Mohamed Mustafa Ishak
ALOR SETAR 17 November - Belanjawan 2014 Kedah yang pertama kali dibentangkan oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir selaku Menteri Besar sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selama tiga hari bermula esok, diharap dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri ke tahap lebih kukuh.
Naib
Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed
Mustafa Ishak berkata, belanjawan itu diharap membolehkan kerajaan
negeri membuka lebih banyak ruang untuk menarik kehadiran pelabur luar
dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.
Kata beliau, ia juga diharap dapat menggerakkan kembali ekonomi negeri yang sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan suram.
"Kita
mengharapkan semoga belanjawan kali ini akan merangsang kembali
pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan Kedah sebagai sebuah
negeri yang rancak pertumbuhan ekonominya dan pada masa sama dapat
mengatasi masalah hutang yang ada," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Mohamed
Mustafa berkata, selain itu Belanjawan 2014 Kedah diharap dapat memberi
tumpuan kepada sektor pendidikan, prasarana dan bantuan kepada usahawan
kecil.
Beliau
percaya belanjawan yang bakal dibentangkan itu akan membantu kerajaan
negeri memacu ekonomi dan dapat membuka kembali Kedah sebagai sebuah
destinasi pelaburan serta pembangunan ekonomi penting di negara ini.
"Saya
berharap kerajaan negeri dapat menjana pendapatan yang lebih baik
daripada sebelum ini dengan adanya sektor baharu yang diberi penekanan
seperti keusahawanan dan perniagaan kecil dalam meningkatkan lagi
kegiatan ekonomi," ujarnya.
Tambah
beliau, kerajaan negeri juga wajar menyediakan peruntukan untuk program
pengindahan Kedah, projek penebatan banjir dan juga kerja-kerja
pengurusan sampah atau sisa dalam bandar yang merupakan perkara yang
menjadi isu masyarakat.
Katanya,
pembangunan semula sekolah agama yang terbiar diharap turut diberi
perhatian dengan menyediakan peruntukan tambahan selain membuka peluang
dan memperbaiki prasarana perniagaan bagi peniaga kecil di samping tidak
melupakan sektor pertanian khususnya tanaman padi yang merupakan bidang
sangat penting.
"Pembasmian
kemiskinan, peningkatan prasarana, peluang perniagaan kecil,
pembangunan sekolah agama dan peluang anak muda menceburi bidang
ekonomi.
"Saya
percaya ini satu bajet penting yang akan diberi tumpuan masyarakat
kerana ini bajet pertama kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah
Mukhriz. Saya percaya beliau ada sesuatu untuk diketengahkan kepada
rakyat," katanya.
Sumber: Utusan