Oleh Mohd. Shariza Abdullah
Tunku
Sallehuddin Sultan Badlishah (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh
Saudara Kita Maal Hijrah peringkat negeri kepada Norhidayah Oii Abdullah
sambil diperhatikan Mukhriz Mahathir (kiri) dalam Majlis Sambutan Maal
Hijrah 1435 di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi
ALOR
SETAR 5 November - Suruhanraya Pilihan Raya (SPR) dicadang mengkaji
semula kewajaran membenarkan pendaftaran orang luar sebagai pengundi di
satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen sama ada
boleh diterima sebagai amalan bersifat demokratik.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana tujuan pilihan raya
diadakan adalah untuk memilih seorang wakil rakyat yang boleh berkhidmat
kepada penduduk yang menetap dalam kawasan DUN atau Parlimen berkenaan.
"Keadaan
ini mungkin SPR boleh melihatnya semula," katanya ketika ditemui
pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1435 peringkat negeri yang
disempurnakan oleh Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggung
Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Seri
Mentaloon, di sini hari ini.
Dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau semalam, Pas mempertahankan
kerusi itu dengan majoriti lebih rendah apabila calonnya, Mohd. Azam
Abdul Samat, 37, memperoleh majoriti 1,084 undi menewaskan calon Barisan
Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52.
Faktor
kemenangan Pas dilihat banyak disumbangkan oleh Pusat Daerah Mengundi
(PDM) Bukit Besar apabila parti tersebut mendapat lebih 1,000 majoriti
undi di situ.
Mukhriz
berkata, beliau berasa hairan mengapa jumlah pengundi di kawasan Bukit
Besar lebih ramai berbanding penduduk yang menetap di situ.
Beliau
berkata, ini bermaksud amalan pondok agama boleh mendaftar pelajar dan
keluarga mereka dari dahulu sampai sekarang meskipun sudah menetap di
merata-rata tempat di seluruh negara.
"Jadi
mereka ini bukan penduduk di situ. Malangnya mereka yang dianggap bukan
penduduk di situ tetapi mengundi di situ menentukan siapa yang layak
menjadi wakil rakyat bagi pihak penduduk yang menetap di kawasan
berkenaan," katanya.
Dalam
pada itu, Mukhriz berkata, secara keseluruhannya, keputusan di
peringkat peti-peti undi bagi BN begitu memberangsangkan yang mana
tempat pernah dimenangi parti berkenaan menunjukkan peningkatan manakala
di tempat yang pernah kalah memperlihatkan majoriti Pas menurun.
Mengenai
sokongan pengundi muda, beliau dimaklumkan bahawa ramai golongan itu
yang bekerja di luar Sungai Limau tidak pulang mengundi antaranya
disebabkan hari pengundian berlangsung pada hari berkerja.
"Ini mungkin antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan undi di saluran empat dan lima kepada BN," katanya.
Sumber: Utusan