WAJIB PASANG PERANGKAP MINYAK



2wajib
ALOR SETAR - Semua gerai makan dan restoran di negeri ini diwajibkan memasang alat perangkap minyak selepas kerajaan negeri menguatkuasakan enakmen Kerajaan Tempatan, dalam masa terdekat.
Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kertas kerja mengenai pemasangan alat perangkap minyak di gerai makanan atau restoran sudah dibentangkan, ia boleh dikuatkuasakan pada bila-bila masa,” katanya,
Menurutnya, menjadi satu kesalahan sekiranya peniaga gagal mematuhi arahan ditetapkan.
“PBT akan ambil tindakan sama ada dalam bentuk kompaun atau denda kerana kerajaan negeri turut bimbang dengan sikap peniaga khususnya berniaga berdekatan sungai,” katanya.
Badrol Hisham berkata, kerajaan negeri sudah bersetuju untuk mengguna pakai enakmen ini bawah PBT.
“Kerajaan pusat juga meminta kerajaan negeri peka dengan pelaksanaan enakmen ini kerana tidak lama lagi, Malaysia bakal bergelar negara maju.
"Seiring dengan itu, masyarakat kita perlu dididik ke arah piawaian yang dicapai negara maju, di mana alat perangkap minyak sudah lama digunakan di luar negara,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menentukan jenis perangkap minyak yang akan dipasang mengikut piawaian ditetapkan.
“Sepatutnya setiap peniaga tidak boleh melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak ke dalam sumber air terutamanya, kedai makanan atau restoran yang berdekatan sungai.
“Apabila cuci pinggan dan basuh peralatan berminyak atau buang minyak masak terus ke sungai, ia memberi kesan buruk kepada sungai itu. Dengan adanya perangkap minyak, ia akan memastikan minyak yang dibuang ditapis dan tidak mengganggu sistem aliran sungai,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Kerajaan Kedah akan mencontohi Kerajaan Pulau Pinang mengadakan program kitar semula minyak masak terpakai kepada biodiesel, katanya, perkara itu akan diteliti terlebih dahulu.
“Kita akan teliti pendekatan Kerajaan Pulau Pinang yang galakkan peniaga atau orang awam untuk menukar bahan buangan sebagai sumber pendapatan semula kepada mereka.
“Saya percaya ia langkah yang baik dan boleh memupuk kesedaran orang awam agar tidak membuang sampah ke dalam sistem perparitan atau sungai sehingga berlaku pencemaran atau jejaskan kualiti air serta rantaian makanan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri bersedia mengadakan kerjasama dengan IWK untuk melantik syarikat itu mengutip minyak masak terpakai daripada kedai dan restoran makanan di negeri ini.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar