31sultan
    ALOR SETAR 31 Januari - S etelah hampir dua minggu berdepan krisis hilang kepercayaan daripada majoriti pemimpin UMNO Kedah, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini bersuara dengan mendakwa tindakan pemimpin terlibat sebagai tidak bertanggungjawab.
    Malah, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri dalam satu kenyataan di sini mendakwa tindakan kumpulan berkenaan mencemar pelbagai acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah.
    “Tindakan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian mengheret ketua-ketua sayap dan pe­mimpin muda dalam UMNO me­ngadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu adalah tidak bertanggungjawab.
    “Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar, saya menerima khabar sesungguhnya Tuanku Sultan dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut,” katanya di sini hari ini.
    Tambah beliau, lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Exco yang sudah berikrar taat setia kepada pemerintah ketika mengangkat sumpah masing-ma­sing.
    “Turut mendukacitakan, rentetan daripada sidang media berkenaan, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri mesyuarat Exco pada Rabu, 27 Januari yang lalu. “Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah seperti termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya. Tambah beliau, sebagai Exco, keengganan menghadiri mesyuarat Exco menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang diatur oleh kerajaan negeri.
    “Saya dimaklumkan bahawa Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut murka dengan keingkaran Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan,” katanya. Sehubungan itu, beliau mendesak agar semua 14 ketua UMNO bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan sidang akhbar berkenaan dan enam Exco yang tidak hadir mesyuarat, memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah. “Sehingga kemelut ini selesai semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda,” katanya.
    Pada 20 Januari lalu, kepemim­pinan UMNO negeri terdiri daripada 11 ketua bahagian, tiga Timbalan Ketua Bahagian dan ketua-ketua sayap mengadakan sidang akhbar bagi menyuarakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Ne­geri.
    Jemaah Pemangku Sultan Kedah melalui kenyataan Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah pada 26 Januari menegaskan ahli jemaah itu berke­cuali dalam krisis politik di negeri ini dan menasihatkan pihak yang terlibat mencari jalan menyelesaikannya.
    “Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengambil maklum tentang berita pergolakan politik yang sedang berlaku di Kedah dan me­negaskan bahawa ahli jemaah berkecuali daripada menyokong atau memihak mana-mana go­longan atau pihak,” kata Syed Unan Mashri.
    Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang juga Tunku Temenggong Kedah di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan me­ngenai pertukaran menteri besar.
    Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu adalah dua lagi anggota jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Pu­teri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
    Oleh : Jamliah Abdullah
    Sumber : Utusan



      31kehebatan
      THAILAND 31 Januari - Siapa sangka peta negeri Kedah ketika era Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II (1710-1778) menjangkaui sehingga ke utara Thailand dan sempadan Myanmar. Kerajaan Kedah yang berperanan sebagai pusat penyebaran Islam terpenting di rantau ini ketika itu begitu dihormati dan digeruni oleh kuasa-kuasa lain.
      Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, di bawah pimpinan Tunku Anjang yang juga putera Sultan Muhammad Jiwa Adilin Mu’adzam Shah II, angkatan tentera Kedah berjaya meluaskan pengaruh bermula dari Pulau Sembilan yang terletak di lembah Kerian, Perak.
      Menurutnya, kuasa penaklukan Kedah turut meliputi negeri-negeri di utara tanah air iaitu Seberang Perai dan Pulau Pinang, Perlis termasuk Satun.
      “Kesemua kawasan ini pada asalnya adalah milik Kedah, malah pusat pemerintahan Kedah pernah terletak di Kota Sena kini dikenali sebagai bandar Kangar dan Kota Indera Kayangan yang terletak di utara negeri itu,” katanya.
      Tidak cukup dengan itu, wilayah Kedah terus diluaskan lagi bermula dengan Terang, Krabi, Phuket, Phanga dan Pulau Samilan di mana semua kawasan itu kini sudah menjadi milik Thailand.
      Menurutnya, semua kawasan tersebut juga mempunyai nama yang sebenar sebelum ia ditukar mengikut pertuturan masyarakat Thailand.
      “Sebagai contoh nama asal bagi Krabi adalah Kerambit dan ia membawa maksud sebilah pisau berbentuk sabit, Phuket pula asalnya dari perkataan Bukit dan Phanga pula berasal dari perkataan Bunga,” katanya.
      Wan Shamsudin berkata, dengan kekuatan ketenteraan ketika itu, Kedah terus menambah wilayah jajahannya sehingga ke Ranong dan terakhir di perairan Burma.
      Menurutnya, setiap kawasan jajahan takluk ini bukan semua kepunyaan Siam, namun sebahagiannya merupakan sebuah kerajaan yang tersendiri dan merdeka.
      “Perkataan Ranong juga berasal dari perkataan bahasa Melayu iaitu Rundung, tetapi ia juga ditukar ke dalam bentuk percakapan lain.
      “Malah hakikat kebenaran sejarah tersebut juga turut diakui pihak Siam sendiri di mana kerajaan Thailand sendiri turut membina mercu tanda di Segenting Kra (wilayah Ranong) dengan terukir perkataan “Di sinilah bermulanya bumi Melayu”,” katanya.
      Ada pangkalan kapal sendiri
      Beliau berkata, kejayaan meluaskan empayar Kedah tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya angkatan tentera Kedah turut bertempur dengan pihak-pihak tertentu sebelum berjaya menegakkan sebuah kerajaan yang kuat dan digeruni.
      “Untuk menakluki kawasan tersebut, angkatan tentera Kedah terpaksa menghadapi tentangan sengit dari tempat-tempat yang ditaklukinya, namun pada zaman itu angkatan tentera Kedah sememangnya sukar untuk dikalahkan,” katanya.
      Wan Shamsudin berkata, kerajaan Islam Kedah turut mempunyai pangkalan kapal perang sendiri di pelabuhan Telibung, yang terletak dalam wilayah Terang.
      Menurutnya, bukti tersebut dapat dilihat dalam sebuah Syair Sultan Maulana, satu gelaran yang diberi kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II sewaktu Kedah diminta oleh kerajaan Siam untuk mengusir Burma di Phuket pada sekitar tahun 1808 hingga 1810.
      “Maka dalam syair itu, penyair menyindir angkatan perahu Siam jika dibandingkan dengan perahu perang Kedah yang dibina di Telibung.
      “Salah satu rangkap syair itu berbunyi “Perahu Melayu Telibung Kedah, Dua Puluh dibilang sudah, Lainnya Siam haram zadah, Perahu tiada memberi faedah”, maksud perahu dalam syair itu merujuk kepada kapal perang,” katanya.
      Cipta mata wang emas, perak
      Sementara itu, sebelum zaman perluasan kuasa berlaku, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II juga mencipta pelbagai jenis mata wang emas dan perak yang tertulis nama baginda.
      “Salah satu mata wang yang diterbitkan pada zamannya berbentuk ayam jantan dan ia disambung dengan mata wang berbentuk bulat seperti cincin,” katanya.
      Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, di sebalik banyak kejayaan di bawah zaman baginda, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II merupakan seorang pemimpin yang cukup dikenali sebagai seorang yang soleh dan sayangkan ulama.
      Menurutnya, pemimpin paling lama memerintah negeri Kedah itu juga turut mendalami ilmu agama di seberang laut dan berguru dengan seorang alim ulama dari Yaman iaitu Syeikh Abdul Jalil.
      “Baginda memerintah Kedah selama 68 tahun, namun sebelum menjadi sultan baginda meminta izin ayahandanya untuk menuntut ilmu agama terlebih dahulu.
      “Baginda kemudian menuntut di Palembang, apa yang menariknya, tuan gurunya iaitu Syeikh Abdul Jalil tidak pernah tahu anak muridnya itu adalah anak dari Sultan Kedah sehinggalah pihak istana mencari baginda untuk diminta pulang bagi menaiki tampuk pemerintahan,” katanya.
      Jelasnya Wan Shamsudin lagi, zaman keemasan Kedah bagaimanapun tidak mampu kekal beberapa lama kemudian akibat kekuatan tentera Kedah yang semakin lemah dan campur tangan kuasa tempatan seperti Acheh, Minangkabau, Bugis dan Siam.
      “Salah satu cara kuasa seperti Siam melemahkan pengaruh Kedah ialah dengan memaksa Kedah menentang kebangkitan Patani pada 1809 dan menyerang jirannya Perak pada 1818,” katanya.
      Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir Abd Hadi
      Sumber : Sinar


      3kedahh
      ALOR SETAR 23 Januari - Pelari solo dari Kedah yang berlari bersempena perlawanan Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor, 12 Disember lalu menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
      Nasir Abas, 60, yang berlari kira-kira 500 kilometer dari Stadium Shah Alam, Selangor hingga ke Stadium Darul Aman, Kedah berkata, rata-rata penduduk Kedah menggemari kepimpinan Mukhriz.
      "Waktu beliau datang ke rumah saya sempena majlis kesyukuran meraikan kejayaan larian solo minggu lalu, ramai penduduk bagi sokongan.
      "Lebih mengejutkan, beliau sebenarnya seorang pemimpin yang mesra rakyat tanpa batasan, malah dilihat tak kisah bercampur dengan penduduk," katanya.
      Menurutnya, sikap merendah diri yang ditonjolkan pemimpin muda seperti Mukhriz membuatkan orang biasa sepertinya berasa gembira dan dekat dengan beliau.
      "Buktinya pada malam selepas sidang media dilakukan beberapa pemimpin Umno bahagian berkenaan, ribuan orang awam termasuk 80 peratus daripadanya anak muda turun memberi sokongan padu," katanya.
      Disebabkan itu katanya, kebanyakan penduduk Kuala Kedah termasuklah dirinya terkejut apabila kemelut politik negeri melanda sejak beberapa hari lalu.
      "Saya berpendapat, pemimpin Umno Kedah sepatutnya berbincang, bukannya membuat kenyataan menolak Mukhriz sedemikian," katanya.
      Pada 20 Januari lalu, kepimpinan Umno Kedah dan wakil rakyat secara konsensus menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.
      Mereka merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah.
      Sumber : Sinar


      24pm
      LANGKAWI 24 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hadir bersama di Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini hari ini bagi me­nyambut ketibaan penerbangan sulung pertama AirAsia bagi laluan Langkawi-Guangzhou, China.
      Kehadiran kedua-dua pemim­pin itu menutup segala spekulasi dan jangkaan bahawa senario politik Kedah bakal meletus selepas barisan kepemimpinan UMNO Kedah sebelum ini menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz dan meminta Perdana Menteri menukar pucuk pimpinan kerajaan negeri.
      Najib dan Mukhriz yang tiba di kompleks tersebut selang lima minit turut menunjukkan kemesraan antara mereka, berbual mesra dan menghulur salam seolah-olah tiada isu dalaman yang membe­lenggu politik Kedah.
      Mereka turut dilihat beramah mesra dengan para tetamu yang hadir, antaranya Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Kamarudin Meranun.
      Najib yang berucap dalam maj­lis itu tidak sedikit pun menyentuh soal politik, sebaliknya sempat mengusik Mukhriz dengan menya­takan rasa senang hati melihat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu tersenyum.
      “Saya tengok wakil rakyat ada di sini sedang tersenyum, saya tengok Mukhriz pun tersenyum jadi saya jangka semua orang gembira hari ini,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh setiap yang hadir.
      Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan Pusat akan terus membangunkan Langkawi sebagai produk pelancongan nombor satu negara agar sentiasa mendapat tumpuan pelancong terutama dari luar negara.
