Tabung Haji Cadang Bina Kompleks Di Makkah

17makkah
BALING 17 Julai – Lembaga Tabung Haji bercadang membangunkan sebuah kompleks khas di Makkah bagi kemudahkan penyelarasan dan penyediaan segala kemudahan jemaah negara di sana.

Pengerusinya, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, untuk tujuan itu, Tabung Haji sedang mencari tanah sesuai untuk dijadikan tapak pembangunan kompleks tersebut.

“Kunjungan saya ke Makkah baru-baru ini, antara lain untuk mengenal pasti tapak sesuai bagi pembinaan kompleks Tabung Haji. Kerjasama erat di antara Malaysia dan Arab Saudi dapat memastikan keupayaan Tabung Haji membina kompleks di negara berkenaan.

“Ini rancangan yang akan kita laksanakan supaya segala urusan dapat dilakukan dengan mudah, demi memberi keselesaan kepada jemaah haji negara setiap kali menunaikan ibadat di sana.

“Kita yakin usaha ini mendapat sokongan kerana hubungan baik Kerajaan kita dengan Arab Saudi, apatah lagi negara itu percaya dengan kesungguhan Malaysia dalam semua aspek termasuk akhlak jemaah haji ketika menunaikan ibadat di Makkah,” ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Baling berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan agihan zakat sebanyak RM200,000 oleh Tabung Haji kepada golongan asnaf Peringkat Negeri Kedah di Dewan Tun Abdul Razak, di sini.

Pada majlis itu, seramai 400 asnaf miskin dan fakir menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang yang disalurkan oleh Tabung Haji bagi meringankan beban mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Tabung Haji Negeri Kedah, Ahmad Sohaimi Dato’ Abdul Rahim dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah.

Sumber:UMTK