Terus Gempur Mesin Judi Haram

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
6gempur
JERAI 6 Julai - Pihak berkuasa agama negeri diingatkan supaya sentiasa menggempur kegiatan mesin judi haram dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, usaha itu melibatkan banyak pihak seperti polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang Islam yang terlibat perlu dikenakan tindakan sewajarnya demi keutuhan akidah mereka.

"Jabatan agama Islam negeri sentiasa kita ingatkan untuk menguatkuasakan tindakan kepada orang Islam yang terjebak dengan judi ini bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di bulan-bulan lain.

"Ada peraturan dan enakmen negeri-negeri yang memperuntukkan tidak membenarkan orang Islam bermain mesin judi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan iaitu buah kurma dan air zam-zam kepada 44 imam masjid Parlimen Jerai di Guar Chempedak, di sini semalam.

Selain itu, sempena Ramadan ini beliau turut menggesa agar pihak berkuasa agama terbabit supaya lebih giat menjalankan pemantauan terhadap premis perniagaan agar mematuhi larangan untuk tidak menjual makanan sebelum pukul 3 petang.

"Peraturan ini ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan, namun ada juga berlaku pelanggaran kerana ada juga yang menjual sebelum pukul 3 petang.

"Sebagai penjual kita berniaga nak cari rezeki, jadi biarlah rezeki yang kita cari itu halal walaupun makanan itu dasarnya halal tetapi kita jual kepada orang yang tidak berpuasa, ini merupakan larangan.

"Jadi di peringkat penguatkuasaan kita minta agar mereka lebih kerap membuat pemantauan secara teratur ke atas mereka yang terlibat," katanya.

Sumber:Utusan