      Katanya, pembukaan laluan Langkawi-Guangzhou itu adalah contoh hasil kerja keras antara Kementerian Pengangkutan dan AirAsia untuk memastikan pelancong dari China dapat datang ke pulau itu dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
      “Saya dimaklumkan ada 400 juta rakyat China yang melancong keluar negara setiap tahun, justeru jika kita mampu menarik kehadiran 10 peratus daripadanya untuk datang ke Malaysia, pasti hasilnya sangat memberangsangkan.
      “Kira-kira 2.3 juta penumpang melalui LTAL tahun lalu, hanya 176,000 yang terbang terus dari China dan Singapura, justeru ini menunjukkan perlu ada lebih ba­nyak penerbangan terus dibuka selepas ini,” katanya.
      Najib dan Mukhriz kemudiannya meninggalkan majlis itu dengan menaiki satu kenderaan.
      Oleh : Rodelio Junjun Taucan
      Sumber : Utusan

      19kedah
      KUBANG PASU 19 Januari - Kerajaan negeri akan sentiasa berhubung dengan institusi pondok dan masjid untuk memantau penularan fahaman militan Islamic State (IS) yang semakin membimbangkan pada masa kini.
      Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah pengawasan seumpama itu perlu diambil memandangkan fahaman ekstrem itu menyasarkan institusi agama untuk menyebarkan ajaran sonsang tersebut.
      “Kita boleh atasinya melalui pe-ningkatan pengajaran Islam sebab itu saya selalu berhubung dengan pusat tahfiz, pondok agama dan masjid, namun ia bukan masalah di peringkat pengajian agama saja tapi di semua peringkat. “Sehubungan itu, kita kena peka dengan keadaan sekeliling, jangan buat-buat tidak nampak kalau ada unsur seperti itu disebarkan di kampung kita, semua kena main peranan,” katanya.
      Beliau berkata demikian mengulas mengenai serangan pengganas membabitkan letupan bom di Gedung Sarinah, Jakarta pada Khamis lalu selepas merasmikan Dewan Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Wang Tepus di sini hari ini. Mukhriz berharap, serangan puak ekstremis yang mengejutkan Indonesia dan dunia itu tidak menular sehingga ke negeri ini.
      Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Ketua Polis negeri, Datuk Zamri Yahya bagi membincangkan ancaman tersebut terhadap keselamatan di negeri ini.
      Beliau menambah, semua pihak perlu memainkan peranan untuk berhadapan dengan isu penularan fahaman ekstremis tersebut kerana membawa ancaman besar kepada negara memainkan peranan mengatasinya.
      “Sebelum ini saya membaca terdapat seorang anak Kedah dikaitkan dengan IS, kemudian pula melihat video serangan di Indonesia dengan menggunakan agama sebagai keganasan.
      “Kita anggap ini sangat serius dan tidak mahu perkara sama berlaku. Kita bimbang mungkin ada lagi orang Islam yang agamanya setebal kulit bawang akan terpengaruh dengan unsur IS.
      “Jadi saya memohon bantuan daripada pejabat Ketua Polis Kedah untuk memberi maklum balas mengenai ancaman terbabit kerana mengikut video yang ditonton mereka menggunakan ayat al-Quran dan Hadith yang jauh menyimpang daripada ajaran sebenar,” katanya.
      Oleh : Nazmil Nasiruddin
      Sumber : Utusan


      18pembangunan
      PADANG TERAP 18 Januari - Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dan bantuan sewajarnya secara konsisten kepada pembangunan maahad tahfiz serta sekolah pondok di negeri ini.
      Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, sudah menjadi dasar Kerajaan Negeri memberi bantuan secara konsisten kepada pusat pengajian yang berdaftar melalui sumbangan zakat dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).
