merdeka

MENTERI Besar, Datuk Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) dan Mohd. Tajuddin Abdullah (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang dalam majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Sungai Petani, baru-baru ini.

ALOR SETAR 30 Ogos - Rakyat pelbagai kaum perlu mensyukuri nikmat keselamatan, kedaulatan dan kemerdekaan negara yang membolehkan mereka mengecapi kehidupan dalam suasana harmoni, aman serta sejahtera selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, dalam mensyukuri nikmat berkenaan, rakyat diingatkan supaya terus menyuburkan lagi perpaduan kaum yang menjadi kunci keamanan.

Katanya, ketika banyak negara lain sedang menghadapi peperangan dan penindasan, rakyat negara ini hidup dalam suasana yang harmoni.

"Uniknya Malaysia adalah kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan dapat hidup dalam suasana harmoni. Justeru, perpaduan merupakan nikmat tidak ternilai yang perlu disuburkan agar kemerdekaan negara dapat dipertahankan sampai bila-bila.

"Dahulu, pejuang dan pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan, selepas itu mengisinya dan kini kita mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan itu selaras dengan tema tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku," katanya di sini hari ini.

Mohd. Tajuddin berkata, erti kemerdekaan perlu dihayati sepanjang masa, bukan hanya setiap kali tibanya sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Katanya, rakyat tidak seharusnya mudah leka dengan kemakmuran dan keselesaan yang dinikmati oleh mereka sekarang.

"Menjadi tanggungjawab setiap rakyat tanpa mengira agama dan kaum untuk berusaha menyemarakkan semangat perpaduan negara," ujarnya.

Beliau juga berharap rakyat akan mengibarkan Jalur Gemilang bila-bila masa bagi menunjukkan rasa bangga dan taat setia kepada negara.

Kata beliau, pengibaran Jalur Gemilang yang menjadi simbol negara berdaulat dapat meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

"Bukan mudah untuk membina sebuah negara bangsa tetapi hendak meruntuhkannya boleh dilakukan dalam sekelip mata.

"Sebab itu, rakyat mesti bersatu mempertahankan negara dengan mengenepikan perbezaan pandangan, di samping mewujudkan kesedaran, rasa sayang dan cintakannya," ujar beliau.

Sumber: Utusan
mukhrizantisyiah

KULIM 30 Ogos - Kerajaan Kedah merancang untuk menjadikan negeri ini sebagai pengguna tenaga solar berikutan Kedah kini menjadi pengeluar panel solar secara besar-besaran, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya sebagai permulaan kerajaan negeri akan memasang panel solar di bangunan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sedia ada.

Mukhriz berkata Kedah boleh dikatakan antara pengeluar panel solar terbesar di dunia dengan adanya dua syarikat pengeluar panel solar yang besar di Kulim Hi-Tech Park di sini, oleh itu tiada alasan untuk Kedah tidak menggunakan tenaga solar.

"Memandangkan Kedah kini menjadi pengeluar dan pengeksport panel solar dalam skala yang sangat besar, menjadi harapan saya agar Kedah turut menjadi pengguna panel solar. Kita tiada alasan. Panel ini dikeluarkan di Kedah.

"Jelas bahawa Kedah juga perlu menggunakan produk ini. Mungkin secara kebetulan, Kedah sebuah daripada negeri terbaik di Malaysia dari segi (cahaya) matahari. Kami sudahpun merancang untuk memanfaatkan panel solar di dalam bangunan kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat ke Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park di sini hari ini.

Mukhriz berkata kerajaan negeri turut meneliti cadangan untuk memasang lampu LED di dalam bangunan kerajaan negeri.

"Saya harap gabungan panel solar dan LED akan membantu mengurangkan penggunaan tenaga kita. Biasanya ia memerlukan satu pihak memulakan dulu kemudian yang lain ikut. Ini perkara baik. Saya harap ia akan menjadi contoh kepada pihak lain termasuk swasta," katanya.

Mukhriz berkata ada juga cadangan supaya panel solar itu dipasang di rumah kampung bagi membekalkan elektrik di kawasan kampung.

"(Selain untuk kegunaan) selebihnya boleh dimasukkan ke grid TNB (Tenaga Nasional Berhad). Selain kurangkan perbelanjaan untuk tenaga, mungkin ada sumber pendapatan bagi tuan rumah daripada penjanaan guna tenaga solar yang dimasukkan ke grid TNB," katanya.

Sumber: Bernama
penyelidikanlangkawi

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sambil diiringi Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (kanan) melihat bahan kajian berupaseranggga yang dipamerkan di galeri Pusat Penyelidikan Langkawi di Universiti Kebangsaan Malaysia di Langkawi, baru-baruini.

LANGKAWI 26 Ogos - Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan terus memainkan peranan dan mempergiatkan lagi penyelidikan di pulau peranginan ini selain menyebarluaskan kepakaran untuk memartabatkan konsep pembangunan lestari wilayah di lokasi lain di negara ini.

Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, sejak penubuhannya PPL berjaya mempertingkat dan memperluaskan penyelidikan merangkumi aspek sumber warisan geologi dan landskap, biologi dan marin, budaya dan tradisi setempat serta kesejahteraan alam sekitar.

Katanya, pembinaan kompleks baharu PPL membolehkan UKM melaksanakan rancangannya dengan lebih berkesan antaranya untuk memperluaskan jalinan kerjasama secara formal dalam usaha menyemarakkan pembangunan lestari.

"UKM menyasar mewujudkan lebih banyak kerjasama terutama dalam pembangunan industri kecil dan sederhana berkaitan ekopelancongan. Kami juga sedia mencurah ilmu dalam latihan pemandu pelancong supaya maklumat yang disampaikan kepada pengunjung bukan sahaja tepat tetapi menarik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian pusat berkenaan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ahad lalu.

Berangkat sama, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor UKM dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Sharifah Hapsah berkata, satu lagi rancangan UKM adalah untuk memasyarakatkan ilmu mengenai pulau legenda sumpahan Mahsuri ini.

Katanya, selain menjadi tumpuan penyelidik, PPL mengalu-alukan semua lapisan masyarakat khususnya pelajar merapati dan mendapatkan maklumat serta bahan berkaitan khazanah alam tabii Langkawi yang sangat istimewa dan bernilai tinggi.

Beliau berkata, pusat penyelidikan berkenaan harus digunakan sebagai wadah menimba ilmu berkaitan sejarah pembentukan bumi, kepelbagaian biologi dan unsur budaya masyarakat setempat.

"Berbekal maklumat ini, masyarakat akan lebih menikmati keindahan dan keajaiban rupa bumi yang dapat dilihat dengan nyata.

Maka akan timbul dan kekal perasaan kasih sayang kepada alam sekitar seterusnya untuk menjaga serta memelihara Langkawi," katanya.

Tambah beliau, inisiatif UKM seterusnya ialah untuk membangunkan geopark lain di negara ini.

Katanya, kajian yang dijalankan oleh universiti itu berjaya menghasilkan inovasi dalam pengurusan pemuliharaan dan pembangunan lestari.

"PPL akan meneruskan usaha menyebarluaskan pendekatan pembangunan lestari di bawah gagasan geopark di lokasi lain," katanya.

Sumber: Utusan
TPP

ALOR SETAR 26 Ogos - Kerajaan negeri Kedah mendapat jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak akan dipersetujui sekiranya ia memudaratkan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini, jaminan berkenaan turut diberi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kesan langsung perjanjian TPP yang boleh diraih bukan saja oleh pengeksport malah rakyat Kedah sebagai pengguna secara keseluruhannya mendapat manfaat yang luas hasil pembukaan pasaran dari segi pilihan barangan dan perkhidmatan.

Katanya ia mampu membuka peluang pelaburan yang berkualiti tinggi untuk rakyat Kedah di samping meningkatkan kualiti hidupdengan lebih baik untuk menyiapkan diri bersaing di peringkat global.

"(Tapi) saya juga secara langsung telah nyatakan, sampaikan kebimbangan kita sebagai negeri yang sudah tentu akan kena tempias hasil rundingan ini dan jaminan yang saya dapat, perjanjian ini tak akan ditandatangani sekiranya terdapat mudarat kepada rakyat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit).

Amiruddin mempersoalkan tentang perkara yang memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap aktiviti sosioekonomi rakyat Kedah sekiranya perjanjian TPP dipersetujui.

Ketika menjawab soalan tambahan Amiruddin mengenai setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu diberi kertas maklumat penting tentang perjanjian TPP, Mukhriz berkata buat masa ini biarlah hanya kerajaan yang berurusan dalam hal itu.

"Seperti yang kita maklum dalam mana-mana rundingan dah tentu kita kena simpan rahsia takut dibocor kepada pihak belah sana, maklumlah dalam perjanjian TPP ini ada 12 negara terlibat dan sekarang ini banyak komen datang daripada kebocoran maklumat contohnya Wikileaks.

"Kerajaan negeri beri jaminan bahawa tidak akan ada sebarang persetujuan kalau ia (TPP) menjejaskan Kedah khususnya dan Malaysia secara amnya. Jangan beranggapan bahawa dalam proses rundingan, seolah-olah ia (TPP) telah dipersetujui," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar dewan, beliau berkata dalam isu perjanjian TPP kerajaan negeri mempunyai empat perkara penting yang diberi penekanan iaitu pertanian, perolehan kerajaan, industri kecil dan sederhana (IKS) danperubatan.

"Ini antara perkara yang kita anggap penting dan kita telah sarankan kepada Menteri agar sentiasa mengambil kira permohonan dari negeri Kedah dan saya kira bukan negeri Kedah sahaja yang membangkitkan perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau tidak keberatan untuk bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekiranya Lim tidak mahu isu bekalan air ke negeri itu dibincangkan di peringkat pegawai kerajaan dari kedua-dua negeri.

"Kalau dah terpaksa, kita pun tak boleh paksa orang (untuk benarkan pegawai berjumpa), saya tak keberatan untuk berjumpa walaupun untuk berbincang perkara kecil, mungkin ada perkara mudah diselesaikan, tak payah fikir panjang boleh selesai," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang menyentuh mengenai keengganan kerajaan Pulau Pinang membenarkan pegawainya berbincang dengan pegawai kerajaan negeri Kedah khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai isu bekalan air.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada persidangan Dun di sini hari ini.

Beliau berkata, keengganan itu dinyatakan melalui surat rasmi yang diterima daripada Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang kepada pihak kerajaan negeri Kedah.

Sumber: Bernama
rakyatperangsyiah

Tunku Annuar Sultan Badlishah (duduk tengah) dan Mukhriz Tun Mahathir (duduk, tiga kiri), Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah (duduk, dua kiri) serta Md. Rozai Safian (duduk, kiri) bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah selepas Majlis Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 di Wisma Darulaman, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 25 Ogos - Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah menyeru semua pihak bersatu menangani penularan ajaran Syiah yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tunku Annuar turut berharap perkara itu tidak dipolitikkan kerana semua pihak bertanggungjawab menanganinya dan perbalahan berhubung perkara tersebut tidak harus timbul kerana sudah disepakati secara bersama.

"Kerajaan perlu bertegas menangani penularan ajaran tersebut yang turut ditolak Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam dan mengamalkan ajaran ASWJ selain daripada ajaran ini yang bercanggah dengan hukum syarak adalah dilarang.

"Janganlah sekali-kali ia dipolitikkan dan saya menggesa semua pihak bersatu menangani isu ini. Tanggungjawab kita semua cukup signifikan. Sudah berlalu masa untuk berbalah berhubung perkara yang sudah disepakati bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertitah dalam majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-13 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Turut berangkat, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Yang turut hadir, Speaker DUN Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian serta Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Perasmian tersebut dihadiri Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada penyokong kerajaan dan pembangkang.

Bertitah lanjut, Tunku Annuar menyeru perkara yang dijamin dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah tidak diperdebatkan.

"Persoalan berkaitan sejarah, kemuliaan Islam, kewibawaan institusi, kedaulatan Raja-raja dan hak-hak kaum, jangan lagi disentuh atau diperdebatkan.

"Kerajaan dan pihak pembangkang mengetahui peranan masing-masing. Saya ingin tegaskan ruang yang ada ini harus diisi bagi memacu agenda transformasi," katanya.

Menyentuh pembangunan negeri ini, Tunku Annuar berkata, beliau yakin Kedah bakal berubah wajah kepada sesuatu yang memberi nikmat dan keselesaan kepada rakyatnya hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Mengamati keseluruhan gerak kerja yang sedang disusun kerajaan negeri saya berkeyakinan status Kedah sebagai sebuah negara yang aman dan makmur mampu dipahatkan.

"Kerja keras Menteri Besar bersama pasukannya dilengkapi jentera Perkhidmatan Tadbir Negeri yang sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan serta dokongan rakyat dan pelbagai pihak pastinya memudahkan segala usaha menjadikan Kedah sebuah negeri maju pada dekad mendatang," katanya.

Tunku Annuar turut melahirkan hasratnya supaya Kedah mampu dilonjak menjadi Knowledege Valley atau Lembah Ilmu.

"Ini misalnya dapat digarap melalui pembukaan lebih banyak cawangan kampus universiti swasta dan awam dari dalam dan luar negara. Dalam masa sama, saya mahu supaya dikekalkan sejarah warisan dan budaya untuk tujuan itu," katanya.

Sumber: Utusan
utckdh

ALOR SETAR 18 Ogos - Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas merupakan satu kemudahan yang amat ditunggu oleh rakyat Kedah khususnya penduduk sekitar bandar raya ini.
 
UTC Kedah, pusat sehenti untuk semua perkhidmatan awam dan swasta, yang mula beroperasi sejak 23 Julai lepas menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di bawah satu bumbung, yang melibatkan 32 agensi kerajaan persekutuan, badan berkanun dan swasta, serta 11 agensi kerajaan negeri.
 
Bangunan UTC Kedah itu sendiri merupakan satu transformasi oleh kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kewangan kerana ia adalah sebuah ruang kosong yang tidak berpenghuni sejak 2009 dan suasananya suram sebelum ini.
 
UTC Kedah bernilai lebih RM50 juta dan dengan keluasan 23,226 meter persegi ia adalah yang terbesar di kalangan lima UTC yang diwujudkan di negara ini selepas Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Perak. Ia dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, setiap hari kecuali cuti umum.
 
Bagi Atikah Abdul Wahab, 18, penuntut Kolej Poly Tech Mara (KPTM), UTC dapat memudahkan setiap aktiviti hariannya disebabkan UTC berhampiran dengan tempat pengajiannya.

"Disebabkan UTC berhampiran dengan KPTM ia memudahkan urusan saya sebagai pelajar di sini, saya juga tidak perlu pergi ke tempat lain kerana semuanya ada di sini, selain itu juga mereka menyediakan pelbagai perkhidmatan yang dapat menyenangkan saya," katanya kepada Bernama.
 
