Isnin, 22 Ogos 2011 10:46 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR |
JITRA – Seramai 50 orang fakir miskin menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, YB. Abdul Ghani Ahmad.
Program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Ayer Hitam dengan kerjasama Surau Siti Aminah, Sungai Korok, Alor Biak, di sini.
Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh golongan berkenaan terutama dalam menyambut Ramadan dan juga Hari Raya Aidilfitri.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan menjelaskan, usaha yang dilakukan pelbagai pihak dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik amat dihargai.
“Kita amat mengalu-alukan sumbangan dan penyertaan pelbagai pihak dalam usaha bersama-sama membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim serta ibu tunggal,” ujarnya.
Terakhir Dikemaskini (Isnin, 22 Ogos 2011 10:55)