Mangsa Bot Karam Dapat Sumbangan LKIM Negeri

botkaram

MOHD. Noor Had (kanan) menyampaikan sumbangan RM200 kepada Mohd. Abdullah Basir salah seorang mangsa bot karam yang selamat semasa dalam perjalanan pulang dari laut ke jeti Kota Kuala Muda, Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI 23 Oktober - Enam mangsa bot karam kerana ombak besar semasa dalam perjalanan pulang dari laut di Kota Kuala Muda di sini semalam mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kedah.

Pengarah lembaga itu, Mohd. Noor Had berkata, pihaknya tampil menghulur sumbangan RM200 setiap seorang bagi meringankan sedikit bebanan setelah mereka tidak bekerja kerana masih berada dalam keadaan trauma itu.

"Walaupun sumbangan diberi tidak seberapa nilainya tetapi dapat menceriakan mereka semula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Di antara penerima sumbangan itu termasuk Razuan Hassan, 42; Mohd Ashraf Rosli, 15; Mohd. Abdullah Basir, 18; Ridzuan Ismail, 30, dan Nazaril Ismail, 25.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10.35 pagi semalam, apabila mereka terjatuh ke dalam laut setelah bot itu terbalik secara mengejut. Bagaimanapun, seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang, Mohd. Akmar Md. Zain, 19, dari Kampung Keda, Kuala Muda di sini berjaya ditemui semula di kawasan Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Dia kini mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Seorang penerima sumbangan, Mohd. Abdullah ketika ditemui berkata, dia gembira kerana pihak LKIM Kedah begitu prihatin dan memberi sedikit sumbangan selepas kejadian itu.

Di samping itu, menurut Razuan dari Kampung Tepi Sungai Kuala Muda, hanya dalam sekelip mata sahaja bot miliknya terbalik semasa ombak besar itu.

"Semasa kejadian, kami berada tidak jauh dari jeti pendaratan, nasib tidak menyebelahi dan banyak barang dan ikan yang diperoleh hilang di dalam laut," katanya.

Sumber: Utusan