Seorang lagi pengguna perkhidmatan di UTC, M. Hemalatha, 20, perkhidmatan yang disediakan dan berpusat di UTC banyak membantunya kerana semua kemudahan boleh didapati di situ.
 
"Semua perkhidmatan ada di sini, contohnya bil air, bil elektrik, klinik 1Malaysia, dan pusat membeli-belah juga ada, tempat parkir pun tidak ada masalah untuk mendapatkannya," katanya.
 
Beliau berkata semua perkhidmatan yang disediakan sangat memuaskan hatinya dan berharap ia berterusan pada masa akan datang.
 
Seorang peniaga, Norlaili Lat, 45, berkata semua perkhidmatan yang disediakan amat memudahkan dan menyenangkannya, selain dapat dilakukan dengan cepat dan pantas disebabkan semuanya berpusat di satu tempat yang sama.
"Saya sangat berpuas hati dengan semua perkhidmatan yang disediakan, malah semua proses pembayaran dan perkhidmatan sangat mudah dan cepat," katanya.
 
Bagi seorang peniaga di UTC, Muhamad Faisal Mohd Zain, 40, dengan adanya UTC ia dapat meningkatkan keuntungannya yang berniaga di situ disebabkan ia kini menjadi tumpuan orang ramai.
 
"Dengan adanya UTC ia bagus untuk peniaga seperti saya untuk meningkatkan hasil jualan kerana sebelum ini perniagaan yang saya jalankan kurang memberangsangkan, namun, saya berharap perniagaan saya akan lebih maju nanti kerana ia kini menjadi tumpuan orang ramai pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Bernama
mbmukhriz

Oleh SAFINA RAMLI

KUBANG PASU 18 Ogos - Kerajaan negeri memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil jika terbukti ada kakitangan yang terjebak dalam gejala rasuah.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, disebabkan mahu membersihkan Kedah daripada gejala itu, beliau sendiri memulakan usaha mencegah rasuah dengan cara memastikan ketelusan apabila tidak membenarkan keluarganya  memohon atau terlibat dalam projek kerajaan negeri.
"Saya telah nyatakan tidak benarkan ahli keluarga terlibat dalam memohon projek atau terlibat dalam tender peringkat kerajaan negeri.

"Maksud saya ialah kalau saya sendiri boleh mulakan dengan keluarga saya maka secara keseluruhan pun amalan rasuah tak akan diterima. Sekiranya terbukti mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri terjebak dalam gejala tersebut tindakan tegas akan diambil," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Padang Sera di sini semalam.

Mukhriz juga mahu Exco sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mendahului kepentingan peribadi dalam setiap keputusan yang dibuat.

"Exco adalah mereka yang memegang jawatan eksekutif dan sentiasa terdedah kepada tanggungjawab untuk membuat  keputusan berhubung sesuatu perkara. Saya mahu supaya setiap satu keputusan dibuat dengan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, integriti merupakan isu yang sering dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) dan perkara tersebut sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada BN.

"Mungkin selepas ini isu ini akan ditimbulkan di Kedah, jadi saya ambil pendekatan untuk jelaskan kepada rakyat mengenai pendirian kami terhadap isu ini," jelasnya.

Sementara itu Mukriz memberitahu, kerajaan negeri akan melancarkan satu program untuk mitigasi banjir iaitu bukan hanya untuk membaik pulih sungai, tapi pada waktu sama untuk mengindahkan sungai di negeri ini.

"Projek tersebut memerlukan dana yang besar dan kita akan mohon bantuan daripada Kerajaan Pusat, kalau kita berjaya dalam projek pengindahan sungai ini saya yakin ia akan jadi satu faktor tarikan pelancong ke Kedah khususnya Alor Setar," ujarnya.

Sumber: Utusan
atasibanjir

Oleh:NOOR FAIZAL GHAZALI

JERLUN 18 Ogos - Kerajaan Negeri Kedah akan melaksanakan projek mitigasi banjir dan membaikpulih sungai di negeri itu serta mengindahkan persekitarannya khususnya berhampiran Bandaraya Alor Setar.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, aktiviti pembalakan yang berleluasa di kawasan bukit dan gunung telah menyebabkan sungai-sungai di Kedah tercemar dan tidak berfungsi dengan baik.

Bagi tujuan itu menurut beliau, kerajaan negeri memerlukan peruntukan daripada kerajaan pusat dan dijangka akan mengambil masa selama 10 tahun untuk siap sepenuhnya.

“Kita sedang berbincang dengan pihak kerajaan pusat khususnya kementerian kewangan. Mungkin kita memerlukan belanja yang agak besar dan kita akan cuba dapat  melalui peruntukan tahunan sepanjang projek itu dijalankan selama 10 tahun.

“Kalau kita berjaya dalam projek pengindahan sungai ini, saya yakin ia menjadi satu tarikan pelancong bagi negeri Kedah khususnya bagi Bandaraya Alor Setar,” katanya pada sidang media ketika hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dun Ayer Hitam, yang diadakan di Dataran Tuan Haji Salleh, Padang Sera, semalam.

Mukhriz berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada dua perkara dalam usaha mencapai hasrat berkenaan.

“Saya perlu lihat kepada kegiatan pembalakan, supaya tidak berada pada tahap mencemarkan sungai dan keduanya sektor industri. Kita tidak mahu wujudnya aktiviti membuang sisa-sisa pencemaran ke dalam sungai.

“Tetapi, kalau boleh saya nyatakan bahawa sungai-sungai di Kedah lebih panjang dan indah. Kalau kita komited mengindahkan sungai-sungai supaya berfungsi dengan sepatutnya, saya yakin Bandaraya Alor Setar dapat menarik ramai pelancong,” katanya.

Tambah Mukhriz lagi, projek berkenaan akan bermula di muara sungai hingga ke hulu sungai negeri itu serta membabitkan Jeti Kuala Kedah.

“Projek mitigasi banjir dan baik pulih sungai ini merupakan antara perkara yang saya bincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kunjungan sehari Perdana Menteri ke negeri ini kelmarin.

“Kami berbincang jenis bantuan kerajaan pusat boleh beri kepada negeri. Perdana Menteri minta saya mengemukakan permohonan melalui pembentangan secara langsung kepada beliau untuk pertimbangan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
bonus

Oleh SAHBULAH DARWI

ALOR SETAR 17 Ogos - Kerajaan negeri akan memastikan keperluan serta kebajikan rakyat tidak dipinggirkan selain memastikan pelbagai kemajuan dan segala pembangunan negeri berjalan lancar.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, antara rancangan itu ialah membina dan menaik taraf jalan-jalan kampung, membaik pulih jalan taman perumahan, mewujudkan lorong motosikal di jalan-jalan utama selain memastikan penyelenggaraan dan baik pulih jalan negeri berjalan mengikut jadual.

"Kerja membina dan naik taraf ini akan dilaksanakan bagi jalan-jalan kampung sepanjang 500 kilometer di seluruh negeri. Ini bagi memberi kemudahan kepada rakyat yang tinggal di kawasan kampung," katanya pada majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Mukhriz berkata, kesemua aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dilaksana dan ditunaikan bagi memastikan kemakmuran rakyat Kedah tidak terabai.

"Segala janji yang telah dibuat pada pilihan raya akan kita kotakan bagi memastikan kesejahteraan, keselesaan dan  kemakmuran rakyat Kedah terjamin.

"Ibu negeri Kedah akan mengalami perubahan yang ketara apabila diangkat menjadi Bandaraya Metropolis yang bakal menjadi tumpuan para ilmuwan melalui penubuhan universiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi," katanya.

