Industri Perlebahan Di Malaysia

9industri
ALOR SETAR 9 Oktober–  Industri  perlebahan di negara ini kian mendapat perhatian serta menjadi popular di kalangan penternak lebah individu dan swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, sehingga kini, terdapat lebih daripada 730 usahawan telah menceburkan diri dalam industri lebah negara.

“Industri lebah terkenal dengan khasiat perubatan madu seperti antibakteria, antikulat, antikolesterol dan  antivirus manakala produk-produk lebah pula seperti madu, propolis dan royal jelly,” katanya pada majlis perasmian Roadshow Pakej Projek Agropreneur Muda Lebah Zon Utara yang diadakan di Pusat Latihan Pertanian Telok Chengai.

Menurutnya, program yang diadakan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung Pakej Projek Agropreneur Muda Lebah khususnya bagi golongan belia yang berumur di bawah 40 tahun. “Ia secara tidak langsung mampu mempromosikan aktiviti perlebahan yang merupakan salah satu sumber ekonomi kepada golongan belia pada masa kini. Di samping memberi peluang untuk mendaftarkan belia-belia di kawasan Zon Utara untuk mendaftarkan mereka bagi menyertai Pakej Projek Agropreneur Muda Lebah anjuran Jabatan Pertanian,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Manusia di Jabatan Pertanian Malaysia, Hajah Rasnani Arifin; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Ismail Salleh dan Timbalan Pengarah Pertanian Bahagian Pengembangan di Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman.

Sumber: UMTK