Libat Pelajar Hayati Sejarah Kedah


30libat

ALOR SETAR 30 Oktober– Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan program penghayatan semula sejarah di Kedah melibatkan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, program tersebut amat penting kerana masih ramai tidak mengetahui sejarah peperangan di Kedah.

“Kita akan adakan program seperti ini bagi memperingati semula perjuangan pahlawan Kedah yang telah berperang dengan Siam pada tahun 1821 dan 1838. Masih ramai yang tidak tahu perairan Sungai Kedah itulah kawasan pertempuran sekitar 200 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, Kedah adalah merupakan negeri yang pernah berperang lebih daripada sekali berbanding negeri lain. Beliau telah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan mereka telah bersetuju untuk mengadakan program penghayatan sejarah tersebut.

“Program ini akan dilaksanakan dalam kawasan kubu di Kuala Kedah pada waktu malam supaya ia tidak nampak terlalu protokol. Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran dan melahirkan suasana seolah-olah berada pada zaman dahulu,” ujarnya.

Tambahnya, dianggarkan seramai 1,019 orang telah terkorban dalam peperangan tersebut ketika mempertahankan bumi Kedah daripada Siam.

Sumber : UMTK