi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memastikan perancangan Kerajaan Negeri dapat direalisasikan bagi memenuhi hasrat rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Peningkatan Kerjaya dan Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu Kali Ke-14 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Menteri Besar menjelaskan, beliau bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan pentadbiran negeri turut membuat lawatan kerja serta kunjung hormat ke Negeri Melaka dan Johor bagi tujuan bertukar-tukar pandangan di samping mengeratkan hubungan sedia ada serta mencari peluang pelaburan dan mempelajari selok-belok pentadbiran negeri berkenaan.

“Kunjungan tersebut tidak akan terhenti di situ sahaja dan mungkin kita akan berkunjung ke Negeri Kelantan Darul Naim dan Negeri Terengganu Darul Iman,” katanya.

Tambahnya, sepertimana yang telah digariskan di dalam perkhidmatan awam, penjawat awam merupakan agen perubahan yang mampu mengubah sikap dan minda rakyat kerana mereka sentiasa hampir dan sangat rapat dengan rakyat, terutama bagi pegawai-pegawai yang berkhidmat di daerah.

“Saya amat gembira menyaksikan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri-Negeri Tidak Bersekutu yang mempunyai sejarah pentadbiran yang paling lama di negara ini, berkumpul dan berkampung di sini untuk bersama-sama menjayakan program sukan dan forum yang dilangsungkan setiap dua tahun sekali.

“Saya berharap program seperti ini akan dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memberi peluang dan ruang kepada pegawai-pegawai mengurangkan tekanan kerja serta bertukar-tukar pandangan. Apa yang penting, hubungan silaturahim mampu terjalin erat melalui program yang diadakan itu,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Wira Haji Khazali Haji Din; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB. Dato’ Haji Ismail Karim; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato’ Haji Mohd Faudzi Haji Che Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YB. Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sumber:UMTK
15airport

ALOR SETAR 15 Jun – Kerajaan Negeri sudah mengemukakan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negeri-negeri di utara tanah air.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang bakal beroperasi untuk kargo dan penumpang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Katanya, lokasi lapangan terbang tersebut dikenal pasti berdekatan dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) membabitkan tanah seluas 600 hektar.

“Kerajaan Negeri melihat bahawa permintaan pengangkutan udara ini semakin meningkat kerana kemudahan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang akan menjadi semakin terhad pada masa depan kerana keperluan kargo dan penumpang yang bertambah.

“Kita tahu bahawa Pulau Pinang mempunyai bidang tanah yang agak terhad, jadi lapangan terbang itu tidak boleh dibesarkan lagi.

“Tawaran Kedah kepada Kerajaan Persekutuan adalah tanah yang luas dan mampu menampung dua landasan lapangan terbang bertujuan untuk operasi kargo dan penumpang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Peningkatan Kerjaya dan Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu Kali Ke-14 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Kedah kini mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri juga yakin projek tersebut akan menjadi pencetus kepada pertumbuhan ekonomi di zon utara bukan sahaja membabitkan negeri ini, malah sektor industri di Selatan Thailand.

“Cadangan tersebut masih dalam peringkat awal. Saya telah menulis surat kepada Perdana Menteri mengenainya dan selepas ini, kita akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

“Kawasan yang dikenal pasti adalah melibatkan Kulim yang bersempadan dengan Sungai Petani. Ini bukan hanya mampu merancakkan ekonomi Kedah, malah juga negeri lain termasuk Pulau Pinang,” ujarnya.

Sumber:UMTK

ALOR SETAR 12 Jun – Kerajaan Negeri Kedah berminat menjalin kerjasama dua hala dengan Kerajaan Negeri Johor dalam beberapa sektor yang dilihat mampu memberi manfaat bersama khususnya perdagangan dan pelancongan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerjasama yang bakal dijalinkan akan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan khususnya yang terlibat dengan industri kecil dan sederhana (IKS).

Menurutnya, cabaran utama yang mungkin timbul dalam sektor perdagangan adalah permasalahan berkaitan logistik.

“Isu logistik contohnya adalah cabaran utama. Sekiranya terdapat perkhidmatan kontena yang kerap dan terus antara Kedah dan Johor pasti akan dapat meningkatkan nilai dagangan.

“Selain itu, kejayaan Johor dalam sektor pelancongan boleh diteladani Negeri Kedah,” katanya pada sidang media selepas Program Jalinan Transformasi antara Kedah dan Johor di Nusajaya, Johor.

Lawatan dua hari itu bertujuan mencari pengalaman baru serta mengeratkan hubungan antara Kerajaan kedua-dua negeri.

Kunjungan yang diketuai oleh Menteri Besar Kedah itu turut disertai kira-kira 60 orang termasuk pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Kedah, antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat bin Haji Mohd Ali.

Menteri Besar berkata, beliau lebih selesa menjalankan lawatan kerja di dalam negara terlebih dahulu sebelum melakukan lawatan ke luar negara.

“Kami berpandangan Kerajaan Negeri boleh mendapat pelbagai manfaat melalui lawatan kerja di dalam negara kerana pelbagai persamaan yang wujud,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, YB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, pihaknya mengalu-alukan jalinan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Negeri Johor dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Lawatan ini bertujuan berkongsi dan bertukar pandangan berhubung soal pengurusan, pentadbiran dan pembangunan Kerajaan Negeri.

“Kedah umpamanya merupakan negeri pengeluar beras terbesar negara ini manakala Johor pengeluar produk makanan berasaskan tanaman. Jadi, dengan adanya jalinan kerjasama, pastinya perdagangan dua hala dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sumber:UMTK
11tadbirurus
ALOR SETAR 11 Jun – Pelaksanaan tadbir urus baik mampu merealisasikan hasrat membangun dengan pesat secara holistik.

Ia bukan sahaja dari sudut pembangunan sosioekonomi  tetapi pembangunan akhlak iaitu integriti di segenap lapisan kepimpinan dan masyarakat.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, sistem penyampaian setiap organisasi dan Kerajaan Negeri menjurus kepada amalan tadbir urus baik mampu tercapai menerusi amalan integriti penuh beretika.

Menurutnya, amalan murni perlu diterap secara jujur dan ihsan di segenap peringkat pengurusan yang bertanggungjawab atas setiap lapisan pemegang taruh atau stakeholders dalam sistem penyampaian mereka.

“Namun ini adalah cabaran berat kepada diri saya dan setiap peringkat pentadbiran negeri samaada pentadbiran awam, anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, universiti, kolej, maktab, sekolah, institusi agama seperti masjid dan surau serta usahawan.

“Saya tidak mengharapkan kesempurnaan dalam waktu singkat kerana sifat itu hanya milik Allah dan kita manusia sentiasa diselubungi sifat kekurangan,” katanya ketika menyampaikan seminar peranan integriti dan etika dalam membentuk tadbir urus korporat yang baik pada Forum Insaniah Distinguished Speakers Series di Kolej Universiti Insaniah, di sini.

Tambahnya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menambah baik sistem penyampaian dan merupakan satu proses yang berterusan.

Pada sidang media pula, Menteri Besar berkata, kewujudan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus bukan sahaja memfokuskan kepada laporan ketua audit negara tetapi boleh digunakan untuk memeriksa serta menyiasat sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan.

“Setakat ini di Kedah masih tiada laporan mengenai apa-apa kes tetapi sedang meneliti beberapa kes melibatkan pegawai yang meluluskan peruntukan melampaui kuasa untuk sebarang perbelanjaan atau mengeluarkan permit lesen tidak dibenarkan, contohnya permit sementara pusat hiburan.

“Siasatan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus mengikut garis panduan sedia ada. Kewujudannya amat baik kerana sebelum ini tiada jabatan lain melaksanakannya,” ujarnya.

Sumber:UMTK
11syiah
ALOR SETAR 11 Jun – Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah, Kedah Darul Aman 2013  yang diluluskan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ogos 2013 akan berkuatkuasa serta-merta bermula bulan Jun 2014, sekaligus tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pengikut dan penyebar fahaman Syiah di negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pindaan rang undang-undang yang diluluskan dalam Sidang DUN itu sudah digazet dengan percetakan rang undang-undang berkenaan untuk diguna pakai.

Menurutnya, apabila ia dicetak, dengan serta-merta ia akan berkuatkuasa. “Hujung bulan Mei 2014, rang undang-undang itu sudah pun dicetak dan digazet. Justeru, kita mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Sebelum ini, walaupun sudah dipersetujui dalam Sidang DUN untuk pindaan rang undang-undang tetapi sebab belum dicetak, ada pihak tertentu cuba mencabar penguatkuasaan undang-undang dengan menganjurkan perhimpunan Syiah Peringkat Kebangsaan biarpun sebenarnya melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan seminar pada program Insaniah Distinguished Speakers Series di Kolej Universiti Insaniah, di sini.

Beliau menjelaskan, susulan itu, Pemuda UMNO Kedah sudah membuat laporan polis kerana tersebar luas maklumat mengenai penganjuran perhimpunan Syiah yang dianjurkan di Pendang, Kedah.

“Apabila rang undang-undang itu sudah digazet dan kemudian ada laporan polis daripada mana-mana pihak, polis sudah boleh bertindak dengan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan.

“Kita sekarang bukan sekadar memberi amaran terhadap penyebar Syiah, tetapi sudah mempunyai kuasa untuk bertindak seperti mana yang diperuntukkan oleh undang-undang baru yang dipinda,” ujarnya.

