KEDAH LANCAR DANA WARISAN PENDIDIKAN


27kedah
ALOR SETAR 27 Februari - Kerajaan negeri hari ini menepati janji diuar-uarkan sewaktu pembentangan Bajet 2018 dengan melancarkan Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah untuk lebih 30,000 murid-murid yang memulakan sesi persekolahan darjah satu, tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, wang berjumlah RM3.8 juta yang diperuntukkan untuk tujuan itu sudah pun tersedia.
"Seperti dijanjikan, setiap pelajar yang memulakan sesi persekolahan di Kedah pada tahun ini akan diberikan RM100 setiap seorang dalam bentuk simpanan di Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M).
"Wang peruntukan itu sudah pun tersedia dengan kerajaan negeri hanya menanti pelancaran di peringkat daerah sebelum memulakan pembayaran. Pemberian ini akan diberi kepada semua murid-murid tahun satu yang memulakan sesi persekolahan di Kedah tahun ini tanpa mengambil kira sama ada mereka lahir di Kedah atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan dana tersebut di tapak Ekspo Muafakat Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman dekat sini, hari ini.
Hadir sama Exco, Datuk Norsabrina Mohd. Noor dan Datuk Suraya Yaacob serta Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan