280,000 Ikuti Tuisyen Percuma Kedah e-Tutor



2tuisyen
SUNGAI PETANI 1 April - Kerajaan negeri hari ini melancarkan aplikasi Kedah e-Tutor (KeT) yang menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada lebih 280,000 pelajar di negeri ini.
Dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, aplikasi tersebut membolehkan para pelajar yang berusia antara 10 hingga 17 tahun mengulangkaji pelajaran dan menjalani latihan dengan dipantau oleh guru serta ibu bapa masing-masing.
Katanya, inisiatif diambil kerajaan negeri itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memastikan Kedah tersenarai sebagai lima negeri teratas dalam bidang akademik di negara ini.
“Sudah lama saya katakan bahawa segala perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan Kedah akan sia-sia jika kita tidak memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan.
“Justeru, kerajaan negeri tidak lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan besar sehingga RM18 juta bagi memperkenalkan aplikasi ini. Bagi kami, ini bukan perbelanjaan kosong sebaliknya pelaburan yang perlu dibuat bagi membantu anak Kedah untuk le­bih terkehadapan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran itu di Bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali serta Pengarah Pelajaran negeri, Datin Azu­yah Hassan.
Antara kelebihan KeT ialah para pelajar boleh mengikuti video pembelajaran mengenai kesemua topik dalam setiap subjek yang diselia oleh guru-guru cemerlang dan berpengalaman luas menerusi pelbagai gajet termasuk telefon bimbit pintar.
Sebelum ini, kerajaan negeri Pe­rak turut memperkenalkan aplikasi sama, namun jumlah subjeknya tidak sebanyak seperti disediakan oleh kerajaan negeri Kedah, iaitu mencecah sehingga 80 subjek.
Mukhriz menambah, bagi membolehkan aplikasi itu dapat digunakan pelajar luar bandar, kerajaan negeri sedang berusaha memastikan sekolah-sekolah luar bandar mempunyai capaian internet memuaskan.
“Setakat ini, terdapat kira-kira 25 peratus lagi sekolah di seluruh negeri ini yang belum mempunyai capaian internet atau capaian sedia ada tidak berada pada tahap memuaskan,” katanya.
Oleh : Rafie Azimi
Sumber : Utusan