LANGKAWI
2 Oktober - Kerajaan negeri merancang untuk memberi nafas baharu kepada
kempen 'Senyum Selalu' melibatkan pelbagai sektor dalam industri
pelancongan dan penduduk tempatan bagi memikat hati para pelancong yang
berkunjung ke negeri ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga
Manusia dan Pelancongan negeri, Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, sikap
ramah dan melemparkan senyuman dalam bidang pelancongan adalah penting
kerana sikap itu mempengaruhi persepsi pelanggan.
Katanya,
penggiat industri pelancongan termasuk di Langkawi masih kurang memberi
perhatian terhadap sikap ramah dan budaya senyum jika dibandingkan
Thailand dan Indonesia.
"Mungkin
kita akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk
melancarkan semula kempen senyum yang pernah diadakan dahulu.
"Kempen ini melibatkan semua peringkat seperti di kaunter hotel, kedai, restoran, stesen teksi dan lapangan terbang," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan
hotel terbaharu MK Land Holdings Berhad, Ombak Villa yang disempurnakan
oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini kelmarin.
Yang
hadir sama isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali;
Pengerusi MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan
Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli.
Mohd.
Rawi berkata, dengan senyuman dapat meletakkan pelancong dalam keadaan
selesa, memberi gambaran bahawa mereka sedang diterima dengan hati
terbuka dan sedia diberi layanan selain memperkenalkan imej bersopan
santun rakyat negara ini.
Katanya,
infrastruktur pelancongan boleh dibina tetapi usaha untuk menanam
budaya senyum dalam industri tersebut merupakan satu cabaran yang perlu
dihadapi.
"Dengan
senyuman itu kita tidak perlu berbahasa. Kita tahu orang boleh menilai
bahawa kita sedang menerima dengan hati terbuka dan sanggup memberi
layanan.
"Lihat
di Thailand, hanya dengan senyuman dan perkataan 'sawadikap' sudah
cukup untuk membuat pelancong berasa perkhidmatan yang bakal diberikan
adalah istimewa," katanya.
Sumber:Utusan