Kerajaan Komited Bawa Langkawi Ke Tahap Lebih Tinggi

langkawitahaptinggi
Najib Tun Abdul Razak bersama isteri, Rosmah Mansor melihat model Hotel St. Regis Langkawi dan Langkawi International Convention Centre (LICC) sambil diberi penerangan oleh Peter Sondakh (dua dari kiri) dalam Majlis Pecah Tanah Hotel St. Regis Langkawi dan LICC di Langkawi, Kedah, semalam.

LANGKAWI 10 November - Kerajaan komited membangunkan industri pelancongan di pulau ini ke tahap lebih tinggi dengan menjadikannya sebagai destinasi percutian dunia berkonsepkan nautika mewah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak diumumkan sebagai pulau bebas cukai, Langkawi mengalami perubahan mendadak dan berkembang pesat sebagai pulau peranginan terkenal.

Walau bagaimanapun kata beliau, industri pelancongan di Langkawi perlu dibawa ke fasa seterusnya dengan memerlukan beberapa pelabur besar dan jenama terkemuka bagi menarik lebih ramai pelancong termasuk yang berpendapatan tinggi.

"Sudah tiba masanya kita meneruskan misi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk Langkawi dengan pendekatan baharu bagi membawa Langkawi ke satu tahap yang setaraf dengan Bali, Monaco dan tempat-tempat lain.

"Apa yang kita panggil destinasi percutian nautika mewah. Itulah konsepnya, kita mahu Langkawi menjadi antara destinasi pelancongan yang terbaik di dunia," katanya dalam majlis pecah tanah Hotel St. Regis Langkawi dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi Kumpulan Rajawali, Tan Sri Peter Sondakh dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli.

Pembinaan hotel mewah yang menawarkan 84 bilik dan 11 vila serta LICC itu dijangka siap pada awal 2015.

Najib berkata, apabila beliau melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi dua tahun lalu, sasarannya adalah menarik kehadiran tiga juta pelancong menjelang 2015 namun tahun ini jumlahnya sudah mencecah 3.6 juta orang.

Kata beliau, dalam menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan terkemuka, pulau ini perlu menarik lebih ramai pelancong berpendapatan tinggi dari seluruh dunia selain kehadiran pelancong tempatan.

"Kita mahu menarik kedatangan pelancongan yang boleh berbelanja dan menyebarkan Langkawi adalah antara destinasi terbaik di dunia," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, pembangunan St. Regis Langkawi dan LICC sebagai sebahagian daripada resort nautika bersepadu merupakan satu langkah strategik ke arah merealisasikan wawasan berkenaan.

Katanya, apabila siap pada 2015 nanti, projek itu akan membentuk satu destinasi persinggahan yang ikonik bukan sahaja kepada Langkawi malah negara ini secara keseluruhannya.

Beliau juga berharap pembinaan dua kemudahan itu akan siap dalam tempoh 15 bulan dan dapat digunakan untuk Sidang Kemuncak ASEAN 2015.

"Insya-Allah, saya akan pastikan semua pihak yang terlibat secara kolektif daripada pelbagai organisasi yang meliputi agensi pusat, negeri serta pihak swasta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya agar projek ini dapat berjalan lancar dan siap sebelum bermulanya Sidang Kemuncak ASEAN 2015 nanti," katanya.

Sumber: Utusan