      Menurutnya, perhatian seumpama itu secara tidak langsung dapat membantu Kerajaan Negeri untuk melahirkan golongan pendakwah bukan sahaja untuk negara ini, malah ke seluruh dunia.
      “Pada masa ini, kita boleh tengok perkembangan maahad tahfiz yang begitu banyak seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan ada yang dalam kampung dan tidak kurang juga di tepi pantai seperti di Langkawi. Kebanyakan daripada maahad tahfiz berkenaan menggunakan pendekatan yang berbeza-beza,” ujarnya kepada pemberita selepas sesi lawatan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Pusat Pengajian Darussolihin.
      Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir ke pusat pengajian yang sudah beroperasi sejak 2012 itu.
      Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Shuib Ahmad berkata, terdapat 30 pelajar tahfiz yang berumur 12 tahun ke atas menuntut di pusat pengajian berkenaan pada masa kini.
      Beliau memberitahu, pelajar tahfiz di situ akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran untuk tempoh masa sekurang-kurangnya tiga tahun ke Turki yang merupakan tempat lahirnya pusat pengajian Al-Quran tersebut.
      “Buat masa ini, cawangan itu satu-satunya berada di negeri ini dan baru-baru ini, kami telah hantar sebanyak 40 pelajar ke Turki dan dibiayai sepenuhnya oleh Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turki. Pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran nanti akan mendapat pembiayaan biasiswa, makan-minum, buku, tempat tinggal, pakaian dan elaun,” katanya.
      Sumber : UMTK


      17kedahh
      ALOR SETAR 17 Januari - Kedah menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan persekutuan memberi bantuan tambahan pada kadar segera kepada negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
      Mukhriz berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai segala bentuk sumbangan disalurkan kerajaan persekutuan, namun dengan keupayaan terbatas dalam menghadapi isu semasa bertahap global, bantuan tersebut amatlah diperlukan.
      Katanya projek-projek yang dicadangkan kerajaan negeri seperti pembinaan Lapangan Antarbangsa Kulim (KXP) bukan hanya untuk kepentingan negeri ini tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
      Mengambil contoh pasukan bola sepak Kedah yang berjaya merentasi segala kekangan dan cabaran untuk menjuarai Liga Perdana, naib juara Piala Malaysia dan Pasukan Bola Sepak Terbaik 2015, Mukhriz berkata Kedah juga komited untuk menghidupkan semangat mahawangsa demi mencapai sesuatu di luar jangkaan.
      Mukhriz berkata demikian dalam ucapannya sempena istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun ke-88 keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah, di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
      Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, institusi kesultanan wajib dipertahankan bagi memastikan ajaran Islam terus terlaksana dan tidak menyimpang daripada yang asal.
      Mukhriz berkata, jika diimbau kembali, institusi pondok yang tersebar luas di seluruh negeri ini diasaskan oleh Kesultanan Kedah, apabila Sultan Muzaffar Shah memeluk agama Islam pada 1136 Masihi, dan memulakan pengajian agama Islam di istana dengan pembesar-pembesar negeri.
      Amalan tersebut, menurutnya, berlanjutan sehinggalah pemerintahan Sultan Kedah ke-19, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah yang mengasaskan pondok-pondok agama atas nasihat mufti pada 1730.
      Justeru beliau berkata, kehebatan pondok-pondok agama kini bermula atas titah perintah Sultan, dan sesiapapun tidak patut menyimpang daripada ajaran ‎Islam yang sebenar seperti dihasratkan Kesultanan Kedah.
      Pada istiadat itu, sebanyak 68 orang dianugerahkan darjah dan bintang kebesaran Kedah.
      Sumber : Sinar


      17sultan
      ALOR SETAR 17 Januari - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah menyarankan Menteri Besar dan anggota kerajaan terus mencari jalan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi dan nilai ringgit.
      Baginda yang juga Yang di-Pertuan Agong bertitah keperitan rakyat berikutan keadaan itu mengakibatkan kuasa beli rakyat berkurangan dengan mendadak dan Kedah antara negeri yang amat terkesan dengan perkara itu.
