RM2j Tambah Baik MTSD - YB MOHD RAWI

26tahfiz

ALOR SETAR 26 Jun – Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menambah baik Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, penambahbaikan akan dilakukan dengan membina blok asrama serta keperluan pembelajaran yang lain termasuk makmal sains di sekolah terbabit.

“Kita sudah pun melakukan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat untuk kerja-kerja menambahbaik maahad itu dan berharap kita dapat memulakan proses penambahbaikan selewatnya tahun ini juga.

“Jika bangunan asrama dan keperluan lain tidak mencukupi, ia akan memberi masalah kepada pelajar yang baru mendaftar masuk ke situ pula,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri masih dalam proses rundingan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi meluluskan peruntukan itu.

Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang dirancang akan dibina di Pulau Tuba, Langkawi ditangguhkan bagi memberi laluan terhadap proses menambah bangunan asrama kampus sementaranya di Jalan Pegawai, Kulim.

Difahamkan, Maahad Tahfiz Sains Darul Aman dicadangkan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri terdahulu dan apabila berlaku pertukaran tampuk pemerintahan, bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menasihatkan Menteri Besar baru, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir supaya memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil dan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Pulau Tuba, Langkawi.

Dalam pada itu, apabila diminta mengulas mengenai ada dakwaan menyatakan Kerajaan Negeri meminggirkan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman kerana dirancang oleh Kerajaan Negeri terdahulu, beliau menafikan perkara itu.

“Kita kena jaga maruah Negeri Kedah. Tidak mungkin dalam hal sebegini kita nak biarkan dan kita nak ketepikan.

Kalau yang bercakap itu hanya ‘orang jauh’, baik mereka hentikan kerana kita akan sentiasa memastikan perkara yang berkaitan dengan pendidikan yang berlandaskan Islam diteruskan,” katanya.

Sumber:UMTK