Muzium Padi Anjur Karnival Mulai 11 November

muziumpadi
JITRA 24 Oktober - Lembaga Muzium Negeri Kedah akan menganjurkan Karnival 7 Hari 7 Malam Muzium Padi dari 11 hingga 17 November ini dalam usaha mempertingkatkan promosi negeri Kedah termasuk kepada pelancong luar negeri.

Karnival yang diadakan di pekarangan Muzium Padi, Gunung Keriang di Alor Setar dibuka dari pukul 9 pagi hingga 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan Kedah Aminuddin Omar berkata, selain menarik lebih ramai pengunjung, karnival itu juga bertujuan menyokong kerajaan negeri Kedah dalam mencapai aspirasi membangunkan sektor pelancongan dan warisan ke peringkat lebih tinggi.

"Karnival kali ini merupakan kesinambungan kepada program Karnival Jom Pi Muzium Padi yang berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung pada tahun 2011 dan 2012," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah itu berharap karnival itu dapat mempromosikan dan mengeratkan hubungan antara muzium-muzium Malaysia serta membuka peluang kepada usahawan dan peniaga kecil dan sederhana dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

"Tahun ini kita telah jemput pihak muzium dari Melaka, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak untuk turut serta di mana mereka boleh mempamerkan barangan dari muzium masing-masing. Pengunjung bolehlah datang ke Muzium Padi dan tidak perlu pergi jauh untuk melihat barangan dari muzium negeri lain," kata Aminuddin.
Sementara itu, beliau berkata, dari Januari hingga kini, sejumlah 80,000 pengunjung telah datang ke Muzium Padi dan dianggarkan 200,000 pengunjung akan hadir ke karnival tujuh hari itu.

"Saya berharap agar orang ramai daripada pelbagai kaum dapat memeriahkan karnival kali ini kerana ini merupakan satu-satunya muzium berkonsepkan padi diperkenalkan di dunia," katanya.

Pelbagai program akan diadakan sepanjang karnival berlangsung iaitu pameran dari muzium-muzium negeri lain selain gerai jualan oleh pelbagai agensi, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, persembahan 'Mek Mulong' dan pelbagai program hiburan serta ilmiah.

Sumber: BERNAMA