      "Teruslah membantu mereka yang serba kekurangan dengan mengupayakan mereka melalui latihan dan bantuan," titah baginda dalam istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun ke-88 keputeraan baginda, di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
      Titah ucapan baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
      Baginda bertitah, Kedah turut membantu negara untuk mencapai hasrat menjadi negara maju menerusi sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan kelangsungan industri bekalan makanan negara khususnya padi.
      Baginda menegaskan, Taman Teknologi Tinggi Kulim misalnya telah berjaya menarik pelaburan mencecah RM31 bilion, selain menyediakan 22,000 pekerjaan berpendapatan tinggi yang majoritinya diisi warga tempatan
      "Jika Kedah tidak dapat bantuan dan sokongan daripada kerajaan persekutuan, beta percaya cita-cita negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan gagal kerana Kedah akan terus berada di belakang negeri lain yang lebih berupaya dan kaya," titah baginda.
      Dalam aspek pentadbiran, baginda turut menyeru semua pemimpin agar "kurangkan cakap dan lebihkan kerja" serta menjauhi rasuah bagi menjamin kesinambungan kejayaan.
      Baginda bertitah, setiap pemimpin perlu membudayakan nilai integriti tinggi yang diyakini rakyat jelata, selain memastikan tindak tanduk berasaskan kepada nilai-nilai murni.
      "Untuk menjamin kesinambungan kejayaan, perlu ada sifat-sifat seperti amanah, jujur dan ikhlas dalam setiap urusan yang dilakukan," titah baginda.
      Sultan Kedah turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Kedah kerana menjuarai Liga Perdana, menjadi Naib Juara Piala Malaysia dan terpilih sebagai Pasukan Terbaik 2015.
      Kejayaan-kejayaan tersebut, titah baginda, bukanlah mudah diperoleh dan merupakan hasil usaha bersungguh-sungguh dan perancangan rapi daripada semua yang terlibat.
      "Sukan mampu menyatupadukan rakyat. Beta menyeru semoga diteruskan usaha-usaha meningkatkan prestasi sukan di Kedah," titah baginda.
      Baginda turut meminta semua pihak komited memberikan kerjasama jitu bagi menjayakan 'Discover Kedah 2016' dengan mengekalkan sifat ramah dan mesra semasa menyambut kedatangan pelancong ke negeri ini
      Sultan Kedah turut yakin, sasaran menarik lima juta pelancong mampu menjadi kenyataan sekiranya kebersihan dan keindahan di negeri ini dijaga dengan rapi dan teratur.
      Terdahulu dalam ucapannya, Tunku Sallehuddin bertitah walaupun isu ideologi ekstremis militan Daesh telah dibangkitkan tahun lepas, namun negeri ini masih digemparkan dengan penglibatan anak Kedah yang terpengaruh dengan ideologi tersebut.
      "Perkembangan ini sangat membimbangkan dan perlu ditangani sebaik mungkin, setiap anggota masyarakat perlu peka dan memainkan peranan untuk menghindari penyebaran ideologi ini
      "Jangan ada mana-mana pihak yang terpesong daripada ajaran agama Islam yang sebenar, kembalilah ke pangkal jalan," titah Tunku Sallehuddin yang juga Tunku Temenggong Kedah.
      Selasa lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Sungai Petani dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Daesh, juga dikenali sebagai militan I.S.
      Pada istiadat itu, sebanyak 68 orang dianugerahkan darjah dan bintang kebesaran Kedah.
      Turut hadir anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan pembesar-pembesar negeri.
      Sumber : Sinar



        10elak
        ALOR SETAR 10 Januari - Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak terdedah pada strok haba dan Hipertermia berikutan Kedah dan Perlis sedang dilanda cuaca panas dan kering, antara 33-35 darjah celcius.
        Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, suhu di kedua negeri itu lebih tinggi berbanding negeri lain berikutan kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun 2016 (Mac).
        “Rentetan suhu yang tinggi, kita boleh terdedah pada strok haba, iaitu paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celsius, di mana suhu badan individu normal adalah 37 darjah celcius. Jika berterusan, menyebabkan kandungan air dalam badan berkurangan sekaligus berpotensi menyebabkan dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma seterusnya kematian,” katanya.
        Menurutnya, orang ramai tidak wajar memandang remeh perkara ini terutama kanak-kanak dan warga emas.
        “Seeloknya kita ambil langkah pencegahan. Walaupun nampak mudah namun banyak manfaatnya,” katanya.
        Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas, minum air dalam kuantiti banyak atau minima 2.5 liter sehari, pakai pakaian dari 100 peratus kapas kerana bahan itu membenarkan penyejatan peluh yang maksimum, elakkan berjalan atau lakukan aktiviti atas permukaan panas seperti simen dan bitumen.
        “Bagi pelajar pula hendaklah mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini,” katanya.
        Yong Kong turut menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat dalam penggunaan air berikutan fenomena El Nino boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20- 60 peratus serta kenaikan suhu antara 0.5-2.0 darjah celcius.
        “Jangan keruhkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka, jika terpaksa, ambil langkah awal keselamatan,” katanya.
        Sumber : Sinar


        4discover
        ALOR SETAR 6 Januari - Kerajaan Negeri Kedah mengisytiharkan 24 Januari ini sebagai cuti peristiwa negeri sempena sambutan Thaipusam oleh masyarakat India.
        Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di sini hari ini.
        Ditanya sama ada kerajaan negeri mahu mewartakan Thaipusam sebagai cuti umum, beliau berkata kuota untuk cuti umum di negeri ini telah pun penuh.
        "Kita dah cukup (kuota cuti umum) jadi tak boleh nak gazet tambahan satu hari lagi, walaupun begitu kita ada kelonggaran umum cuti peristiwa," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Wisma Darul Aman.
        Beliau berharap pihak swasta akan turut sama mengikut keputusan yang kerajaan negeri dalam mengisytiharkan 24 Jan sebagai cuti peristiwa.
        Sumber : Sinar


        3kedahh
        ALOR SETAR 3 Januari - Produk pelancongan negeri, Gunung Jerai dilihat memiliki keunikan tersendiri dan berpotensi dijadikan sebagai Geopark Unesco kedua Kedah.
        Antara tarikan Gunung Jerai ialah peninggalan sejarah Tuan Sheikh Abdullah Yamani atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh, Makam Tok Sheikh, Padang Tok Sheikh dan Telaga Tok Sheikh.
        Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan berusaha untuk memohon Gunung Jerai diberikan status Geopark.
        “Kawasan Gunung Jerai berkenaan dilihat memiliki aspek unik dan ciri tersendiri untuk memohon pengisytiharan status sebagai Geopark.
        “Ciri dimiliki Gunung Jerai tidak sama dengan Langkawi, namun ia didapati memiliki persamaan dengan Gunung Mat Chinchang dari segi umur batu,” katanya.
        Mukhriz berkata, pihaknya berharap permohonan pengisytiharan status Gunung Jerai sebagai Geopark kedua diperoleh dalam masa terdekat antara satu hingga dua tahun.
        Menurutnya, Kedah turut memiliki kelebihan tersendiri iaitu Sungai Merbok jika dibandingkan dengan sungai lain di seluruh dunia.
        "Kira-kira 42 dari 60 spesies bakau di dunia terdapat di Sungai Merbok, yang mana membolehkan ia bakal menerima pengiktirafan Biosfera Unesco tahun ini," katanya.
        Sementara itu, beberapa infrastruktur kawasan pelancongan Kedah diberi perhatian bagi memastikan keselesaan pelancong berkunjung ke negeri ini.
