Oleh Safina Ramli

ALOR SETAR 26 November - Pencapaian peratus kelulusan keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Kedah telah meningkat seba­nyak 2.19 peratus iaitu 68.13 peratus berbanding 65.94 peratus pada tahun 2013.

Pengarah Pelajaran negeri, Datin Azuyah Hassan berkata, pres­tasi calon bagi sekolah kerajaan yang mencapai tahap cemerlang iaitu yang memperoleh 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran ialah seramai 2,831 orang daripada 34,623 calon.

“Daripada 540 buah sekolah rendah kerajaan di negeri ini sebanyak 403 buah sekolah (74.63 peratus) mencatatkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

“Sebanyak 16 sekolah telah mendapat 100 peratus kelulusan pada tahun ini dan antara sekolah tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Nan, SJKC York Khoon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Puan Sharifah Hanipah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Menurut Azuyah, sebanyak 317 sekolah telah meningkat pencapa­ian peratus keseluruhan pada tahun 2014 daripada sekurang-kurangnya 0.11 peratus sehingga yang tertinggi iaitu 100 peratus.

Tambahnya, sebanyak 11 buah sekolah pula mencapai peningkatan peratus keseluruhan melebihi 50 peratus ke atas.

“Antara sekolah tersebut ialah SK Nami, SJKC Poi Chee, SJKC Pei Eng, SK Lamdin, SK Bukit Kiara, SJKC Kampong Lalang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azuyah memberitahu, Gred Purata Sekolah (GPS) UPSR 2014 bagi negeri ini ialah 2.29 berbanding 2.27 pada tahun lalu.

“Sebanyak 240 sekolah (44.44 peratus) telah mencatat pencapaian GPS lebih baik daripada pencapaian negeri bagi 2014.

“Sementara itu, 87 buah sekolah telah berjaya mencapai tahap cemerlang iaitu GPS kurang daripada 2.0,” katanya.

Sumber : Utusan

26tapak

Oleh Opat Rattanachot

SUNGAI PETANI 25 November - Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, langkah berkenaan termasuklah mendapatkan pengikrafan daripada badan antarabangsa bagi memperakui bahawa kawasan Lembah Bujang atau Kedah tua merupakan pusat peradaban yang amat gemilang suatu ketika dahulu.

Kita menyedari bahawa di sekitar Lembah Bujang inilah segalanya bermula. Tamadun ini dikatakan bermula lebih 2,500 tahun dahulu dan dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah Bar, Cheh-cha dan Langkasuka.

“Kawasan ini cukup bersejarah, bukan sahaja sebagai sebuah penempatan tetapi sebagai pusat pentadbiran kerajaan silam yang begitu agung malah menjadi tumpuan pedagang serta cerdik pandai dari dalam Dunia Melayu Nusantara serta rantau Arab, India dan China. Pakar-pakar sejarah percaya ia jauh lebih agung dari Angkor Wat di Tanah Champa dan Borobudur di Tanah Jawa. Warisan sejarah ini adalah khazanah negeri yang tidak ternilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Minggu Pelancongan Kedah Tua 2014 anjuran Biro Belia Cina Negeri Kedah dan Pertubuhan Pembangunan Pelancongan Dan Kesenian Kedah Tengah di Pekan Semeling, dekat sini malam tadi.

Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Mukhriz berkata, pihaknya percaya langkah mendapatkan pengiktirafan itu memberikan manfaat yang besar kepada para penduduk setempat khususnya dalam bidang ekonomi dan pelancongan.
Dalam perkembagan berkaitan, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri kini turut bergiat aktif memperbanyak dan memperkenalkan produk pelancongan di Kedah.

“Matlamat kita adalah untuk menyedarkan orang ramai, khususnya para pelawat bahawa pelancongan di Kedah bukan setakat di Langkawi tetapi tanah besar Kedah turut menyajikan pelbagai keistimewaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar turut serta memberikan pandangan dan buah fikiran secara kreatif dalam usaha memajukan pelancongan negeri Kedah pada masa akan datang.

Sumber : Utusan

23menteri

ALOR SETAR 23 November– Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria turun padang melawat mangsa ribut di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung Keriang.

Sempena lawatan itu, Menteri Besar turut menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa ribut yang secara tidak langsung mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Sebanyak enam kediaman daripada 71 kediaman di kampung berkenaan mengalami kerosakan teruk dalam kejadian puting beliung yang berlaku pada 31 Oktober 2014.

Kejadian putting beliung itu adalah yang kedua berlaku di Kedah selepas insiden pertama di Pendang pada 13 oktober 2014.

Sumber : UMTK

20kediaman

ALOR SETAR 20 November- Kerajaan Negeri akan membina semula kediaman enam keluarga yang rosak sepenuhnya dalam kejadian puting beliung di Kampung Sungai Baru pada 31 Oktober 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian berkata, pihaknya sudah meninjau dan membanci mangsa dalam insiden itu sebelum mendapati enam keluarga paling teruk terjejas.

“Enam keluarga itu kini menumpang di rumah saudara, namun kita akan sediakan penempatan sementara di dewan orang ramai di kampung itu sebelum mereka dipindahkan ke rumah transit. Kerajaan Negeri juga akan membina semula enam kediaman yang rosak secepat mungkin selepas mendapat kelulusan sewajarnya,” ujarnya.

Menurutnya, bantuan segera sudah disalurkan sebelum ini meliputi skop dalam pelan Tindakan Serta Merta (TSM) iaitu makanan dan kewangan bagi membantu mereka.

Pelbagai pihak tampil bergotong-royong membaik pulih sebahagian daripada 71 premis yang terjejas dalam kejadian puting beliung berkenaan, iaitu yang kedua melanda Kedah selepas insiden pertama di Pendang pada 13 Oktober 2014.

Sumber : UMTK

20bantuan

ALOR SETAR 20 November-  Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyalurkan bantuan segera termasuk sumbangan wang berdasarkan penilaian kerosakan rumah mangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, lapan keluarga di Kampung Batin, Mergong menerima bantuan wang tunai RM200 hingga RM1,000 manakala Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata pula menyumbang RM300 hingga RM500 mengikut kerosakan rumah.

