Murid Islam Seluruh Negara Berpeluang Belajar Kafa

belajarkafa

SINTOK 9 November - Murid Islam di seluruh negara akan berpeluang belajar di Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) sebagai ilmu tambahan dalam mengharungi kehidupan mereka sebagai umat Islam.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan bagaimanapun tidak menetapkan tarikh matlamat itu boleh dicapai kerana kekangan beberapa faktor antaranya kekurangan guru dan tempat.
 
"Namun kerajaan akan terus berusaha agar satu hari nanti impian agar semua anak-anak Islam di Sekolah Rendah dapat belajar Kafa tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ihtifal Kafa peringkat kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, program Kafa juga perlu diperkemaskan agar leibh sistematik selain guru-gurunya perlu diberi peluang mengikuti latihan lanjutan dan disediakan alat-alat bantuan mengajar terkini.
 
Menurut Jamil Khir, seramai 937,808 murid atau kira-kira 56 peratus dari jumlah murid Sekolah Rendah mengikuti Kafa di 5,870 premis di seluruh negara.
Katanya kerajaan menyedari ramai ibu bapa sanggup membayar agar anak-anak mereka dapat mempelajari agama di sekolah persendirian.
 
"Ada golongan yang inginkan anak-anak mereka belajar agama mulai peringkat rendah tetapi tidak berkemampuan menghantar ke sekolah persendirian. Kita harap Kafa dapat menjangkaui kelompok masyarakat ini," tambahnya.
 
Jamil Khir berkata, program Ihtifal memberi kesan baik terhadap perkembangan anak-anak termasuk mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang nasyid, tilawah al-quran, pidato dan tulisan khat.
 
Ihtifal kali kedua itu selama tiga hari yang bermula semalam disertai 386 peserta mewakili 14 buah negeri.

Sumber: Bernama