ALOR SETAR 14 Ogos – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menegur sikap segelintir masyarakat yang sering berdebat secara tidak beradab mengenai isu-isu sensitif di laman sosial, semata-mata kerana perbezaan ideologi sempit atau kepentingan diri sendiri.
Baginda bertitah, perdebatan berhubung isu-isu mengenai kemuliaan agama Islam, kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan kaum serta hukum-hakam agama di alam maya seringkali mengundang tafsiran negatif berhubung perkara berkaitan.
Tidak terkecuali, teguran sama turut dititahkan oleh baginda terhadap sebahagian golongan ilmuwan agama yang sering mengeluarkan fatwa, tuduh-menuduh dan berdebat di ruang maya sehingga masyarakat berpecah-belah.
“Senario ini menjadi virus yang memporak peranda dan mengelirukan rakyat, memecah belah serta mengkucar kacirkan ukhuwah yang selama ini terjalin indah.
“Apatah lagi pimpinan politik dan individu berkepentingan mengambil kesempatan untuk mewujudkan suasana tidak harmoni, sekali gus menghangatkan lagi permusuhan dan polemik sesama umat Islam,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Ke-13 di sini hari ini.
Teks titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Yang turut berangkat Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Sumber : Utusan