ALOR SETAR 7 September - Pendekatan
kesederhanaan yang diamalkan negara sejak sebelum Merdeka, perlu
dipertahan kerana ia penting untuk mengimbangi fahaman ekstrem yang cuba
menguasai naratif sosial negara.
Untuk itu, Kerajaan Persekutuan diharap
mempertimbang semula hasrat menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan tiga
akta baharu, selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan
Ordinan Darurat 1969.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar
Kedah, YAB, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir ketika berucap sempena
perasmian Persidangan UMNO Bahagian Jerlun yang disempurnakan Perdana
Menteri yang juga Presiden UMNO, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dari
Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri kepada kontrak sosial dan
Rukunegara, disusuli Dasar Ekonomi Baru sehingga terkini Gagasan
1Malaysia, Gerakan Moderat Sedunia dan Wasatiyyah, semuanya bertujuan
mempertahan jalan tengah yang mengambil kira semua tanpa menidakkan
mana-mana golongan masyarakat seperti termaktub dalam Perlembagaan
Negara.
Katanya, dalam sebuah masyarakat majmuk
seperti Malaysia, dasar yang tidak ekstrem perlu dipertahankan agar
tidak tercetus pertelingkahan yang merebak menjadi keganasan seperti
yang berlaku di beberapa negara termasuk negara jiran.
"Ironinya, kita memerlukan dasar-dasar
dan undang-undang yang kelihatan 'draconian' untuk melindungi pendekatan
kesederhanaan serta undang-undang bersifat halangan yang mungkin
kelihatan ekstrem sahaja dapat membendung ekstremisme," katanya.
Sumber : UMTK