“Setakat ini, JKM sudah menyalurkan bantuan awal termasuk barangan keperluan harian. Saya harap semua mangsa bersabar kerana bantuan lain juga akan diberi berdasarkan keperluan,” ujarnya ketika ditemui selepas mengunjungi mangsa bencana di Kampung Batin, Mergong.

Sebanyak 71 buah rumah di empat kawasan di Daerah Kota Setar mengalami kerosakan akibat kejadian puting beliung pada 31 Oktober 2014.

Sumber : UMTK

20bersih 

MERBOK 20 November – Masalah perparitan yang berlaku dekat Taman Lembah Bujang bakal diatasi apabila tindakan segera dilakukan pada peringkat permulaan bagi mengelakkan banjir berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya melakukan lawatan ke lokasi berkenaan dan mendapati saluran berkenaan tersumbat.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) melakukan pembersihan awal bagi memperbaiki saluran berkenaan.

“Sebelum ini, ramai yang merungut tentang masalah banjir dekat Kampung Pekan Sebelah dan Taman Lembah Bujang. Ketika tinjauan dibuat mendapati laluan air tersumbat. Ia dipercayai berpunca daripada saluran paip yang tersekat di bahagian bawah menyebabkan air melimpah dan menyebabkan beberapa penduduk terjejas,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasinya selain MPSPK.

“Kita akan berganding dengan pihak terlibat dalam usaha membaik pulih laluan air yang tersekat. Setakat ini, MPSPK membuat operasi pembersihan peringkat awal sebelum kerja-kerja lain menyusul kemudian,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihati penduduk untuk menjaga kebersihan kawasan kediaman, selain memelihara sistem perparitan dari tercemar dengan sisa buangan yang boleh mengakibatkan masalah bukan sahaja kepada penduduk, malah menjejaskan alam sekitar.

Sumber : UMTK
17mukhriz
Oleh Safina Ramli
ALOR SETAR 17 November - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini membentangkan Bajet Kedah 2015 berjumlah RM804 juta sebagai kesinambungan tradisi keupayaan kerajaan dalam memakmurkan negeri dan membawa kemajuan kepada semua lapisan rakyat.
Bertemakan Ekonomi Modal Memakmurkan Rakyat, Bajet 2015 itu merupakan bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan lebih menumpukan kepada penyelesaian projek-projek dan program yang telah dirancang dalam RMK-10, selaras dengan empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan.
Mukhriz berkata, empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan itu ialah menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri, memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengupaya modal insan dan keusahawanan.
“Daripada peruntukan seba­nyak RM804 juta itu, sejumlah RM527 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM276,980,046 bagi perbelanjaan pembangunan.
“Selain itu, daripada jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus, sebanyak RM194 juta diperuntukkan bagi menampung defisit pembangunan di bawah Kumpulan Wang Perbelanjaan Negeri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2015 dalam sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurut Mukhriz, untuk 2015, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM743,656,021 pada tahun tersebut dengan mengambil kira hasil yang berhak dikutip.
“Antara hasil yang berhak dikutip ialah anggaran hasil tanah, anggaran kutipan tunggakan hasil tanah, anggaran premium tanah, hasil air, dividen, pelaburan dan cukai tertunggak,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi menjamin kemakmuran dan kelangsungan rakyat, kerajaan memperuntuk RM52.4 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyediakan kemudahan infrastruktur jalan dan kemudahan lain.
Untuk bidang pendidikan, agama dan modal insan pula, Mukhriz memberitahu, kerajaan menyediakan RM18 juta sebagai permulaan bagi menyediakan pelbagai program dan strategi untuk membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik.
“Untuk bidang pertanian, kerajaan negeri memperuntuk RM47.79 juta, pelancongan (RM8 juta), sukan (RM23 juta) manakala pembangunan sosial (RM21.5 juta) dan teknologi maklumat (RM4 juta).
“Kerajaan negeri juga menyediakan dana RM242 juta untuk pembayaran emolumen, manakala kos perkhidmatan dan bekalan seba­nyak RM157 juta berbanding RM132 juta bagi tahun 2014 berikutan kenaikan kos utiliti,” jelasnya.
Namun kata beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinannya yang berusia dua tahun itu terpaksa menanggung bebanan hutang seba­nyak RM45 juta setahun selama 15 tahun bagi menyelesaikan kos pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil.
“Sekiranya bebanan jumlah yang besar ini dapat dibebaskan daripada kerajaan negeri, wang sebanyak itu pasti dapat digunakan bagi projek yang dapat memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Mukhriz berkata, walaupun Bajet 2015 mencatatkan defisit RM60 juta iaitu jumlah terbesar yang pernah dirangka berbanding kerajaan negeri sebelum ini, beliau yakin perkara tersebut mampu diatasi dengan menggunakan himpunan rizab negeri.
Sumber : Utusan
17penoreh
Oleh Norlia Ramli
BALING 17 November - Keresahan penoreh getah di kawasan ini terus mendapat perhatian pemimpin setempat yang turun padang bagi mendengar keluhan mereka selain turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban.
Hampir 300 penduduk terdiri daripada penoreh getah itu merasa gembira apabila menerima bantuan berupa makanan asas dan juga wang perbelanjaan melalui program turun padang pejabat Parlimen Baling dan Persatuan Pekebun dan Penoreh Getah (Pergetah) semalam.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, peruntukan bantuan sebanyak RM200,000 kepada penoreh getah sedang disalurkan kepada mereka secara berperingkat.
“Ini adalah siri kedua Pergetah bersama pejabat Parlimen Baling turun padang berjumpa dengan penoreh getah.
“Sebelum ini, kami di Kampung Mamali dan selepas ini bantuan akan terus disalurkan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka ekoran harga getah yang murah,” kata Abdul Azeez.
Beliau berkata demikian ketika majlis turun padang Ahli Parlimen bersama Pergetah di Kampung Dalam Wang, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Pergetah, Mohd. Taufik Yaacob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Abdul Aziz.
Menurut Abdul Azeez, beliau juga menyediakan dana sebanyak RM1 juta untuk penoreh getah di Parlimen Baling.
“Saya juga akan memberikan bantuan sampingan lain sekiranya ada dalam kalangan penoreh itu ingin melakukan pekerjaan sampingan lain seperti menanam pisang, lada hitam, menternak ikan, udang dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Taufik berkata, pengagihan tersebut akan dihulurkan terus ke rumah penoreh getah bagi memastikan barang tersebut sampai kepada mereka.
“Ini adalah salah satu perjuangan Pergetah bersama Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan kepada rakyat terutamanya penoreh getah.
“Kita akan memastikan nasib mereka terbela dan dari semasa ke semasa kita akan teruskan perjuangan untuk mengembalikan harga getah agar ia terus naik sehingga ke harga yang lebih tinggi lagi,” kata Mohd. Taufik.
Penerima bantuan, Abu Hassan Yaacob, 66, berkata, dia amat terharu dan merasa gembira apabila kerajaan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat sepertinya.
“Terima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu rakyat dan sanggup turun padang mendengar dan melihat dengan sendiri masalah rakyat.
“Sedikit sebanyak kami me­rasa gembira dan terubat dengan masalah yang sedang kami tanggung ini dan diharapkan kerajaan terutamanya pemimpin-pemimpin setempat dapat mendengar keluhan rakyat dan segera bertindak untuk mengatasinya,” kata Abu Hassan.
Sumber : Utusan
16mygap
ALOR  SETAR 16 November – Hasil pengeluaran pertanian di negeri ini dijamin bebas daripada bahan kimia berbahaya yang boleh memberi pelbagai jenis penyakit kepada pengguna melalui pelaksanaan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, Kedah adalah negeri yang pertama menggunakan kaedah MyGap bagi menjamin hasil pertanian berkualiti dan bebas bahan kimia.


