Kem Motivasi Benteng Jati Diri Pelajar

19program

Oleh Jamliah Abdullah

KUBANG PASU 19 Disember - Program motivasi seperti kem bina semangat amat re­levan dengan situasi pelajar pada hari ini yang terdedah dengan pelbagai anasir negatif terutama aktiviti militan di Syria.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengukuhan jatidiri, iman dan akhlak yang menjadi benteng terbaik bagi golongan tersebut boleh diterapkan dalam setiap program kem bina semangat.

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui pembentangan Bajet Kedah 2015 juga memperuntukkan seba­nyak RM2 juta bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan terma­suk kem bina semangat bagi golongan muda negeri ini.

“Kita ada undang-undang kalau seorang itu mempunyai hasrat sampai mengatur supaya boleh ke Syria, ada dalam kalangan mereka ditahan oleh polis seperti berlaku pada masa kini.

“Itu (penguatkuasaan) tidak mencukupi. Apa yang kita cuba lakukan adalah mengenai jati diri, iman dan akhlak kepada seseorang insan itu agar ia jadi bentang mengelak mereka daripada diperkotak-katikkan atau dipesong oleh anasir jahat.

“Benteng atau pertahanan terbaik adalah dari dalaman diri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedah Summer Camp 2014 anjuran kerajaan negeri di Kem Paya Pahlawan, Jitra dekat sini hari ini.

Beliau yang turut melahirkan rasa bimbang dengan penglibatan anak muda dalam aktiviti militan itu berkata, golongan yang terjebak dengan anasir tersebut sebenarnya jauh menyimpang daripada pega­ngan Islam dan diperalatkan oleh golongan ter­tentu.
“Saya dapati mereka yang terjebak dipengaruhi anasir luar kononnya untuk berjihad tetapi sebenar­nya jauh menyimpang dan diperalatkan sampaikan ke peringkat geopolitik antarabangsa dan cemar nama baik Islam.

“Saya harap tidak ada lagi orang Malaysia khususnya di Kedah dipe­ngaruhi oleh anasir itu,” katanya.

Sumber : Utusan