Kerajaan Pandang Serius Aktiviti Korek Pasir

korekpasir

BUKIT KAYU HITAM 7 November - Kerajaan Kedah memandang serius aktiviti mengorek pasir 'secara rakus' di Kampung Terat Batu, Padang Serai, dan meminta pihak-pihak terbabit menghentikan segera aktiviti itu.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, beliau akan berbincang dengan syarikat-syarikat terbabit untuk mencari jalan penyelesaian dan bagi mengenal pasti langkah-langkah untuk mengawal kesan buruk akibat aktiviti itu.

Katanya kerajaan negeri menerima rungutan masyarakat setempat mengenai aktiviti tersebut berikutan aktiviti mengorek pasir memudaratkan kawasan sungai dan sebagainya yang membawa kesan buruk.

"Kita faham mengapa masyarakat kampung mengadu. Oleh itu tindakan perlu diambil segera," katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai aktiviti itu yang tersiar di akhbar hari ini.

Mukhriz ditemui selepas merasmikan kemudahan pembesaran kilang Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM) di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini.

Menurutnya permit mengorek pasir di tanah persendirian di kampung itu dikeluarkan kepada syarikat berkenaan pada 2011 dan tamat Disember ini.

Katanya kerajaan negeri telah membekukan pengeluaran permit untuk korek pasir sejak Jun lepas. Mengenai tinggalan sejarah iaitu monumen batu sempadan semasa era pemerintahan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada abad ke-19 yang mungkin terjejas akibat aktiviti itu, Mukhriz berkata beliau akan meneliti perkara itu.

"Entah kenapa kali ini permit dikeluarkan tetapi sekarang ini kita cuma mungkin boleh membaikpulih supaya tinggalan sejarah itu kekal di tempat yang asal.

"Kalau tidakpun batu itu dipindahkan ke muzium supaya dapat dilihat oleh pengunjung," tambahnya.

Sumber: BERNAMA