SUNGAI PETANI 16 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasar untuk mewujudkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara dalam usaha menyalurkan perkhidmatan lebih berkesan kepada golongan berkenaan.
Menterinya,
Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, PKS OKU akan berperanan sebagai
pusat sehenti yang menawarkan pelbagai komponen perkhidmatan, termasuk
Program Pemulihan Dalam Komuniti, Program Pemerkasaan Ekonomi,
Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Sokongan untuk memberi manfaat
kepada OKU, keluarga serta komuniti.
"PKS
OKU di Bedong, yang dirasmikan hari ini, merupakan yang pertama di
negara ini. Kita akan lihat PKS OKU ini sebagai satu standard dan model
yang seterusnya akan dibawa ke seluruh negara.
"Kita
juga berharap agar PKS ini akan dapat memberi kesedaran agar lebih
ramai OKU tidak berdaftar untuk segera berdaftar dengan kita bagi
membolehkan mereka menikmati hampir 25 keistimewaan yang disediakan
untuk golongan OKU,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan PKS
OKU Bedong hari ini.
Difahamkan,
pembinaan PKS OKU Bedong yang bermula pada September 2009 dan siap
sepenuhnya pada November 2010, menelan belanja RM5.3 juta.
Sebuah lagi PKS OKU iaitu di Marang, Terengganu akan dirasmikan tidak lama lagi.
Sumber: Bernama