PELAJAR JADI EJEN DADAH DI SEKOLAH



29pelajar
KUALA KEDAH 29 Disember - Upah RM50 sehari sebagai ejen dadah dikhuatiri menggalakkan lagi sebilangan pelajar untuk mengedar dadah di sekolah bagi memperoleh wang poket.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, kehadiran ejen dadah dalam kalangan pelajar berkemungkinan menjadi penyebab rekod pelajar sekolah positif dadah di Kedah meningkat.
“Seperti dikatakan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, kami tidak menolak kemungkinan upah RM50 ditawarkan mampu menarik minat pelajar untuk mengedar dadah.
“Bagi pelajar, upah sedemikian dilihat mereka sebagai amat besar. Jadi, sindiket menggunakan pelajar demi memudahkan mereka menjual dadah tanpa dikesan dengan mudah,” katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas Program Pemerkasaan Komuniti Bebas Dadah dan Penyampaian Sumbangan Bag Sekolah #bag2school di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Salleh Masri, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Penolong Pengarah (Pencegahan) AADK Kedah, Azhar Kamaruddin Saidin; Pengerusi Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid dan Timbalan Presiden LPKPM Kebangsaan, Dr Lee Nan Sang.
Mohammad Nazer berkata, budak sekolah bawah umur berusia antara 13 hingga 17 tahun mudah terpengaruh memandangkan mereka seronok mendapatkan wang poket sedemikian.
"Taktik ejen pelajar melakukan kegiatan dadah bertambah mudah apabila ada pelajar mencuba bahan terlarang itu atas rasa ingin tahu sebelum terjerumus dalam kancah penagihan dadah.
"Kami juga bimbang perkembangan kadar penagihan dadah makin serius, apatah lagi statistik diperoleh menunjukkan peningkatan kadar penagihan dadah dalam kalangan pelajar.
“Jikalau pada 2015, kira-kira 70 peratus daripada 374 mengambil dadah jenis syabu, namun kini 80 peratus daripada 344 orang dikesan mengambil dadah itu,” katanya.
Malah Nazer berkata, pihaknya mendapati purata pelajar dikesan terbabit dalam dadah di sekolah adalah antara 8 hingga 10 orang.
"Sehingga kini, seramai 415 pelatih berusia antara 13 hingga 15 tahun didapati ditempatkan di CNC Karangan, Kulim, akibat dikesan terlibat dengan dadah," katanya.
Disebabkan itu katanya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencegah dengan memantau dan memastikan anak mereka tidak terjebak dalam kegiatan itu.
"AADK Kedah memandang serius isu sedemikian, sekali gus mengharapkan kerjasama pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKK) serta jawatankuasa masjid membendung gejala itu," katanya.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar