BALING
10 Mei - Kerajaan negeri akan memajukan tanah terbiar di daerah ini
dengan mewujudkan satu kluster makanan yang bersesuaian dalam masa
terdekat ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan
Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan negeri
menerusi Jabatan Pertanian negeri akan memajukan 300 hektar daripada 800
hektar tanah terbiar yang dikenal pasti untuk sektor pertanian.
Tanah-tanah
terbiar di sini masih banyak, kerajaan negeri bersedia mewujudkan satu
kluster makanan yang bersesuaian dengan lebih terperinci dan akan
dilaksanakan dalam masa terdekat.
Kerajaan
negeri juga sedang menyiapkan pemetaan untuk setiap daerah menurut
kluster masing-masing di bawah jawatankuasa daerah," katanya ketika
lawatan kerja sehari ke daerah ini di Ulu Legong, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Pertanian UMNO Baling, Taufik Yaacob.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut diberi tugas untuk merancang perbelanjaan dan cara memaksimumkan persekitaran sedia ada.
Sementara
itu, Pengerusi Biro Pertanian UMNO Bahagian Baling, Taufik Yaacob
menyambut baik cadangan untuk menggunapakai tanah-tanah terbiar tersebut
dengan tanaman kontan seperti kayu ubi dan sebagainya.
Daripada
kajian, keperluan pasaran untuk ubi kayu yang siap diproses memerlukan
lebih kurang 200 tan sebulan bagi keperluan pasaran dan eksport.
Ia
juga berpotensi menjana ekonomi setempat dan membuka peluang kepada
masyarakat kampung untuk mengkomersialkan hasil tanaman mereka di
tanah-tanah terbiar yang mereka usahakan," kata Taufik.
Taufik
juga berkata, melalui Biro Pertanian yang diterajuinya akan cuba
membantu mengenalpasti tanah-tanah terbiar tersebut dari segi hak milik,
kesesuaian tanah dan sebagainya supaya ia dapat dilaksanakan dengan
kadar segera.
Ketika
lawatan itu, Suraya turut melihat beberapa projek pertanian dan
pelancongan yang boleh dikomersialkan seperti Homestay Keda Air Panas
Ulu Legong; pembuatan makanan ringan seperti kerepek bawang, bahulu
panas dan makanan tradisional; ternakan madu kelulut, udang galah, ayam
kampung; dan kopi.
Sumber: Utusan