        Mukhriz berkata, tidak dinafikan masih ada beberapa tempat pelancongan berkaitan perlu diberi perhatian.
        “Jadi, mana-mana tidak termampu diuruskan kerajaan negeri, sememangnya kita sudah membuat permohonan kepada bantuan kerajaan persekutuan.
        “Lagipun, kita cuma ada tempoh setahun dari awal Januari sehingga Disember tahun lepas untuk Tahun Melawat Kedah 2016 ini, “ katanya.
        Menurutnya, tempoh setahun berkenaan dilihat tidak memadai bagi membolehkan mereka menyelesaikan semua masalah yang ada.
        Namun begitu, beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan segala persiapan termasuklah dari segi prasarana.
        Oleh : Nurul Hidayah Hamid
        Sumber : Sinar


        2kegawatan
        ALOR SETAR 2 Januari - Keadaan kegawatan ekonomi dunia termasuk kejatuhan nilai ringgit tidak akan memberi kesan terhadap kedatangan pelancong sama ada tempatan mahu pun antarabangsa ke negeri ini.
        Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebaliknya keadaan tersebut akan dapat memberi kelebi­h­an kepada pelancong untuk memi­lih negeri ini dalam membelanjakan wang mereka untuk pembangunan industri pelancongan di Kedah.
        “Sebaliknya, apabila berlaku kegawatan termasuklah masalah pertukaran wang asing, pelancong tempatan akan lebih cenderung untuk melawat destinasi tempatan kerana kalau ke luar negara kerana nilai ringgit yang kurang berbanding dahulu.
        “Jadi, kalau RM1 dibelanjakan di Johor nilainya adalah sama dengan di Langkawi, lebih berharga di sini, tiada masalah. Bagi pelancong antarabangsa pula, jika nilai mata wang mereka lebih mahal akan menjadi satu tarikan pula,” katanya.
        Beliau berkata demikian me­ngulas mengenai kesan kegawatan ekonomi dunia pada masa ini terhadap industri pelancongan negeri dalam sidang akhbar selepas menyem­purnakan Majlis Pelancaran Jelajah Kedah 2016 di sini malam tadi.
        Pada masa sama, Mukhriz me­nyasarkan untuk menarik kehadiran sebanyak lima juta pelancong untuk datang berkunjung ke destinasi menarik yang ada di negeri ini setelah kempen tersebut dilancarkan.
        “Pada tahun 2014 seramai 3.3 juta pelancong yang terdiri daripada 2.1 juta pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong antarabangsa telah menginap di hotel-hotel seluruh Negeri Kedah. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 17.81 peratus daripada tahun 2013. Pertumbuhan positif ini memberikan harapan baik untuk mencapai sa­saran pada 2016 iaitu sebanyak lima juta pelancong,” katanya.
        Dalam pada itu, beliau menggalakkan penglibatan sektor swasta untuk merancakkan pembangunan hotel bertaraf empat atau lima bintang di sekitar kawasan tanah besar negeri ini dan tidak tertumpu kepada Langkawi semata-mata.
        Selain itu, beliau berkata, sudah tiba masanya sebuah inisiatif diba­ngunkan untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke kawasan tanah besar disebabkan terdapat pelbagai destinasi menarik seperti Gunung Jerai, Su­ngai Merbok, Sungai Sedim Canopy Walk, Air Panas Ulu Legong di Baling, Taman Rimba Ulu Muda, dan Pantai Merdeka.
        “Seperti mengadakan kerjasama Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Kedah memasukkan promosi destinasi di tanah besar dengan pakej pelancongan di Langkawi,” katanya.
        Jelasnya, pendekatan tersebut secara tidak langsung akan menarik perhatian kedatang pelancong bukan sahaja pusat peranginan terkenal itu malah ke tanah besar Kedah juga.
        Oleh : Nazmil Nasiruddin
        Sumber : Utusan