NELAYAN DITAHAN LANGGAR LESEN MEMUKAT



8nelayan
ALOR SETAR 8 Mac - Sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana melanggar syarat lesen dengan memukat ikan kurang lapan batu nautika dari pantai, petang semalam.
Pengarah Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Ahmad Kamal Mohd. Noor berkata, bot tersebut ditahan pada pukul 6.30 petang ketika berada pada kedudukan tujuh batu nautika, barat daya Kuala Kedah.
“Seorang tekong bersama dua awak-awak warga tempatan berusia 29 hingga 55 tahun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.
“Kami turut menemukan hasil tangkapan sebanyak 150 kilogram di dalam bot tersebut dan kesemua mereka dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Oleh : Rafie Azimi
Sumber : Utusan