“Melalui skim tersebut, hasil tani yang dikeluarkan seperti buah-buahan serta padi lebih segar dan berkualiti, sekaligus meningkatkan jaminan makanan. MyGap adalah jaminan kepada pengguna mengenai hasil tani yang tidak menggunakan racun atau bahan kimia berbahaya secara keterlaluan,” jelasnya pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2014 di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.


Menurutnya, kawasan sawah di negeri ini juga telah mempraktikkan kaedah MyGap yang bertujuan untuk menjaga kualiti beras negara.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din dan Pengurus Besar Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd, Mohd Dhia Ul-Rahman Ab. Manan.
Sumber : UMTK
16suami
SIK 16 November -  Sepasang suami isteri yang hidup susah dari Kampung Siputeh bersyukur apabila menerima rumah baru hasil sumbangan banyak pihak.
Pasangan itu, Sudin Lateh, 55 tahun dan isterinya, Doyah Samsudin, 46 tahun berkata, kehidupan mereka kini lebih selesa memandangkan rumah baru mereka serba lengkap termasuk ada kemudahan elektrik. Menurut Sudin, dia dan isterinya sebelum ini tinggal di pondok buruk yang hanya berlantaikan tanah dan bumbung pula bocor.
Dia ditemui ketika aktiviti gotong-royong menerusi Program Kami Sukarelawan Prihatin yang disertai seramai 80 sukarelawan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik dan Kubang Pasu.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah dan Timbalan Pengarah Operasi JKM, Zulkiply Ramli.
Sementara itu, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah ketika ditemui berkata, keseluruhan bantuan bernilai RM20,000 itu adalah hasil keprihatinan banyak pihak termasuk sumbangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan individu perseorangan.
“Kerajaan mahukan rakyat hidup dalam keadaan selesa. Usaha begini menunjukkan Kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat. Kerajaan sememangnya mendahulukan kepentingan rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun,” ujarnya.
Selain rumah baru, pasangan itu juga menerima kelengkapan baru seperti katil, televisyen, kipas angin, dapur gas dan makanan.
Sumber : UMTK
13kerajaan
Oleh Opat Rattanachot
KULIM 13 November - Kerajaan Kedah bercadang mewujudkan bandar aeroangkasa atau Aero­city berdekatan lokasi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya diluluskan kerajaan pusat tidak lama lagi. 
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setakat ini beberapa syarikat multinasio­nal dan tempatan telah menyatakan minat mereka untuk me­labur dalam industri aeroangkasa se­perti komponen kapal terbang serta peranti elektronik berkaitan.
Beliau berkata, projek Aero­city ini akan menjadi kluster untuk industri aeroangkasa terutama­nya berkaitan dengan pembuatan komposit untuk kapal terbang.
“Ini bermakna KXP bukan sahaja lapangan terbang tetapi turut menawarkan peluang dalam bidang industri aeroangkasa,” kata­nya kepada pemberita selepas me­rasmikan majlis penutup program Science on Wheel di Silterra Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini hari ini.
Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Norsabrina Mohd. Noor dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) Tan Sri Abdul Halim Ali.
Mukhriz berkata, bidang ­ae­­ro­­angkasa berpotensi untuk kembang pesat memandangkan pemain utama industri itu seperti Boeing dan Airbus sudahpun bertapak di negara ini.
“Pembuat komposit kapal terbang sudah lama wujud ia­itu ada di Melaka, Subang dan Changlun, Kedah tetapi tidak secara berkelompok. Jadi, bila ada cadangan untuk kita membina KXP, ia menarik minat pelabur berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu, selain kemudahan lengkap, faktor perolehan bekalan sokongan dalam bidang elektronik di KHTP turut menarik minat pelabur untuk menanam modal di bandar aeroangkasa berkenaan.
“Walaupun KXP masih belum dapat kelulusan tetapi bila sudah ada minat daripada banyak syarikat aeroangkasa yang minat untuk me­labur, ini meyakinkan kami bahawa projek lapangan terbang bakal menjana peluang ekonomi kepada ne­geri dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan ber­kaitan, Mukhriz memberitahu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijangka menyiapkan laporan kajian kebolehupayaan (feasibility) projek pembinaan KXP dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Di pihak kita, kerajaan negeri tidak duduk diam. Kita berbincang dengan pelbagai pihak. Pembinaan lapangan terbang itu boleh menjadi pencetus ekonomi di zon utara, bukan hanya Kedah tetapi juga Perlis, Pulau Pinang dan Perak selain selatan Thailand,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap ia akan mendapat maklum balas yang baik daripada kerajaan pusat.
Sumber : Utusan

10upuk
 
Oleh Jamliah Abdullah
 
ALOR SETAR 10 November - Kerajaan negeri menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) dalam usaha menyediakan platform bagi pembangunan usahawan dan keusahawanan di negeri ini.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, unit tersebut berfungsi sebagai pusat sehenti usahawan dan dikendalikan di bawah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) yang menyediakan maklumat berkaitan program usahawan termasuk skim pinjaman perniagaan oleh pihak swasta termasuk bank-bank komersial.
 
Selain penubuhan UPUK, kata beliau, Skim Mikro Kredit Negeri Kedah diwujudkan untuk membantu usahawan termasuk usahawan baharu memulakan perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tempoh lima tahun pertama ini.
 
“Tujuan utama UPUK ini adalah untuk menjadi pusat pembangunan, penyelarasan dan rujukan utama usahawan di Kedah. Walaupun terdapat pelbagai program dan bantuan kepada peniaga disediakan oleh kerajaan namun akses kepada maklumat perniagaan ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh para usahawan.
 
“UPUK diberikan tanggungjawab untuk membangunkan usahawan baharu melalui program bimbingan dan khidmat nasihat perniagaan yang disokong dengan bantuan kewangan yang bersesuaian. ​Untuk tujuan pembiayaan, skim mikro kredit sedia menawarkan pembiayaan perniagaan daripada RM5,000 sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan.
 
“Dengan kadar faedah yang rendah sebanyak 3.5 peratus setahun, adalah diharapkan ia akan dapat membantu usahawan mikro memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. Skim ini akan dilaksanakan oleh UPUK dengan kerjasama institusi kewangan yang dilantik,” kata beliau ketika me­rasmikan unit tersebut di Tingkat 3 Bangunan UTC, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Mas­yarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob.
 
Tambah Mukhriz, idea penubuhan UPUK adalah daripada perbincangan semasa Makmal Transformasi Kedah yang dijalankan pada September 2013 dan akan dikendalikan oleh sembilan kakitangannya yang berpengalaman.
 
“Golongan peniaga baharu yang disasarkan termasuklah golongan belia, wanita, usahawan luar bandar dan usahawan daripada golongan kurang upaya (OKU). Ini adalah antara akujanji yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi rakyat,” katanya.
 
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, kata Mukhriz, perkembangan syarikat yang mendapat khidmat UPUK termasuk pinjaman akan dibimbing dan dipantau unit itu secara berterusan.
 
Sumber : Utusan

10hari
 
Oleh Safina Ramli
 
ALOR SETAR 10 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhasrat mem­perluaskan kempen Hari Tanpa Beg Plastik bagi me­ngurangkan pencemaran alam sekitar.
 
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kempen tersebut yang kini dilaksanakan pada setiap hari Sabtu di seluruh negara mungkin akan dijalankan pada hari-hari cuti umum atau hari Ahad.
 
Katanya, sejak kempen tersebut dimulakan pada 1 Januari 2011, pengguna yang membeli-belah di pasar raya dan kedai yang terlibat tidak lagi dibekalkan beg plastik secara percuma tetapi perlu membayar sebanyak 20 sen jika mahu menggunakannya.
 
“Berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada peniaga dan masyarakat, kita berasakan kempen ini wajar diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan.
 
“Antara cadangan yang mungkin kita boleh pertimbangkan adalah menambah bilangan hari kempen berbanding hanya sehari sahaja ketika ini. Misalnya, selain hari Sabtu kita juga boleh laksa­nakan pada hari cuti seperti hari Ahad yang mana orang ramai keluar membeli-belah,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­rasmikan Program Penanaman Pokok anjuran AEON Big (M) Sdn. Bhd. (AEON Big) sempena pembukaan cawangan terbarunya yang ke-29 pada bulan hadapan di sini semalam.
 
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan AEON Big, Mitsuru Nakata.
 
Menurut Ahmad Bashah, walaupun pengguna dikenakan ba­yaran 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan melalui kempen itu, namun ia bukan untuk membebankan mereka atau diguna bagi menambah keuntungan syarikat atau peniaga terlibat.
 
“Wang tersebut akan dikumpul dan disimpan di dalam satu dana khas yang mana dikembalikan semula kepada masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.
 
Sumber : Utusan

9pembinaan
 
ALOR SETAR 9 November - Kerajaan Negeri memandang serius isu pembinaan Hospital Pendang yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, rancangan pembinaan hospital itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).
 
“Kita sedia maklum mengenai kelewatan pembinaan projek Hospital Pendang yang sudah lama tertangguh. Saya difahamkan, projek ini sudah pun diluluskan dan proses pengambilan tanah juga sudah dibuat. Cuma tinggal pelaksanaannya sahaja,” jelasnya.
 
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan berusaha supaya projek itu dapat dilaksanakan lebih awal berbanding perancangan asalnya pada tahun 2016.
 
“Kalau ada usaha-usaha untuk mempercepatkan pembinaannya lebih awal, itu adalah lebih baik dan juga berita baik kepada penduduk Pendang,” ujarnya.
 
Sumber : UMTK
 
9aeon
 
Oleh Jamliah Abdullah
 
ALOR SETAR 9 November - AEON Big (M) Sdn. Bhd. (AEON Big) melabur sebanyak RM95 juta untuk membuka cawangan baharu pasar raya besarnya, AEON Big di Jalan Gangsa di sini yang bakal beroperasi hujung tahun ini.
 
Pengarah Urusan AEON Big, Mitsuru Nakata berkata, pembukaan pasar raya pertamanya di Kedah itu merupakan cawangan AEON Big yang ke-29 di Malaysia.
 
Katanya, pasar raya besar yang mempunyai keluasan kira-kira 9,144 meter persegi itu kini 99 peratus siap dan apabila siap dijangka pada awal Disember ini mampu menawarkan pelbagai pilihan membeli-belah kepada penduduk negeri ini dan negeri jiran, Perlis.
 
“Sebaik beroperasi kelak, ia mampu menawarkan rangkaian produk termasuk makanan segar, barangan keperluan harian, perkakas rumah, barangan elektrik dan pakaian.
 
“Di samping itu, pasar raya ini juga bakal menempatkan 60 penyewa lain menyediakan pelbagai perkhidmatan dan servis kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penanaman Pokok sempena pra perasmian pembukaan AEON Big di sini semalam.
 
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
 
Tambah Mitsuru, selain menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di sekitar bandar raya ini pasar raya itu turut memenuhi keperluan penduduk dari kawasan berdekatan seperti Sik, Jitra, Kuala Nerang termasuk dari sekitar Perlis.
 
Menurutnya, biar pun mempunyai pesaing lain di sekitar bandar raya namun beliau yakin kepelbagaian produk yang ditawarkan mampu menjadi tarikan kepada pelanggan.
 
“Selain menjual produk-produk berjenama, kami turut memasarkan lebih 1,700 produk jenama sendiri seperti Top Value dan Big Values. Secara tidak langsung, ia bakal menjadi pilihan untuk berjimat di samping menikmati pelbagai promosi yang ditawarkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
 
Jelasnya, selain memberi pilihan kepada pelanggan membeli-belah kewujudan AEON Big juga mampu menjana pendapatan penduduk setempat melalui penawaran peluang pekerjaan.
 
“Kami menjangka sebanyak 1,000 peluang pekerjaan mampu ditawarkan secara langsung atau tidak langsung sebaik sahaja ia beroperasi nanti,” katanya.
 
Pada perkembangan berkaitan, Mitsuru memberitahu syarikat itu turut merancang membuka satu atau dua cawangan baharu AEON Big pada tahun hadapan.
 
“Setakat ini kami masih mengenal pasti lokasi yang sesuai namun kemungkinan besar ia terletak di bahagian utara Semenanjung,” ujarnya.
 
Sumber : Utusan
9rumah



GURUN 9 November – Seramai 64 pembeli menerima kunci rumah masing-masing daripada Ahli Parlimen Jerai, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Pembeli Projek Taman Permai Utama.

Projek berkenaan dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang bertujuan untuk memberi keselesaan kepada rakyat di samping menyediakan kemudahan asas untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dalam ucapannya berkata, penyerahan kunci rumah berkenaan membuktikan bahawa Kerajaan begitu mengambil berat terhadap keperluan rakyat.

Sumber : UMTK

8uum

Oleh Safina Ramli

KUBANG PASU 8 November - Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mahu setiap rakyat negara ini tidak menjadi seperti ‘kacang lupakan kulit’ dan perlu bersama-sama memikirkan tentang keutuhan negara.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kedaulatan negara, perpaduan kaum dan usaha-usaha murni dalam menjadikan Malaysia makmur, aman serta bahagia.

“Saya yakin jika setiap kita menunaikan tanggungjawab masing-masing, negara ini yang kini berada di ambang negara maju akan terus kekal stabil dengan acuannya yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada istiadat Majlis Konvokesyen UUM ke-27 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM Sintok di sini hari ini.

Dalam majlis itu Tunku Puteri Intan Safinaz dimasyhurkan sebagai Canselor UUM yang baharu dan istiadat pemasyhuran disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Yang turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, nilai-nilai kehidupan sosial negara ini telah digariskan oleh tokoh-tokoh negarawan terdahulu misalnya Rukun Negara.

“Kelima-lima prinsip Rukun Negara mesti dijadikan sebagai amalan supaya masyarakat negara ini dapat berdiri teguh sebagai sebuah masyarakat dunia yang mempu­nyai nilai-nilai budi bahasa, integriti dan disanjung oleh masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada para graduan di UUM me­rupakan langkah awal untuk mereka memulakan kehidupan .

“Semua perlu ingat bahawa nikmat sebenar tidak hanya diperoleh daripada pekerjaan namun kenikmatan sebenarnya diperoleh daripada kerukunan kerohanian.

“Sains yang diagungkan mestilah berpaksikan kemanusiaan, ilmu pengetahuan menjadikan kita individu yang mempunyai karakter mulia dan politik yang mendasari kehidupan sosial mestilah politik yang bertunjangkan prinsip keutuhan serta agama yang diamalkan mesti dapat meluruskan kehidupan dan mengekang daripada tuntutan nafsu hedonisme,” jelasnya.

Pada majlis hari ini, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) manakala artis popular Datuk Mohd. Nasir Mohamad atau lebih dikenali sebagai M. Nasir me­nerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif).

Sumber : Utusan

6kedah

Oleh Safina Ramli

PENDANG 6 November - Kerajaan negeri sedang meneliti sama ada dasar berkaitan polisi perumahan di negeri itu menyumbang kepada berlakunya spekulasi harga rumah sehingga meningkat naik dan menyebabkan rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri mengesan banyak rumah baharu yang dibina oleh pemaju perumahan masih kosong dan tidak diduduki namun harga rumah itu terlalu mahal.

“Kalau dalam dunia bisnes kita mesti hendak keluarkan produk yang akan dibeli oleh pasaran, tetapi nampaknya itu tak berlaku dan saya bimbang ada unsur spekulasi berlaku yang akhirnya akan mudaratkan semua pihak.

“Buat masa ini dasar sedia ada masih tidak dapat membendung masalah ini dengan berkesan, oleh kerana itu kerajaan negeri mesti meneliti dasar yang kita amalkan ini, adakah ia menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-7, Pencerahan Tasawwur Ahl Al-Sunnah Wal Jamaah di Pondok Munjamma’a Ibn Sunni Li Al-Talaqqi, Sungai Jagong di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap kerajaan negeri menukar polisi lapuk berkaitan dengan sektor perumahan agar ia dibina sebagaimana yang diperlukan oleh rakyat.

Kata Mukhriz, beliau tidak melihat kesungguhan para pemaju perumahan untuk menjual rumah yang masih tidak diduduki itu dan perkara tersebut amat membimbangkan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang mengkaji cara terbaik untuk memudahkan urusan perumahan bagi membantu rakyat ne­geri itu memiliki rumah.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri akan terus memperkasakan dan memberi perhatian yang sewajarnya kepada institusi pengajian pondok di Kedah.

“Para alim ulama dan guru-guru sekolah pondok mesti bekerja kuat untuk mempertahankan penga­ngan Ahl Sunnah Wal Jamaah di dalam sistem pondok.

“Ini kerana unsur-unsur yang cuba menyebarkan fahaman Syiah ke negara ini amat merungsingkan kita kerana majoriti umat Islam di sini mengamalkan fahaman Ahl Al-Sunnah Wal Jamaah,” jelasnya.

Sumber : Utusan

06Mangsa

ALOR SETAR 06 November – Dua keluarga mangsa kebakaran, masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM50,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sumbangan itu disampaikan bagi tujuan meringankan beban untuk membina rumah baru selepas kediaman didiami hangus dalam kebakaran pada 5 Ogos 2014 di Kampung Alor Bangsa.

Bagi meringankan beban mangsa, TNB menerusi Program Ziarah Asnaf TNB memperuntukkan sebanyak RM100,000 buat kedua-dua keluarga berkenaan.

Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Negeri Kedah, Zubir Hashim berkata, pihaknya menyediakan RM40,000 untuk pembinaan setiap rumah dan RM10,000 untuk peralatan dalam rumah.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika meninjau kawasan kejadian.

Menurutnya, pembinaan rumah berkonsep teres setinggan itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air yang ditanggung sepenuhnya oleh TNB.

Difahamkan, kedua-dua keluarga berkenaan masih menumpang di surau berdekatan sementara rumah mereka siap dibina.

Sumber : UMTK

6tiga

SUNGAI PETANI 6 November - Tiga keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Berapit Tikam Batu masing-masing menerima bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali  Yahaya.

Menurut YB. Ali Yahaya, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan dan bantuan yang disampaikan itu, secara tidak langsung mampu meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga terbabit.

Seorang mangsa, Chik Awang, 70 tahun memberitahu, semua barangan dalam rumahnya tidak dapat diselamatkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.

Tambahnya, api marak bermula dari rumah jirannya itu dan terus merebak dengan pantas.

Sumber : UMTK

06petani

BALING 06 November –  Golongan petani di daerah ini disarankan menggunakan teknik pertanian baru bagi memajukan diri serta memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, YB. Dato’ Azmi Che Hussein berkata, petani juga perlu berpandangan jauh dengan menjadikan pertanian adalah perniagaan dan kemudiannya memajukan kawasan pertanian mereka sebagai tempat tarikan pelancong.

“Keadaan sekarang sudah berbeza dan hanya mereka yang bersedia menerima teknologi baru sahaja boleh maju dan berjaya. Selain itu, petani juga perlu berani mencuba sesuatu yang baru serta berfikiran terbuka untuk mempelajari teknik pertanian terkini untuk memajukan diri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Kupon Bantuan Tanaman Semula Buah-buahan Terpilih Peringkat Daerah Baling 2014 di Kompleks Lembaga Pertanian Bersepadu Lembah Kedah.

Dalam majlis itu, seramai 63 pemilik dusun buah-buahan di Daerah Baling menerima pelbagai kemudahan pertanian.

Sumber : UMTK


1511fasiliti

ALOR SETAR 05 November - Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi komitmen untuk melakukan penambahbaikan terhadap beberapa kemudahan awam dan bangunan Kerajaan bagi memberi keselesaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, ia antara kaedah terbaik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan menyediakan kemudahan sesuai kepada golongan terbabit, sekaligus membuktikan keprihatinan Kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan Negeri mengakui kemudahan untuk OKU di negeri ini tidak selengkap berbanding yang disediakan PBT di Lembah Klang, namun bersedia meningkatkannya demi keselesaan golongan berkenaan,” ujarnya  pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2014 di Dataran Wisma Darul Aman.

Sebagai contoh, katanya, penyediaan lampu isyarat berbunyi di pusat bandar kerana laluan berkenaan boleh digunakan oleh golongan cacat penglihatan supaya mereka mampu berjalan atau melintas jalan tanpa bantuan.

“Kemudahan untuk golongan OKU termasuk cacat penglihatan perlu disediakan sebanyak mungkin dan di Kedah, saya akui kita tidaklah lengkap dari segi kemudahan seperti itu berbanding Kuala Lumpur, tetapi kita boleh berusaha untuk meningkatkan tahap kemudahan berkenaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, walaupun sudah banyak dilakukan untuk golongan OKU ini, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan dan beliau turut menyeru pemilik bangunan supaya menyediakan kemudahan khas seperti laluan khas yang mudah serta selamat di bangunan, siar kaki dan tandas awam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob,  Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong dan Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Mohammed Nazari Othman.

Sumber : UMTK

5kedah

ALOR SETAR 5 November– Kerajaan Negeri komited dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar bekalan makanan utama negara terutama pengeluaran berasnya agar mencapai sasaran 35 peratus berbanding 31 hingga 32 peratus ketika ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, golongan petani perlu memainkan peranan melipatgandakan lagi usaha dengan menggunakan kaedah teknologi dan pengurusan terkini meningkatkan kualiti hasil dan mendapat pulangan lebih tinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2014 di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.

Menurutnya, jaminan bekalan makanan adalah penting kerana Kedah sejak sekian lama memainkan peranan. Beliau turut merasa bimbang kerana peratusan beras yang dibekalkan pada tahap 31 dan 32 peratus ketika ini, jadi kita nak tingkatkan kepada 35 peratus.

“Saya lihat kita tidak ada pilihan lain daripada menggunakan teknologi baru untuk tingkatkan hasil. Namun dari segi kualiti padi dan beras kita masih terkenal dengan mutu tinggi dan kita akan kekalkan itu selain pada masa yang sama, kita terus berusaha tingkatkan kuantiti beras kita juga,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan sentiasa prihatin untuk membantu peladang dan nelayan serta meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka dengan pemberian beberapa bentuk subsidi, insentif serta bantuan.

“Di Kedah, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah membina tujuh pusat pengumpulan atau belian padi dengan peruntukan sebanyak RM2.28 juta yang mana kesemua pusat berkenaan telah beroperasi dengan kerjasama pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS),” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din dan Pengurus Besar Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd, Mohd Dhia Ul-Rahman Ab. Manan.

