‘TINDAKAN TEGAS JIKA KESAN BAHAYA’




    22tindakan
    ALOR SETAR 22 Disember – Kerajaan Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang perkara baru khusus dalam soal pemilihan makanan ‘biskut berasap’ yang menjadi fenomena pada ketika ini.
    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, orang ramai harus mengelak daripada menggunakan produk tersebut sekiranya mendatangkan bahaya kepada tubuh badan dan kesihatan.
    “Kita kena tengok betul-betul benda baru macam ini, kena semak sama ada ia disahkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan, baru boleh guna.
    “Tapi kalau setakat orang baru letak di pasaran, kita dah nak guna itu yang boleh jadi bahaya kepada kesihatan kita,” katanya kepada Sinar Harian.
    Beliau ditemui selepas merasmikan majlis bantuan persekolahan 2017 kepada 1,000 murid sekolah rendah peringkat Parlimen Alor Setar di Dewan Seri Mentaloon, di sini, kelmarin.
    Menurutnya, masalah itu akan dibincangkan bersama Exco-exco yang terlibat dalam masa terdekat bagi mengenal pasti langkah penyelesaian terbaik.
    “Kita akan tengok balik perkara ini, kalau kesannya akan banyak dan bahaya, mungkin kita akan ambil tindakan tegas.
    “Kalau itulah insiden yang berlaku sehingga mengakibatkan kecederaan kepada orang ramai sehingga melecur, ini amat bahaya,” katanya.
    Terdahulu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengesahkan menerima lima aduan daripada pengguna yang melecur di tangan dan bengkak pada lidah selepas makan biskut naga atau lebih dikenali sebagai ‘biskut berasap’.
    Setiausaha Eksekutif Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, biskut naga itu boleh diperoleh di sekitar pusat bandar Alor Setar dengan harga sekitar RM10 setiap 20 keping.
    Biskut naga yang menjadi fenomena di Indonesia pada sebelum ini juga mampu menghasilkan asap seperti asap rokok oleh sesiapa yang memakannya dipercayai kesan daripada cecair nitrogen pada biskut berkenaan.
    Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
    Sumber : Sinar