Mukhriz berkata, penubuhan UTC di Kedah merupakan inisiatif Perdana Menteri bagi memberi kemudahan kepada rakyat sejajar dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

"UTC kelima di Malaysia ini membolehkan rakyat melakukan segala urusan harian dengan lebih mudah kerana UTC telah menghimpunkan 32 agensi Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan swasta serta 11 agensi kerajaan negeri di bawah satu bumbung," katanya.

Sumber: Utusan
kedahberubah

Oleh: ROSLINDA HASHIM
14 Ogos 2013

DATUK Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-10 pada 6 Mei 2013, setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Kedah dalam PRU13 dengan memenangi 21 daripada 36 kerusi Dun.

Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam melantik lapan Exco dalam melicinkan pentadbiran, di mana beliau memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan & Syarikat Milik Kerajaan Negeri.

Sebaik menggalas tugas sebagai Menteri Besar, Mukhriz menggariskan 14 perkara utama manifesto BN Kedah dalam buku Akujanji PRU13 untuk direncanakan sepanjang tempoh lima tahun ini.

Sepanjang 100 hari mengambil alih kepimpinan, Mukhriz dilihat amat serasi terajui Kedah, malah telah merencana perancangan terbaik untuk melonjak ekonomi Kedah melalui beberapa transformasi politik, ekonomi dan sosial. 

Sebaik BN berjaya rampas kembali Kedah dalam PRU13, apakah pendekatan yang diterapkan dalam pentadbiran untuk menawan kembali sokongan rakyat?

Mukhriz: Kerajaan BN mengambil pendekatan berhemah sejurus mengambil alih pentadbiran negeri, di mana kita mengambil alih pemerintahan secara perlahan tanpa paksaan terhadap mana-mana pihak. Kita tidak drastik dengan arahkan mana-mana individu meletak jawatan dalam kerajaan, tidak pernah berdendam dengan pengurusan terdahulu. Saya juga memupuk hubungan baik dengan pihak pembangkang, pada hari kedua dilantik sebagai Menteri Besar, saya mengunjungi bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Kedah Medical Centre (KMC) dan turut melawat beliau di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebanyak tiga kali. Saya anggap ini tanggung jawab saya selaku Menteri Besar baru, mewakili kerajaan negeri menghormati dan mengambil tahu kebajikan beliau. Saya dapati pendekatan saya ini diterima baik semua pihak, sama ada Pas mahupun Umno.

Bagaimana penerimaan awal terhadap Datuk sejurus peralihan kuasa?

Mukhriz: Pendekatan sama juga saya terapkan dalam pentadbiran mahupun perubahan di peringkat kerajaan negeri, saya tidak akan lakukan perubahan drastik hingga mencetuskan rasa panik kakitangan khususnya Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS). Apa jua perubahan dibuat dengan mengkaji situasi semasa, sekiranya perlu. Malah dalam minggu pertama sejurus memegang pentadbiran, saya adakan perjumpaan bersama KCS secara tertutup. Saya akui kalangan KCS ada yang cenderung politik, ada memihak kepada Umno dan ada sokong Pas. Itu hak individu, cuma satu pesanan saya, berkhidmat kepada setiap lapisan masyarakat tanpa pilih kasih dan buang dendam kerana kita adalah pegawai kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat. Kepada mereka yang tidak menyokong BN, saya harap jangan cuba sabotaj kerajaan negeri, sama ada dengan melengahkan kerja atau tidak luluskan permohonan atau enggan kerjasama dengan ketua jabatan. Ia mudah dibuat namun beri impak negatif kepada negeri.
 
Pendekatan berhemah ini akan saya teruskan pada masa akan datang, kerana kita sudah lama dibelenggu polemik politik yang memecahbelahkan masyarakat. Saya harap kedua pihak akan main peranan masing-masing dan elakkan persengketaan agar tidak jejas kepentingan rakyat.

Kedah sinonim dengan negeri pertanian dan boleh dikatakan agak terbelakang berbanding negeri lain, apa perancangan awal Datuk untuk pulihkan imej selain lonjakan prestasi ekonomi Kedah?

Mukhriz: Saya orang baru di sini dan tak anggap mempunyai penyelesaian kepada semua masalah, terutama aspek ekonomi dalam membangunkan Kedah. Saya juga tiada pengalaman dalam jawatan peringkat negeri sebelum ini, malah saya akui hubungan dengan kerajaan negeri pun kurang rapat. Namun  sebagai orang baru, ada juga kelebihannya. Saya tidak dibelenggu masalah terdahulu, saya datang dengan kacamata baru dan tak buruk sangka pada mana-mana pihak. Perancangan awal saya mahu wujudkan Makmal Transformasi Kedah (MTK) untuk bawa masuk pakar dalam pelbagai bidang dari dalam atau luar Kedah. Fikirkan strategi bersama untuk bangunkan Kedah dan pilih sektor yang wajar diberi tumpuan, contohnya, pertanian, pelancongan, industri automotif serta getah berteknologi tinggi. Semua perkara ini sedang diperhalusi untuk menjadikan bandar raya ini membangun pesat. Kita juga akan tinjau projek-projek jangka pendek, sederhana dan panjang. Pada masa sama, tidak abaikan tanggungjawab sosial, di mana projek yang dilaksanakan mesti memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kedah. Untuk jayakan  aspirasi ini, aspek pembangunan modal insan juga diberi perhatian. Saya mahu lihat anak Kedah berkemahiran tinggi dan menepati permintaan pasaran agar mendapat faedah daripada pembangunan.

Apakah inti pati perancangan Makmal Transformasi Kedah (MTK)?

Mukhriz: Perancangan ini meliputi jangka masa lima tahun, dalam usaha kekalkan BN sebagai pemerintah. Kita juga ada jangka masa 10 dan 15 tahun. Melalui MTK, saya akan buktikan pada rakyat, ada yang boleh dilaksana dalam tempoh sepenggal, ada untuk jangka masa panjang. Saya percaya apabila rakyat pilih BN, itu harapan mereka terhadap kerajaan yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat. Kita perlu ada strategi berkesan selain berfikir di luar kotak serta memiliki pelaksana yang efisien. Sistem penyampaian juga mesti mantap untuk elak projek gajah putih atau sebarang penyelewengan.

Bagaimana pula dengan aspek sosial, budaya, warisan yang banyak diwarisi negeri ini selaku negeri tertua di negara ini?

Mukhriz: Aspek itu juga tidak akan dilupakan. Kedah sememangnya kaya dengan unsur sejarah, budaya dan warisan. Saya berhasrat untuk hidupkan semula bagi tujuan pelancongan, selain mahu anak muda kita mengenali latar belakang budaya sendiri.

Dengan cara ini, mereka akan bangga menjadi anak Kedah selain lebih jelas mengenai jati diri. Sekarang ramai anak Kedah berhijrah untuk cari kerjaya yang menepati cita rasa, ini suatu kerugian. Selain wujudkan peluang kerja dan niaga di  sini, saya mahu pupuk rasa sayang golongan muda terhadap negeri ini dan usaha akan dibuat dalam pelbagai cara, antaranya memperhalusi sejarah negeri di peringkat sekolah. Saya juga berhasrat kembalikan kegemilangan budaya Kedah, seperti persembahan Mek Mulung sebagai tarikan baru. Aspek pembangunan pelancongan di Langkawi mahupun tanah besar juga  perlu ada ciri-ciri tersendiri untuk serlahkan identiti Kedah, contohnya, Lembah Bujang.

Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, adakah BN berjaya menunaikan sebahagian janji-janji dalam manifesto pada PRU13 lalu?

Mukhriz: Matlamat kerajaan negeri adalah untuk tunaikan Akujanji BN, sama ada cepat atau lambat sahaja. Setiap yang disenaraikan sudah diagih kepada Exco berkaitan mengikut portfolio masing-masing untuk diperhalusi. Contohnya, aspek agama yang mahu perkasakan semula sekolah pondok dan maahad tahfiz, di mana kita sudah salurkan dana. Kita juga akan bagi keutamaan pada pembangunan Maktab Mahmud yang berjaya lahirkan ramai ilmuan agama. Bagaimanapun, untuk projek ekonomi ia ambil masa, dan saya harap dalam tahun pertama ini dapat lancarkan beberapa projek besar, seperti  Bandaraya Getah Kota Putra di Padang Terap. Kita sedang kenal pasti beberapa syarikat pelabur  berteknologi tinggi untuk projek itu. Pada 22-24 Ogos ini, saya akan mengiringi Perdana Menteri ke Bangkok untuk jumpa Perdana Menteri Thailand, untuk memperhalusi memorandum persefahaman yang ditandatangani itu.

Pembinaan litar lumba untuk golongan muda antara janji manifesto yang menjadi tarikan, adakah ia akan menjadi kenyataan?

Mukhriz: Projek itu masih dalam perbincangan, saya sedang berusaha untuk jalin kerjasama dengan  Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk merealisasikan projek ini. Ini penting kerana mereka ada  kepakaran termasuk acara peringkat kebangsaan yang mungkin boleh memanfaatkan litar baru ini. Saya akan pastikan projek ini dilaksana secepat mungkin.

Isu pembalakan dijadikan agenda sebelum PRU13, adakah Datuk akan lebih selektif berikutan Datuk antara individu yang mendokong gerakan hentikan pembalakan di Pedu melalui Jaringan Gelombang Merah sebelum ini?

Mukhriz: Saya kotakan janji di mana isu itu ditangani dengan baik. Alasan kerajaan terdahulu untuk tebang balak tetapi berselindung di sebalik bangunkan ladang buah di Pedu, sudah dihentikan. Kita hanya teruskan  pembalakan secara selektif untuk elak pencemaran alam sekitar. Ini yang kita bangkitkan dalam Akujanji BN PRU13. Pembalakan dalam Tasik Pedu  pernah dibangkitkan oleh BN sebelum ini, namun ia perlu dikaji sama ada berbaloi untuk diteroka atau sebaliknya. Pokok  balak itu ditenggelami air dan ia tidak menyumbang kepada ekosistem. Kayu bernilai tinggi itu tetap bertahan walau  terendam lama dalam tasik. Jika kos dapat dikawal ada kemungkinan kita akan kaji. Kedah akan terus mempraktikkan amalan sebelum ini, di mana pembalakan dibuat secara tender untuk tingkatkan pendapatan.

Kerajaan negeri berhasrat untuk lakukan transformasi ke arah negeri berteknologi tinggi?

Mukhriz: Kedah sinonim dengan tanaman padi dan sudah selesa dengan status itu, namun dari aspek struktur tidak memberi pulangan besar, malah petani tidak beroleh hasil lumayan. Formula itu perlu diberi nafas baru, adakah kita berani keluar dari zon selesa? Saya sedar peranan Kedah sebagai pembekal makanan negara namun ia menjadi faktor menyekat pembangunan negeri. Perlu cari satu formula baru untuk kedua-duanya tanpa korbankan mana-mana aspek. Saya juga perlu yakinkan semua pihak untuk buat perubahan ini.

Adakah ini bermakna tanah sawah akan bertukar status tanah industri?

Mukhriz: Kita masih ada tanah yang bukan tanah sawah untuk dimajukan sebagai taman industri, seperti  di Bukit Kayu Hitam, di mana 3,000 hektar sudah dikenal pasti. Perbincangan turut diadakan dengan  Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk kita bangunkan kawasan pinggiran Mada sekitar 8,000 hektar. Kita akan bangunkan Alor Setar sebagai  Bandaraya Metropolis yang menjadi tumpuan ilmuan dengan wujudnya universiti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berteknologi tinggi.

Bagaimana dengan dakwaan Selatan Kedah lebih maju berbanding Utara Kedah?

Mukhriz: Perbezaan ini wujud kerana kawasan Selatan mengambil manfaat kerancakan ekonomi Pulau Pinang. Saya akan wujudkan pembangunan riadah di Selatan untuk tarik rakyat Pulau Pinang untuk melancong ke Kedah. Bagi Utara yang juga kawasan sempadan juga berpotensi dimajukan, saya yakin apabila projek Kota Putra dan Kota Perdana Bukit Kayu Hitam dibangunkan, pertumbuhan ekonomi rancak. Kita akan wujudkan hab logistik untuk kumpul dan edar produk PKS Kedah ke seluruh negara termasuk eksport ke Thailand. Kedah Utara bakal alami fasa pertumbuhan pesat namun berbeza sektor dengan kawasan Selatan.

Apakah perkara paling mencabar dalam tempoh 100 hari mentadbir?

Mukhriz: Paling sukar ialah untuk ubah pemikiran pelbagai pihak untuk terima transformasi yang dibawa dalam pentadbiran saya. Transformasi ini bukan perubahan tetapi yang diharapkan transformasi yang menuntut mereka keluar daripada zon selesa dan buat keputusan yang akan ubah nasib secara drastik. Ia perlukan keberanian.

Apa yang dapat Datuk rumuskan sepanjang menerajui Kedah?

Mukhriz: Saya akui masih dalam proses pembelajaran dan pengalaman di MITI banyak membantu. Setakat ini ia adalah perjalanan yang menarik. Ada yang berkata, untuk menawan hati rakyat Kedah mudah sahaja iaitu gunakan pendekatan mesra dan mudah berkomunikasi untuk menang PRU. Saya sudah cuba tetapi ia tidak cukup, yang penting perlu tunaikan janji yang dibuat dalam usaha tingkatkan taraf hidup rakyat. Ini keutamaan saya. Bukan mudah untuk yakinkan orang untuk buat perubahan. Saya tidak mahu lihat Kedah terbelakang lagi, saya mahu Kedah pesat membangun dan yakin ia boleh dilakukan. Saya akan cari peluang terbaik dan teroka potensi Kedah, anda akan teruja dengan apa yang kita ada kelak. Saya optimis dalam tempoh lima tahun, Kedah akan berubah wajah!

Sumber: Sinar Harian
tajuddin-abdullah

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 14 Ogos - Empat teras pembangunan menjadi tumpuan kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk di kawasan luar bandar selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, tumpuan itu melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, modal insan, ekonomi serta institusi.

Katanya, perancangan pembangunan itu akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun sehingga 2018 melibatkan semua 12 daerah di Kedah.

"Saya akan turun padang bertemu penduduk bagi mendapatkan pandangan selain memantau perkembangan projek yang dirancang itu sehingga siap," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Tajuddin, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas antaranya melibatkan perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik, tadika, rumah ibadat, sekolah, klinik kesihatan serta pelancongan.

Kata beliau, pembangunan modal insan berkaitan dengan aspek penerapan pelbagai latihan kemahiran kepada penduduk di luar bandar manakala pembangunan ekonomi bagi mempertingkatkan pendapatan isi rumah menerusi pelbagai projek pertanian, ternakan dan industri kecil.

"Pembangunan institusi pula adalah seperti penubuhan lebih banyak Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi kemudahan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung," katanya.

Tambahnya, projek pembangunan itu memerlukan kerjasama rapat semua pihak seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta agensi kerajaan negeri termasuk pejabat daerah, Unit Pembangunan Ekonomi Negeri, penghulu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung selain Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik berkata, pihaknya turut mengalukan penglibatan sektor swasta yang mahu menunaikan tanggungjawab sosial mereka seperti Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Sumber: Utusan
tadbirkedah

ALOR SETAR 14 Ogos - Apabila Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Mei lepas setelah Barisan Nasional (BN) memenangi semula Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13, rakyat menaruh harapan tinggi kepadanya untuk membawa banyak perubahan ke negeri ini.
  
Ini kerana beliau dilihat sebagai pemimpin baharu dalam kalangan pemimpin Umno dan BN di Kedah setelah pentadbiran kerajaan negeri beralih kepada Pas dan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
  
Pemerhati politik melihat kegagalan pentadbiran parti pembangkang selepas PRU 2008 dan faktor Mukhriz sendiri sebagai faktor penting kemenangan BN pada PRU13 baru-baru ini.
  
Namun begitu, ramai juga yang meragui kemampuannya kerana bagi pihak berkenaan harapan kepada Mukhriz hanyalah bersandar faktor beliau adalah anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri keempat yang menerajui negara selama 22 tahun.
  
Kini setelah 100 hari menerajui pentadbiran negeri Kedah, Mukhriz secara perlahan-lahan dilihat cuba 'keluar daripada kepompong' Dr Mahathir yang selama ini membelenggu dirinya dan bergerak dengan cara beliau sendiri. 
 
Biar pun begitu Mukhriz dilihat tidak mahu tergesa-gesa melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri malah cuba mengekalkan beberapa dasar kerajaan terdahulu yang bagi beliau adalah dasar yang baik dan patut diteruskan.
  
"Sebarang perubahan nak dibuat ambil sedikit masa untuk kaji situasi semasa sebelum buat sebarang perubahan sekiranya perlu," kata Mukhriz pada sidang media di sini sempena 100 hari pentadbiran beliau.
  
Beliau berkata kerajaan negeri akan memenuhi semua manifesto atau Aku Janji BN Kedah pada PRU13 lalu dengan setiap janji diagih-agihkan antara anggota Exco kerajaan negeri untuk dilaksanakan.
  
"Setiap seorang (Exco) ada senarai Aku Janji yang jadi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mereka. Ada boleh buat cepat dan ada perlu diperhalusi lagi supaya kita memahami apa kaedah kita boleh ambil untuk penuhi Aku Janji," katanya.
  
Dalam soal ekonomi negeri Kedah, beliau mengakui banyak yang perlu dipelajari memandangkan ini kali pertama beliau memegang jawatan di peringkat negeri.
 
"Bagaimanapun, sebagai orang baharu ada kelebihan juga kerana saya tidak dibelenggu dengan masalah terdahulu. Saya datang dengan kaca mata saya sendiri. Saya lihat hanya apa yang ada di persekitaran saya," kata Mukhriz yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
  
Beliau berkata satu daripada pendekatan yang diambil adalah membuat Makmal Transformasi Kedah bagi memikirkan kaedah untuk membangunkan Kedah supaya tidak ketinggalan berbanding negeri lain yang lebih maju ketika ini.
  
"Apa sektor yang mempunyai kelebihan sedia ada kepada Kedah seperti pertanian dan pelancongan. Kita juga hendak lihat bandaraya Alor Setar membangun lebih pesat. Jadi ini antara perkara kita sedang perhalusi. Kita akan lihat projek-projek yang boleh dilakukan dengan cepat dan tidak perlukan belanja terlalu besar. Mana pula yang boleh dirancang untuk jangka masa sederhana dan panjang," katanya.
  
Mukhriz berkata kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran beliau turut akan memberi penekanan kepada unsur keadilan sosial supaya segala projek yang dijalankan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kedah.
  
"Kami tak mahu projek pembangunan hanya dimanfaatkan pihak tertentu sahaja. Unsur keadilan sosial ini akan diterapkan sebagai satu daripada prinsip dalam segala benda yang kita lakukan.
 
"Antaranya adalah aspek modal insan. Untuk laksanakan projek-projek kita sebaik mungkin nak lihat anak-anak Kedah sendiri yang ada kemahiran dan menepati permintaan yang dapat faedah daripada pembangunan ini. Yang sebaik mungkin nak lihat warga Kedah mempunyai tahap ilmu pengetahun untuk memenuhi kekosongan (bagi terlibat dengan projek pembangunan)," katanya.
  
Mukhriz berkata setelah beliau cuba mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak pembangkang, beliau melihat cara itu diterima baik oleh kalangan penyokong Pas dan Umno sendiri.
"Sudah terlalu lama kita dibelenggu polemik politik sampai tahap memeahbelahkan masyarakat. Harap-harap pihak kerajaan dan pembangkang memainkan peranan masing-masing tetapi jangan sampai ke tahap menjejaskan kepentingan rakyat. Tidak ada masalah kita mempunyai hubungan seperti itu antara kerajaan dan pembangkang," katanya.
  
Mengenai dua isu besar yang melanda kerajaan negeri terdahulu iaitu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan pembalakan rakus, Mukhriz berkata tindakan segera telah diambil untuk menangani masalah itu.
  
"Daripada laporan audit forensik, banyak perkara melibatkan Kuin dan Insaniah Holdings yang perlu kita tangani dengan penuh bijaksana dan memakan masa. Ada pihak-pihak tertentu tak puas hati tetapi kita sentiasa fikirkan tentang masyarakat Kuin secara keseluruhan.
  
"Dalam soal pembalakan, kita tangani secepat mungkin. Amalan guna alasan nak buat ladang buah untuk membalak satu kawasan luas dengan kaedah 'cuci mangkuk' telah kita hentikan. Yang ada cuma pembalakan secara selektif. Cuma pilih dua, tiga pokok dalam satu ekar untuk dibalak. Dengan cara ini kita lindungi alam sekitar dan tak cemar bekalan air. Ini dilakukan sejak kita ambil alih (kerajaan negeri)," katanya.

Sumber: Bernama
zipy

ALOR SETAR 14 Ogos - Cadangan pelaksanaan Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) memerlukan usaha bersepadu daripada pihak yang terlibat untuk memastikannya berjaya, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
  
Beliau berkata kerajaan negeri amat berminat untuk menjayakan projek bernilai berbilion ringgit itu, yang mampu memberi pulangan lumayan dari sektor minyak dan gas tetapi tidak menjangkakan kejayaan yang mudah kerana Kedah kurang pengalaman dalam industri petroleum.
  
"Kedah sebelum ini tidak pernah sinonim dengan industri minyak dan gas. Jadi, kita boleh bayangkan kita kena bina sesuatu dari tiada apa-apa kepada satu industri. Ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena 100 hari pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah hari ini. Selain itu, katanya terdapat beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk berkenaan pengambilalihan tanah, rakan pelaburan Merapoh Resources dan sumber minyak mentah, sebelum projek itu boleh dilaksanakan.
  
Malahan, kata beliau pemaju projek itu, Merapoh Resources Corp Bhd telah diminta untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan untuk mengelakkannya daripada menjadi projek "gajah putih" kelak.
  
Mukhriz berkata penambakan laut dicadangkan sebagai alternatif penyelesaian kepada projek berkenaan manakala sebuah syarikat dari China berminat untuk melabur di kawasan itu.
  
"Saya belum melihat laporan mengenai kemampuan syarikat dari China itu tetapi saya difahamkan bahawa syarikat tersebut ialah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jadi saya fikir mereka tentu mampu untuk melabur berbilion ringgit di kawasan tersebut," katanya.
  
Namun kata beliau, faktor penentu kepada projek itu adalah sumber minyak yang bakal diperoleh untuk diproses di zon industri petroleum berkenaan.     
"Sebelum ini, walaupun Iran disebut bersedia untuk membekalkan minyak mentah, itu belum cukup lagi kerana seperti yang dimaklum, Iran berhadapan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS)."
  
"Kita tak mahu bersengkokol dengan AS tetapi pada masa yang sama susah untuk mendapatkan (perkhidmatan) perkapalan dari pelabuhan di Iran untuk sampai ke Malaysia," katanya.
  
ZIPY, yang diumumkan pada 2007, adalah hasil perancangan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) pada masa itu, yang melibatkan pembinaan kilang penapisan minyak bagi memproses minyak mentah dari Asia Barat sebelum dijual ke negara-negara di Asia Timur.
  
Kerajaan diterajui Pas, yang mengambil alih pentadbiran Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, bersetuju meneruskan projek itu dan menukar namanya kepada Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh).
  
Namun, kerajaan negeri Pas yang mahu menggunakan kaedah lain menambak laut berbanding cadangan awal yang melibatkan pengambilalihan tanah, gagal melaksanakannya, dan mereka memberi alasan kononnya projek itu tergendala disebabkan pemaju yang dilantik menghadapi masalah teknikal dan kewangan.
  
Mengikut perancangan awal kerajaan BN, projek itu dijangka siap tahun ini dan mampu menjana pendapatan RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri selain membuka lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Sumber: Bernama
miskin
ALOR SETAR 13 Ogos - Sebanyak RM8.3 juta diperuntukkan oleh kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak awal tahun ini untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, bantuan diberikan kepada penerima yang layak di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan berusaha membela nasib golongan itu.

"Ini merupakan bantuan bulanan yang diberikan melalui JKM kepada penerima bagi membantu meringankan beban rakyat," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau juga menggesa agar pemimpin setempat bergerak aktif dalam mengesan penduduk di kawasan mereka yang memerlukan bantuan agar tindakan sewajar dapat diambil.

"Kita akan membantu mereka yang layak jadi semua anggota masyarakat perlu memainkan peranan termasuk pemimpin di kawasan masing-masing untuk mengesan orang susah seperti pesakit terlantar atau ibu tunggal yang miskin," katanya.

Beliau pada masa yang sama menyeru agar syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik ini sebagai salah satu daripada khidmat sosial mereka.

Sumber: Utusan
usahatransformasi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

MUKHRIZ Mahathir melihat pelan pembangunan kolej Poly-Tech Mara Alor Setar sambil mendengar penerangan oleh Pengerusi Majlis Pecah Tanah Kolej Poly-Tech MARA, Mohd. Azis Jamman (tiga dari kiri) dalam majlis pecah tanah kolej tersebut di Jalan Suka Menanti, Alor Setar, baru-baru ini.

KERAJAAN Kedah yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir giat menjalankan usaha untuk mentransformasikan ekonomi negeri dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana ekonomi setempat dan meningkatkan hasil secara berterusan selaras dengan slogan 'Kedah Aman, Makmur'.

Bagi mencapai sasaran itu, pelbagai strategi disusun rapi antaranya memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan logistik yang menawarkan potensi pelaburan besar.

Selepas diberi mandat menerajui pentadbiran Kerajaan Kedah, Mukhriz mengumumkan perancangan negeri untuk memiliki hab kuasa ekonominya sendiri dengan menjana aktiviti inovasi tempatan yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global.

Selain itu, kerajaan negeri Kedah memberi komitmen untuk terus menjayakan agenda program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) agar muncul sebagai kawasan utama di rantau ini menjelang tahun 2025, dengan matlamat membawa perubahan secara beransur-ansur ke arah mewujudkan masyarakat moden dan progresif.

Mukhriz juga mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat untuk memacu agenda pembangunan negeri Kedah.

Dalam masa sama, kerajaan negeri akan mengamalkan pendekatan berhemah dalam menguruskan kewangannya tanpa menjejaskan tanggungjawab untuk membangunkan Kedah dan meningkatkan kehidupan rakyat.

Setiap wang yang dibelanjakan mesti memberi pulangan ekonomi kepada rakyat dan Kedah semula ketika usaha menjayakan segala rancangan transformasi dilaksanakan kelak selain memastikan perbelanjaan negeri mesti mempunyai keberhasilan tinggi.

Dalam merangka hala tuju dan pelan tindakan jangka masa panjang untuk mentransformasikan Kedah sebagai sebuah negeri aman serta makmur, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah makmal dengan mendapatkan idea serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakannya.

Makmal transformasi Kedah yang dipandu oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu diyakini dapat membantu kerajaan negeri menyusun strategi lebih menyeluruh mengenai kaedah terbaik untuk mengeksploitasi kelebihan sedia wujud di Kedah dan mengatasi sebarang kelemahan.

Kerajaan Kedah mengenal pasti beberapa sektor yang mempunyai potensi untuk dibangunkan secara berkesan iaitu industri pembuatan, Bandar Raya Getah dan sebuah lagi taman industri teknologi tinggi di Bukit Kayu Hitam.

Di samping itu, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi cadangan mengenai pembangunan sektor minyak dan gas bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat secara menyeluruh.

Satu lagi tumpuan adalah dalam sektor pelancongan yang tidak terhad kepada Langkawi tetapi melibatkan tanah besar kerana Kedah mempunyai potensi dalam bidang itu ekoran keunikan alam semula jadi, sejarah dan warisannya.

Dalam pada itu, seiring dengan pelan transformasi itu, kerajaan negeri Kedah berusaha meletakkan bidang pendidikan dan pembangunan modal insan pada tahap lebih baik.

Usaha ke arah itu segera kelihatan dengan pembinaan kampus baharu Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar yang disifatkan Menteri Besar sebagai langkah seiring dengan perancangan kerajaan negeri untuk memperkayakan Kedah menerusi pelbagai peluang pendidikan dan kemahiran.

Majlis pecah tanah kampus KPTM Alor Setar itu dirasmikan Mukhriz pada awal Julai lalu. Pembinaannya dijangka mampu memuatkan 3,500 pelajar pada satu-satu masa apabila siap sepenuhnya pada pertengahan 2015.

Kampus baharu berkenaan yang dilaksanakan pengurusan KPTM mencerminkan bandar raya ini semakin pesat membangun dalam erti kata membawa kemajuan dari segi ekonomi dan sosial masyarakat di negeri Jelapang Padi.

Sementara itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah telah dan sedang menguruskan isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang diwarisi daripada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu dengan baik.

Langkah konstruktif diambil oleh Kerajaan Kedah bagi mengembalikan hak dan kebajikan kakitangan Kuin apabila bersetuju melaksanakan enam perkara untuk menambah baik kolej universiti itu termasuk menjadikannya sebagai sebuah badan berkanun negeri.

Langkah-langkah lain ialah kerajaan negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Kuin sebulat suara bersetuju menerima pakai beberapa pekeliling perkhidmatan yang membolehkan kenaikan gaji kakitangan Kuin di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan untuk tujuan kenaikan kadar bantuan sara hidup sebanyak RM50 sebulan bagi setiap kakitangan.

Menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan lima tahun 2013 untuk tujuan pemberian pemindahan gaji kepada kakitangan Kuin mengikut Sistem Saraan Baru atau lebih dikenali kenaikan satu tangga gaji manakala langkah keempat ialah kerajaan negeri menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan dua tahun 2013 untuk tujuan penambahbaikan jadual gaji minimum-maksimum kepada kakitangan Kuin berdasarkan SSM.

