ZIPY Perlu Mendapat Persetujuan Masyarakat - Mukhriz

zipy
JERAI 26 Oktober - Projek berimpak tinggi Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dicadangan di daerah ini tidak akan diteruskan jika mendapat tentangan masyarakat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, sebarang projek yang hendak dilaksaksanakan di negeri itu perlu mendapat persetujuan masyarakat setempat.

"Secara umum sebarang projek pembangunan yang mahu dibawa termasuk di Jerai perlu mendapat maklum balas masyarakat yang terlibat. Jika ada tentangan dan berasas kita akan pertimbangkan.

"ZIPY mendapat rungutan daripada masyarakat yang mengusahakan bendang di persisiran pantai Yan. Walaupan ada cadangan bernilai berbilion ringgit kita tangguhkan dulu," kata Mukhriz.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di sini hari ini.

ZIPY menjadi bahan kempen pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang sedang berlangsung.

Pada Jun lalu kerajaan negeri dilaporkan akan melaksana semula dengan nilai pelaburan berbilion ringgit selepas tertangguh beberapa tahun di bawah pentadbiran Pas Kedah sebelum ini.

Merapoh Resources Corporation Sdn. Bhd. (Merapoh) yang juga merupakan pemaju asal akan menerajui projek itu.

ZIPY yang ditukar kepada projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (SULIHH) selepas Pas Kedah mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 itu adalah projek penapisan minyak di kawasan laut yang ditambak di Sungai Limau, Yan dan minyak mentah dari Asia Barat akan diimport dan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji tersebut siap.

Kerajaan Barisan Nasional Kedah pada 2007 mengumumkan projek itu hasil perancangan rapi dan menyasarkan keuntungan sebanyak RM400 juta setahun dalam bentuk cukai dari projek itu yang dijadual siap pada 2014 mengikut perancangan awal selain menawarkan pekerjaan kepada kira-kira 30,000 orang.

Sumber: UTUSAN ONLINE