ALOR SETAR 9 September – Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membina dua lagi Pusat Aktiviti Warga
Emas di negeri ini bagi meningkatkan keberkesanan menjaga kebajikan
golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan
Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, setakat ini, Kedah hanya
mempunyai tiga pusat seumpama itu iaitu di Sungai Kob di sini, Sungai
Petani dan Bandar Baharu.
Menurutnya, penubuhan pusat berkenaan
dilihat antara pendekatan terbaik sebagai pusat sehenti bagi mengumpul
golongan warga emas di samping memastikan mereka berinteraksi di antara
satu sama lain di situ.
“Setakat ini, seramai 2,300 warga emas
telah mendaftar sebagai ahli di Pusat Aktiviti Warga Emas tersebut.
Pusat ini menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah kelas tazkirah
mingguan, membaca Al-Quran, memasak dan kraf tangan serta aktiviti
pertanian,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya merasakan
pusat seumpama itu perlu diperluaskan ke kawasan lain. Justeru, Kerajaan
Negeri dengan kerjasama JKM mengambil keputusan menambah dua lagi Pusat
Aktiviti Warga Emas di Pendang dan Alor Setar tidak lama lagi.
“Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas
bertujuan sebagai pusat sehenti bagi golongan anak-anak meninggalkan ibu
bapa sementara waktu iaitu ketika mereka keluar bekerja. Dengan
kewujudan Pusat Aktiviti Warga Emas ini, sekaligus dapat mengurangkan
budaya anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua,” katanya.
Sumber : UMTK