Sumber : UMTK

5.11keluarga

PENDANG 5 November –  Kerajaan Negeri akan memberi bantuan kepada 11 keluarga membabitkan kira-kira 50 mangsa termasuk Sekolah Kebangsaan Alor Besar yang terbabit dalam kejadian putting beliung di Kampung Alor Besar.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri akan berusaha membantu meringankan beban keluarga mangsa bencana ribut berkenaan melalui pelbagai saluran dan agensi Kerajaan.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya akan menyalurkan sumbangan wang tunai daripada Baitulmal Kedah selain sumbangan peribadinya kepada semua mangsa.

“Saya meminta semua mangsa dan penduduk kampung bersabar dengan dugaan yang menimpa kerana setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmah. Fokus awal buat masa ini adalah untuk membaik pulih rumah mangsa dan sekolah yang turut terjejas teruk akibat bencana ribut berkenaan,” ujarnya.

Sumber : UMTK

4masjid
BANDAR BAHARU 4 November-  First Solar Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park menyumbang sebanyak 91 buah buku pelbagai tajuk kepada Masjid Al-Fateh Pekan Serdang.

Sumbangan buku bernilai RM2,000 itu dibuat sempena Program Mahabbah Komuniti First Solar 2014.

Imam Masjid itu, Rohaizat Jaafar menyifatkan sumbangan buku tersebut bermakna sekali dan ditempatkan di perpustakaan masjid. Komuniti di masjid berkenaan tentu gembira kerana bilik perpustakaan sekarang ini terdapat banyak buku agama untuk membuat pelbagai rujukan masing-masing.

Pengarah Urusan First Solar Malaysia Sdn Bhd, Pong Soo Hong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, YB. Norsabrina Mohd Nor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi turut hadir dalam majlis itu.

Inilah kali pertama syarikat berkenaan menyumbangkan buku agama itu setelah kilangnya beroperasi di Kulim Hi-Tech Park pada tahun 2008. Kilang ini juga bersedia memberi pelbagai kemudahan lain termasuk memasang papan solar di kawasan masjid tidak lama lagi.

YB. Norsabrina Mohd Nor ketika berucap merasmikan bilik perpustakaan itu memuji usaha syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu untuk mengadakan hubungan baik dengan komuniti tempatan.

Menurutnya, kewujudan kilang first solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim banyak memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sumber : UMTK

3rumah
BALING 3 November -  Seramai 24 keluarga miskin di Mukim Bakai menerima kunci rumah masing-masing daripada Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Haji Abdul Azeez Abdul Rahim.

Rumah-rumah berkenaan merupakan inisiatif daripada Yayasan Pembangunan Rakyat Baling di mana YB. Dato’ Seri Haji Abdul Azeez merupakan Pengerusi Eksekutif Kepada Yayasan Pembangunan Rakyat Baling.

Yayasan Pembangunan Rakyat Baling ditubuhkan sejak tahun 2011 yang bertujuan untuk membantu rakyat dalam Parlimen Baling, terutamanya dalam aspek sosioekonomi.

Sumber : UMTk

3cari
ALOR SETAR 3 November-  Masalah ketiadaan jeti pendaratan untuk bot penambang yang berulang-alik dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai boleh diselesaikan dalam masa terdekat selepas proses pemilihan lokasi pembinaan jeti dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, Kerajaan sedang memikirkan lokasi jeti pendaratan sesuai yang praktikal untuk semua pihak.

“Ada cadangan jeti berkenaan dibina di hujung tempat perkelahan kerana kawasan itu dikatakan lebih selamat. Bagaimanapun, perkara ini akan diputuskan dengan beberapa agensi lain dalam tempoh terdekat ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya menegaskan, perkara itu juga sudah dibincangkan dengan beberapa pihak, tetapi mendapati bukan sesuatu yang mudah untuk membina jeti pendaratan di Pantai Merdeka kerana kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai sama ada untuk mandi-manda atau berkelah bersama keluarga.

“Kita tidak mahu mengganggu orang ramai kerana jika jeti itu dibina kemungkinan bot penambang boleh menjejaskan kawasan mandi-manda, sekaligus menjejaskan jumlah pengunjung,” ujarnya.

Beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan segera berikutan kawasan Pantai Merdeka mahupun Tanjung Dawai yang juga tempat pelbagai hasil laut menjadi tumpuan ramai, sekaligus melonjak sektor pelancongan di negeri ini.

Sumber : UMTK

3river
ALOR SETAR 3 November– River Cruise Kedah yang mampu menarik pelancong tempatan dan asing menyusuri Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit dijangka memulakan operasi awal tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, dua buah bot yang dikendali swasta akan disediakan bagi tujuan itu dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) baru-baru ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina pelbagai kemudahan seperti jeti terapung di Tanjung Chali, Masjid Zahir, Rumah Merdeka dan Tongkang Yard.

“Kemudahan ini memberi peluang kepada pelancong melawat beberapa tempat seperti Masjid Zahir, Rumah Merdeka dan beberapa kampung tradisional berhampiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit,” ujarnya.

Menurutnya, pelancong boleh melihat Istana Anak Bukit dan beberapa tinggalan sejarah di sepanjang sungai. Papan tanda akan dibina bagi menunjukkan tempat sejarah dan kampung tradisional.

Sumber : UMTK

3fAMA
ALOR SETAR 3 November – Kerajaan Negeri menerusi agensi pertanian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan memberikan bantuan dalam aspek pembungkusan serta penjenamaan lebih baik kepada usahawan tempatan yang berdaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, bantuan lain daripada segi promosi turut diberikan dengan membawa produk mereka ke karnival, ekspo, Hari Peladang dan pameran usahawan sama ada di dalam atau luar negeri.

“Kita melihat industri pekasam sama ada menggunakan bahan daripada ikan darat mahupun ikan laut ini mampu berkembang lebih jauh kerana permintaan terhadap produk berkenaan sentiasa ada, bahkan dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Menurutnya, ini disebabkan perusahaan pekasam adalah satu industri yang berpotensi jika dijalankan menggunakan kaedah serta usaha bersungguh-sungguh daripada usahawan berkenaan.

Beliau menjelaskan, sebagai langkah menuju kejayaan, usahawan digalakkan supaya mendaftar dengan agensi Kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), FAMA dan MADA bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya daripada agensi berkenaan.

