BALING 9 Oktober- Dari jauh sekiranya
anda melalui Kampung Mengkuang Hujung, aroma bau harum gorengan biji
kopi semerbak dapat dihidu. Lantas, sesiapa sahaja pasti teruja untuk
menikmati secawan kopi yang hitam pekat buat membasahi tekak yang
kehausan.
Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa
di situ terletak sebuah kilang pemprosesan kopi berjenama yang terkenal
terutamanya di utara tanah air iaitu Kopi Cap Gantang. Ia merupakan
usaha seorang anak muda, Mohamed Hassan Mohamed Rawter, 49 tahun, anak
kelahiran Kampung Kubang Rotan, Alor Setar, sejak 2002 yang membuahkan
hasil yang membanggakan.
Mohamed Hassan yang
mulanya hanya sebagai pekerja di sebuah kilang pengeluar serbuk kopi di
Kuala Pegang, Baling, kini menjadi pemilik sebuah kilang kopi terkemuka
di daerah utara. Bercerita pengalaman lalu, menurut Mohamed Hassan,
ketika bekerja makan gaji dahulu, beliau menggunakan segala peluang yang
ada untuk menimba ilmu.
Ketika di kilang itu, beliau bekerja
bersungguh-sungguh sehingga diberikan kepercayaan oleh pemilik kilang
berkenaan untuk membantu menguruskan perniagaannya. Setelah bekerja
beberapa tahun, Mohamed Hassan kemudian bertemu jodoh dengan seorang
gadis, Zarulaswah Mohd Nayan, 45 tahun, juga kerana secawan kopi.
Sama ada kebetulan atau tidak tetapi
sesuatu yang pasti jodoh itu rahsia Allah, menikmati hidangan kopi yang
disajikan gadis itu menyebabkan Mohamed Hassan jatuh cinta lantas
melamarnya. Demikian juga demi mencipta masa depan yang cemerlang untuk
keluarga, beliau bercita-cita untuk menjadi 'tauke' kopi yang berjaya
dan terkemuka.
Akhirnya, anak sulung daripada empat
beradik yang berjiwa kental itu memberanikan diri berhijrah dari kampung
halamannya sekitar tahun 1980-an untuk memenuhi impiannya membuka
perniagaan sendiri. Bermodalkan hanya RM500 ketika itu, beliau membuka
perniagaan sendiri dengan mengeluarkan serbuk kopi secara kecil-kecilan
di Kuala Pegang.
Berkat usaha gigih yang tidak mengenal
erti jemu, perniagaan kopi dengan jenama Kopi Cap Gantang semakin
berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemarnya.
Pengalaman sejak tahun 2002 membolehkan Mohamed Hassan layak menerima
pelbagai pengiktirafan yang diberikan kepadanya.
Antaranya, beliau dianugerahkan sebagai
Peladang Jaya Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan
(HPPNK) 2008 di Serdang, Selangor. Mengenai kelazatan dan keenakan rasa
kopi yang harum semerbak, beliau menggunakan biji kopi jenis Robusta
yang dibelinya sendiri dari Indonesia sebagai bahan mentah.
Kopi yang dihasilkannya itu mempunyai
aroma keharuman yang tersendiri dan kelazatan yang boleh menyegarkan
tekak dan pernafasan serta lebih segar dan amat baik untuk kesihatan.
Kilangnya kini memerlukan 16 tan biji kopi setiap bulan untuk menampung
permintaannya di pasaran.
Syarikat Gantang Enterprise Serbuk Kopi
Warisan Kita mengeluarkan kopi dalam bentuk bungkusan seberat 70 gram,
150 gram, 320 gram dan 650 gram dengan harga antara RM1 hingga RM7
setiap satu. Pasarannya adalah di sekitar Kedah, Perlis dan Perak
dengan melantik lima pengedar untuk mengurus pengedaran kopi Cap Gantang
ke semua tempat yang memerlukannya.
Antara agensi kerajaan yang banyak
membantu dalam menyuntik modal dan kepakaran selain daripada nasihat
yang diberikan ialah Agrobank, Tekun Nasional, Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang
Kawasan (PPK) Baling. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada
Kerajaan yang banyak membantunya untuk merealisasikan impian untuk
menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Sumber: UMTK