Oleh SAFINA RAMLI
Mukhriz
Mahathir (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai daun dan air
ketum daripada Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kedah, Adli
Koshim (dua dari kiri) selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun
Ketum peringkat negeri di Alor Setar, Kedah semalam. - BERNAMA
ALOR
SETAR 21 April - Penduduk di negeri ini yang menjadikan penjualan daun
ketum sebagai punca pendapatan utama disarankan agar menceburi bidang
pertanian organik bagi menggantikan penanaman pokok ketum di kawasan
mereka.
Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau bimbang dengan
penyalahgunaan daun ketum di negeri ini kerana tanaman pokok itu
diusahakan sebagai satu industri yang membawa pulangan yang tinggi.
"Saya
lihat dari segi ekonomi, kalau boleh tunjuk kepada mereka dengan
menanam sayur dan buah-buahan organik boleh menjana pulangan yang tinggi
berbanding menjual daun ketum. Ini boleh menjadi motivasi agar mereka
berhenti menanam pokok ketum.
"Namun
saya yakin, jika masyarakat sedar dengan bahayanya ketum, ini akan
mendorong mereka mencari tanaman alternatif yang memberi pulangan tinggi
kepada penanam pokok tersebut," katanya.
Beliau
berkata demikian selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum
peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini
hari ini.
Menurut
Mukhriz, seminar yang diadakan di Dewan Seri Negeri hari ini adalah
satu wadah yang tepat bagi menyalurkan maklumat serta fakta tentang
keburukan akibat penyalahgunaan air daun ketum kepada pemimpin
masyarakat.
"Maklumat
yang diperoleh hari ini perlu disampaikan dan dipanjangkan kepada
setiap lapisan masyarakat agar mereka tidak terjebak dalam gejala
tersebut," ujarnya.
Tambah
beliau, pihak jabatan dan agensi kerajaan diharapkan dapat berganding
bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk merangka mekanisme baharu
bagi menarik minat golongan muda, seterusnya melahirkan generasi yang
bijak serta mengamalkan gaya hidup sihat dan berjaya.
"Barisan
pemimpin masyarakat seharusnya sedar bahawa kita merupakan barisan
hadapan yang dekat dengan komuniti tanpa mengira usia mahupun gender.
"Lantaran
itu, kita perlu memperkasakan saf kepimpinan dengan menimba ilmu yang
berkaitan permasalahan rakyat agar sentiasa relevan dan mendepani isu
ini dengan secara menyeluruh dan holistik," jelasnya.
Sumber:Utusan