Lega Tiada Lagi Kandang Khinzir

tiadalagikinzir

Lega tiada lagi kandang khinzir Pusat penyembelihan khinzir kini dijadikan tempat meletak kenderaan dan gerai di Pasar Kampung Berjaya.

ALOR STAR 6 November - Tanggal 2009 merupakan tahun rahmat bagi penduduk Kampung Telok Yan selepas pusat penyembelihan khinzir yang beroperasi kira-kira 40 tahun akhirnya dipindahkan ke Bedong, Sungai Petani.

Isu pusat penyembelihan khinzir ini pernah menggemparkan media apabila ada pihak yang cuba membantah pusat penyembelihan itu dari dipindahkan ke tempat lain, malah pihak berkuasa terpaksa campur tangan supaya ia dapat diselesaikan dengan baik.

Kini selepas empat tahun peristiwa itu berlalu, penduduk Kampung Yan kini dapat menjalani kehidupan dengan sempurna tanpa mendengar lagi bunyi khinzir pada waktu subuh.

Penduduk, Mat Rotin Md Husin, 74, berkata, semasa pusat penyembelihan khinzir beroperasi di situ penduduk terpaksa berhadapan dengan bunyi bising hingga mengganggu jemaah melakukan solat di surau berdekatan.

“Pernah jemaah yang hendak ke surau terpijak tulang khinzir yang berselerakan selepas digonggong oleh anjing liar hingga terpaksa melakukan samak bagi membersihkan dari najis berat itu. Keadaan bertambah serius apabila setiap kali melakukan solat, cermin tingkap surau terpaksa ditutup kerana baunya sangat busuk,” katanya.
  
Lega tiada lagi pencemaran

Bagaimanapun selepas kerajaan merobohkan pusat penyembelihan itu, penduduk Kampung Yan lega dan terus mengadakan kenduri kesyukuran selepas dicekam dengan masalah pencemaran khinzir hampir 40 tahun.

Bagi Fatimah Mustafa, 58, sejak dia berpindah di situ kehidupannya tidak sempurna kerana jarak rumahnya dari pusat penyembelihan hanya 50 meter (m) sahaja.  Katanya, oleh kerana terlalu busuk persekitaran di kampung itu sering dihinggapi lalat hingga setiap kali mengadakan kenduri, penduduk akan berhadapan dengan masalah lalat.

Sistem perparitan yang dibina oleh pengusaha itu juga tidak sempurna menyebabkan kadang-kalanya apabila hujan lebat air najis dan darah khinzir akan melimpah.

“Setiap kali hujan lebat penduduk yang berdekatan dengan pusat penyembelihan itu pasti akan bimbang, kerana najis yang disalurkan melalui parit ke Sungai Kedah tidak mampu mengalir kerana paras air sungai  akan naik hingga menyebabkan air najis akan melimpahi di kawasan perkampungan itu,” katanya.

Fatimah berkata, selepas pusat penyembelihan khinzir itu dipindahkan, penduduk kampung kini senang untuk berulang alik ke surau dan tidak seperti dahulu.

Dapat sokongan semua pihak

Ketua Umno Cawangan Telok Yan, Mustafa Daud, 54, berkata, pemindahan pusat penyembelihan khinzir itu bukan saja disokong oleh orang Melayu tetapi turut mendapat sokongan dari bangsa lain yang tinggal di sekitar itu.

Keadaan persekitaran yang busuk dan memualkan menyebabkan penduduk di situ turut sokong pusat itu dipindahkan kerana kesannya kepada kesihatan.

Katanya, pernah berlaku kejadian seekor khinzir yang hendak disembelih terlepas dari kandang hingga berjaya masuk ke kampung ini menyebabkan penduduk mula bimbang jika binatang itu masuk ke rumah mereka.

"Keadaan penduduk kampung pada masa itu sungguh menyedihkan kerana berhadapan dengan pelbagai dugaan dan sehinggalah pada 2009 pusat penyembelihan itu dipindahkan,” katanya. 

Kini pusat penyembelihan itu telah digantikan menjadi tempat meletak kereta dan gerai untuk pengunjung ke Pasar Kampung Berjaya.

Sejak pemindahan pusat itu, aktiviti ekonomi berjalan rancak kerana penjual dan pembeli tidak lagi menghadapi masalah pencemaran bau, malah Pasar Kampung Berjaya itu kini dikatakan menjadi tumpuan pelancong dan seluruh penduduk di Alor Star terutamanya pada hari Jumaat.

Sumber: Sinar