Sumber : UMTK

2litar
SEPANG 2 November - Negeri Kedah Darul Aman bakal mempunyai sebuah litar lumba dalam dunia sukan permotoran bagi Wilayah Utara.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri akan membina litar berkenaan sepanjang 1.6 kilometer di kawasan seluas 173 ekar di Sungai Petani dan dijangka siap menjelang 2016 atau 2017.

“Kerajaan Negeri juga merancang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim berhampiran Sungai Petani. Dengan adanya litar perlumbaan bertaraf antarabangsa, mereka yang berbakat dan berkemahiran akan mendapat banyak peluang dan tidak perlu berpindah ke Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembinaan litar lumba antara Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pengurus Besar PMBKed , Dr Mahadi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato’ Razlan Razali masing-masing menandatangani MoU itu.

Menteri Besar menjelaskan, litar lumba yang dicadangkan itu akan mengandungi trek perlumbaan, kawasan perlumbaan luaran, laluan drag, tempat duduk grandstand dan bukit, bangunan paddock serta premis kedai.

“Saya berharap litar lumba berkenaan akan merintis masa depan yang lebih cerah untuk belia melalui persekitaran perlumbaan yang lebih selamat, selain membendung lumba haram,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta.

Sumber : UMTK

2projek
ALOR  SETAR 2 November - Projek naik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah dengan anggaran kos lebih RM150 juta sudah diluluskan Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri ketika lawatannya ke Kedah baru-baru ini.

“Jeti Kuala Kedah adalah satu projek yang sentiasa kita bagi keutamaan. Hasil pertemuan bersama Perdana Menteri, beliau meluluskan peruntukan untuk projek itu. Tetapi ia perlu mengambil sedikit masa untuk merangka reka bentuk dan lain-lain keperluan di jeti itu,” ujarnya.

Menurutnya, sudah tiba masanya Jeti Kuala Kedah dibuat penambahbaikan sesuai dengan zaman, permintaan dan kegunaan masyarakat yang semakin meningkat.

“Saya yakin kelulusan itu menggembirakan orang Pulau Langkawi, terutama mereka yang selalu berulang-alik ke tanah besar. Saya juga yakin projek itu dapat membangunkan ekonomi penduduk di Pulau Langkawi dan Alor Setar,” katanya.

Tambahnya, mana mungkin jeti yang berumur lebih 20 tahun itu mampu menampung kedatangan pelancong yang semakin ramai. Oleh sebab itu, perbandingan antara Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis amat jauh sekali apabila hampir 80 peratus pelancong yang datang ke Pulau Langkawi menggunakan Jeti Kuala Kedah.

Sumber : UMTK


30libat

ALOR SETAR 30 Oktober– Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan program penghayatan semula sejarah di Kedah melibatkan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, program tersebut amat penting kerana masih ramai tidak mengetahui sejarah peperangan di Kedah.

“Kita akan adakan program seperti ini bagi memperingati semula perjuangan pahlawan Kedah yang telah berperang dengan Siam pada tahun 1821 dan 1838. Masih ramai yang tidak tahu perairan Sungai Kedah itulah kawasan pertempuran sekitar 200 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, Kedah adalah merupakan negeri yang pernah berperang lebih daripada sekali berbanding negeri lain. Beliau telah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan mereka telah bersetuju untuk mengadakan program penghayatan sejarah tersebut.

“Program ini akan dilaksanakan dalam kawasan kubu di Kuala Kedah pada waktu malam supaya ia tidak nampak terlalu protokol. Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran dan melahirkan suasana seolah-olah berada pada zaman dahulu,” ujarnya.

Tambahnya, dianggarkan seramai 1,019 orang telah terkorban dalam peperangan tersebut ketika mempertahankan bumi Kedah daripada Siam.

Sumber : UMTK

30peniaga

ALOR SETAR 30 Oktober – Pengusaha makanan di sekitar negeri ini diminta melakukan pendaftaran premis mereka dengan Jabatan Kesihatan Daerah masing-masing sebelum tempoh penguatkuasaan dilakukan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, tindakan berkenaan perlu diambil bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kerajaan menurut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PKM) 2009.

“PKM telah diwartakan pada 2009 dan selepas tiga kali penangguhan pelaksanaannya, peraturan berkenaan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2014. Tujuan peraturan ini diperkenalkan adalah untuk memastikan pengendali makanan mengikuti garis panduan yang ditetapkan agar menjamin kesihatan makanan selain beberapa aspek lain yang harus ditekankan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, antara pengusaha makanan yang terlibat dalam peraturan berkenaan adalah pemilik kilang memproses, pemborong, restoran, pengusaha katering, pengusaha dapur asrama, gera, penjaja statik dan bergerak.

Sumber : UMTK

30ketengah
KULIM 30 Oktober– Golongan pelajar di negeri ini yang meminati dunia reka cipta perlu mengetengahkan idea rekaan dan inovasi mempunyai kemampuan untuk dipasarkan kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, berikutan itu setiap rekaan atau inovasi yang dihasilkan seharusnya mempunyai nilai komersial dan mampu memberi sumber pendapatan kepada perekanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pameran Inovasi Eureka-EIE 2014 di Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI).

Katanya, sekiranya hasil rekaan atau inovasi yang dihasilkan itu tidak mempunyai nilai komersial, maka produk mereka tidak akan ke mana-mana. Penyelidikan adalah salah satu sektor yang sangat penting dalam sesebuah negara serta mendapat sokongan Kerajaan sehingga memberi bantuan untuk memajukan inovasi berkenaan.

“Sekiranya inovasi atau hasil rekaan itu hanya tersekat di bahagian penyelidikan dan pembangunan, tetapi tidak dapat dikomersialkan hasil rekaan itu, maka ia akan berakhir di bahagian berkenaan tanpa ada manfaat,” ujarnya.

Menurutnya, setiap hasil rekaan perlu ditumpukan kepada nilai komersial untuk dipasarkan pada masa depan, namun lebih penting perlu berminda positif, komitmen dan keinginan untuk cemerlang bagi menjayakan hasil rekaan mereka.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Kampus/Dekan UniKL-MSI, Profesor Dr Abu Talib Othman.

Sumber : UMTK