Sumber:UMTK
9peka
SIK 9 Jun – Seramai 100,000 pemilik kebun getah dan penoreh di Kedah akan memperolehi bantuan one-off sebanyak RM500 daripada Kerajaan berikutan harga getah yang merosot sejak akhir-akhir ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan sentiasa peka dengan masalah rakyat terutamanya berkaitan dengan ekonomi dan kebajikan mereka.

“Kerajaan sentiasa memandang serius tentang masalah rakyat dan sentiasa mendengar denyutan nadi mereka terutamanya mengenai kebajikan dan permasalahannya.

“Berikutan daripada itu, Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersungguh-sungguh membantu golongan ini bagi meringankan bebanan rakyat,” katanya ketika merasmikan Fiesta Mesra Rakyat Daerah Sik anjuran Pemuda UMNO Bahagian Sik dan Dewan  Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang diadakan di Dewan Bandar Baru Beris Jaya, di sini.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengumumkan mengenai pelan jangka pendek dan jangka panjang serta sederhana bagi membantu rakyat di negeri ini.
“Dalam cadangan pendekatan kepada Perdana Menteri itu, empat perkara telah diusulkan dan kelulusan sebanyak RM130 juta kepada pemilik kebun getah dan penoreh adalah salah satu daripadanya.

“Usul juga turut dikemukakan mengenai penoreh dan peladang yang tidak mempunyai tanah supaya turut diberikan bantuan serta kaedah bantuannya  sedang diperhalusi,” ujarnya.

Mengenai pelan jangka sederhana dan panjang, Menteri Besar berkata,  ia akan diperhalusi lagi supaya ianya lebih adil dan saksama serta yang berhak sahaja yang akan memperolehi manfaatnya.

Tambahnya, Kerajaan memberi jaminan pendapatan sekadar yang termampu dan sebaik mungkin kepada mereka yang berhak supaya nasib rakyat terus terbela dan tidak teraniaya.

Beliau menjelaskan, bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada pemilik kebun getah dan penoreh secara berperingkat-peringkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

Sumber:UMTK
9wifi 
ALOR SETAR 9 Jun – Selaras perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan informasi (ICT), sebanyak 36 masjid di seluruh negeri ini bakal dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar (Wi-Fi) percuma menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, pemasangan Wi-Fi berkenaan bagi memudahkan proses komunikasi dan mendapatkan maklumat mengenai sistem atas talian kepada orang ramai.

“Kemudahan Wi-Fi ini disediakan sempena program e-masjid dan e-Kitab yang akan menyediakan pelbagai aplikasi untuk kemudahan orang ramai di mana pemasangannya akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Menerusi kemudahan ini, secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai jemaah terutama golongan muda untuk mengimarahkan masjid,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Jalur Lebar Untuk Pembangunan Mampan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jalan Kuala Kedah, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini giat merancang dan melaksanakan banyak aplikasi menggunakan jalur lebar bagi kemudahan rakyat untuk mengakses maklumat, malah Pusat Transformasi Digital Kedah di Bangunan UTC, di sini juga akan dilancar pada September 2014.

“Pusat transformasi ini berperanan sebagai Pusat Sehenti yang memberikan kemudahan internet untuk orang ramai mengakses pelbagai maklumat,” katanya.

Sumber:UMTK
Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
8fidyahJZNK mengagihkan sebanyak 11,910 kampit beras fidyah dengan setiap satu kampit seberat lima kilogram kepada 122 kariah masjid di daerah Kota Setar di pekarangan letak kereta Menara Zakat, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 8 Jun - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) menasihatkan pengurusan masjid di negeri ini agar menyalurkan beras fidyah kepada golongan fakir miskin dan tidak menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob (gambar) berkata, setiap tahun JZNK mengagihkan beras fidyah kepada semua kariah masjid dan pengurusan masjid tersebut perlu memberikannya kepada golongan memerlukan.

"Beras fidyah yang diagihkan JZNK di seluruh masjid di negeri ini perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Namun, terdapat kes pengurusan masjid menyalurkan beras fidyah ini kepada mereka yang tidak layak selain menggunakannya untuk program di masjid," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan 11,910 kampit beras fidyah kepada 122 kariah masjid daerah Kota Setar di pekarangan letak kereta Menara Zakat di sini hari ini.

Jumlah keseluruhan beras fidyah yang disampaikan itu bernilai RM146,400.

Ghazali berkata, pada tahun ini JZNK mengagihkan sebanyak 35,555 kampit beras fidyah bernilai RM397,755.08 kepada 483 kariah masjid seluruh negeri ini.

"Beras fidyah ini mula diagihkan hari ini bermula dengan kariah masjid di daerah Kota Setar dan akan diagihkan ke daerah-daerah lain secara berperingkat sehingga 19 Jun ini," jelasnya.

Tambahnya, JZNK hanya membantu mengagihkan beras tersebut yang diberikan oleh masyarakat Islam yang wajib membayar fidyah di negeri ini.

Sumber:Utusan