Pihak Lembaga Pengarah Kuin juga bersetuju menerima pakai pekeliling-pekeliling kerajaan yang lain sekiranya pihak kerajaan mengumumkan sebarang imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi atau lebih dikenali sebagai bonus tahunan kepada semua kakitangan Kuin.

Kerajaan BN Kedah juga sedang giat berusaha menyelesaikan satu persatu masalah lain yang melanda Kuin tanpa unsur politik demi kepentingan pelajarnya.
Usaha itu adalah selaras dengan hasrat untuk melonjakkan Kuin sebagai institusi pengajian tinggi yang ulung di peringkat antarabangsa menerusi pengkhususan jurusan kepakaran kolej universiti berkenaan.

Sumber: Utusan
oku

ALOR SETAR 12 Ogos - Kerajaan Kedah menyasarkan untuk melatih 7,000 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah bagi membolehkan mereka berdikari.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan negeri Aminuddin Omar berkata kerajaan negeri sudah melantik konsultan daripada Universiti Teknologi Mara bagi memberi kursus secara berterusan kepada OKU terbabit.

Latihan akan diberi mengikut keupayaan mereka dan fasa pertama kursus akan diadakan pada September ini, membabitkan OKU berusia bawah 40 tahun, katanya kepada Bernama.

Perkembangan peserta akan dipantau kerajaan negeri bagi memastikan mereka mampu menyara diri, katanya. Mengulas pembinaan litar lumba di Kedah, beliau berkata sebuah tapak sudah dikenal pasti di Kulim.

"Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir telah memberi arahan supaya pembinaan litar itu dipercepatkan dan mencadangkan dibina di selatan Kedah kerana jika diadakan kejohanan mudah dihadiri masyarakat Pulau Pinang dan Perak kerana dekat," katanya.

Pembinaan litar lumba itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadiri perhimpunan orang muda di sini pada Mac lepas.

Sumber: Bernama

mbas

ALOR SETAR 12 Ogos - Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di pusat bandar raya ini dijangka dapat diatasi apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merancang membina sebuah bangunan parkir bertingkat tidak lama lagi untuk keselesaan orang ramai.

Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, parkir bertingkat tersebut akan memuatkan sebanyak 500 petak letak kereta dan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.

“Pada ketika ini terdapat kira-kira 700 tempat meletak kereta di tengah-tengah bandar raya ini termasuk 400 petak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah yang baru disiapkan di Kompleks MBAS Jalan Kolam Air.

“MBAS menyedari keperluan orang ramai untuk berkunjung ke bandar ini bagi menyelesaikan pelbagai urusan mereka, jadi kita merancang membina parkir bertingkat ini," katanya di sini baru-baru ini. Menurut Mat Noh, pihaknya menjangka kehadiran orang ramai ke Alor Setar bertambah dengan pembukaan UTC Kedah sejak 21 Julai lalu. “

MBAS akan berusaha menyelesaikan parkir di bandar raya ini termasuk menaik taraf tempat letak kereta di Kompleks MBAS bersesuaian dengan pembukaan UTC Kedah yang kini mempunyai sebanyak 400 petak," katanya. Menyentuh tentang UTC Kedah, pihaknya berharap orang ramai dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan di bawah satu bumbung.

Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 22 jabatan kerajaan dan swasta beroperasi termasuk Klinik 1Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Sumber: Utusan
pm

Alor Setar 7 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Jalan Kolam Air dekat sini, pada 16 Ogos ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, berkata RTC itu akan berperanan sebagai pusat sehenti perkhidmatan kerajaan. “Kita jangkakan kira-kira 20,000 orang akan hadir ke majlis perasmiannya. Selain rakyat Kedah, turut dijangka hadir ialah wakil agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya di sini, semalam.

UTC kelima

UTC Kedah adalah yang kelima disediakan kerajaan di negara ini selepas empat premis sama dibangunkan sebelum ini iaitu di Melaka, Kuantan di Pahang, Kuala Lumpur dan Ipoh di Perak.

Antara kemudahan disediakan di UTC terbabit, termasuk perkhidmatan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, perkhidmatan keselamatan seperti kiosk Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta per-khidmatan pendidikan, latihan dan pekerjaan seperti Jobs Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja.

Selain itu terdapat juga perkhidmatan kewangan seperti kaunter bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Bank Rakyat, perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM), perkhidmatan pembangunan perniagaan dan keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), perkhidmatan utiliti seperti TM Point, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Sdn Bhd dan Pos Malaysia.

Mat Noh berkata, setakat ini, hampir sebahagian daripada agensi kerajaan yang sepatutnya ditempatkan di UTC berkenaan sudah memulakan operasi termasuk Klinik 1Malaysia dan Jabatan Imigresen, manakala sebahagian lagi dalam persiapan untuk berpindah ke bangunan ini sebelum 16 Ogos ini.

Sumber: Berita Harian
pesawahmada

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Mukhriz Tun Mahathir menyampaikan insentif projek estet padi kepada Saidin Omar (kanan) sambil diperhatikan Othman Aziz (dua dari kiri) di PPK 3-III MADA Kobah, Pendang, Kedah, semalam.

PENDANG 5 Ogos - Sebanyak 5,929 peserta estet padi berpusat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima 'duit raya' iaitu insentif bernilai RM19.8 juta bagi 9,914 hektar tanaman padi yang diusahakan mereka.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, insentif itu adalah bagi musim kedua tahun ini dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM30 juta insentif kepada seluruh kawasan MADA.

Katanya, pesawah yang menyertai projek estet padi berpusat di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan (EPP) 10 itu diberi insentif sebanyak RM2,000 setiap hektar sebagai galakan dan jaminan kepada pendapatan mereka.

"Sebahagian daripada pemberian insentif tersebut atau RM19.8 juta diserahkan kepada 27 Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang akan mengagihkannya kepada peserta terlibat di kawasan masing-masing hari ini manakala bakinya akan diagihkan bulan depan.

"Insentif ini bertepatan pada masanya bagi keperluan perbelanjaan pesawah menjelang sambutan Aidilfitri selain mereka juga memerlukan wang untuk memulakan musim tanaman padi," katanya dalam majlis penyampaian insentif berkenaan di PPK3-III MADA Kobah, di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pelaksanaan projek estet padi NKEA dapat membuka peluang pekerjaan kepada pesawah, anak-anak mereka dan usahawan tempatan.

Yang turut hadir Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz dan Pengerusi PPK H-II Kepala Batas, Saidin Omar.

Beliau berkata, peserta juga akan mendapat dividen hasil keuntungan projek estet berkenaan manakala PPK pula memperoleh pendapatan daripada komisen pengurusan, jualan input dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, mentaliti golongan muda perlu ditukar supaya berminat menceburi bidang pertanian.

Katanya, golongan muda sering berpendapat bidang pertanian sukar kerana terpaksa bekerja di tengah panas dan tidak mendapat pendapatan lumayan berbanding pekerjaan lain.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pesawah mengikuti turutan garis panduan MADA pada setiap musim penanaman padi bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Sementara itu, pesawah, Hassan Sauri Abdul, 54, berkata, dia bersyukur dengan pengagihan insentif sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bukan sahaja dapat membantunya menyediakan kelengkapan tetapi membolehkannya bersedia memulakan musim penanam baharu.

"Saya bersyukur kerana menerima insentif secara teratur sejak menyertai projek estet padi tiga musim lalu," katanya yang memperoleh insentif sebanyak RM6,000 daripada kira-kira tiga hektar sawah diusahakannya.

Sumber: Utusan