Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
Mukhriz
Tun Mahathir merakam sendiri gambarnya bersama graduan Maahad Tahfiz
Al-Quran Yayasan Islam Negeri Kedah sambil diperhatikan Mohd. Rawi Abd.
Hamid (kanan) selepas menyampaikan Diploma Tahfiz al-Quran di Dewan Seri
Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam.- UTUSAN/Safrizal Azmi
ALOR
SETAR 23 Jun - Maahad Tahfiz Al-Quran (MTAQ) Yayasan Islam Negeri Kedah
(YINK) yang cukup terkenal dalam melahirkan penghafaz al-Quran dan
ilmuan agama di negeri ini bakal ditukar namanya sebagai Institut Quran
Darul Aman (IQDA) dalam masa terdekat.
Menurut
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, pembaharuan yang
dijalankan kerajaan negeri ke atas pusat pengajian itu bukan sekadar
pada nama malah turut merangkumi pengisian pembelajaran yang akan
diterapkan kepada para mahasiswa di situ.
"Sebagai
institut, fungsi pusat pengajian ini nanti tidak akan terbatas hanya
kepada hafazan Al-Quran, sebaliknya pengetahuan penuntut akan
diperkasakan lagi dengan penambahan subjek sains dalam Islam.
"Kita
semua tahu banyak persoalan sains terjawab dalam Islam dan ramai ilmuan
Islam yang cukup dikenali dalam dunia sains. Jadi tidak mustahil, akan
lahir dari sini golongan profesional yang terdiri daripada penghafaz
al-Quran pada masa hadapan," katanya.
Beliau
berkata demikian selepas menyampaikan Diploma Tahfiz al-Quran kepada 35
graduan pusat pengajian itu di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Yang
turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Kedah, Datuk
Mohd. Rawi Abd. Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat
Mohd. Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan YINK, Mohamad Che Nai.
Mukhriz
yang juga Pengerusi YINK menambah, bagi melaksanakan perubahan
tersebut, pihaknya akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan dalam
masa terdekat bagi mengenal pasti syarat-syarat yang perlu dipatuhi.
Dalam
pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar wujud kolaborasi antara
IQDA dengan pusat-pusat pengajian awam di seluruh negara bagi
membolehkan siswazah lepasannya menyambung pengajian di
universiti-universiti lain dalam bidang profesional seperti
kejuruteraan, perakaunan.
Menurutnya
langkah itu boleh dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa subjek
teras seperti fizik, matematik tambahan, perakaunan dan bahasa Inggeris
yang kemudiannya boleh dipindah kredit apabila lepasan IQDA menyambung
pengajian di universiti lain.
"Sekiranya
itu dapat dilaksanakan, Insya Allah impian untuk melihat lebih ramai
daripada golongan profesional terdiri daripada kalangan huffaz mampu
dicapai.
"Dan
bayangkanlah, betapa bertuahnya negeri dan negara ini apabila golongan
itu meningkat dengan mendadak. Insya Allah segala perancangan dan tugas
yang dijalankan dalam memajukan negara sentiasa mendapat bimbingan
Allah," katanya.
Sumber:Utusan